EISYA melabuhkan
punggung di kerusi. Suatu keluhan dilepaskan. Sebenarnya dia tiada mood untuk ke kelas pagi itu. Namun, dia
gagahi juga untuk ke kelas. Dia tidak mahu rekod kehadirannya buruk pula nanti.
Matanya kuyu. Rasa mengantuk masih
menguasai dirinya. Semalaman dia menunggu balasan SMS daripada Danish. Ternyata
pernantiannya sia-sia cuma. Danish tetap menyepi.
Entah macam mana lagi dia dapat
menghubungi Danish. Ingatkan bila dah ada nombor telefon, senanglah sikit
mereka hendak berhubung. Tapi nampak gayanya serupa saja macam tak ada nombor
telefon.
Entah-entah Danish sengaja beri
nombor telefon palsu?
Tapi kenapa pula Danish nak buat
macam tu?
Atau Danish tak ada kredit untuk
membalas SMS yang diberi?
Ah, itu bukan alasan! Kalau Danish
menganggap hal ini serius, pasti dia akan top
up kreditnya dan segera menghubunginya kembali.
Agaknya, Danish tak serius dengan
projek mereka?
Aduh! Kalau macam tu, habislah dia
semester ini!
“Hai, pagi-pagi lagi dah mengeluh!”
Eisya menoleh ke arah lelaki yang
baru saja melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya. Irwan tersenyum
memandangnya.
Eisya hairan melihat Irwan duduk di
sebelahnya. Dia memandang sekeliling. Mencari seseorang.
“Kau
sorang aje ke? Syella mana?” Eisya memandang ke pintu. Mana tahu Syella bersama
Irwan.
“Entah,”
jawab Irwan acuh tak acuh.
Eisya
semakin pelik. Biasanya Syella dan Irwan akan datang ke kelas bersama-sama.
Walaupun dia dan Syella tinggal di asrama yang sama tapi Syella lebih suka pergi
dan balik kelas bersama Irwan. Manalah orang lain tidak menganggap mereka
bercinta.
“Kau
ada balas mesej kau tak?” tanya Eisya. Dia bukan hendak menyibuk tapi dia tidak
mahu kedua-dua sahabat baiknya itu bermasam muka. Hal-hal yang remeh eloklah
diselesaikan dengan segera supaya tidak menjadi isu besar.
“Tak.”
“Aku
pun tak jumpa dia dua hari ni,” cerita Eisya.
“Biarlah
dia, bukannya budak kecik lagi.”
Eisya
memandang Irwan. Dia tahu Irwan kecewa dengan sikap tidak berterus terang
Syella. Kalau dia berada di tempat Irwan, dia juga akan kecewa. Bukankah
berterus terang itu kunci kebahagiaan dalam sesuatu hubungan?
“Kau
tak pujuk dia ke?” lanjut Eisya.
“Biarlah
dia,” ujar Irwan malas.
“Sampai
bila kau orang nak macam ni? Kita kan kawan,” balas Eisya.
Walaupun
dia nampak Irwan seperti malas mahu bercakap mengenai Syella, tapi entah kenapa
dia tetap mahu bercakap mengenainya. Dia tidak mahu hubungan antara mereka
putus gara-gara perkara yang remeh-temeh. Baginya, masalah yang dihadapi
bukannya besar mana pun. Masih boleh diselesaikan dengan cara baik. Tapi
nampaknya, kedua-duanya enggan mengalah.
“Kalau
dia anggap aku kawan, dia takkan buat aku macam ni tau,” luah Irwan.
Eisya
terdiam. Kata-kata Irwan membuatkan dia berfikir. Mungkin benar juga kata
Irwan. Sepatutnya Syella berfikiran matang dan tidak membesar-besarkan perkara
yang kecil.
“Oh,
ya! Wan, kau ada nampak Danish kat asrama tak?” Eisya mengubah topik perbualan.
Hal Irwan dengan Syella, dia tidak mahu masuk campur. Dia ada hal yang lebih
penting daripada menjaga tepi kain hubungan Irwan dengan Syella. Danish. Dia
perlu tahu ke mana Danish menghilang.
“Aku
tak pasti pula. Tapi aku pun tak nampak dia kat asrama beberapa hari ni. Projek
kau orang tak siap lagi ke? Bukan dah lepas deadline
ke?” soal Irwan kembali. Wajahnya sudah berubah normal kembali.
“Ha,
tulah pasal. Dr. O suruh kita orang buat semula,” Eisya membuka cerita. Dia
bimbang sekiranya peluang kedua yang diberi oleh Dr. O tidak digunakan dengan
sebaik-baiknya. Dia tidak mahu mengulang subjek pada semester depan.
“Kenapa?
Bukan ke Danish tu bagus?” Irwan seakan-akan tidak percaya.
“Dr.
O kata kerja kita orang tak cacar marba. Aku buat lain, Danish buat lain. Tu
yang kena buat semula.”
“Kau
orang tak buat sama-sama ke?
“Tak.”
“Patutlah.
Nanti aku cuba tengok kalau-kalau Danish ada kat asrama. Kau ada nombor telefon
dia tak? Kalau tak ada, aku bagi,” ujar Irwan seraya menyeluk poket seluarnya
untuk mengeluarkan telefon bimbitnya tetapi terbantut apabila Eisya membalas.
“Ada,
tapi dia tak balas pun SMS aku semalam,” Eisya memberitahu.
“La,
ya ke? Tak apalah, nanti aku cari dia kat asrama.” Irwan memberi jaminan.
“Thanks, Wan.”
“No problem.”
Bagaikan
malaikat lalu, kedua-duanya terhenti bercakap. Kemudian, serentak kedua-duanya
memandang ke arah pintu. Kelihatan Syella berjalan ke arah mereka.
Dengan
wajah selamba, Syella duduk di sebelah Eisya tanpa memandang atau menegur
Irwan. Irwan juga berbuat-buat tidak nampak akan kehadiran Syella. Eisya pula
hanya menjadi pemerhati.
“AKU ada
hal. Aku pergi dulu ya.”
Sejurus kelas tamat, Eisya bergegas meninggalkan
kelas itu. Dia mahu memberikan ruang kepada Irwan dan Syella untuk berbincang.
Selepas Eisya berlalu, Syella
bangkit untuk meninggalkan kelas itu tapi soalan Irwan mematikan langkahnya.
“Awak
pergi mana dua hari ni?”
Syella berpaling memandang Irwan.
“Kenapa
awak nak tahu?” Dia bertanya kembali.
“Sejak bila saya tak boleh tahu?”
balas Irwan pula.
Syella mengeluh. Mungkin dia patut
berterus terang?
“Saya
minta maaf kalau awak salah faham dengan layanan saya selama ni. Tapi saya
memang tak ada apa-apa perasaan pada awak,” ujar Syella tenang.
“Setelah awak buat saya jatuh hati
dengan awak, awak boleh cakap yang awak tak ada apa-apa perasaan pada saya?”
Irwan menentang wajah Syella, namun Syella pantas menundukkan wajahnya.
“Mungkin salah saya sebab anggap
awak lebih-lebih. Tapi adakah semua ni masih salah saya bila awak yang buat
saya salah faham? Kalau awak cuma anggap saya kawan biasa, habis tu selama ini
yang awak mesej-mesej saya, keluar dengan saya, semua tu apa? Hobi?” Irwan
meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya. Dia sudah penat melayan kerenah
Syella.
Syella diam. Tidak tahu jawapan yang
perlu diberikan. Dia tahu Irwan sedang diasak amarah.
“Kenapa awak diam? Jawablah!” bentak
Irwan.
Syella tersentak. Air matanya mula
bergenang. Kecil hatinya apabila Irwan sudah pandai meninggikan suara
dengannya. Sebelum ini Irwan hanya bercakap lemah lembut dengannya.
“Kalau awak cuma nak marah-marah,
lebih baik kita tak payah berbincang,” ujar Syella lantas terus berlalu dari
situ.
Irwan menumbuk meja. Geram betul dia
apabila Syella masih berselindung dan enggan berterus terang.
Susah sangat ke nak beritahu hal
yang sebenar? Dari awal lagi, dia sudah bertanya sama ada hati Syella sudah
dihuni oleh mana-mana lelaki. Namun, Syella sendiri yang mengakui yang dia
belum ada sesiapa. Disebabkan itulah dia berani rapat dengan Syella.
Kalaulah dia tahu Syella sudah ada
sesiapa, dia pun tidak akan sekali-kali berani jatuh cinta kepada Syella. Tapi
layanan Syella terhadapnya buat dia rasa istimewa. Tambahan pula, sikap Syella
yang manja dan selalu menginginkan perhatiannya buat dia rasa Syella memang
sukakannya.
Apatah lagi apabila Syella kerap memanggilnya
dengan panggilan yang istimewa seperti ‘B’ dan ‘sayang’. Kalau Syella hanya
menganggapnya kawan biasa, takkan Syella suka-suka saja memanggilnya begitu?
Jadi, adakah dia yang syok sendiri?
1 ulasan:
Salam akak.cerita ni best tapi mana sambungannya??tersekat pada bab 9
Catat Ulasan