“AHMAD DANISH HAIKAL.”
Nama
itu meniti di bibirnya seraya pandangan matanya tertancap pada wajah di
hadapannya itu. Wajah itu diamati. Tidaklah hensem mana pun. Kulitnya juga
tidak berapa cerah tapi masih dalam kategori sedap mata memandang. Rambutnya
pula ditutupi dengan snow cap yang
dipakainya.
Dia
masih teragak-agak untuk menghampiri pelajar lelaki itu. Ketika dia mendapat
tahu bahawa tuan punya nama alias student
repeater itu akan menjadi pasangannya untuk subjek Multimedia Production sepanjang
semester itu, dia berkeras tidak mahu. Bermacam-macam alasan yang diberikan
agar Dr. Othman atau lebih mesra dipanggil Dr. O membenarkan dia memilih
pasangannya sendiri. Namun siapalah dia untuk membantah pensyarah yang amat
dikenali dengan sikap tegasnya itu.
Kata
Dr. O, dia dikira bertuah dapat bekerjasama dengan orang yang dia tidak kenal
atau rapat kerana dia dapat mengenali orang lain dan tidak terikat dengan
kawan-kawan yang sama saja setiap semester.
Menurut
Dr. O lagi, hal ini dapat melatih dirinya bekerja dengan orang yang tidak
dikenali kerana apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan nanti, mereka tidak
boleh memilih dengan siapa mereka mahu bekerja.
Sebenarnya,
dia tidak kisah sangat bekerja dengan sesiapa pun asalkan orang itu okey dan
boleh buat kerja. Namun apa yang dia dengari tentang manusia yang bernama Ahmad
Danish Haikal ini adalah sebaliknya.
Menurut
cerita yang dia dengar daripada Irwan, pelajar lelaki itu kerap tidak hadir ke
kelas. Atas sebab apa, tiada sesiapa pun yang tahu. Menurut Irwan lagi, dahulunya
Danish tidak begitu. Namun sejak semester lepas, sikapnya berubah menjadi
pendiam dan suka mengasingkan diri. Mungkin disebabkan kematian ayahnya.
Memandangkan
pelajar lelaki itu sering tidak hadir, ramai yang tidak mahu sekumpulan
dengannya. Ada atau tiada, sama saja. Akhirnya, dia terpaksa mengulang subjek
tersebut pada semester ini.
Jika
bukan kerana tugasan, dia juga tidak terfikir untuk mencari pelajar lelaki itu.
Tambahan pula, dia bukanlah orang yang suka mengambil tahu akan perihal orang.
Habis kelas saja, dia terus balik ke asrama. Mungkin disebabkan itu dia tidak
berapa mengenali senior-seniornya walaupun sudah lima semester dia belajar di
situ.
Mujur
salah seorang rakan sekelasnya, Irwan, mengenali Danish. Apabila Irwan
memberitahu bahawa Danish berada di kafeteria itu, dia membuat keputusan untuk
bersemuka dengan Danish. Yalah, jika dia tidak mengambil kesempatan itu, entah
bila pula dia dapat berjumpa dengan Danish sedangkan tarikh akhir untuk
menghantar projek mereka semakin hampir.
Dia
tidak tahu sama ada Danish mengetahui atau tidak yang mereka adalah pasangan
untuk tugasan itu kerana hingga ke hari itu, Danish tidak pernah mencarinya. Tapi
kalau difikir secara logik, macam mana Danish tu nak tahu yang mereka perlu bekerja
berpasangan jika dia selalu tak datang kelas? Jadi, nak tak nak, terpaksalah
dia menebalkan muka untuk menjejaki Danish.
Pandangan
mata Eisya masih tertancap pada Danish yang sedang menjamah makanan seorang
diri. Agak-agak dia marah tak kalau aku kacau dia makan ni? Fikirnya sendiri.
Namun dalam tertanya-tanya itu, kakinya melangkah juga menghampiri pelajar
lelaki itu.
Dia
tercegat di hadapan pelajar lelaki itu tetapi pelajar lelaki itu seolah-olah
tidak menyedari kehadirannya. Dia berasa seperti tunggul pula apabila pelajar
lelaki itu langsung tidak mengangkat muka. Nampak gayanya, terpaksalah dia
bersuara.
“Awak
ni Danish, kan?”
Mahu
tidak mahu, terpaksalah Eisya mengenepikan perasaan malunya dan memulakan
langkah dahulu. Jika tidak, sampai sudahlah tugasan mereka tidak siap. Jika
tugasan mereka tidak siap, dia juga yang susah. Tidak pasal-pasal, dia harus
mengulang subjek pada semester depan pula nanti. Ops! Mintak dijauhkan!
Pelajar
lelaki yang dikenali sebagai Danish itu mengangkat muka. Entah mengapa
tiba-tiba sahaja hatinya berdebar-debar sejurus pandangan mata milik wajah tenang
itu memanah tepat ke matanya.
Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Danish
menjawab, “Ya, saya.”
Umpama
tersedar daripada khayalan, Eisya pantas membuang jauh-jauh rasa yang tiba-tiba
mahu bercambah dalam hatinya. Apa kena dengan aku ni?
“Saya
Eisya. Err... Dr. O ada beritahu awak apa-apa tak pasal saya?” Eisya
memperkenalkan diri. Sedikit gagap. Mungkin gemuruh.
Gelengan
Danish membuatkan Eisya menarik nafas lalu dilepas kuat. Nampak gayanya,
terpaksalah dia menerangkan dari mula.
“Boleh
saya duduk sini?” Eisya meminta izin seraya menunjuk kerusi di hadapan Danish. Takkan
dia nak bercakap sambil berdiri saja. Masaklah! Nak tunggu Danish pelawa, macam
tak saja gayanya.
Danish
cuma mengangguk sebagai isyarat memberi izin.
Melihatkan
itu, Eisya menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Haish. Tak pernah-pernah
dia buat muka tak malu macam ni dengan mana-mana lelaki. Ini pun sebab
terpaksa!
“Awak
tahu tak yang projek akhir subjek Mutimedia Production tu kena buat secara
berpasangan?” tanya Eisya.
Danish
menggeleng.
Isy,
asyik angguk dan geleng aje. Dah tak boleh bercakap ke? Eisya mengomel dalam
hati.
Eisya
menerus, “Memandangkan semua budak kelas kita dah ada partner, jadi Dr. O suruh saya jadi partner awak untuk projek tu.”
Eisya
cuba membaca riak wajah Danish. Entah Danish suka atau tak berpasangan
dengannya. Ah, kalau Danish tak suka, dia berkali-kali ganda lagi tak suka!
“Ooo...”
Danish tetap beku seperti tadi. Langsung tiada senyuman pada wajahnya. Namun,
tidak pula bermasam muka. Biasa-biasa saja.
Oooo?
Itu saja?
Eisya
menunggu kata-kata balasan daripada Danish. Mungkin Danish ada sesuatu yang nak
dicakapkan namun setelah dua minit berlalu, Danish masih tidak bersuara dan
hanya memandangnya. Memang cuma ‘ooo’ saja.
“Kita
kena bincang pasal projek tu,” kata Eisya sebaik-baik saja dia teringat akan
tujuan dia menemui Danish di situ.
Kalau
nak harapkan Danish, entah sampai bila mereka akan duduk berdiam diri seperti
itu. Dari tadi Danish asyik memandangnya sampai dia naik segan.
“Okey,”
jawab Danish sepatah.
Seperti
tadi, hanya sepatah perkataan yang keluar daripada mulut Danish. Eisya mengeluh.
Dia sudah nampak tanda-tanda tak best
bila bekerjasama dengan Danish nanti.
Dr.
O, saya nak tukar partner!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan