“DONNA!” Afia mencari anak kucing kesayangannya itu di sekitar rumah sebaik-baik sahaja kakinya menapak di situ. Namun, setelah puas dicari di luar rumah, di dalam bilik, di dapur, di ruang tamu, bayang anak kucing itu masih tidak kelihatan.
Isy, mana pula Donna ni pergi? Jangan-jangan dia merajuk sebab aku dah lama tak balik jenguk dia tak?
“Donna, mama dah balik!” Afia tidak berputus asa dan terus menjerit nama anak kucing itu.
Hatinya mula berasa tidak keruan apabila panggilannya tidak mendapat respons. Tidak seperti biasa yang mana anak kucing itu akan mengiau apabila mendengar suaranya. Dia tidak peduli jika ada yang mengatakannya gila kerana sering bercakap dengan anak kucing itu. Dia tahu anak kucing itu memahami tutur katanya walaupun ia tidak dapat membalas.
“Tak payahlah kau nak terjerit-jerit panggil nama dia.” Tiba-tiba Afni muncul dari dalam. “Tuan jenis apa kau ni, hah? Dulu beria-ia sangat kau nak bela dia, sekarang kau buat tak tahu aje. Tak makan, tak apa. Yalah, orang tengah angau bercinta. Mana ada masa nak ingat benda lain, kan?”
Berdesing telinga Afia mendengar kata-kata kakaknya itu. “Kau cakap apa ni?” Afia muak dengan sikap kakaknya. Inilah salah satu sebab dia malas hendak pulang ke rumah. Ada-ada sahaja yang kakaknya tidak berpuas hati dengannya. Seolah-olah Afni sengaja mencari pasal.
“Alah, buat-buat tak faham pula,” Afni masih belum puas menyakiti hatinya.
“Dahlah. Malas aku nak cakap dengan kau,” Afia berlalu ke belakang rumah. “Donna!”
“Tak payahlah Afia nak panggil Donna lagi. Donna dah tak ada,” Puan Syafira yang mendengar bunyi kecoh tadi menjenguk ke luar. Dia sudah dapat mengagak jika Afni dan Afia bertemu.
“Apa maksud mama?” Afia tidak mengerti. Takkan mama bagi Donna pada orang lain? Aku tahu aku salah sebab dah lama tak jenguk Donna tapi mama tak patut bagi Donna pada orang lain tanpa persetujuan aku!
“Donna dah mati,” terang Puan Syafira.
“Mama bergurau aje, kan?”
“Isy, takkan mama nak bergurau pula? Kalau Afia tak percaya, Afia tanya Amri.”
“Amri?” Raut wajah Afia mula berubah.
“AM minta maaf, ngah. Am tak sengaja. Am tak nampak Donna malam tu,” ucap Amri bersungguh-sungguh. Dia juga berasa bersalah atas kemalangan yang menimpa anak kucing itu.
Afia diam. Dia tidak tahu hendak berkata apa tatkala mendengar cerita Amri. Menurut Amri, dia terlanggar anak kucing itu ketika sedang memarkir motosikal di laman rumah. Memandangkan suasana pada ketika itu sangat gelap, jadi dia tidak perasan akan anak kucing itu.
“Angah marahkan Am ke?” Amri berasa lebih bersalah apabila melihat reaksi Afia yang diam dari tadi.
“Tak ada sebab angah nak marah Am. Benda dah jadi,” Afia cuba mengawal perasaannya.
“Tapi ngah, Am betul-betul rasa bersalah sangat.”
“Dah memang ajal dia kut. Dahlah, angah okey. Angah nak masuk bilik,” Afia terus menuju ke bilik tidurnya. Bukan kerana dia marah dengan Amri, tetapi kerana air matanya sudah hampir mengalir. Dia tidak mahu Amri berasa lebih bersalah.
Sejurus tiba di bilik, dia terus menyembamkan mukanya ke bantal. Dia menangis semahu-mahunya. Entah mengapa hatinya sangat pedih apabila mengetahui Donna sudah tiada. Jika begitu, kepada siapa lagi dia hendak mengadu dan bercerita?
Maafkan mama, Donna. Mama abaikan Donna sehingga Donna ditimpa malang. Mama yang bersalah sebab tak jaga Donna baik-baik. Maafkan mama…
Dalam dia melayani perasaan, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Afia melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Dalam keadaannya sekarang, dia tidak pasti sama ada hendak menjawab panggilan itu ataupun tidak. Lambat-lambat dia menekan butang hijau.
“Amboi, balik kampung terus lupa orang ya? Tak telefon orang langsung. Ni mesti jumpa pakwe kat sana, kan?” seloroh Asyraf sebaik-baik sahaja talian bersambung.
Namun gurauannya hanya dipandang sepi oleh Afia.
“Afia, kenapa ni? Awak sakit ke?” soalnya apabila menyedari gurauannya tidak bersahut.
Afia cuba mengawal nada suaranya. Namun gagal. Tangisannya kedengaran juga di telinga Asyraf.
“Afia, kenapa ni? Kenapa sedih sangat ni?” Asyraf mula dilanda kebimbangan. Takkan betul-betul ada orang datang meminang gadis kesayangan itu? Oh, tidak! “Afia, relaks okey. Cuba cerita dengan saya kenapa awak sedih sangat ni.” Asyraf cuba bersikap tenang.
Wajah gadis itu tidak pernah muram, apatah lagi menangis di hadapannya. Gadis itu sentiasa sahaja ceria dan sering tersenyum ketika bersamanya. Tidak pernah sekalipun dia menunjukkan mukanya yang bermasalah. Kalau marah itu, selalulah. Tetapi menangis? Afia tidak begitu.
“Afia…” panggil Asyraf lembut apabila Afia masih berdiam diri.
“Donna…” rintih Afia.
“Kenapa dengan Donna?” Melalui cerita Afia, Asyraf tahu Donna itu adalah anak kucing peliharaan Afia. Kepada anak kucing itulah, dia curahkan semua perasaannya.
“Donna dah mati…” ujar Afia tersekat-sekat sambil cuba menahan esakannya.
“La, ingatkan apalah tadi,” Asyraf menarik nafas lega. Nasib baik andaiannya tadi tidak benar.
“Awak tak tahu betapa pentingnya dia pada saya. Dia tu macam… sudahlah, awak takkan faham,” Afia kembali menangis.
Mungkin orang lain akan menganggapnya pelik kerana membazir air mata demi seekor kucing, namun baginya, kucing itulah teman setianya selama ini. Walaupun kucing itu tidak dapat bercakap dalam bahasa manusia, tetapi kucing itu seolah-olah mengerti perasaannya.
“Okey, saya minta maaf. Menangislah kalau itu dapat buat awak lega.” Kata-kata itu membuatkan tangisan Afia semakin kuat. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi.
Asyraf cuma diam. Tetap setia menanti sehingga tangisan Afia reda.
“Awak sengaja nak ejek saya, kan?” ujar Afia apabila tangisannya mula reda.
“Mana ada saya ejek awak. Dah lega?”
“Hmm. Kenapa awak telefon?”
“Sebab risaukan awaklah. Dah awak tak telefon saya.”
“Kampung saya bukannya jauh sangat pun. Dalam Shah Alam juga.”
“Tapi saya tetap risau. Mak dan ayah awak sihat?”
“Okey aje.”
“Kakak dan adik awak?”
“Semua sihat.”
“Awak?”
“Saya rasa tak sihat bila tahu pasal Donna.” Air matanya yang baru hendak reda kembali mengalir tatkala menyebut nama Donna.
“Jangan fikirkan sangat. Awak berehat, ya.”
“Hmm…”
“Awak dah makan ke belum ni?”
“Belum.”
“La, kenapa tak makan lagi? Nanti sakit pula.”
“Sekejap lagi kut.”
“Okey, jangan tak makan tau. Awak take care, ya. Tak mahu nangis-nangis, ya. Bye, sayang.”
“Bye.” Afia terbaring lesu di atas katil. Tangisannya kembali deras apabila teringatkan anak kucing kesayangannya.
“BETUL ke Afia bercinta?”
Hampir tersedak dia dibuatnya tatkala soalan itu diajukan oleh bapanya ketika mereka sekeluarga sedang menikmati hidangan makan malam. Afia menelan sisa nasi yang berada di dalam kerongkongnya.
“Papa tanya apa tadi?” soal Afia. Bukannya dia tidak mendengar, tetapi soalan itu kedengaran aneh di telinganya. Macam mana papa tahu?
“Betul ke Afia bercinta?” Encik Arifin mengulangi soalannya.
“Kenapa papa tanya?” Afia sedaya upaya cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan itu. Masih terlalu awal untuk dia memperkenalkan Asyraf kepada keluarganya.
“Betul ke tak?” Suara papanya mula tegas.
Lambat-lambat Afia mengangguk.
“Siapa budak tu?”
“Seorang lelaki.” Entah mengapa itu yang terluncur di bibirnya.
“Papa tahulah lelaki. Habis, takkan perempuan pula. Dia pelajar UiTM juga ke?” Encik Ariffin kelihatan sangat berminat hendak tahu tentang gerangan lelaki yang telah mencuri hati anak keduanya itu. Dia tidak mahu Afia berkawan dengan orang yang bukan-bukan. Tambahan pula, Afia masih belajar. Dia tidak mahu pelajarannya merosot gara-gara bercinta.
“Taklah. Dia dah kerja.”
“Kerja apa?” tanya Puan Syafira pula.
“Err… kerja biasa aje,” Afia mula berasa tidak senang. Mama dan papanya sudah mula menjalankan siasatan.
“Bawalah dia ke sini. Papa dan mama nak jumpa.”
“Nantilah Afia tanya dia,” balas Afia, acuh tidak acuh. Sebenarnya, dia tiada masalah untuk memperkenalkan Asyraf kepada keluarganya tetapi dia takut Asyraf yang tidak mahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan