“HA,
cerita baik apa yang kau nak kongsi dengan aku tadi? Siap belanja makan lagi
ni,” tanya Fauziah tidak sabar sejurus mereka selesai memesan makanan.
Alang-alang
Eisya nak belanja makan, Fauziah memesan Chicken Chop yang jarang-jarang dia
dapat makan tu. Eisya pula memesan Spagetti Carbonara. Memang tekak barat
mereka malam ni. Maklum sajalah sebelum ini asyik makan nasi saja. Sesekali
pekena western apa salahnya.
“Saja, tiba-tiba aku rasa nak
belanja kau makan,” jawab Eisya sambil menguntum senyuman. Entah kenapa dia
rasa nak senyum saja hari ni.
“Takkan tiba-tiba? Ni mesti ada
sesuatu yang buat kau gembira ni, kan?” Fauziah masih cuba merisik.
“Mestilah. Hari ni kan aku pergi
hantar assignment yang aku kena buat dengan Danish tu,” cerita Eisya.
“Eh, dah siap ke assignment tu?”
“Mestilah dah. Tengok oranglah,”
ujar Eisya bangga.
“Okeylah tu, jangan kau pulak kena
badi ‘repeat’ dia!” usik Fauziah.
“Isy, mulut!” Eisya pantas menegur
Fauziah. Bab mengulang subjek ni jangan disebut-sebut. Dia dah plan elok-elok nak habis study tepat pada masanya. Tak nak
main-main. Tak pernah dalam sejarah keluarganya ada yang kena ulang subjek.
Mahu dia kena bambu dengan emak dan abahnya.
“So,
nampaknya lepas ni dah tak ada cerita pasal Danish lagilah ya.” Fauziah masih
belum mahu menamatkan cerita tentang manusia yang bernama Danish itu.
“Nope!”
balas Eisya dengan yakin.
“Alah, bosannya. Sekejap sangat.
Rasa tak puas pula,” keluh Fauziah.
“Baguslah sekejap. So, aku tak payah jumpa dia lagi.”
“Kau pasti ke yang kau takkan jumpa
dia lagi?” usik Fauziah. Sengaja menduga hati Eisya.
Eisya terdiam sejenak. Memikirkan
kata-kata Fauziah. Adakah dia pasti yang dia tidak akan berjumpa dengan Danish
lagi?
USAI
makan, mereka terus berlalu ke kaunter untuk membuat bayaran. Sememangnya
mereka berdua bukanlah jenis pelajar yang gemar melepak di kedai-kedai makan.
Hanya sekali-sekala saja apabila dah jemu dengan makanan yang dihidangkan di
dewan makan.
Ketika berpaling setelah selesai
membuat bayaran, Eisya terpandang dua wajah yang amat dikenalinya. Kedua-duanya
nampak mesra sekali. Macam pasangan bercinta pula.
Eisya menahan tangan Fauziah ketika
temannya itu ingin berlalu. Fauziah hampir terjatuh apabila tiba-tiba ditarik
begitu.
“Gee,
tu Syella kan?” tanya Eisya untuk mendapatkan kepastian. Manalah tahu kut-kut
matanya salah tengok. Matanya pun bukannya terang sangat. Takut dia salah orang
pula.
Fauziah memandang ke arah yang
dikatakan. Dia mengamati wajah yang dilihat.
“Yalah
tu, Syella. Kenapa?”
“Tak adalah, tadi aku ajak dia makan
sekali, dia kata tak dapat join. Nak
jumpa kawan katanya,” terang Eisya.
“Kawan dialah tu agaknya.” Fauziah
yang tidak mengenali lelaki yang bersama Syella itu memberi pandangan.
“Kalau kau nak tahu, lelaki yang
dengan dia tulah Irwan,” balas Eisya. Seperti perihal Danish, perihal Syella
dengan Irwan pun diceritakan kepada Fauziah. Jadi, Fauziah turut mengetahui
akan perhubungan Syella dan Irwan.
“Ha, ya ke? Boleh tahan.” Fauziah
kembali memandang Syella dan Irwan yang sedang berbual-bual mesra tanpa
menyedari kehadiran mereka. “Kau nak join
dia orang ke?”
“Tak payahlah, kita balik ajelah
jom.” Eisya menarik tangan Fauziah berlalu dari situ. Dia tidak mahu Syella
atau Irwan menyedari yang mereka berada di situ.
Dalam hati, Eisya mula bertanya
sendiri. Kenapa Syella tidak memberitahunya kawan yang dikatakan itu adalah
Irwan? Bukannya dia tak kenal Irwan. Kenapa Syella harus menyembunyikan perkara
itu?
Dia
mula berasa tidak sedap hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan