Lelaki
itu makan tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling. Dari tadi, mereka berdua
hanya makan tanpa sepatah kata. Meskipun dia serba salah untuk menerima ajakan
Yusri untuk makan malam di dewan makan itu bersama-sama, tetapi tidak sampai
hati pula dia hendak menghampakan permintaan Yusri yang seolah-olah terlalu
mengharap itu.
Ketika
menerima kiriman pesanan ringkas daripada Yusri tadi pun, dia seperti tidak
percaya bahawa Yusri yang mengirimkan pesanan ringkas itu. Yalah, tidak
pernah-pernah pula Yusri mengajaknya makan bersama-sama. Lagipun, mereka
bukannya rapat pun. Hanya berjumpa apabila membuat tugasan kumpulan. Itu pun
hanya beberapa kali dalam seminggu. Sudahlah Ezlyn dan Noni tiada. Tetapi,
bagus juga mereka tiada. Kalau mereka ada, pasti dia menjadi bahan gosip.
Seboleh-bolehnya,
dia tidak mahu berdua-duaan dengan Yusri. Bimbang sekiranya timbul cerita yang
tidak enak. Namun, dia cuba berfikiran positif bahawa tiada sesiapa pun yang
akan menggosipkan mereka berdua. Bukankah mereka berdua kawan?
Namun ketika dia dan Yusri makan di dewan makan, dia
berasakan seolah-olah semua mata sedang memandang ke arah mereka sambil
berbisik-bisik sesama sendiri. Pastinya mereka sedang bergosip tentang dirinya
dan Yusri.
“Apa
yang dia orang tengok-tengok ni? Kita orang bukan couplelah!” Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menjerit sebegitu
kepada mata-mata yang memandang mereka dengan pandangan sinis itu.
“Esok kau buat apa?”
Afia
tersentak. Pertanyaan Yusri itu menyedarkannya daripada khayalan. Dia memandang
pelajar-pelajar yang sedang makan di dewan makan itu. Semua pelajar di situ
membuat hal sendiri. Tiada sesiapa pun yang mengendahkan mereka berdua. Semua
tadi hanya bayangan fikirannya.
“Kau
tanya apa tadi?” tanya Afia.
“Esok
kau buat apa?” ulang Yusri sebelum menyuapkan nasi ke mulutnya.
Walaupun
lauk makan malam pada hari itu hanya ikan masak asam dan sayur kangkung, dia
tetap makan dengan penuh berselera. Dia memang tidak cerewet dalam soal makan.
Beruntunglah sesiapa yang menjadi isterinya. Senang hendak jaga.
“Entah. Tidur aje kut,” jawab Afia, acuh tidak acuh.
Kebiasaannya
dia lebih suka duduk di asrama, membaca novel, bermain games di komputer ribanya atau bersembang dengan rakan mayanya pada
waktu malam. Malah, adakalanya dia lebih suka bersendirian. Dia berasa lebih
aman. Tiada sesiapa pun yang mengganggu hidupnya.
Suasana
yang sunyi bukanlah bebanan kepadanya memandangkan dia memang bukan orang yang
banyak bercakap. Dia hanya bercakap apabila perlu. Justeru, dia tidak kisah
ditinggalkan bersendirian. Tahulah dia hendak hidup.
Dia
juga bukanlah jenis yang rajin pulang ke kampung pada setiap hujung minggu
walaupun kampungnya cuma lima jam perjalanan dari kampus itu. Dalam satu
semester, hanya dua kali dia pulang ke kampung iaitu pada cuti pertengahan
semester dan cuti akhir semester. Lagipun dia berasa lebih bebas berada di
asrama daripada berada di rumahnya sendiri.
“Bosanlah kau ni. Kita keluar nak?” cadang Yusri.
“Keluar ke mana?” tanya Afia.
Biar
betul si Yusri ni? Takkan mereka hendak keluar berdua sahaja? Afia mula cemas.
Kepalanya mula ligat memikirkan alasan-alasan yang dapat digunakan untuk
menolak pelawaan Yusri itu.
Sememangnya
dia tidak pernah keluar berdua dengan Yusri tanpa Ezlyn dan Noni bersama. Dia
sudi makan bersama Yusri ini pun kerana Yusri beria-ia memujuk supaya
menemaninya. Kasihan pula dia mendengarnya.
“Mana-manalah. Kompleks PKNS ke, Plaza Alam Sentral ke
atau SACC Mall. Aku bosanlah duduk kat bilik sorang-sorang,” adu Yusri.
“Budak-budak rumah kau mana?”
“Dia orang semua balik kampung.”
“Kenapa kau tak balik?” tanya Afia.
Apabila
tiada kawan, barulah Yusri hendak mencarinya. Nampak sangat Yusri tidak ikhlas
mahu berkawan dengannya. Tetapi, dia lebih rela jika Yusri terus tidak
mengendahkannya.
“Alah, malaslah. Balik kampung pun bukannya ada apa-apa.
Nak keluar tak esok?”
“Tengoklah dulu macam mana,” balas Afia lantaran otaknya
gagal berfungsi bagi memberikan idea untuk menolak ajakan Yusri itu.
Kalau
Ezlyn dan Noni tahu yang dia keluar berdua dengan Yusri, mahu teruk mereka
digosipkan!
“Okey, esok pagi kau mesej aku tau,” Yusri mengingatkan.
“Itu pun kalau aku ingatlah,” balas Afia malas seraya
bangkit untuk membasuh tangan di singki.
Kau
yang ajak aku tapi aku pula yang kena mesej kau. Banyak cantik. Afia tidak
berpuas hati namun tidak pula disuarakannya.
“Kau dah habis makan ke?” tanya Yusri. Dia melihat ke
pinggan Afia. Nasinya masih ada separuh pinggan.
“Kenapa?” Afia tercegat di tempatnya berdiri.
“Kau ni selalu makan tak habis, macam mana rezeki nak
datang?”
Belum sempat Afia membalas, Yusri sudah pun mencapai
pinggannya dan mengaut nasi di dalam pinggan itu ke pinggannya.
Afia
tergamam dengan tindakan Yusri. Tiba-tiba kata-kata Ezlyn dan Noni tempoh hari
terngiang-ngiang dalam fikirannya.
“Kalau
macam nilah kan, Afia, aku rasa kau patut cari pakwe yang boleh habiskan
makanan kau sebab kau selalu makan tak habis.”
“Alah, susah-susah sangat, kau couple ajelah dengan Yusri ni. Kan senang!”
Afia menggeleng, cuba menghalang dirinya daripada
berfikir yang bukan-bukan.
Tak
boleh, tak boleh! Aku dengan Yusri cuma kawan. Tak mungkin lebih! Tegas hati
kecilnya.
“Aku pergi basuh tangan dulu.” Afia tergesa-gesa berlalu
ke singki. Nyaris-nyaris dia terlanggar seorang pelajar perempuan yang sedang
menatang cawan dan pinggan ke arah bertentangan.
“KAU
nak pergi mana?”
Yusri
cuba menyaingi langkah Afia yang seperti sedang mengejar sesuatu sebaik-baik
sahaja mereka berdua habis makan.
“Nak balik biliklah,” jawab Afia.
Langkah
kakinya semakin dicepatkan. Dia mahu segera pulang ke bilik. Semakin lama dia
dengan Yusri, semakin banyak yang dia tidak berpuas hati. Ternyata dia tidak
serasi dengan Yusri.
“Alah, jom kita lepak kat perpustakaan,” cadang Yusri.
“Buat apa?”
“Main Internet ke.”
“Kan kita dapat Internet percuma, buat apa nak pergi
perpustakaan lagi?” tanya Afia kehairanan.
“Aku mana ada komputer,” balas Yusri.
“Tak ada komputer? Habis, selama ni macam mana kau buat assignment?” Afia seolah-olah sukar
hendak percaya dengan kenyataan Yusri itu. Bukankah komputer itu penting kepada
pelajar seperti mereka memandangkan semua tugasan yang diberikan oleh pensyarah
perlu ditaip dengan komputer, apatah lagi tugasan-tugasan yang melibatkan
grafik dan multimedia?
“Pinjam komputer oranglah.”
“Ha, dah tu pergilah pinjam komputer dia orang!” cadang
Afia dengan hati yang gembira. Dia sangat berharap yang Yusri tidak akan
mengganggunya lagi. Dia ingin bersendirian.
“Kan aku dah cakap tadi budak-budak rumah aku balik
kampung.”
Serta-merta
senyuman Afia menjadi hambar apabila mendengarkan itu. Itu bermakna Yusri
mempunyai alasan yang kuat untuk mengajaknya ke perpustakaan. Tetapi itu tidak
bermakna yang dia tidak boleh menolak ajakan Yusri, bukan?
“Jomlah
teman aku,” Yusri mula mendesak.
“Ada-ada ajelah kau ni. Tadi kata ajak teman makan aje,”
rungut Afia. Dia mula berasa rimas dengan Yusri.
Agaknya
tanggapan Ezlyn dan Noni terhadap Yusri selama ini adalah betul, Yusri tidak
mempunyai kawan. Sering dilihat bersendirian dan tidak bergaul dengan orang
lain. Atas sebab apa, dia sendiri tidak tahu. Tetapi kenapa pula tiba-tiba
Yusri seperti hendak rapat dengannya?
“Alah, awal lagi ni. Jomlah,” desak Yusri lagi.
“Aku tak bawa kad matrik.” Afia sengaja memberi alasan.
Dia
mahu balik cepat ke bilik dan bersembang dengan ‘pakwe-pakwenya’ dalam
Internet. Pasti mereka sedang menunggunya memandangkan waktu itu sudah melepasi
pukul 8.00 malam. Waktu biasanya dia ‘melepak’ dalam ruangan sembang siber
tersebut.
Walaupun
dia tidak mempunyai teman lelaki di dunia nyata, tetapi apabila dia berada di
dunia maya, berebut-rebut lelaki yang hendak bersembang dengannya. Malah, ramai
yang meminta nombor telefonnya.
Apabila
dia memberikan alasan, lelaki-lelaki itu pula yang memberikan nombor telefon
mereka dengan harapan dia akan menelefonnya. Namun, dia hanya mengabaikan
nombor-nombor itu.
Ada
juga yang mengajaknya berjumpa dengan alasan hendak kenal dengan lebih rapat.
Namun, dia cuma sekadar bermain. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk
meneruskan hubungan itu ke luar.
Dia
sendiri tidak faham mengapa mereka begitu mudah mempercayainya. Memang dia
tidak pernah menipu tetapi dia juga tidak mahu terlalu jujur apabila berada
dalam ruangan sembang siber. Dia masih tahu batasannya.
Memandangkan
dia mempunyai banyak pilihan, Ezlyn dan Noni pernah menyarankan agar dia
memilih sahaja mana-mana lelaki yang dia berkenan di dunia maya itu untuk
dijadikan teman lelaki. Namun, itu bukan caranya.
Setakat
bersembang di ruangan sembang siber, sesiapa pun bebas berkata apa-apa atau
menjadi sesiapa sahaja berbanding apabila bersembang secara bertentang
mata.
Dalam
ruangan sembang siber, kita tidak dapat melihat orang yang bersembang dengan
kita melainkan mereka menggunakan webcam.
Jadi, kita tidak dapat mengukur tahap kejujuran mereka hanya melalui bait-bait
ayat yang ditaip pada skrin komputer. Entah-entah orang itu menyamar pun kita
tidak tahu.
Sebaliknya
jika bersembang secara bertentang mata, kita dapat memerhatikan cara seseorang
itu bercakap, bahasa tubuhnya, penampilannya dan lain-lain. Justeru, Afia lebih
rela memilih lelaki yang diperkenalkan oleh Ezlyn dan Noni daripada memilih
mana-mana lelaki dalam ruangan sembang siber itu.
“Tak apa, aku bawa. Kita boleh kongsi komputer.”
Afia mengetap bibir, menahan geram. Dia sudah tidak tahu
hendak memberi alasan apa lagi. Apa-apa sahaja yang dikatakannya, pasti akan
dibidas oleh Yusri. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia mengikut Yusri ke
perpustakaan. Jika tidak, Yusri pasti akan terus mendesak.
Tahu
tak macam mana cara nak mengingati orang yang tersayang?
Apa,
tak tahu?
Takkan
tak tahu...
Nak
tahu macam mana? Senang saja.
Pakai
topi keledar, ingatlah orang yang tersayang... muahahah!
AFIA
tersenyum sendiri tatkala membaca kiriman pesanan ringkas yang diterima
daripada Asyraf selepas dia pulang dari perpustakaan.
Mujurlah
perpustakaan itu hanya beroperasi sehingga pukul 10.00 malam. Dapatlah dia
melepaskan diri daripada Yusri. Itu pun Yusri mengajaknya melepak di gerai,
tetapi dia memberi alasan yang dia sudah mengantuk dan hendak balik tidur.
Dan
seperti yang dijangka, Asyraf mengirimkan pesanan ringkas kepadanya malam itu
walaupun agak lewat daripada waktu yang selalunya. Cuma kali ini bukan ucapan selamat
malam seperti malam-malam sebelumnya. Dengan senang hati, Afia membalas pesanan
ringkas itu.
Haha. Tak lawak pun.
Tidak sampai seminit kemudian, Asyraf membalas pesanan
ringkasnya itu.
(^_^)
Night, Afia.
Afia meletakkan telefon bimbitnya ke tepi selepas membaca
pesanan ringkas yang terakhir itu dan mula menghidupkan komputer ribanya di
ruang tamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan