BUNYI alarm telefon
bimbitnya mengejutkannya daripada lena. Perlahan-lahan dia mencapai telefon
bimbit tersebut lantas mematikan alarm.
Seketika kemudian, dia kembali memejamkan mata. Rasa mengantuk masih menguasai
dirinya.
Namun beberapa saat kemudian, bunyi
SMS masuk pula mengganggu lenanya.
“Isy, siapa pula yang mesej
pagi-pagi ni!” Eisya merungut sendiri. Namun dalam keadaan separa sedar,
tangannya masih melihat mampu mencapai telefon bimbit yang tadinya diletakkan
di sisi katil.
Dengan mata yang berat untuk dibuka,
dia gagahkan juga untuk membaca mesej yang diterima. Nama Syella mengisi
pandangan matanya.
“Sya, hari ni aku lambat. Kau
pergilah dulu ya. Tak payah tunggu aku.”
Dalam keadaan mamai, Eisya membaca
mesej yang dikirimkan oleh Syella. Lambat apa? Kan awal lagi ni?
Telefon bimbit diletakkan ke tepi.
Dia kembali menyambung tidur. Namun tiba-tiba sahaja dia tersedar. Dia melihat
digit yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.
Alamak!
Dia pun sudah lambat sebenarnya. Apalagi, bergegas dia mencapai tuala dan
perkakas mandi lantas segera berlalu ke bilik mandi. Harap-harap tak ramailah
orang kat bilik mandi.
Cukup
dengan menggosok gigi dan mandi ala kadar, Eisya pantas bersiap. Mujur juga dia
bukan gadis yang mementingkan penampilan diri. Asalkan menutup aurat, itu pun
sudah cukup baginya. Hanya berbaju-T lengan panjang, jean dan tudung ringkas,
sekejap saja dia sudah bersiap.
Sebelum
mengunci pintu bilik, sempat dia mencampak baju kotor ke dalam bakul yang
diletakkan di tepi pintu. Kemudian, pantas dia menuruni tangga. Nasib baiklah
biliknya hanya terletak di tingkat dua. Kalau tak, memang jenuh juga dia nak
turun naik tangga setiap hari.
Sejurus
melepasi pagar asrama, dia terlihat kereta yang amat dikenalinya cantik
terparkir di situ. Apabila menyedari kehadirannya, si pemandu melambai lalu
keluar dari kereta.
“Wan,
apa kau buat kat asrama perempuan ni? Bukan kelas dah start ke sekarang?” tanya Eisya, kemudian dia melihat digit yang
tertera pada telefon bimbitnya. Ke dia yang salah tengok jam? Dia punyalah
berkejar kerana takut terlewat ke kelas, tapi si Irwan ni boleh pula
bersenang-lenang kat depan kolej ni.
“Syella
suruh tunggu dia,” jelas Irwan.
“Hah?
Syella suruh kau tunggu dia?” Eisya mula sangsi. Bukan tadi Syella bagi mesej
suruh dia pergi dulu ke? Tapi kenapa suruh Irwan tunggu pula?
“Alang-alang
ni, sekali ajelah. Naik kereta aku,” pelawa Irwan.
Eisya
teragak-agak nak terima pelawaan Irwan. Nanti apa pula kata Syella? Kacau
daunlah pula.
“Tak
apalah, aku jalan kaki aje.” Eisya menolak. Segan pula dia nak tumpang kereta
Irwan. Lagipun, bukannya jauh sangat pun kelas mereka. Lambat-lambat jalan pun
nanti sampai juga. Bukannya dia tak biasa berjalan kaki.
“Alah,
tak payah nak segan-segan. Jomlah,” ujar Irwan seolah-olah tahu apa yang bermain
dalam benaknya.
Belum
sempat Eisya memberikan jawapan, Syella muncul. Wajahnya jelas terkejut tatkala
melihat Eisya di situ. Namun, sedaya mungkin dia cuba memaniskan wajah.
“Eh,
kau orang pun tak pergi kelas lagi?” Syella pura-pura bertanya.
Wajah
Irwan sudah terkulat-kulat. Tidak mengerti akan tindakan Syella itu.
“La,
bukan ke kau yang suruh Irwan tunggu kau? Aku pun bangun lambat tadi. Tak
sempat nak balas mesej kau,” jelas Eisya tanpa sedikit pun perasaan syak
wasangka.
“Taklah...
mana ada!” nafi Syella.
Dahi
Eisya berkerut. Aik? Lain pula jawapannya. Seorang kata orang ni suruh tunggu,
seorang lagi pula kata sebaliknya. Mana satu yang betul ni?
SEJURUS kereta Irwan berhenti di dalam kotak parkir,
Syella tergesa-gesa keluar dan berlalu ke kelas tanpa menghiraukan Irwan dan
Eisya. Kelakuan Syella itu mengundang tanda tanya dalam kepala Eisya.
Eisya benar-benar tidak faham dengan
sikap temannya itu akhir-akhir ini. Syella seolah-olah sedang menyembunyikan
sesuatu daripada pengetahuannya. Adakah Syella marah kerana dia menumpang
kereta Irwan?
“Wan, Syella marah aku ke?” Sempat
Eisya bertanya tatkala dia dan Irwan beriringan ke kelas. Syella sudah jauh di
hadapan. Irwan juga tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengejar.
“Taklah,” balas Irwan.
“Habis tu, kenapa tiba-tiba aje dia
naik angin?” Eisya benar-benar rasa bersalah saat itu. Dia tak suka apabila
dirinya menjadi punca pergaduhan orang lain.
“Alah, biasalah. Nanti okeylah tu.”
Apa yang biasa? Isy, tak faham
sungguhlah! Keluh Eisya dalam hati.
SELEPAS
tamat kelas, Syella terus mengemaskan barang-barangnya dan beredar dari kelas
tanpa menunggu Irwan seperti biasa. Irwan yang mengejar di belakang langsung
tidak dihiraukannya.
“Syella!” panggil Irwan.
Namun, Syella tetap meneruskan langkahnya.
Malah, semakin laju. Melihatkan itu, Irwan menarik beg yang digalas oleh
Syella. Langkah Syella terhenti.
“Kenapa
awak tiba-tiba naik angin ni? Saya ada buat salah ke?” tanya Irwan. Sangkanya,
marah Syella sudah reda. Tapi ternyata Syella masih menyimpan kejadian tadi
dalam hati.
“Ya,
memang awak salah. Kenapa awak cakap kat Eisya yang saya suruh awak tunggu saya
tadi?” marah Syella namun masih dalam intonasi yang terkawal. Dia tidak mahu
kawan-kawan mereka yang masih berada di sekitar kelas mendengar pertengkaran
mereka. Sudahlah mereka digosipkan bercinta, nanti apa pula gosip yang tersebar
apabila pertengkaran mereka menjadi tontonan ramai.
“La,
salah ke?” Irwan pelik. Takkan pasal itu pun Syella nak marah sampai merajuk
dengannya satu hari? Lagipun, Eisya tu pun bukannya orang lain dengan mereka.
Jawapan
Irwan yang selamba itu membuatkan Syella bengang. Takkanlah itu pun tak boleh
fikir? Takkan itu pun dia nak kena cakap? Pandai-pandailah fikir sendiri!
“Isy,
susahlah cakap dengan awak ni!” ujar Syella geram. Dia kembali mengatur
langkah. Semakin lama dia bercakap dengan Irwan, semakin membara rasa sakit
hatinya. Susah nak bercakap dengan orang yang tak faham ni.
Irwan
turut menyaingi langkahnya. Masih tidak berpuas hati.
EISYA
terpinga-pinga melihat Syella berlalu begitu sahaja. Usah kata nak tegur,
pandang pun tak.
Sah!
Syella marahkannya. Aduh, Eisya! Apa yang kau dah buat ni? Tak pasal-pasal dia
orang bergaduh. Eisya memarahi dirinya sendiri.
Sepatutnya
dia menolak pelawaan Irwan untuk menumpang keretanya tadi. Tapi manalah dia
tahu yang Syella akan bad mood
begitu. Lagipun Irwan yang beria-ia mengajaknya. Dia sendiri pun serba salah
dibuatnya.
Kalau
dia tak tumpang kereta Irwan, mesti Irwan ingat dia tak sudi nak naik
keretanya. Yalah, kereta Irwan biasa-biasa sahaja. Hanya kereta Kancil.
Walaupun sebenarnya dia tak kisah langsung pasal tu.
Bila
dia dah tumpang, ini pula yang jadi. Sumpah, dia sendiri tidak menyangka yang
Syella akan ‘mengamuk’ sebegitu. Kalau dia tahu, nescaya dia takkan naik kereta
Irwan.
Tapi
kalau difikirkan semula, tak ada salah pun. Syella juga yang cakap dia dan
Irwan cuma berkawan. Jadi, kenapa pula Syella nak marah-marah? Lainlah kalau
Irwan tu pakwe dia atau Syella memang ada hati pada Irwan? Jadi, dia cemburu kalau
ada perempuan lain yang rapat dengan Irwan?
Hai,
entahlah! Pandai-pandailah kau orang. Eisya lekas-lekas mengemas bukunya.
Bersiap-siap untuk keluar dari kelas itu. Lebih baik dia balik ke bilik
daripada sibuk-sibuk memikirkan hal orang lain.
Namun,
langkah kakinya terhenti apabila namanya dipanggil oleh Dr. O.
“Farisha, jumpa saya kat ofis.”
Gulp! Eisya menelan air liur. Jumpa
Dr. O kat ofis? Apa hal pula Dr. O panggil aku pergi ofis? Eisya tertanya
sendiri. Biasanya, pelajar yang bermasalah saja yang ‘dijemput’ ke bilik
pensyarah. Adakah dia salah seorang daripadanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan