KERUSI itu
ditarik kasar. Dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi itu. Wajahnya jelas
mempamerkan riak tidak puas hati. Tindakannya itu menimbulkan tanda tanya
kepada dua rakannya yang dari tadi memerhatikan dia dan Danish.
“Hai, marah nampak. Apa cerita?”
tanya Irwan.
Eisya tidak menjawab pertanyaan
Irwan, sebaliknya dia menyedut minuman yang ditinggalkan tadi sampai habis. Mudah-mudahan
minuman itu dapat menyejukkan hatinya yang sedang mendidih tatkala itu.
Irwan memandang Syella. Syella hanya
menjungkit bahu. Tanda tidak tahu.
“Sya,
boleh tahan jugak si Danish tu, kan?” ujar Syella, sengaja ingin mengusik. Manalah
tahu dapat menceriakan suasana.
Eisya menolak gelas yang sudah kosong
itu. Lega!
“Macam
tu kau kata boleh tahan?” sahut Eisya geram.
“Relakslah
wei.” Irwan cuba menenangkan Eisya. “Cuba kau cerita apa yang menyebabkan kau
marah sangat ni.”
“Aku
tak kisah sangat kalau muka dia tak lawa ke apa, tapi yang buat aku sakit hati,
macam bercakap dengan tunggul aje!” Eisya melepaskan amarah.
“Hah? Tunggul?” Syella kehairanan. Tidak
mengerti dengan kata-kata Eisya. Bukankah tadi dia lihat elok saja Danish
bercakap dengan Eisya?
“Kenapa?
Dia tak okey ke?” tanya Irwan. Setahunya, Danish tidaklah seteruk mana. Dia
kenal Danish.
“Okey apa, sepatah aku tanya,
sepatah dia jawab. Bosan aku,” adu Eisya.
Geram
benar hatinya apabila mengingati pertemuan dia dengan Danish tadi. Danish lebih
senang membiarkan dia mendominasi perbualan sedangkan pemuda itu lebih banyak
mendiamkan diri hingga membuatkan dia bosan.
Nama
pun kerja berpasangan, jadi dia mengharapkan Danish dapat memberikan idea atau
pendapat. Jika Danish hanya mengikut idea dan pendapatnya, lebih baik dia tidak
perlu ada pasangan. Buat sorang-sorang lagi baik!
“Alah, dia memang pendiam. Tapi lama-lama
nanti, okeylah tu. Bukan semua orang terus mesra waktu jumpa pertama kali. Kau
bagilah dia masa.” Irwan cuba menyedapkan hati Eisya.
“Entahlah...” keluh Eisya. Sudahlah
dia jenis manusia yang lambat mesra dengan orang, dapat pula partner yang pendiam macam Danish itu. Manalah
nak ada keserasian. Entah macam manalah mereka berdua hendak bekerjasama dengan
baik.
“Dahlah,
tak payahlah cerita pasal dia,” ujar Eisya setelah diam seketika. Buat apa
bercakap pasal perkara yang tak menyenangkan? Buat menambah dosa saja. “Kau orang
punya projek macam mana? Okey?”
“Mestilah okey, tengoklah partner aku siapa,” ujar Irwan seraya
menjeling ke arah Syella. Bangga benar bunyinya.
Syella
cuma tersenyum nipis. Bimbang Eisya tersinggung.
“Eleh, berlagak.” Eisya mencebik.
Kalau
tak disebabkan Dr. O yang tetapkan projek itu perlu dibuat secara berpasangan, mesti
dia tak terkapai-kapai macam ni memandangkan dia sudah mempunyai kumpulan tetap
iaitu Irwan dan Syella.
Namun kata Dr. O, tiga orang itu
terlalu ramai. Justeru, salah seorang daripada mereka perlu berkorban dan orang
itu adalah dia. Dan memandangkan semua rakan sekelasnya sudah ada pasangan
masing-masing, Dr. O membuat keputusan agar dia berpasangan dengan Danish
lantaran Danish juga tidak mempunyai pasangan.
Pada mulanya, dia juga tidak tahu
siapa Danish yang dimaksudkan oleh Dr. O itu kerana setahunya, tiada pelajar di
dalam kelas mereka yang bernama Danish. Apabila diberitahu yang Danish itu
merupakan senior mereka yang mengulang subjek tersebut, dia mula berasa tak
sedap hati. Yalah, siapalah yang nak bekerja dengan student repeater. Buatnya badi ‘repeater’
tu terkena pada diri sendiri, tak ke naya?
Eisya
memandang Irwan dan Syella. Tiba-tiba saja dia berasa cemburu melihat mereka
berdua. Mereka berdua sudah saling mengenali, jadi pastilah tiada masalah untuk
bekerjasama. Masing-masing sudah faham cara kerja masing-masing.
Tambahan
pula, dia sememangnya tahu yang Irwan menaruh hati pada Syella dan Syella juga
seolah-olah turut menyukai Irwan. Mereka berdua memang nampak macam pasangan
yang serasi. Tapi dia tak faham kenapa Syella selalu menafikan yang mereka
mempunyai hubungan istimewa dan menegaskan yang mereka berdua cuma berkawan baik.
Dia
bukannya budak kecik yang tak pandai nak bezakan antara layanan yang
biasa-biasa dengan layanan yang ada ‘sesuatu’. Bahkan mereka berdua selalu
dilihat bersama dan adakalanya berpakaian warna sedondon. Tak tahulah sama ada
kebetulan atau memang mereka sudah plan
nak pakai baju sama warna.
Tapi
setahu Eisya, Syella memang ramai peminat dek kerana wajahnya yang cantik.
Ditambah pula dengan sifat ramah dan manjanya.
Mungkin
Syella masih mahu membuat pilihan. Yalah, orang cantik, banyak sangat pilihan.
Bukan macam dia. Langsung tidak diberi pilihan. Namun dia sebenarnya berasa kagum
kerana mereka berdua masih boleh bekerjasama dengan baik, malah bergelak ketawa
seperti sekarang.
Ah,
cemburunya dia melihat mereka! Tidak seperti dia dengan Danish. Kaku dan sunyi.
Mungkin
dia tidak patut menyalahkan Danish seratus peratus kerana dia sendiri pun
bukanlah orang yang ramah. Tetapi sekurang-kurangnya dia sudah berusaha untuk
mewujudkan perbualan dengan Danish, namun Danish masih tetap begitu. Hanya
bercakap perkara-perkara yang penting.
Entah
macam manalah dia harus melalui hari-harinya bersama Danish nanti.
“ANGGAP ajelah
ini semua takdir. Mana tahu dia jodoh kau ke, kan? Daripada pasangan kerja
terus jadi pasangan hidup,” usik Fauziah atau lebih akrab dipanggil Gee
merangkap teman sebilik Eisya apabila Eisya menceritakan perihal Danish
kepadanya. Sejurus kemudian, sebiji bantal melayang dan mengenai muka Fauziah.
“Banyaklah jodoh kau! Tak nak aku
berjodoh dengan orang yang pendiam macam tu. Nanti sunyi sepi rumah tangga aku
tau,” bantah Eisya.
Fauziah tergelak.
“Pendiamlah
bagus, tak banyak cakap. Nanti tak adalah rimas. Asyik pot pet pot pet 24 jam.”
Fauziah masih giat mengusik.
“Tak naklah, aku nak orang yang
bertentangan dengan aku,” luah Eisya.
Dari
mula lagi dia sudah dapat merasakan yang dia dengan Danish pasti tidak akan
ngam. Dia tidak suka orang pendiam kerana dia tidak pandai berbual dengan orang
yang pendiam. Saat ini dia cuma berdoa tugasan yang dibuat bersama Danish dapat
disiapkan dengan secepat mungkin supaya dia tidak perlu lagi berjumpa dengan
Danish.
“Yalah, aku tahu taste kau macam mana,” ujar Fauziah
sambil memeluk bantal yang dibaling oleh Eisya tadi.
Eisya tersengih. “Tahu tak apa.”
“Tapi kalau betul-betul dia jodoh
kau, kau kenalah terima!” usik Fauziah lagi lantas terus berlari keluar dari
bilik itu sambil tergelak. Suka benar dia dapat menyakat Eisya.
Tindakan Fauziah yang tidak
disangka-sangka itu membuatkan Eisya tergamam. Sudahnya dia hanya menggeleng melihat
telatah teman sebiliknya itu.
Walaupun
berlainan jurusan tetapi mereka sangat serasi tinggal sebumbung. Disebabkan
itulah sudah lima semester mereka tinggal sebilik. Masing-masing sudah memahami
antara satu sama lain. Justeru, dia tidak pernah mengambil hati dengan
kata-kata Fauziah.
Malah,
hal-hal yang berlaku di kelas pun dia bercerita kepada Fauziah. Sampaikan
Fauziah sudah mengenali nama pelajar-pelajar kelasnya walaupun dia tak kenal
orangnya termasuklah hal Danish yang baru ditemuinya tadi.
Eisya menghidupkan komputer ribanya.
Dia mahu menyiapkan tugasan yang diberi oleh Dr. O secepat mungkin. Lagi cepat,
lagi bagus. Jadi, tak perlulah dia berjumpa dengan Danish lagi.
Kata Irwan, dia beruntung sebenarnya
dapat partner dengan Danish kerana
Danish sememangnya seorang yang hebat dalam multimedia. Hasil kerjanya selalu
sahaja gempak. Malah, hasil kerjanya sudah seperti orang yang mempunyai
pengalaman bertahun-tahun dalam bidang multimedia. Pasti Danish tidak sukar
mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar kelak.
“Kalau hebat sangat, kenapa boleh repeat pulak?” sindir Eisya. Kalau Si
Danish tu betul-betul hebat, pasti dia tidak perlu mengulang subjek tersebut. Kalau
sampai mengulang subjek, pastinya dia tidak sehebat mana.
“Dia repeat bukan sebab tak buat assignment tapi sebab dia selalu tak
datang kelas,” terang Irwan, cuba mengubah tanggapan Eisya terhadap Danish.
“Tak kisahlah sebab apa pun, yang
aku tahu, aku nak siapkan assignment ni cepat-cepat.”
Walau apa pun alasannya, kenyataan
tetap kenyataan. Danish tetap mengulang subjek. Yang penting sekarang, dia
harus memastikan yang dia tidak akan menjadi seperti Danish. Dia harus
menyiapkan assignment yang diberi mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Memandangkan Danish tidak banyak
kerenah, jadi dia telah mencadangkan agar mereka membuat bahagian
masing-masing. Seminggu dari sekarang, mereka akan bertemu untuk menggabungkan
hasil kerja kedua-duanya dan seterusnya menghantarnya kepada Dr. O. Jadi,
mereka tidak perlu bertemu selalu. Bijak kan dia?
Eisya tersenyum sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan