PINTU
bilik pejabat yang tertera nama DR. OTHMAN BIN ZAINUL itu dibuka dari dalam.
Seorang pelajar keluar dari bilik itu sambil menangis teresak-esak. Di
belakangnya, seorang rakannya sedang berusaha memujuk dan menenangkannya.
“Dahlah, tak payahlah menangis.”
“Macam mana aku tak menangis kalau
projek kita kena reject?”
“Tak apalah, sekurang-kurangnya Dr.
O beri peluang untuk kita baiki semula.”
“Ini semua kau punya pasallah! Kau
yang cadangkan kita buat bahagian sendiri-sendiri,” marah pelajar itu.
“Eh, aku pulak? Dah kau pun tak
bantah, kan?”
Pertengkaran dua sahabat itu
membuatkan Eisya dan Danish yang sedang menunggu di luar bilik itu terkedu.
Mereka berbalas pandangan.
“Ha, Eisya, Danish, buat apa berdiri
kat luar? Masuklah,” pelawa Dr. O.
Serentak Eisya dan Danish berpaling
ke arah pensyarah mereka itu. Perlahan-lahan kedua-duanya menapak ke dalam
bilik pejabat Dr. O. Selepas dipelawa, masing-masing melabuhkan punggung.
“Awak berdua tahu kenapa saya
panggil awak berdua?” soal Dr. O.
Eisya memandang Danish. Danish
memandang Eisya. Kemudian, kedua-duanya memandang Dr. O lalu menggeleng.
Dia sendiri terkejut apabila Dr. O
menyuruhnya datang ke bilik pejabat pensyarah itu pagi tadi. Lebih mengejutkannya
apabila melihat Danish turut berada di situ. Sangkanya, dia tidak perlu bertemu
dengan Danish lagi. Ternyata harapannya itu meleset.
“Awak berdua ni ada masalah ke?”
tanya Dr. O lagi. Kedua-dua wajah pelajar di hadapannya itu diamati. Nampak
sangat yang mereka berasa kekok antara satu sama lain.
“Tak ada,” jawab Eisya laju. Kenapa
pulak Dr. O fikir mereka ada masalah?
“Betul awak berdua tak ada masalah?”
ulang Dr. O inginkan kepastian.
Eisya dan Danish diam.
Melihatkan kebisuan mereka, Dr. O
menyambung, “Kalau awak berdua tak ada masalah, boleh awak berdua jelaskan
kepada saya kenapa tugasan awak berdua teruk sangat?”
Dr. O mencampak sekeping cakera
padat di hadapan mereka.
“Design
setiap slide tak sama, warna cacar marba, nampak sangat buat kerja
asing-asing,” tegas Dr. O.
Eisya tunduk merenung lantai. Dia
tahu ini semua salah dia. Dia yang mencadangkan kepada Danish agar mereka
membuat tugasan itu secara berasingan. Dia buat begitu sebab dia tidak mahu
duduk berdua dengan Danish.
Rasanya
jika mereka berdua buat tugasan itu bersama-sama pun, pastinya tiada apa-apa
yang berbeza pun. Danish tetap tidak akan bercakap sangat. Jadi, lebih baik
mereka buat kerja asing-asing.
“Terus
terang, saya kecewa dengan awak berdua. Saya mengharapkan sesuatu yang luar
biasa daripada awak berdua. Tapi ternyata awak berdua mensia-siakan peluang
yang saya beri.”
Dr.
O diam sejenak sebelum menyambung, “Saya nak awak berdua buat balik tugasan ni
dan hantar semula pada saya. Kali ni, saya nak awak berdua bekerjasama sebagai
satu pasukan. Duduk berbincang dan bekerja bersama-sama.”
Dia
yakin mereka berdua ada kelebihan masing-masing. Jika mereka bijak
mengimbangkan kelebihan yang mereka ada, dia pasti tugasan mereka akan menjadi
jauh lebih baik.
Eisya
melepaskan keluhan. Nampaknya dia sudah tiada pilihan lain lagi. Mahu tidak
mahu, dia tetap perlu menghabiskan masa dengan Danish sehingga tugasan mereka
siap. Sekurang-kurangnya seminggu!
“ISY,
apalah Dr. O ni! Kita dah buat cantik-cantik pun kena komen teruk jugak.
Bukannya teruk sangat pun,” rungut Eisya sejurus mereka keluar dari bilik Dr.
O. Punyalah penat dia bersengkang mata demi menyiapkan tugasan itu tapi
sudahnya kena buat semula!
Eisya memandang Danish yang hanya
diam dari tadi. Baru dia sedar yang dia cuma bercakap seorang diri. Berbeza
dengan dirinya, Danish menerima komen itu dengan tenang.
“So, bila kita nak start buat amendment ni?”
tanya Eisya.
“Sabtu
dan Ahad saya tak boleh,” balas Danish.
“Kenapa
pulak?” Eisya mempamerkan riak tak puas hati.
Kalau
nak diikutkan, Sabtu dan Ahad sajalah waktu yang mereka ada memandangkan hari
lain mereka perlu menghadiri kelas. Tambahan pula, jadual kelas mereka tidak
sama. Lagipun, mereka sudah kesuntukan masa. Mahu tak mahu, mereka harus
korbankan cuti hari minggu untuk menyiapkan tugasan tersebut.
Danish
tidak menjawab.
Melihatkan
itu, Eisya bertanya lagi. “Habis tu, bila nak buatnya?”
“Emm...”
Danish berfikir sejenak sebelum bersuara, “Bagi nombor telefon.”
“Ha?”
Spontan perkataan itu terkeluar daripada mulutnya.
Adakah
dia tersalah dengar? Danish meminta nombor telefonnya? Nak buat apa? Eisya
teragak-agak. Perlu ke?
“Kenapa?
Awak takut pakwe awak marah ya?” Danish cuba menebak.
“Saya
mana ada pakwelah!” marah Eisya.
Entah
mengapa soalan Danish itu seolah-olah menyindirnya. Mentang-mentanglah dia
hanya memakai baju-T dan seluar jean. Alat mekap pun tak mampu nak beli.
“Garang
macam mak tiri, memanglah tak ada siapa nak,” jawab Danish perlahan tapi masih
dapat didengari oleh Eisya.
Mata
Eisya membulat. “Apa awak cakap?”
Bukannya
dia tak dengar tapi dia sengaja nak tengok sama ada Danish berani atau tidak
mengulangi ayatnya tadi.
“Saya
cakap awak ni garang macam mak tiri,” ulang Danish dengan berani.
Sungguhpun
nada suara Danish masih lembut tetapi kata-kata itu tetap merentap tangkai
hatinya. Tak pernah lagi ada orang yang kata dia garang macam mak tiri.
Amboi,
sesedap hati dia aje kata orang garang macam mak tiri. Siapa kata mak tiri tu
semua garang? Entah-entah dia ni ada mak tiri yang garang tak?
“Berilah nombor telefon, mak tiri.”
Danish sudah mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket dan bersedia untuk
mencatat nombor telefon Eisya.
Nak tak nak, Eisya menyebut juga
nombor telefon bimbitnya lambat-lambat. Harap-harap Danish tak ‘jual’ nombor
telefonnya. Alah, kalau ‘jual’ pun, tak ada siapa yang nak beli kut.
Tidak lama kemudian, Danish membuat missed call di telefon bimbitnya. Eisya
melihat telefon bimbitnya. Nombor telefon Danish disimpan dalam contact.
“Kalau ada apa-apa nanti, saya
beritahu ya, mak tiri.” Danish turut menyimpan nombor telefon Eisya dalam
telefon bimbitnya dengan nama ‘mak tiri’.
“Ee, suka-suka hati aje panggil
orang mak tiri. Sejak bila pulak saya kahwin dengan ayah awak?” marah Eisya.
Panggilan itu dirasakan terlalu tua untuknya. Tak sesuai.
“Janganlah marah, mak tiri,” Danish
memujuk.
Tengok tu, panggil orang mak tiri
lagi! Eisya ingin memarahi Danish namun rasa marahnya hilang apabila melihat
senyuman Danish.
“Saya ada hal, saya pergi dulu ya. Apa-apa
nanti SMS. Bye, mak tiri!” ujar
Danish lantas terus berlalu sebelum Eisya sempat menahan.
Eisya melepaskan keluhan geram.
Entah apa-apalah si Danish ni. Tak pasal-pasal dia mendapat gelaran ‘mak tiri’
pula hari itu.
“MAK TIRI?” Fauziah tergelak selepas mendengar cerita Eisya.
“Gelaklah, gelak. Kau ni memang suka
gelakkan aku, kan?” Eisya geram melihat Fauziah yang tidak henti ketawa dari
tadi. Dia sangka Fauziah akan bersimpati dengannya sebaliknya dia pula yang
digelakkan.
“Kelakar juga si Danish tu ya,” ujar
Fauziah bersama sisa tawa yang masih ada.
“Apa yang kelakarnya?” tanya Eisya.
Entah apa yang melucukan temannya ini sampai ketawa tidak henti.
“Yalah, orang lain punyalah panggil
makwe dia orang dengan panggilan sayang, darling,
honey, b... tup, tup, dia panggil kau
mak tiri?” Fauziah tergelak lagi.
“Excuse
me, bila masa pulak aku jadi makwe dia?” Eisya membantah.
“Alah, anggap ajelah tu panggilan
manja dia untuk kau.” Fauziah semakin galak mengusik.
“Banyaklah kau punya panggilan
manja!” marah Eisya.
“Hah, tengok! Kan betul kata Danish,
kau memang garang macam mak tiri,” giat Fauziah.
“Amboi, kau ni kawan siapa
sebenarnya? Dahlah, lepas ni aku tak nak cerita apa-apa lagi kat kau.” Eisya
menarik muka.
“Eleh, merajuklah pula.”
Eisya masih berpura-pura merajuk.
“Tadi kau kata nak makan, kan? Jom!”
ajak Fauziah. Sengaja mengumpan Eisya.
“Aku baru teringat. Nasib baik kau
ingatkan aku. Aku SMS Syella kejap.” Eisya mencapai telefon bimbitnya mahu
menghubungi Syella untuk mengajaknya makan bersama. Tidak lama kemudian,
telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Dia membaca SMS itu.
“Syella keluar. Dengan Irwan kut.
Kita makan berdua ajelah.” Eisya memberitahu Fauziah tentang kandungan SMS yang
dikirim oleh Syella.
Walaupun
Syella tidak menyatakan dengan siapa dia keluar tetapi Eisya seolah-olah sudah
dapat mengagak. Mungkin mereka sudah berbaik-baik semula. Fikir Eisya.
Peristiwa
dia ternampak Syella makan bersama Irwan hari tu dan kejadian pagi tadi
dibiarkan berlalu. Biarlah Syella dengan kehidupannya. Dia sudah besar.
Pandai-pandailah dia menjaga diri. Dia malas nak masuk campur.
Cuma
dia agak terkilan apabila Syella tidak berterus terang dengannya. Dia bukannya
ingin menyibuk tentang kehidupan Syella. Cukuplah sekadar Syella memberitahu
dia keluar dengan siapa dan di mana. Bukan apa, kalau terjadi apa-apa kepada
temannya itu, mudahlah dia mahu mencari.
Tapi
nampak gayanya, Syella memilih untuk berahsia dengannya. Jadi, takkan pula dia
nak terhegeh-hegeh bertanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan