"SELEPAS
berbincang, kami berpendapat ada sesetengah babak dalam manuskrip ini yang
perlu diubah,” terang pengurus penerbitan Komikku, Encik Wahid sambil
menunjukkan beberapa lakaran yang telah dihantar oleh Asyraf beberapa minggu
yang lalu.
Asyraf menyambut huluran itu lalu menelitinya satu per
satu lakaran yang ditandai dengan pensel itu. Kemudian,
dia memandang Encik Wahid lantas meminta penjelasan lanjut, “Boleh saya tahu,
kenapa babak ini perlu diubah?”
Sebagai penulis dan pelukis bagi komik tersebut, pastilah
dia mahu seratus peratus idea asalnya diterima. Jika cerita itu diolah bagi
disesuaikan dengan polisi sesebuah syarikat penerbitan, dia berasa seolah-olah
dia menulis dan melukis demi memenuhi kehendak penerbit dan bukannya atas daya
kreativitinya sendiri. Namun begitu, dia juga memahami bahawa setiap syarikat
penerbitan mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi.
Ketika menghantar proposal manuskrip komik ini, dia sudah
diberitahu dan diberi penerangan mengenai garis panduan dan kriteria-kriteria
yang perlu dipatuhi. Pada mulanya, dia memang kurang berpuas hati dengan
sesetengah syarat yang dikenakan tetapi apabila mengenangkan hanya syarikat
penerbitan ini yang berani menerbitkan komiknya, dia terpaksa akur. Mungkin
pihak penerbit lebih mengetahui mengenai pasaran.
“Babak ini perlu diubah kerana kami berpendapat babak ini
terlalu agresif dan tak berapa sesuai untuk bacaan kanak-kanak,” terang Encik
Wahid.
Asyraf tekun mendengar penerangan Encik Wahid mengenai
babak-babak yang perlu diubah. Seperti
yang diterangkan oleh Encik Wahid ketika kali pertama dia ke situ untuk
menghantar manuskrip komiknya, sasaran pembaca komik mereka adalah remaja,
namun isi kandungannya juga perlu sesuai untuk semua peringkat usia. Selain
itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul juga ditekankan bagi memungkinkan
komik tersebut memasuki pasaran sekolah dan perpustakaan selain di kedai-kedai
buku.
Dia tahu dia tidak patut merungut atau bersikap keras
kepala. Bukannya mudah hendak mencapai kejayaan dan bukan mudah untuk dia
berada hingga ke tahap sekarang. Sudah banyak pengalaman yang dilaluinya.
Takkanlah apabila disuruh membuat sedikit pembetulan, dia harus mengalah?
CAWAN
berisi air kopi itu diletakkan di atas meja. Selepas berehat seketika, dia
kembali menyambung kerja-kerja melukisnya. Pulang sahaja dari pejabat Komikku
petang tadi, dia terus memulakan kerja-kerja memperbaiki seperti yang
disarankan oleh Encik Wahid. Dia hanya berhenti untuk mandi dan solat. Makan malam
yang disediakan oleh Mak Mi pun tidak dijamahnya.
Walaupun dia diberi masa selama dua minggu untuk
memperbaiki lakaran-lakaran itu, namun dia tidak mahu menangguhkannya lebih
lama. Bimbang semangatnya akan luntur. Jadi, sementara semangatnya sedang
berkobar-kobar ini, dia mahu menyiapkannya secepat mungkin. Tambahan pula, dia
baru sahaja mendapat idea tatkala dalam perjalanan pulang ketika berada di
dalam komuter tadi. Lebih cepat dia menyiapkan kerja itu, lebih cepatlah
komiknya dapat diterbitkan.
Beberapa minit kemudian, dia masih tekun melukis semula
bahagian yang perlu diperbaiki. Namun setengah jam kemudian, dia berasa seperti
kekurangan sesuatu. Pensel di tangannya diletak lalu telefon bimbitnya dicapai.
Digit jam pada skrin telefon bimbitnya menunjukkan hampir
pukul 9.00 malam. Baru dia teringat, hari ini dia belum menghantar ucapan
selamat malam kepada Afia lagi. Dia
mencari-cari ucapan selamat malam yang kreatif dalam telefon bimbitnya. Namun
sayangnya, kesemua ucapan itu sudah digunakannya. Jadi,
alasan apa lagi yang dapat dia gunakan untuk menghantar pesanan ringkas kepada
Afia?
NOMBOR
telefon itu didail sekali lagi. Namun sama seperti selalunya, tiada berjawab.
Seolah-olah pemilik nombor telefon itu memang sengaja tidak mahu menjawab
setiap panggilannya. Pesanan ringkasnya juga sudah tidak berbalas.
Syukri mengeluh hampa. Afia langsung tidak memberinya
peluang. Teruk sangatkah dia? Atau sememangnya Afia sudah mempunyai teman
lelaki? Adakah benar pemuda yang datang ke situ tidak lama dahulu adalah teman
lelaki Afia?
Tetapi menurut Ezlyn dan Noni, Afia masih belum mempunyai
sesiapa sebagai teman istimewa. Disebabkan itulah dia berani memulakan langkah
dan nekad bertindak meminta nombor telefon Afia daripada kawan-kawan Afia.
Hendak meminta daripada Afia sendiri, jangan haraplah dia akan dapat. Belum sempat
dia datang dekat, Afia sudah lari terlebih dahulu.
MELIHATKAN
Afia sudah tergesa-gesa berlalu selepas membayar harga makanan dan minumannya,
maka terpaksalah dia menebalkan muka menegur Ezlyn dan Noni. Nasib baik mereka
memberikan respons positif.
“Dah
nak balik ke?” tanya Syukri sekadar berbasa-basi sejurus Ezlyn, Noni dan Yusri
selesai membuat bayaran di kaunter.
“Haah, dah nak pukul 11.00 malam ni. Nanti pintu pagar
dikunci pula,” jawab Ezlyn.
“Boleh tanya sikit tak?”
“Nak tanya apa?” tanya Ezlyn kembali sambil memandang ke
arah Noni.
Noni
juga seperti tidak sabar hendak mengetahui apa yang ingin ditanya oleh Syukri
itu. Lagak gayanya seperti ingin bertanyakan tentang sebuah rahsia besar yang
tidak mahu diketahui oleh orang lain.
Syukri memandang Afia yang tercegat di pintu pagar
belakang kolej mereka yang tidak jauh dari situ sambil memerhati ke arah
mereka.
Kemudian,
perlahan dia berbisik, “Afia tu dah ada pakwe atau belum ya?”
Mata Ezlyn dan Noni membuntang mendengar pertanyaan itu.
Serentak mereka memandang antara satu sama lain sambil mengangkat kening
masing-masing. Seolah-olah tidak menyangka akan soalan yang baru keluar
daripada mulut Syukri itu. Seketika kemudian, mereka berdua tersenyum mengusik.
Ternyata telahan mereka selama ini tidak silap. Syukri memang sukakan Afia!
“Kenapa tak tanya dia sendiri tadi?” Ezlyn sengaja
menduga.
“Nak buat macam mana, belum sempat tanya, dia dah pergi,”
luah Syukri dengan nada kecewa. Dia dapat merasakan yang Afia seolah-olah
sengaja mengelakkan diri daripadanya.
Ezlyn memandang Noni sambil mengangkat kening. Kemudian,
mereka kembali memandang Syukri.
“Dia
single lagilah.”
“And available,”
sambung Noni.
Syukri tersenyum mendengar jawapan itu. Namun sejurus
teringatkan lelaki yang bersama Afia hari itu, serta-merta senyumannya mati.
“Tapi
siapa lelaki yang dengan dia hari tu?”
“Lelaki mana? Bila?” tanya Ezlyn.
“Ada hari tu dia orang minum kat sini,” terang Syukri.
“Afia dengan siapa, Noni?” Ezlyn bertanya kepada Noni.
Mungkin Noni mengetahui tentang perkara itu.
“Entah,” jawab Noni.
Sejenak
kemudian, barulah dia mula teringat.
“Hah!
Entah-entah mamat yang kita jumpa kat KL Sentral tu tak? Yang jumpa dompet Afia
tu. Kan dia pernah datang sini sebab nak ambil barang dia yang ada pada Afia.”
Noni mengingatkan Ezlyn tentang lelaki itu.
Dahi Ezlyn berkerut. Dia tidak tahu-menahu langsung
tentang itu. “Dia orang minum kat sini ke?”
“Adalah, yang kita tak nak temankan dia tu. Eh! Ke aku
tak cerita pada kau?” Noni menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia juga
sudah lupa sama ada dia pernah memberitahu Ezlyn tentang perkara itu atau
tidak. Adakalanya perkara yang sama pun dia tidak sedar yang dia sudah
bercerita berulang kali.
“Mana ada. Kau tak cerita pun.” Ezlyn yakin Noni tidak pernah
menceritakan tentang perkara itu kepadanya. Jika Noni pernah bercerita, pasti
dia mengingatinya.
“Aku lupa kut nak cerita.” Noni tersengih.
“Betul ke lelaki tu pakwe dia?” Syukri pantas mencelah.
Dia tidak mahu tahu akan hal lain selain tentang Afia.
Semenjak
hari itu, fikirannya terganggu gara-gara memikirkan hubungan Afia dengan lelaki
itu. Jika benar lelaki itu adalah teman lelaki Afia, dia berjanji dengan
dirinya sendiri yang dia tidak akan mengganggu Afia lagi. Tetapi jika
sebaliknya, dia nekad akan berusaha untuk merebut hati Afia dan bersaing dengan
lelaki itu secara adil.
“Setakat yang kita orang tahu, Afia memang belum ada
siapa-siapa lagi,” jelas Ezlyn.
Jika
Afia sudah mempunyai teman lelaki, pasti mereka berdua yang akan tahu terlebih
dahulu. Lagipun, Afia masih seperti biasa. Tiada apa-apa perubahan yang luar
biasa pada dirinya. Telefon bimbitnya pun memang tidak pernah berbunyi
melainkan teman lelaki Noni yang menghubunginya untuk bercakap dengan Noni.
“Boleh beri nombor telefon dia tak?” pinta Syukri serius.
Ezlyn dan Noni kelihatan teragak-agak.
PENAT
mendail, Syukri mengalihkan pandangannya ke arah pintu pagar belakang kolej itu
yakni tidak jauh dari warungnya itu. Mengharapkan wajah Afia muncul di hadapan
matanya. Sangkanya, dia dapat mendekati Afia dengan cara itu. Namun sebaliknya
pula yang berlaku. Afia semakin menjauhkan diri.
Dia tidak kisah jika Afia tiada hati kepadanya kerana dia
yakin dia akan dapat memenangi hati Afia suatu hari nanti sekiranya dia tidak
berputus asa dan bersungguh-sungguh. Namun belum apa-apa lagi, Afia sudah
menolaknya mentah-mentah tanpa memberinya peluang.
Sukar dijelaskan bagaimana perasaan itu boleh hadir. Yang
pastinya, dia sukar melarikan pandangan mata daripada wajah gadis itu setiap
kali gadis itu berkunjung ke situ.
Setiap
kali ke situ, Afia tidak pernah datang bersendirian. Dia sentiasa ditemani oleh
Ezlyn dan Noni. Yusri pula hanya sekali-sekala menyertai mereka. Dan setiap
kali itulah dia suka melihat wajah Afia yang cute itu.
Selama
memerhatikan Afia, dia dapat mengagak yang Afia seorang yang tidak banyak cakap
dan mungkin juga pemalu.
Walaupun Yusri sering menyertai mereka bertiga, tetapi
dia tidaklah berasa tergugat memandangkan dia pasti Afia tidak berminat dengan
Yusri melalui cara Afia melayan Yusri. Yusri juga tidak menunjukkan tanda-tanda
yang dia menyukai Afia.
Namun
berbeza dengan pemuda yang datang minum bersama Afia kelmarin. Afia kelihatan
malu-malu apabila bersama pemuda itu. Dan yang menguatkan andaiannya ialah Afia
dan pemuda itu hanya datang berdua tanpa ditemani kawan-kawannya seperti
selalu. Jadi, pastinya pemuda itu seorang yang istimewa kepada Afia.
Sedang dia mengelamun, wajah Ezlyn dan Noni menyapa
pandangan matanya. Syukri menggosok-gosok matanya. Ternyata dia tidak bermimpi.
Memang Ezlyn dan Noni sedang melangkah menuju ke warung itu.
Tapi,
mana Afia? Mengapa mereka cuma berdua saja?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan