MEREKA
sudah bersiap-siap untuk pergi ke dewan makan apabila sekali lagi telefon
bimbit Eisya berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Selepas mengunci pintu
bilik, Eisya mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Sambil
berjalan, dia membaca mesej yang baru diterimanya.
Keningnya berkerut tatkala melihat
nama si pengirim.
“Irwan?”
Eisya menyebut nama si pengirim perlahan namun masih dapat didengari oleh
Fauziah.
“Alah, bukan Danish ke?” usik
Fauziah sambil tersengih.
Eisya menghadiahkan jelingan maut
kepada Fauziah. Sengaja mahu menakut-nakutkan Fauziah walaupun dia tahu
jelingan mautnya itu langsung tidak berkesan kepada Fauziah.
“Irwan ajak makan sekali. Macam
pelik aje.” Eisya menyatakan kehairanannya. Tak pernah-pernah pula Irwan
mengajaknya makan apatah lagi jika Syella tak ada. Entah-entah Irwan tersilap
hantar SMS tak?
“Apa yang peliknya?” tanya Fauziah.
Eisya tidak menjawab pertanyaan
Fauziah. Dia membalas kiriman SMS itu untuk bertanya sama ada Irwan tersilap
menghantar SMS. Manalah tahu kut-kut Irwan nak hantar SMS kepada Syella tapi
terhantar kepadanya. Malulah dia jika dibuatnya Irwan tersilap menghantar SMS.
Dia sendiri pun tahu kedudukannya di
mata Irwan. Dia ada atau tidak, Irwan mana pernah peduli. Kalau Syella tak ada
saja, baru Irwan ambil peduli. Dan dialah yang menjadi PA tak bertauliah Syella
untuk menjawab segala persoalan Irwan.
Tak lama kemudian, SMS yang dihantar
dibalas oleh Irwan.
Eisya membaca SMS tersebut. Ternyata
Irwan memang menghantar SMS itu kepadanya.
“Irwan ajak makan kat kafe. Okey
ke?” ujar Eisya seraya menaip SMS untuk dibalas kepada Irwan. Bertanyakan sama
ada Syella ada bersamanya atau tidak.
“Aku okey aje asalkan perut
kenyang,” jawab Fauziah.
Tanpa menunggu lama, SMS tadi
mendapat jawapan. Eisya segera membaca SMS yang dibalas oleh Irwan.
“Syella tak ada?”
Bertambah-tambah rasa pelik dalam hatinya.
Dalam benaknya mula terfikir akan sesuatu.
Sebelum
ini Irwan jarang menghantar SMS kepadanya. Malah, boleh dibilang dengan jari.
Itu pun setakat hal-hal penting saja dan jika dia tidak dapat menghubungi
Syella. Tapi tiba-tiba saja Irwan menghantar SMS kepadanya dan mengajaknya
makan? Tanpa Syella pula tu. Memang pelik bin ajaib!
Tiba-tiba
dia teringat akan kejadian pagi tadi. Adakah mereka masih bergaduh gara-gara
kejadian pagi tadi?
KETIKA mereka
tiba di kafeteria, Irwan sudah pun berada di sana. Sejurus ternampak mereka,
Irwan melambai. Melihatkan itu, Eisya dan Fauziah terus menghampiri Irwan.
Eisya
mengambil tempat di depan Irwan manakala Fauziah pula duduk di sebelahnya. Eisya
memperkenalkan Fauziah kepada Irwan. Irwan dan Fauziah saling berbalas senyuman
tanda sapaan.
“Dah
lama sampai ke?” tanya Eisya sambil melihat telefon bimbit di tangan Irwan.
Hatinya kuat mengatakan bahawa Irwan pasti sedang menantikan mesej daripada
Syella.
“Baru
aje,” balas Irwan.
“Dah
order makan ke belum?” tanya Eisya
lagi apabila melihat hanya ada segelas teh ais di depan Irwan. Dia cuba
bersikap biasa walaupun dia tidak biasa berjumpa dengan Irwan tanpa Syella. Kalau
hanya dia dengan Irwan, memang dah lama dia menolak ajakan Irwan. Nasib baik
Fauziah ada sekali.
“Tunggu
kau oranglah,” jawab Irwan. Kemudian, dia menggamit salah seorang pelayan di
situ. “Kau orang nak makan apa?”
SELEPAS
memesan makanan dan minuman masing-masing, suasana menjadi sunyi.
Ketiga-tiganya melayan perasaan sendiri.
Eisya
memandang Irwan yang asyik dengan telefon bimbitnya. Dia mula bosan dengan
suasana sunyi itu.
“Mesej
dengan Syella ke?” Eisya sengaja menebak. Ingin memecah kesunyian sebenarnya.
Dia memang tidak suka keadaan yang terlalu sunyi.
Irwan
cuma tersenyum. Namun, Eisya perasan akan kehambaran pada senyuman itu. Pasti
ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh Irwan dan sesuatu itu pastilah ada kaitan
dengan Syella. Kalau tak, tak ada maknanya Irwan sanggup mengirim SMS
kepadanya. Siap ajak makan lagi.
“Sya,
aku pergi tandas kejap,” ujar Fauziah lalu bangkit ke tandas berhampiran.
Seolah-olah memberi ruang kepada mereka berdua untuk berbicara.
“Jangan
lama-lama tau,” pesan Eisya. Takut benar dia jika ada antara budak kelasnya
yang nampak dia dan Irwan duduk berdua begitu. Nanti tak pasal-pasal dia kena
gosip pula dengan Irwan. Lagi ‘mengamuk’ Syella jawabnya.
Sebaliknya, Irwan pula memang
berharap yang dia dapat berdua-duaan dengan Eisya. Kesempatan itu digunakan
oleh Irwan untuk bertanya kepada Eisya tentang Syella.
“Sya,
kau baik dengan Syella, kan?” umpan Irwan.
“Baiklah
juga. Kenapa?” Eisya seakan-akan sudah dapat mengagak arah tuju perbualan
Irwan. Seperti yang dia duga!
“Mesti
kau tahu dia keluar dengan siapa, kan?”
Eisya agak terkejut mendengar
pertanyaan Irwan. Macam pelik pula apabila Irwan bertanya begitu. Biasanya
Irwan lebih mengetahui segalanya tentang Syella berbanding dirinya. Walaupun
dia dan Syella menghuni asrama yang sama tetapi Syella jarang bercerita tentang
hal peribadinya.
“La,
manalah aku tahu. Aku ingatkan dia keluar dengan kau,” balas Eisya.
“Tak. Patutlah bila aku ajak keluar,
dia tak nak. Rupanya dia keluar dengan lelaki lain,” adu Irwan. Entah mengapa
dia berasa ingin mengadu kepada Eisya. Firasatnya kuat mengatakan Eisya orang
yang dapat dipercayai dan seorang pendengar yang baik.
“Mana kau tahu dia keluar dengan
lelaki lain?” duga Eisya.
Tapi
kalau betul Syella keluar dengan lelaki lain pun, dia tak rasa itu suatu
kesalahan kerana Syella sudah menegaskan bahawa dia dengan Irwan tidak ada
apa-apa hubungan istimewa selain kawan baik.
Selama dia mengenali Syella,
sememangnya Syella seorang yang ramah dengan semua orang. Mungkin disebabkan
itu ada yang salah faham dengan layanan yang diberi. Mungkin Irwan salah
seorang daripada mereka.
“Aku telefon dia tadi, nak ajak
makan. Dia kata dia kat luar. Lepas tu aku dengar suara orang lelaki kat
sebelah dia,” terang Irwan.
Eisya tidak tahu mahu memberi komen.
Irwan kawan dia, Syella juga kawan dia. Tak tahu siapa yang harus dia
menangkan. Tapi dia rela meminjamkan telinganya untuk sesiapa saja. Mungkin
Irwan cuma mahu meluahkan perasaan.
“Aku
tahu aku tak ada hak nak halang dia keluar dengan lelaki lain tapi aku agak
kecewa bila dia macam dah berubah,” Irwan menyambung selepas diam seketika.
Eisya tidak mengerti.
“Kenapa
kau cakap macam tu pula?”
“Sekarang ni dia dah jarang mesej
aku. Bila aku mesej pun dia tak balas. Macam ada sesuatu yang dia rahsiakan
daripada aku,” cerita Irwan lagi.
“Kau cubalah tanya dia.”
“Macam mana aku nak tanya kalau dia
asyik mengelak aje? Kau rasa dia dah ada seseorang ke?”
Eisya menjungkit bahu. Soalan Irwan
dirasa sukar untuk dijawab kerana dia sendiri tidak punya jawapan. Hanya Syella
yang dapat menjawabnya.
“Kau
tak tanya dia?”
Irwan mengeluh sebelum menjawab,
“Aku pernah tanya dia tapi dia kata dia tak ada siapa-siapa lagi. Aku ni
bukanlah teruk sangat. Kalau dia kata dia dah ada seseorang, aku pun takkan
berani rapat dengan dia macam sekarang.”
Eisya bersimpati dengan Irwan namun
dia tidak dapat berbuat apa-apa. Nak menasihatkan orang, dia tak pandai kerana
dia sendiri tak pernah melalui apa yang dilalui oleh Irwan. Jadi, ada baiknya
jika dia diam saja.
“Kalau kau nak kata aku perasan atau
syok sendiri, aku ada alasan untuk rasa perasan. Cuba kau tengok ni,” ujar
Irwan seraya menyuakan telefon bimbitnya kepada Eisya.
Eisya membaca sesuatu yang
ditunjukkan oleh Irwan dalam telefon bimbitnya. Matanya membulat. Dia memandang
Irwan seperti tidak percaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan