“MAMA!”
Suara itu menangkap pendengarannya sejurus
dia melangkah keluar dari komuter di stesen Subang Jaya. Dia berpaling ke arah
suara itu. Seorang kanak-kanak perempuan tersenyum girang tatkala melihatnya. Ajaibnya,
segala penat lelahnya mencari rezeki sepanjang hari seolah-olah hilang.
Automatik badannya yang kepenatan menjadi segar.
Namun, dia hanya mampu melihat
kanak-kanak perempuan itu memeluk seorang wanita lain yang muncul dari arah belakangnya.
Wanita itu kemudiannya mengucup dahi kanak-kanak perempuan itu. Sewaktu dia
berselisih dengan dua beranak itu, kanak-kanak perempuan itu petah menceritakan
sesuatu yang berlaku di sekolahnya pada hari itu.
Tiba-tiba
hatinya dijerut rasa cemburu. Betapa dia cemburu menyaksikan adegan itu.
Bilakah dia juga dapat merasai perasaan bergelar seorang ibu? Dapat memeluk dan
mengucup seseorang yang lahir daripada rahimnya sendiri. Mendengar setiap
celoteh yang dilontarkan oleh si anak.
“Kenapa muram aje ni? Masalah kat
tempat kerja lagi?” soal si suami apabila dia melabuhkan punggung di dalam
kereta. Setiap hari suaminya itu akan menghantar dan menjemputnya dari stesen
komuter yang tidak jauh dari rumah mereka.
Dia cuma menggeleng. “Taklah, penat
aje.”
“Tulah, kan abang dah cakap jangan
kerja kuat sangat,” nasihat si suami sambil memandu kereta keluar dari kawasan
komuter itu.
Dia sempat mengeling ke luar
tingkap. Seolah-olah tahu akan kehadiran wanita dan kanak-kanak perempuan tadi.
Dia terlihat wanita dan kanak-kanak perempuan tadi masih bercerita sambil
ketawa bahagia. Hatinya sebak.
MALAM
itu sebelum tidur, dia membelek-belek majalah Mingguan Wanita yang dibelinya
petang tadi. Matanya melekat pada suatu artikel yang mengisahkan pengalaman
seorang wanita yang dimadukan oleh suaminya dengan alasan masih belum mempunyai
anak.
Cerita artikel itu membuatkan ingatannya
terlontar jauh mengingati perbualannya bersama rakan-rakan sekerjanya siang
tadi.
“Apa
benda yang kecoh-kecoh ni? Ada apa-apa berita baik ke?” Dia bertanya tatkala
melihat sekumpulan rakan sekerjanya sedang berkumpul di meja Kak Yati.
“Memang
berita baik pun,” ujar salah seorang daripada mereka sambil memandang Kak Yati dengan
penuh makna. “Kak Yati mengandung lagi.”
Dia turut teruja mendengar berita
itu. “Wah! Betul ke, kak?”
Kak
Yati cuma tersenyum, tanda mengiakan berita itu. Wajahnya jelas tampak bahagia.
“Tahniah!”
ucapnya sambil memeluk Kak Yati yang sudah dianggap seperti kakak itu.
“Terima kasih. Ain bila lagi? Akak
dah nak dapat anak kedua dah ni tapi Ain masih macam ni lagi.”
Dia tersenyum pahit. Cuba menyembunyikan
perasaan sayunya tatkala soalan itu diajukan kepadanya.
“Ain merancang ke?”
“Tak adalah, kak. Belum ada rezeki
lagi,” jawab Ain. Jawapan yang sering diberikan kepada sesiapa yang bertanya. Kalaulah
dia ada kuasa, sudah lama dia mempunyai anak. Tapi mengapa mereka seperti tidak
memahami? Bukankah itu semua ketentuan Ilahi?
“Jangan lama-lama, Ain. Nanti umur
dah 30-an, dah susah nak dapat anak tau,” nasihat Kak Rozziana pula yang baru seminggu
kembali bekerja selepas habis berpantang anak kedua.
Sedaya mungkin dia cuba menahan
rasa. Kalaulah dia tahu topik anak yang sedang mereka bualkan, sudah pasti dia
tidak akan menyertai perbualan ini. Namun hatinya lebih terluka apabila ada
antara rakan-rakan sekerjanya membuat andaian yang bukan-bukan terhadap
dirinya.
“Dah nak setahun kau kahwin, Ain.
Patutnya kau dah mengandung tau. Kawan aku yang baru kahwin sebulan lepas pun
dah mengandung tau,” celah salah seorang rakan sekerjanya yang turut berada di
situ.
“Yalah, Ain. Lambatlah kau ni. Ke
kau ada masalah? Dah buat pemeriksaan doktor?” tanya rakannya yang lain pula.
“Lebih baik kau cepat, Ain. Jangan
nanti suami kau cari lain dengan alasan nak anak. Masa tu nanti, baru kau
menyesal,” tambah mereka lagi.
Ya, Allah! Lemah sungguh rasa
lututnya. Bila-bila masa sahaja air matanya boleh gugur. Mengapa sampai begitu
sekali tanggapan mereka? Tidakkah mereka tahu yang kata-kata mereka amat melukakan
hatinya?
Sabar, Ain. Biarkanlah mereka.
Maafkan mereka. Mereka tidak tahu masalah kau. Lagipun, mereka yang bercakap
itu pun belum berkahwin dan merasai apa yang kau lalui sekarang. Dia cuba
memujuk hatinya sendiri. Namun gagal. Air matanya sudah bergenang di kelopak
mata.
Lantaran itu, dia meminta diri untuk
pergi ke tandas. Namun sebelum sempat kakinya menapak ke tandas, air matanya
sudah gugur...
“SAYANG,
kenapa menangis ni?” Teguran suaminya menyedarkannya daripada lamunan.
Apabila
menyedari kehadiran si suami, cepat-cepat dia menyapu air mata yang mengalir di
pipi. Dia tidak mahu suaminya tahu perkara yang sedang difikirkannya. Biarlah
dia seorang yang menghadapinya.
“Tak...
tak ada apa-apa,” bohongnya.
“Abang
tahu, Ain takkan menangis kalau tak ada apa-apa yang melukakan hati Ain, kan?
Ceritalah kat abang,” pujuk si suami lembut.
Serta-merta
air matanya makin deras. Dia mula teresak-esak. Si suami yang melihat tergamam.
Lantas terus mengambil tempat di sebelahnya. Bahunya dipeluk dan digosok-gosok
perlahan.
“Kenapa
ni, hmmm?”
Dia
melepaskan tangisan semahu-mahunya. Entah mengapa dia berasa terlalu sedih apabila
memikirkan perkara itu. Mungkin jika orang sekeliling tidak sibuk-sibuk tentang
hal itu, hatinya tidak akan terluka seteruk ini. Jiwanya tidak akan tertekan
sebegini hebat.
Apabila
tangisannya sudah reda, dia menguatkan hati untuk bertanya kepada suaminya, “Abang,
bila kita nak ada anak?”
Si
suami terdiam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu. Dia juga tahu
isterinya sedang tertekan. Sebagai suami, dia perlu memberi sokongan agar
isterinya tidak berfikir yang bukan-bukan. “InsyaAllah, bila Allah beri rezeki
nanti, adalah ya.”
“Apa
kata kita cuba cara bayi tabung uji tu? Tak pun, kita ambil anak angkat aje.” Bibirnya
laju mencadangkan pelbagai cara untuk mereka mendapatkan anak. Mungkin betul
mereka mempunyai masalah tanpa mereka sedari. “Atau...”
“Syyy...”
Dia
terdiam apabila jari suaminya melekap pada bibirnya. Seketika kemudian, tubuhnya
dipeluk erat oleh si suami. Dia memejamkan mata. Mencari ketenangan dalam
dakapan si suami.
“Abang
faham perasaan sayang. Tapi sayang kena kuat ya. Mungkin belum masanya untuk
kita jadi ibu dan ayah.” Si suami memujuk.
“Tapi
Ain takut... Ain takut kalau abang tinggalkan Ain sebab Ain tak mampu nak beri
anak kepada abang.”
Pelukan
segera dileraikan.
“Sayang...
kenapa cakap macam tu?”
Dia
tunduk. Tidak berani menentang renungan tajam si suami. Adakalanya dia jadi
takut juga apabila memikirkan kemungkinan itu.
Dagunya
disentuh. Kemudian, diangkat menatap pandangan si suami. Dengan perasaan serba
salah, dia memandang wajah si suami.
“Bukan
ke abang pernah berjanji dengan Ain yang abang akan menyayangi Ain sampai ke
akhir hayat abang? Ain lupa?”
“Ain
tak lupa tapi...”
Sebelum
sempat dia meneruskan ayat, si suami pantas mencelah, “Ain tak percayakan
abang? Ain dengar ni, abang janji abang takkan tinggalkan Ain walau apa pun
yang berlaku. Okey?” Janji si suami sambil mengusap rambutnya perlahan.
“Abang
janji?”
“Abang
janji... Dah, tidur. Esok nak kerja, kan?”
Dia
mengangguk.
Si
suami menepuk-nepuk bantal dan mengarahkannya berbaring. Dia akur lalu
merebahkan tubuh. Seketika kemudian, dahinya terasa dikucup. Dia berasa
damai...
“WELCOME
to Bandung, sayang!” ucap si suami lalu mengucup ubun-ubunnya sejurus mereka
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara.
“Abang, susah-susah aje. Tak
perlulah sampai ke Bandung kalau nak bercuti pun. Kat Langkawi aje kan dah
okey?” Dia tersipu-sipu apabila ada mata-mata yang memandang mereka berdua.
“Alah, sekali-sekala. Lagipun, hari
tu kan kita dah pernah pergi Langkawi. Jadi, untuk second honeymoon ni, biarlah jauh sikit. Abang nak Ain relaks,”
balas si suami sambil tangannya masih memeluk bahunya. Seolah-olah tidak mahu
dilepaskan.
Matanya membulat. Terkejut. “Second honeymoon?”
“Yalah, habis Ain ingat buat apa
abang susah-susah rancang percutian ni?” Si suami mengenyitkan mata nakal.
“Ada-ada ajelah abang ni. Dulu kita
pergi honeymoon pun, tak dapat anak
juga.” Wajahnya berubah muram. Dia tidak mahu menaruh sebarang harapan. Kelak
hatinya juga yang kecewa.
“Abang cili mulut tu nanti. Yang penting,
kita usaha, kan? Selebihnya, biar Allah aje yang tentukan. Dah, jom kita cari
Pak Joshie. Boleh kita berehat kat hotel. Mana tahu, untung-untung kita dapat baby made in Bandung,” si suami masih
tidak berhenti mengusik.
Hatinya sedikit terubat apabila melihat
wajah ceria si suami. Ya, betul kata suaminya. Yang penting, mereka berusaha. Seharusnya
dia bersyukur kerana suaminya tetap setia di sampingnya menempuh dugaan ini
bersana-sama. Mudah-mudahan ada rezeki mereka kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan