“Isy,
siapa pulalah yang telefon ni? Orang nak tidur pun tak senang.” Dalam keadaan
mamai, Afia merungut.
Rasanya
dia baru sahaja hendak melelapkan mata selepas semalaman melayan
‘pakwe-pakwe’nya dalam Internet. Itu pun mujur talian Internet diputuskan oleh
pihak kolej selepas pukul 7.00 pagi. Kalau tidak, memang tidak tidurlah dia
jawabnya.
Dia
mengiring membelakangi telefon bimbit yang diletak di tepi bantal setiap kali
ketika tidur. Dia sengaja mengabaikan bunyi itu. Berpura-pura tidak mendengar.
Namun, telefon bimbit itu terus bernyanyi.
Mahu
tidak mahu, terpaksa juga dia menjawab. Tanpa melihat nama si pemanggil, dia
terus mencapai telefon bimbit itu lalu terus menjawabnya dalam keadaan mamai.
“Afia!” suara itu terus menyergah sebaik-baik sahaja
talian bersambung.
Afia menjarakkan sedikit telefon bimbit itu daripada
telinganya. Dia melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbit
itu.
Yusri!
Segera dia teringat akan ajakan Yusri semalam. Serta-merta matanya menjadi
segar. Dia bangkit duduk di atas katil.
Alamak!
Apa aku nak cakap ni? Desis hatinya.
Afia
berasa serba salah terhadap Yusri. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelakkan diri
daripada keluar berdua-duaan dengan Yusri. Entah mengapa hatinya menjadi tidak
tenteram apabila bersama Yusri. Mungkin kerana dia tidak mahu usikan Ezlyn dan
Noni menjadi realiti. Yusri bukan lelaki pilihannya.
“Afia!”
Suara itu memanggil lagi.
Dengan
rasa malas, Afia terpaksa juga menjawab, “Ha?”
“Kau
baru bangun ke? Dah pukul berapa ni? Ee, anak dara apalah kau ni. Patutlah kau
tak ada pakwe sampai sekarang,” bebel Yusri.
Berdesing
telinga Afia apabila mendengar kata-kata Yusri itu. Amboi, sedapnya mengata
aku! Apa kena-mengena bangun lambat dengan tak ada pakwe? Ingat aku tak boleh
hidup tanpa lelaki ke?
Pantang
benar dia apabila orang mengaitkan tabiatnya yang suka bangun lambat itu
sebagai penyebab dia tidak mempunyai teman lelaki. Baginya, waktu bujang
beginilah dia hendak merasa hidup tunggang terbalik begitu. Sesuka hati hendak
bangun pukul berapa, sesuka hati hendak tidur pukul berapa, sesuka hati hendak
berbuat apa-apa tanpa perlu memikirkan apa yang orang lain hendak kata.
Nanti
apabila sudah berkahwin, pasti semuanya akan menjadi terkongkong. Banyak
perkara yang perlu dijaga. Justeru, sebelum tiba waktu itu, dia mahu menikmati
kehidupan bujang dan solonya puas-puas. Namun tiba-tiba sahaja Yusri menegur
sikapnya yang suka bangun lambat itu.
Kalau
dia bangun lambat pun, apa Yusri peduli? Yusri bukannya sesiapa dengannya.
Inilah salah satu sebab mengapa dia tidak berapa menyukai Yusri. Suka
mengkritik orang tanpa berlapik. Macamlah dia sempurna sangat!
“Afia,
kau dengar tak ni?” panggil Yusri.
“Apa?”
suara Afia sedikit meninggi.
Sikap
Yusri dirasakan menjengkelkan. Baginya, Yusri tidak berhak mempersoalkan
kehidupannya. Dia bukannya melakukan perkara yang tidak baik.
“Jom
keluar,” ajak Yusri.
“Malas!”
jawab Afia pendek.
Selepas
apa yang Yusri katakan tadi, jangan haraplah dia hendak keluar dengannya. Yusri
langsung tidak tahu menjaga perasaan orang lain.
“Aku
tak kira! Kau kena temankan aku juga,” desak Yusri.
Belum
sempat Afia membalas, dia terdengar bunyi pintu rumahnya dihempas kuat.
Siapa
pula tu? Tanyanya sendiri.
“Sorry, Yus. Aku kena pergi.”
Afia
terus mematikan talian sebelum sempat Yusri berkata apa-apa. Memang dia sengaja
berbuat begitu. Malas hendak mendengar Yusri berleter. Macam perempuan.
Perempuan pun boleh kalah dengannya.
AFIA
mengintai ke ruang tamu. Ezlyn muncul sambil mulutnya riuh membebel sendirian.
Afia tidak dapat menangkap butir yang dituturkan oleh Ezlyn. Namun yang
pastinya, Ezlyn sedang marah.
“Hai,
awal balik?” tegur Afia memandangkan selalunya Ezlyn akan tiba di kolej pada
Ahad malam tetapi sekarang baru petang Sabtu Ezlyn sudah terpacak di kolej.
Mimpi apalah agaknya?
Afia
membuntuti Ezlyn ke biliknya.
“Kau tahu tak, aku tengah sakit hati ni,” adu Ezlyn
seraya melabuhkan punggung di atas katil Noni. Melepaskan penat.
“Kenapa?” tanya Afia walaupun dia seakan-akan sudah dapat
mengagak apa yang sedang berlaku. Seperti siaran di Astro yang sering
berulang-ulang.
“Apa lagi, bergaduhlah.”
“Gaduh sebab apa?” Afia sekadar berbasa-basi padahal dia
sudah malas hendak mengambil tahu tentang hubungan Ezlyn dengan teman
lelakinya. Atas sebab apa lagi mereka hendak bergaduh? Pastilah kerana cemburu!
Tetapi
yang dia hairan, walaupun mereka sering bergaduh, hubungan mereka tetap
bertahan sampai empat tahun.
“Dia tak bagi aku balik sini awal. Dia kata aku ada
lelaki lain, sebab tu aku tak sabar-sabar sangat nak balik kolej padahal kita
kan tengah banyak kerja ni. Tak lama lagi nak kena hantar laporan akhir,” keluh
Ezlyn.
“Kau tak beritahu dia ke?”
“Dah, aku dah beritahu. Lepas tu, dia marah-marah aku.
Ee, susah betullah dapat pakwe yang tak memahami ni. Tension!” ujar Ezlyn, separuh menjerit. Sakit betul hatinya apabila
dituduh yang bukan-bukan oleh teman lelakinya sendiri.
Afia diam dan membiarkan Ezlyn meluahkan perasaannya.
Walaupun dia tahu Ezlyn menerima teman lelakinya itu dahulu kerana kasihan
lantaran teman lelaki itu tidak pernah berputus asa untuk merebut hatinya, tetapi
dia yakin sekarang yang Ezlyn sudah mula sayangkan teman lelakinya itu. Mungkin
benar kata sesetengah orang yang perasaan cinta itu dapat dipupuk.
Tambahan pula, teman lelaki Ezlyn sudah banyak berkorban
untuk temannya itu. Masakan hati temannya itu tidak terusik?
Adakalanya
dia juga berasa cemburu kerana berasakan hidup Ezlyn sangat bertuah kerana
mempunyai teman lelaki yang sangat mengambil berat akan dirinya.
Cuma
satu yang dia tidak suka mengenai teman lelaki Ezlyn. Lelaki itu terlalu kuat
cemburu dan seakan-akan mengongkong kehidupan Ezlyn.
Ezlyn pernah bercerita yang mereka pernah bergaduh hanya
kerana Ezlyn memandang lelaki lain ketika mereka sedang makan di sebuah
restoran padahal menurut Ezlyn, dia dan lelaki itu cuma bertembung pandangan
secara tidak sengaja. Tetapi teman lelaki Ezlyn mula naik angin dan memarahi
lelaki itu secara terang-terangan sehingga Ezlyn berasa malu.
Dan sekarang Ezlyn terpaksa akur dengan kemahuan teman
lelakinya yang mahu mereka berjumpa pada setiap minggu walaupun dia tidak rela.
Malah, teman lelaki Ezlyn sendiri yang akan menjemputnya dari asrama pada
petang Jumaat selepas waktu kerja dan menghantarnya pulang ke asrama pada malam
Ahad.
Walaupun
Ezlyn tinggal di Kuala Lumpur, namun Afia dapat merasakan betapa penatnya Ezlyn
berulang-alik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur pada setiap minggu. Apatah lagi,
mereka juga perlu menyiapkan tugasan akhir mereka pada semester ini.
Hanya
kali ini Ezlyn meminta teman lelakinya menghantarnya ke asrama lebih awal
daripada biasa kerana mereka masih mempunyai banyak kerja yang perlu
diselesaikan.
“Relakslah. Kau dah makan?” Afia mengubah topik.
“Sebab aku cakap nak balik awal tulah yang kita orang tak
jadi nak pergi makan tadi. Sepanjang perjalanan, dia diam saja selepas aku
minta dia hantar aku ke asrama lebih awal. Masa aku nak naik ke bilik tadi pun,
dia tetap diam. Tak ada langsung ucapan-ucapan manis macam selalu setiap kali
kita orang nak berpisah,” luah Ezlyn. Dia diam sejenak sebelum bertanya, “Kau
dah makan ke?”
“Belum.”
Hendak makan apa kalau baru bangun tidur?
“Jom kita pergi makan,” ajak Ezlyn.
“Nak makan kat mana? Sekarang dah pukul berapa, dewan
makan dah tutup kut.”
“Kita makan kat luarlah. Kompleks PKNS ke. Boleh
jalan-jalan sekali, lepaskan tension,”
cadang Ezlyn.
“Tapi aku nak mandi dulu.”
Mata Ezlyn membulat. “Kau tak mandi lagi?”
Afia cuma tersengih.
KETIKA
mereka sedang enak menjamu selera di Restoran FC yang terletak di dalam
Kompleks PKNS, telefon bimbit Afia berbunyi. Suapannya terhenti. Afia
mengeluarkan telefon bimbit itu dari dalam saku seluarnya.
Dahinya
berkerut apabila melihat nombor yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu.
Kemudian, dia memasukkan semula telefon bimbit itu ke dalam saku seluar tanpa
menjawabnya.
Seketika
kemudian, telefon bimbit itu berhenti berbunyi. Namun tidak lama selepas itu,
telefon bimbit itu kembali berbunyi. Afia membiarkan sahaja telefon bimbit itu
terus bernyanyi.
Nasib
baiklah telefon bimbit pada zaman sekarang sudah canggih. Tiada lagi bunyi tut
tut yang kedengaran, sebaliknya bunyi lagu yang sebenar. Lebih-lebih lagi jika
lagu itu adalah lagu kegemaran si pemilik telefon bimbit.
“Siapa?”
Ezlyn yang duduk bertentangan dengan Afia bertanya.
“Entah.
Orang gila kut,” balas Afia sambil menumpukan perhatian pada Laksa Penang di
hadapannya.
“Hai, orang gila pun pandai buat panggilan telefon ke?”
sindir Ezlyn.
“Ni orang gila zaman moden.”
Tidak lama kemudian, telefon bimbit itu berhenti
bernyanyi. Sangka Afia, si pemanggil sudah penat mendail memandangkan sudah
berkali-kali panggilannya tidak berjawab. Namun, ternyata si pemanggil itu
masih tidak berputus asa seperti lagu ‘Cuba Lagi’ nyanyian Malique dan Lah yang
sedang berulang-ulang menyapa gegendang telinga mereka itu.
Kucuba berkali-kali
Masih tak menjadi-jadi
Tapi ku tak patah hati
Tiap kali gagal kucuba
lagi
“Bisinglah, Afia. Jawab ajelah.” Ezlyn mula rimas dengan
bunyi itu. Walaupun bunyi nadanya tidak terlalu kuat tetapi tetap mengganggu
pendengarannya.
“Kau jawabkanlah,” ujar Afia selamba seraya menghulurkan
telefon bimbitnya itu kepada Ezlyn.
“Isy, aku pulak!” Ezlyn enggan.
“Habis tu, biar ajelah. Lama-lama nanti, dia diamlah.”
“Kau ni, entah-entah orang tu ada perkara penting nak
cakap dengan kau ke. Kalau tak, tak adalah dia telefon kau banyak kali,” tegur
Ezlyn.
“Perkara penting apanya? Entah siapa-siapa,” balas Afia.
“Ee, jawab ajelah. Bukannya kredit kau yang habis pun.”
Ezlyn
masak benar dengan sikap Afia yang kedekut kredit itu. Kadang-kadang hendak
mengirim pesanan ringkas yang berharga 10 sen pun dia berkira. Jika orang
mengirim pesanan ringkas yang berbentuk ayat penyata, jangan haraplah dia
hendak balas walaupun sekadar sepatah perkataan seperti ‘okey’. Pula itu, jika
ada nombor yang tidak dikenali menelefon, bukannya dia hendak jawab.
“Malaslah.
Salah nombor kut.” Afia yakin dengan andaiannya itu.
“Mana kau tahu salah nombor? Jawab pun tak,” bangkang
Ezlyn.
“Alah, dah selalu sangat. Tu yang aku malas nak layan
nombor yang aku tak kenal. Mula-mula, memanglah kata tersalah nombor. Lepas tu,
mula tanya nama dan ayat-ayat nak berkenalan. Dah tahu sangat,” cerita Afia.
Memang
sudah terlalu kerap perkara sebegitu menimpa dirinya. Jadi jalan yang terbaik,
tidak usah jawab. Kalau betul orang itu hendak bercakap dengannya,
pandai-pandailah orang itu mengirimkan pesanan ringkas dan memperkenalkan diri.
Sejurus kemudian, suatu pesanan ringkas menjengah ke
telefon bimbitnya. Seperti tahu-tahu sahaja apa yang berada dalam fikiran Afia.
Lambat-lambat Afia mencapai telefon bimbitnya yang sudah berhenti bernyanyi
itu.
Pada
skrinnya tertera 11 panggilan yang tidak berjawab dan satu pesanan ringkas.
Afia mengalihkan pandangannya pada skrin telefon bimbitnya. Hampir hendak
tersembul biji matanya tatkala membaca pesanan ringkas itu.
Hai, Afia. Tengah buat
apa tu? Kenapa tak nak jawab call saya?~Syukri
Tanpa membuang masa, pantas jari-jemarinya menekan-nekan
kekunci telefon bimbit itu untuk menjawab pesanan ringkas itu.
Ni
tak boleh jadi ni. Mana pula dia dapat nombor telefon aku ni?
Setelah
mengarang ayat, dia terus menekan butang ‘hantar’. Sambil menantikan balasan
Syukri, Afia kembali menjamah makanannya tetapi tidak sepenuh hati. Fikirannya
mula terganggu.
“Afia, aku nak pergi tandas sekejap ya,” ujar Ezlyn
lantas terus melangkah ke tandas berhampiran.
Tidak
berapa lama selepas Ezlyn beredar, satu kiriman pesanan ringkas tertera pada
skrin telefon bimbitnya. Pantas Afia membacanya demi menjawab persoalan yang
sedang bermain di benaknya.
Kawan awak yang bagi.
Afia berasa tidak sedap hati dengan jawapan Syukri.
Walaupun dia sudah dapat menebak siapa kawan yang dimaksudkan oleh Syukri,
tetapi dia tetap juga hendak bertanya. Bimbang dia tersalah tuduh pula nanti.
Kawan yang mana?
Makanan
yang masih berbaki di dalam mangkuk sudah tidak dihiraukan. Seleranya
terbantut. Entah siapalah yang memandai-mandai memberikan nombor telefonnya
kepada Syukri.
Yang selalu dengan awak
itulah.
Sah!
Benar seperti yang disangkakannya. Namun, dia perlu mendapatkan jawapan yang
tepat.
Yang mana satu? Yang
berambut panjang atau yang selalu pakai tudung hitam tu?
Afia menyedut minumannya sehingga habis, sebagai bekalan
tenaga untuk menyembur api kemarahannya sebentar lagi.
Ezlyn
memang gemar memakai tudung hitam. Walaupun ada orang yang mengatakan dia
memakai tudung yang sama pada setiap hari, namun sebenarnya Ezlyn mempunyai
berpuluh-puluh helai tudung hitam di dalam almarinya. Katanya, dia tidak boleh
memakai tudung warna lain kerana kepalanya akan berasa pening. Entahkan betul,
entahkan tidak kerana jika difikirkan secara logik, bukankah tudung sekolah di
Malaysia ini berwarna putih?
Noni
pula lebih selesa membiarkan rambut panjangnya yang melepasi bahu itu bebas
lepas. Yalah, orang berambut cantik. Lurus dan hitam. Jika rambut serabai atau
menggerbang, pasti sudah lama Noni memakai tudung. Mungkin bukan semua
perempuan bertudung itu tidak mempunyai rambut yang cantik tetapi dia pernah
mendengar cerita tentang seorang teman sekelasnya yang menanggalkan tudung
apabila rambutnya sudah cantik. Pelik, bukan?
Dahulu,
dia juga berasa cemburu melihat rambut Noni. Sangkanya, rambut Noni itu sudah
semula jadi begitu. Namun rupa-rupanya Noni rajin menggunakan seterika rambut
bagi meluruskan rambutnya hampir setiap pagi.
Yang selalu pakai tudung
hitam tu.
“Lyn!”
Hatinya berteriak geram.
Oo…
patutlah, nak lari ya?
“BANG,
saya nak pesan nasi goreng USA,” Yusri berkata kepada pekerja yang berada
berdekatan dengan mereka.
“Nasi
goreng USA? Satu?”
“Satu
aje. Bukan untuk saya tau. Untuk dia.” Yusri menunjuk ke arah Noni.
Pekerja
itu seakan terkejut, kemudian tersengih.
“Isy, jahat betullah kau ni!” Noni memukul lengan Yusri
sejurus pekerja itu menghilang ke dalam.
“Au, sakitlah!” Yusri menggosok-gosok lengannya.
“Padan muka!” marah Noni.
“Dahlah, jom balik. Aku penatlah,” ajak Afia sebaik-baik
sahaja mereka selesai makan di DML. Dalam fikirannya sudah terbayang-bayang
bantal dan tilam di biliknya.
“Nantilah, tunggulah aku,” ujar Yusri sambil menghabiskan
nasi goreng USA keduanya yang baru sahaja tiba.
“Cepatlah makan.”
Afia
sudah tidak larat mahu menunggu. Dia benar-benar keletihan. Matanya juga sudah
mahu tertutup. Jika menunggu lebih lama, tidak mustahil dia boleh tertidur di
situ.
Afia bingkas bangkit menuju ke kaunter bayaran sebaik-baik
sahaja Yusri selesai menghabiskan nasinya diikuti oleh Ezlyn dan Noni.
Melihatkan itu, Yusri terkial-kial menghabiskan minumannya pula sebelum
menyertai mereka bertiga di kaunter bayaran.
Selesai membayar, Afia menunggu kawan-kawannya di pintu
pagar belakang kolej mereka. Dia tidak mahu berlama-lama di situ, apatah lagi
apabila menyedari Syukri asyik merenungnya. Namun, Ezlyn dan Noni pula
seolah-olah sengaja berlengah-lengah di situ.
Geram
betul dia apabila melihat Ezlyn dan Noni masih rancak berbual-bual dengan
Syukri. Entah apa yang dibualkannya pun dia tidak tahu, malah dia tidak mahu
ambil tahu.
Namun, pada waktu itulah Ezlyn memberikan nombor
telefonnya kepada Syukri tanpa pengetahuannya.
AFIA
mendengus mengingati kejadian yang berlaku di gerai itu pada dua hari lepas.
Afia semakin geram apabila mengingati perkara itu. Sanggup Ezlyn memberikan
nombor telefonnya kepada orang yang tidak dikenalinya.
Kalau
betul pun Syukri sukakannya, mengapa lelaki itu tidak meminta nombor telefonnya
daripada dia sendiri? Mengapa perlu menggunakan orang tengah? Tak gentleman langsung! Beginikah sikap
lelaki yang mahu menguratnya? Jangan haraplah dia hendak terpikat!
“Alah,
Afia... kau kawan ajelah dulu dengan dia ya,” pujuk Ezlyn sambil menggosok-gosok
lengannya yang lebam gara-gara dicubit oleh Afia tadi. Teruk dia dikerjakan
oleh Afia hanya kerana dia memberikan nombor telefon Afia kepada Syukri padahal
niatnya baik. Ingin menyatukan dua hati.
“Sakit
ke?” Afia mula berasa serba salah.
Entah
apa yang merasuknya tadi sehingga dia tega melakukan sebegitu kepada Ezlyn.
Sampai ke Tasik Shah Alam dia mengejar Ezlyn. Orang ramai yang memandang
gelagat mereka yang berkejar-kejaran seperti pasangan kekasih itu langsung
tidak diendahkannya. Yang dia tahu, dia perlu mendapatkan penjelasan daripada
Ezlyn.
“Sakitlah,”
Ezlyn berpura-pura merajuk. Boleh tahan juga mereka berlari sehingga ke tasik
yang terletak bersebelahan dengan Kompleks PKNS itu.
“Sorry, tapi memang salah kau pun. Yang
kau pergi bagi nombor telefon aku pada dia tu, kenapa? Bukannya nak tanya aku
dulu. Main bagi aje,” rungut Afia.
Pandangannya
dihala ke arah tasik yang tenang itu. Sekumpulan angsa sedang berenang di tasik
itu. Terdapat juga beberapa pasangan yang sedang bersiar-siar di situ. Ada juga
yang sedang berasmaradana tanpa segan silu.
“Kalau
aku tanya pun, macamlah kau nak bagi,” Ezlyn menjelaskan rasional atas
tindakannya.
“Memanglah
aku takkan bagi! Aku tak suka tau. Pula tu, dia asyik telefon aku aje. Aku
rimas tau!” marah Afia. Dia benar-benar berasa terganggu dengan panggilan
telefon daripada Syukri itu.
“Dah
kau tak jawab,” balas Ezlyn.
“Kalau
aku jawab pun, bukannya aku faham apa yang dia cakap,” terang Afia.
Loghat
Sabah Syukri yang pekat itu membuatkan dia tidak berminat mahu berbual-bual
dengan Syukri, apatah lagi menjalinkan hubungan yang lebih.
Dia
tidak kisah berkawan dengan sesiapa atau dari mana asalnya seseorang itu, tua
atau muda, miskin atau kaya, tetapi jika orang itu ingin menjalinkan hubungan
yang lebih daripada itu, dia terpaksa bersikap kejam.
Dia
bukan mencari lelaki yang kaya atau bergaji besar. Jauh lagi berpendidikan
tinggi atau ada ‘doktor’ di hadapan namanya. Bukan juga lelaki yang sering
memberi hadiah atau bunga.
Tak,
dia tidak mahu semua itu. Dia cuma mahukan seorang lelaki yang biasa-biasa
sahaja. Apa yang paling penting baginya ialah keserasian. Dan Syukri bukan
lelaki itu.
“Kalau
tak faham, belajarlah,” saran Ezlyn.
“Tak
kuasalah aku. Belajar bahasa Inggeris pun aku malas,” balas Afia.
Sememangnya
dia tiada keinginan untuk mengenali Syukri dengan lebih rapat. Jika tidak,
tanpa perlu disuruh pun, dia dengan rela hati akan mempelajari bahasa dan
budaya Sabah. Bukankah dahulu dia pernah menonton dokumentari tentang negeri
Sarawak gara-gara terlalu meminati Noh Phrofile, vokalis kumpulan Hujan yang
berasal dari Miri, Sarawak itu? Habis semua tentang Sarawak dikajinya sedangkan
dahulu dia tidak berapa berminat dengan mata pelajaran Geografi.
“Habis
tu, sampai bila kau nak macam ni? Dah ada orang suka tu, janganlah sia-siakan.
Berkawan ajelah dulu. Kalau kau rasa tak serasi, baru buat keputusan.” Nada
Ezlyn mula serius.
“Sebagai
kawan, aku nak tengok kau bahagia. Lagipun, bukannya tak ada orang yang nak
pada kau. Kau tu yang terlalu menutup pintu hati kau. Aku pun tak faham, entah
apalah yang kau takutkan sangat dengan lelaki. Setahu aku, kau bersekolah
campur dahulu. Jadi, aku rasa itu bukan suatu masalah bagi kau untuk bergaul
dengan lelaki.”
“Entahlah,
Lyn. Susah aku nak cakap. Mungkin belum ada jodoh agaknya,” keluh Afia.
Fikirannya
melayang mengingati seraut wajah Faiz. Mampukah dia bertemu dengan lelaki
seperti Faiz? Atau setidak-tidaknya, lelaki yang lebih baik daripada Faiz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan