Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, April 11, 2014

Dia... Jejaka Pendiam - Bab 9


EISYA melabuhkan punggung di kerusi. Suatu keluhan dilepaskan. Sebenarnya dia tiada mood untuk ke kelas pagi itu. Namun, dia gagahi juga untuk ke kelas. Dia tidak mahu rekod kehadirannya buruk pula nanti.

            Matanya kuyu. Rasa mengantuk masih menguasai dirinya. Semalaman dia menunggu balasan SMS daripada Danish. Ternyata pernantiannya sia-sia cuma. Danish tetap menyepi.  

            Entah macam mana lagi dia dapat menghubungi Danish. Ingatkan bila dah ada nombor telefon, senanglah sikit mereka hendak berhubung. Tapi nampak gayanya serupa saja macam tak ada nombor telefon.

            Entah-entah Danish sengaja beri nombor telefon palsu?

            Tapi kenapa pula Danish nak buat macam tu?

            Atau Danish tak ada kredit untuk membalas SMS yang diberi?

            Ah, itu bukan alasan! Kalau Danish menganggap hal ini serius, pasti dia akan top up kreditnya dan segera menghubunginya kembali.

            Agaknya, Danish tak serius dengan projek mereka?

            Aduh! Kalau macam tu, habislah dia semester ini!

            “Hai, pagi-pagi lagi dah mengeluh!”

            Eisya menoleh ke arah lelaki yang baru saja melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya. Irwan tersenyum memandangnya.

            Eisya hairan melihat Irwan duduk di sebelahnya. Dia memandang sekeliling. Mencari seseorang.

“Kau sorang aje ke? Syella mana?” Eisya memandang ke pintu. Mana tahu Syella bersama Irwan.

“Entah,” jawab Irwan acuh tak acuh.

Eisya semakin pelik. Biasanya Syella dan Irwan akan datang ke kelas bersama-sama. Walaupun dia dan Syella tinggal di asrama yang sama tapi Syella lebih suka pergi dan balik kelas bersama Irwan. Manalah orang lain tidak menganggap mereka bercinta.

“Kau ada balas mesej kau tak?” tanya Eisya. Dia bukan hendak menyibuk tapi dia tidak mahu kedua-dua sahabat baiknya itu bermasam muka. Hal-hal yang remeh eloklah diselesaikan dengan segera supaya tidak menjadi isu besar.

“Tak.”

“Aku pun tak jumpa dia dua hari ni,” cerita Eisya.

“Biarlah dia, bukannya budak kecik lagi.”

Eisya memandang Irwan. Dia tahu Irwan kecewa dengan sikap tidak berterus terang Syella. Kalau dia berada di tempat Irwan, dia juga akan kecewa. Bukankah berterus terang itu kunci kebahagiaan dalam sesuatu hubungan?

“Kau tak pujuk dia ke?” lanjut Eisya.

“Biarlah dia,” ujar Irwan malas.

“Sampai bila kau orang nak macam ni? Kita kan kawan,” balas Eisya.

Walaupun dia nampak Irwan seperti malas mahu bercakap mengenai Syella, tapi entah kenapa dia tetap mahu bercakap mengenainya. Dia tidak mahu hubungan antara mereka putus gara-gara perkara yang remeh-temeh. Baginya, masalah yang dihadapi bukannya besar mana pun. Masih boleh diselesaikan dengan cara baik. Tapi nampaknya, kedua-duanya enggan mengalah.

“Kalau dia anggap aku kawan, dia takkan buat aku macam ni tau,” luah Irwan.

Eisya terdiam. Kata-kata Irwan membuatkan dia berfikir. Mungkin benar juga kata Irwan. Sepatutnya Syella berfikiran matang dan tidak membesar-besarkan perkara yang kecil.  

“Oh, ya! Wan, kau ada nampak Danish kat asrama tak?” Eisya mengubah topik perbualan. Hal Irwan dengan Syella, dia tidak mahu masuk campur. Dia ada hal yang lebih penting daripada menjaga tepi kain hubungan Irwan dengan Syella. Danish. Dia perlu tahu ke mana Danish menghilang.

“Aku tak pasti pula. Tapi aku pun tak nampak dia kat asrama beberapa hari ni. Projek kau orang tak siap lagi ke? Bukan dah lepas deadline ke?” soal Irwan kembali. Wajahnya sudah berubah normal kembali.

“Ha, tulah pasal. Dr. O suruh kita orang buat semula,” Eisya membuka cerita. Dia bimbang sekiranya peluang kedua yang diberi oleh Dr. O tidak digunakan dengan sebaik-baiknya. Dia tidak mahu mengulang subjek pada semester depan.

“Kenapa? Bukan ke Danish tu bagus?” Irwan seakan-akan tidak percaya.

“Dr. O kata kerja kita orang tak cacar marba. Aku buat lain, Danish buat lain. Tu yang kena buat semula.”

“Kau orang tak buat sama-sama ke?

“Tak.”

“Patutlah. Nanti aku cuba tengok kalau-kalau Danish ada kat asrama. Kau ada nombor telefon dia tak? Kalau tak ada, aku bagi,” ujar Irwan seraya menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan telefon bimbitnya tetapi terbantut apabila Eisya membalas.

“Ada, tapi dia tak balas pun SMS aku semalam,” Eisya memberitahu.

“La, ya ke? Tak apalah, nanti aku cari dia kat asrama.” Irwan memberi jaminan.

Thanks, Wan.”

No problem.”

Bagaikan malaikat lalu, kedua-duanya terhenti bercakap. Kemudian, serentak kedua-duanya memandang ke arah pintu. Kelihatan Syella berjalan ke arah mereka.

Dengan wajah selamba, Syella duduk di sebelah Eisya tanpa memandang atau menegur Irwan. Irwan juga berbuat-buat tidak nampak akan kehadiran Syella. Eisya pula hanya menjadi pemerhati.

 

 

 

“AKU ada hal. Aku pergi dulu ya.”

Sejurus kelas tamat, Eisya bergegas meninggalkan kelas itu. Dia mahu memberikan ruang kepada Irwan dan Syella untuk berbincang.

            Selepas Eisya berlalu, Syella bangkit untuk meninggalkan kelas itu tapi soalan Irwan mematikan langkahnya.

“Awak pergi mana dua hari ni?”

            Syella berpaling memandang Irwan.

“Kenapa awak nak tahu?” Dia bertanya kembali.

            “Sejak bila saya tak boleh tahu?” balas Irwan pula.

            Syella mengeluh. Mungkin dia patut berterus terang?

“Saya minta maaf kalau awak salah faham dengan layanan saya selama ni. Tapi saya memang tak ada apa-apa perasaan pada awak,” ujar Syella tenang.

            “Setelah awak buat saya jatuh hati dengan awak, awak boleh cakap yang awak tak ada apa-apa perasaan pada saya?” Irwan menentang wajah Syella, namun Syella pantas menundukkan wajahnya.

            “Mungkin salah saya sebab anggap awak lebih-lebih. Tapi adakah semua ni masih salah saya bila awak yang buat saya salah faham? Kalau awak cuma anggap saya kawan biasa, habis tu selama ini yang awak mesej-mesej saya, keluar dengan saya, semua tu apa? Hobi?” Irwan meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya. Dia sudah penat melayan kerenah Syella.

            Syella diam. Tidak tahu jawapan yang perlu diberikan. Dia tahu Irwan sedang diasak amarah.

            “Kenapa awak diam? Jawablah!” bentak Irwan.

            Syella tersentak. Air matanya mula bergenang. Kecil hatinya apabila Irwan sudah pandai meninggikan suara dengannya. Sebelum ini Irwan hanya bercakap lemah lembut dengannya.

            “Kalau awak cuma nak marah-marah, lebih baik kita tak payah berbincang,” ujar Syella lantas terus berlalu dari situ.

            Irwan menumbuk meja. Geram betul dia apabila Syella masih berselindung dan enggan berterus terang.

            Susah sangat ke nak beritahu hal yang sebenar? Dari awal lagi, dia sudah bertanya sama ada hati Syella sudah dihuni oleh mana-mana lelaki. Namun, Syella sendiri yang mengakui yang dia belum ada sesiapa. Disebabkan itulah dia berani rapat dengan Syella.

            Kalaulah dia tahu Syella sudah ada sesiapa, dia pun tidak akan sekali-kali berani jatuh cinta kepada Syella. Tapi layanan Syella terhadapnya buat dia rasa istimewa. Tambahan pula, sikap Syella yang manja dan selalu menginginkan perhatiannya buat dia rasa Syella memang sukakannya.

            Apatah lagi apabila Syella kerap memanggilnya dengan panggilan yang istimewa seperti ‘B’ dan ‘sayang’. Kalau Syella hanya menganggapnya kawan biasa, takkan Syella suka-suka saja memanggilnya begitu? Jadi, adakah dia yang syok sendiri?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam akak.cerita ni best tapi mana sambungannya??tersekat pada bab 9