Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Januari 04, 2014

Bukan Dia Tapi Kamu - 1


LANGKAH kakinya diatur laju menuju ke perhentian bas berhampiran. Dia mahu segera keluar dari dewan itu. Kesesakan di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara kampus induk itu membuatkannya lemas dan sesak nafas.

Ketika dia mula dapat bernafas semula, suatu susuk tubuh melanggarnya dari arah bertentangan. Dia terjerit kecil, “Au!”

            Ops! Sorry!” ujar gadis yang melanggarnya itu tanpa memandangnya. Gadis itu kelihatan tergesa-gesa ke arah dewan yang baru saja dia tinggalkan tadi.  

            Nazili sempat melihat wajah gadis itu. Wajah gadis itu seakan-akan dikenalinya. Berkerut dahinya cuba mengingati. Serta-merta suatu nama meniti di bibirnya. “Laily?”

            “Ya,” sahut gadis itu lantas berpaling. Dia nampak terkejut. Mungkin tidak menyangka yang Nazili mengetahui namanya.

            “Betul ke ni Laily?” tanya Nazili untuk mendapatkan kepastian. Dia sendiri berasa terkejut dan dalam masa yang sama teruja kerana tidak menyangka sangkaannya itu betul. Tidak sangka dia dapat berjumpa dengan sahabat lamanya itu lagi setelah hampir 10 tahun mereka terputus hubungan.

            Oh, my God! Nazili?” Gadis yang dipanggil Laily itu turut berasa teruja apabila dapat mengecam gadis di hadapannya itu. “Lamanya tak jumpa. Awak apa khabar?”

Mereka saling berpelukan.

            “Alhamdulillah, macam yang awak nampak sekarang,” balas Nazili. Tangan mereka masih berpegangan.

“Wah, macam tak percaya aje yang kat depan saya ni Laily yang saya kenal dulu. Awak dah banyak berubah. Lebih feminin!” usik Nazili memandangkan Laily yang berada di hadapannya sekarang ini tidak seperti Laily yang dia kenali 10 tahun dahulu.

            Laily cuma tersenyum. Dia tahu perkara yang dimaksudkan oleh Nazili itu kerana 10 tahun lalu dia merupakan seorang budak perempuan yang agak boyish dan kasar.

“Tak sangka betul dapat jumpa awak kat sini.” Nazili masih berasa teruja dengan pertemuan mereka.

            “Ha, alang-alang kita dah jumpa ni, apa kata kita pergi minum lepas ni? Boleh kita sembang panjang,” cadang Laily. Sudah lama mereka terputus hubungan, pasti banyak perkara yang hendak dibualkan.

            “Boleh juga. Kita pun dah lama tak jumpa, kan?” Nazili bersetuju.

            “Tapi awak boleh tunggu saya sekejap tak? Saya belum mendaftar.” Laily menunjukkan fail di tangannya.

            “Boleh. Awak pergilah daftar dulu. Saya tunggu kat sini.”

            “Awak tunggu sekejap tau,” pesan Laily sebelum dia menapak ke dalam dewan, tempat pelajar-pelajar baru untuk pengajian ijazah mendaftar.

Nazili tersenyum senang. Dia masih tidak percaya yang dia dapat berjumpa dengan Laily di situ. Sekurang-kurangnya dengan adanya Laily, tidak adalah dia berasa keseorangan di tempat asing itu.

 


SEPERTI yang dipersetujui, Nazili dan Laily minum bersama selepas selesai urusan pendaftaran Laily selesai. Lantaran Nazili masih baru di situ dan belum tahu akan tempat makan yang sedap di Shah Alam, dia mengikut sahaja ke mana Laily membawanya.

            Dari Dewan Sri Budiman, UiTM tadi, mereka berjalan kaki menuruni bukit menuju ke arah pintu pagar yang berhampiran dengan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Menurut Laily, itu jalan pintas untuk ke Seksyen 2.

            Dalam 15 minit berjalan, akhirnya mereka tiba di gerai yang dikatakan oleh Laily. Gerai yang terletak di Seksyen 2 itu menempatkan pelbagai buah gerai yang menghidangkan pelbagai jenis masakan. Menurut Laily lagi, gerai itu merupakan tempat makan yang sering dikunjungi oleh pelajar-pelajar UiTM.          

Selepas memesan minuman, mereka menyambung perbualan yang tergendala tadi.

            “Zi, dulu awak belajar kat mana?” Laily memulakan pertanyaan. Rasanya, selama tiga tahun menuntut di Shah Alam, dia tidak pernah berjumpa dengan Nazili hinggalah pada hari ini.

            “Dulu saya ambil diploma kat UiTM Perak,” terang Nazili.

            Course apa?

            Art and Design. Awak?”

            “Saya ambil Mass Comm. Masa diploma kat Puncak Perdana, 30 minit dari sini,” cerita Laily. Sememangnya dia sudah arif akan tempat-tempat di Shah Alam.

            “Oh, kiranya awak dah tahulah jalan-jalan kat sini ya?” Nazili bertanya. Kalau ada apa-apa nanti, bolehlah dia rujuk kepada Laily. Temannya itu pasti tidak keberatan membantu. Dia yang pertama kali menjejakkan kaki di bandar raya Shah Alam masih belum biasa dengan selok-belok di situ.

            “Alah, Shah Alam ni pun bukannya besar sangat pun. Setakat PKNS, Plaza Alam Sentral dan SACC tu, biasalah. Awak duduk kat kolej ke kat luar?”

            “Saya dah mintak kolej,” terang Nazili. Dia bersyukur kerana dapat tinggal di asrama. Mujur pihak kolej mengutamakan pelajar yang belajar di universiti cawangan untuk tinggal di asrama. Kalau tak dapat asrama, entah di mana dia mahu tinggal.

            “Baguslah tu. Saya duduk rumah sewa kat Seksyen 7. Tak jauh pun dari sini. Bas pun senang dapat,” ujar Laily.

            “Rumah sewa? Tak mahal ke?” tanya Nazili sebelum menjamah minumannya yang baru tiba.

            “Itulah, dulu kita orang plan nak tinggal berempat. Tapi kawan kita orang yang seorang tu mintak asrama. Dapat. Dia pindahlah. So sekarang kita orang tinggal bertiga ajelah. Ingat nak cari lagi seorang housemate. Kurang sikit beban nak bayar sewa. Awak tak berminat ke?” tanya Laily penuh berharap.

            “Semester ni taklah kut. Lagipun saya tengah nak jimat duit ni,” kata Nazili berterus terang. Dia tidak mahu Laily berharap. Sememangnya dia lebih suka tinggal di asrama. Tinggal di asrama lebih jimat. Bayaran asrama hanya perlu dibayar sekali sahaja untuk satu semester berbanding bulanan jika tinggal di rumah sewa. Katil, almari dan meja pun sudah disediakan. Air dan elektrik pula percuma.

Kalau tinggal di rumah sewa, tiap-tiap bulan kena bayar sewa, bil air dan elektrik. Kena beli tilam, bantal dan macam-macam keperluan yang lain lagi. Itu belum lagi termasuk tambang bas untuk ulang-alik ke fakulti. Kawalan keselamatan pula belum tentu terjamin seperti di asrama.

            “Okeylah, tapi nanti kalau awak tukar fikiran, awak beritahu saya tau.”

Laily amat berharap Nazili dapat berpindah ke rumah sewanya. Selain dapat mengurangkan kos sewa mereka, tidak adalah susah-susah dia nak cari orang lain. Lagipun Nazili adalah sahabat lamanya. Senanglah sikit.

            “Zi, awak masih tinggal kat Kuantan ke?” tanya Laily. Sudah agak lama juga dia tidak menjejakkan kaki ke bandar palma itu.

Dahulu, dia dan Nazili bersekolah rendah di sekolah yang sama. Mereka berkawan baik dan sering berdua walau ke mana sahaja sehingga orang mengganggap mereka kembar tak seiras memandangkan Nazili agak lemah lembut orangnya manakala Laily agak kasar persis lelaki.

Tambahan pula, rumah mereka berdekatan. Jadi, mereka kerap menghabiskan masa bersama. Namun, sejak keluarga Laily berpindah ke Johor Bahru ketika mereka dalam darjah lima, mereka terputus hubungan. Maklum sahaja, waktu itu masing-masing tidak mempunyai telefon bimbit apatah lagi akaun Facebook. Tidak sangka mereka bertemu kembali di Shah Alam ini.

            “Yalah. Kat mana lagi saya nak duduk? Sejak saya lahir sampailah dah besar panjang ni, kat situlah syurga saya. Lainlah awak. Anak polis. Semua tempat awak pernah rasa,” ujar Nazili. Entah mengapa dahulu dia teringin merasa suasana berpindah rumah. Namun, apabila dia berpeluang melanjutkan pelajaran di UiTM kampus Perak dan kini UiTM kampus Shah Alam, dia mula merasakan yang berpindah itu memenatkan.

            “Tak juga. Sabah dan Sarawak saya belum pergi lagi,” celah Laily.

            “Sekurang-kurangnya awak lebih bertuah daripada saya. Kalau saya tak sambung belajar, sampai bila-bila pun saya tak keluar dari Kuantan tau.”

            “Nampaknya impian awak nak keluar dari bandar Kuantan tu dah tercapailah.”

            “Macam tulah nampaknya. Tapi masa mula-mula, memanglah saya rasa seronok dapat tengok tempat orang tapi bila dah jauh dari rumah, saya rasa rindu pulak kat rumah. Baru saya sedar, walau ke mana pun kita pergi, tempat asal kita juga yang akan kita kenang. Tak ada tempat yang seindah kampung sendiri.”

            “Tahu tak apa.”

            Mereka berdua semakin rancak bersembang perihal kenakalan mereka ketika zaman kanak-kanak dulu dan kehidupan mereka pada sekolah menengah apabila tiba-tiba  telefon bimbit Laily menyanyikan lagu ‘Mahakarya Cinta’ daripada Faizal Tahir menandakan ada panggilan yang masuk.

            “Sekejap ya, Zi.” Laily tersenyum melihat nama si pemanggil lalu segera menjawab panggilan itu. “Helo… Ha, kat gerai Seksyen 2. Dengan kawan. Datanglah. Okey.”

            Nazili tersengih melihat gelagat Laily ketika menjawab panggilan telefon itu. Manja semacam sahaja. Mesti teman lelaki yang telefon ni.

            Boyfriend ya?” serkap Nazili.

            Laily tersipu-sipu. “Sekejap lagi dia nak datang sini.”

            “Kalau macam tu, saya pergi dululah.” Nazili meminta diri. Dia tidak mahu mengganggu Laily dan teman lelakinya.

            “La, janganlah balik dulu. Tunggulah sekejap. Nanti boleh saya kenalkan awak dengan dia.” Laily menahan Nazili, namun Nazili menolak dengan baik.

            “Lain kali ajelah. Lagipun, barang saya ada kat surau. Takut hilang pulak nanti. Nanti saya telefon awak. Berapa nombor telefon awak?” ujar Nazili beralasan. Sebenarnya dia segan untuk berjumpa dengan teman lelaki Laily.

            Selepas menyimpan nombor telefon Laily dalam telefon bimbitnya, Nazili bangkit untuk pulang ke asrama. Tanpa disedari, dia berselisih dengan teman lelaki Laily namun Nazili tidak perasan akan wajahnya kerana dia tunduk membaca SMS yang baru diterimanya.

 


KELIBAT gadis yang baru berselisih dengannya itu dilihat sekilas. Gayanya persis seseorang. Ah, mungkin perasaannya sahaja! Dia membuang perasaan itu dan menapak menghampiri teman wanitanya yang sudah menunggu.

            Sebuah senyuman dihadiahkan sebelum dia melabuhkan punggung di hadapan teman wanitanya itu. Seperti menyedari sesuatu, dia memandang sekitar gerai itu.   

“Tadi kata minum dengan kawan, mana kawannya?” soalnya apabila Laily hanya bersendirian di meja itu.

            You lambat. Dia baru aje pergi,” jawab Laily.

            You tak cakap I nak datang?” usik Hazami.

            “Sebab I cakap you nak datanglah, dia tak nak tunggu. Dia tu pemalu sikit orangnya,” terang Laily. Walaupun Nazili tidak memberitahunya tetapi dia dapat mengagak yang sikap lama Nazili itu masih ada. Nazili memang agak pemalu dengan lelaki.

            “Dah tak ada jodoh, nak buat macam mana?” Hazami berpura-pura kecewa. Sengaja ingin mengumpan rasa cemburu Laily.

            “Apa dia?” Laily berpura-pura tidak jelas. Sengaja ingin melihat reaksi teman lelakinya itu.

            “Itu tandanya I tak ada jodoh dengan kawan you sebab jodoh I dengan you.” Hazami cuba bermanis mulut.

            Laily tersenyum manja. Dia tahu teman lelakinya itu cuma bergurau dan tidak akan mudah berubah hati. Jika tidak, tidak adalah hubungan mereka kekal sampai sekarang. Ketika menuntut di diploma lagi mereka sudah bercinta. Satu batch sudah mengetahui akan hubungan mereka berdua.

            “Sayang, kawan you tu cantik tak?” seloroh Hazami.

            Laily merenung teman lelakinya tajam. “Gatallah tu!”

Hazami tertawa kecil. Dia tahu Laily cemburu kerana sayang. Dia cuba berlagak biasa. Namun, entah mengapa bayangan gadis tadi membuatkan hatinya tidak tenteram. Benarkah itu dia? Hatinya menyoal sendiri.

Tiada ulasan: