DIGIT
pada jam telefon bimbitnya sudah menunjukkan pukul 1.07 petang, namun dia masih
berbaring di atas katil. Sudah hampir setengah jam dia berkeadaan begitu. Tiada
keinginan untuk bangun.
Jika
dia bangun pun, tiada apa yang dapat dibuatnya. Dia tahu Ezlyn dan Noni sudah
pulang ke Kuala Lumpur pagi tadi dan hanya akan pulang ke asrama semula pada
petang Ahad nanti.
Ezlyn
memang berasal dari Kuala Lumpur. Jadi, setiap minggu dia akan pulang ke
rumahnya di Bukit Jalil.
Noni
pula akan bermalam di rumah kakak teman lelakinya di Taman Melawati
memandangkan kampungnya jauh di Arau, Perlis.
Pada
mulanya, Afia sendiri berasa terkejut apabila mendapat tahu yang Noni bermalam
di rumah kakak teman lelakinya kerana teman lelakinya juga turut tinggal di rumah
itu. Bukankah mereka masih belum mempunyai apa-apa ikatan yang sah?
Pernah
dia menimbulkan isu itu kepada Noni tetapi dia pula yang dimarahi kerana
dianggap menjaga tepi kain orang. Alasan Noni, mereka bukan tinggal berdua.
Bukankah kakak teman lelakinya juga berada di rumah itu?
Meskipun
pengetahuan agamanya tidak setinggi pengetahuan Noni yang bersekolah agama,
tetapi dia juga tahu tinggal serumah dengan orang yang bukan muhrim itu salah.
Dia bukan berlagak baik apatah lagi menjaga tepi kain orang tetapi sebagai
kawan, dia rasa dia perlu menegur jika perbuatan itu salah.
“Ya,
aku pun tahu. Tapi kau tahulah Noni tu macam mana, bukan? Bukannya nak dengar
cakap orang. Lagipun, kat KL ni lain, Afia. Orang-orang kat KL ni lebih suka
mengamalkan sikap ‘kubur kau, kubur kau’, ‘kubur aku, kubur aku’. Biarlah dia.
Pandailah dia fikir sendiri, dia bukannya budak kecik lagi,” nasihat Ezlyn
apabila dia bertanya kepada Ezlyn.
Mungkin
itulah perbezaan di kampung dan di bandar. Di kampung, jika berlaku sesuatu yang
dianggap kurang manis, pasti menjadi buah mulut hangat satu kampung. Tetapi ada
baiknya juga kerana mereka akan berfikir dua tiga kali sebelum melakukan
sesuatu yang mungkin memalukan diri dan ibu bapa mereka.
Berlainan
pula di bandar yang rata-rata penduduknya lebih senang menjaga hal sendiri.
Walaupun tahu perkara itu salah, mereka hanya memejamkan mata. Bukankah itu
dikira bersubahat?
Selepas
dimarahi oleh Noni, Afia hanya mengambil sikap berdiam diri. Adakalanya dia
berasa pelik dengan sikap sesetengah orang. Bukankah pelik apabila mereka yang
memiliki pengetahuan agama yang tinggi melakukan perbuatan yang sudah
terang-terang mereka tahu salah?
Afia
tahu Ezlyn dan Noni pulang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan teman lelaki
masing-masing. Melepaskan rindulah kononnya. Agaknya begitulah adat orang
bercinta. Perlu berjumpa selalu bagi memastikan rasa cinta itu tidak layu.
Maka, tinggallah Afia yang masih solo itu sendirian di asrama pada hujung
minggu begini.
Mulutnya
menguap lagi. Bukan kerana mengantuk, tetapi kerana kebosanan. Dia memandang
beberapa buah novel yang diletakkan di sebelah bantalnya. Hampir kesemuanya
sudah dikhatamkan pembacaannya.
Mungkin
ada yang pelik dengan sikapnya yang suka tidur dengan novel-novel itu.
Sepatutnya katil untuk tidur. Tidur sambil peluk bantal. Ini dia, tidur sambil
peluk buku. Bagaimanalah novel-novel itu tidak merempat di katilnya jika rak
bukunya pun sudah penuh. Penuh dengan novel!
Jika
perkara lain, mungkin dia agak sedikit berkira tetapi bukan novel. Malah, dia
lebih rela tidak makan daripada tidak membeli novel yang diminatinya. Masakan
tidak, apabila sudah membaca novel, automatik dia akan lupa mengenai perkara
lain termasuk makan. Bahkan dia mempunyai peruntukan khas setiap bulan untuk
membeli novel terbaru di pasaran. Adakalanya juga dia akan meminjam dari
perpustakaan universiti.
Afia
terus bermalas-malasan di atas katil. Tiba-tiba dia teringat akan kejadian
malam tadi. Bukankah dia sedang berbalas pesanan ringkas dengan Asyraf sebelum
dia terlelap malam semalam?
Telefon
bimbit di tepi katil dicapai lantas dia melihat ke skrin. Ruangan mesej itu
kosong walaupun tertera perkataan ‘reply’. Dia membaca kembali pesanan ringkas
terakhir yang dihantar oleh Asyraf.
Kemudian,
baru dia sedar ada satu pesanan ringkas yang belum dibacanya. Juga daripada
Asyraf. Dia membaca pesanan ringkas itu.
Selamat pagi, Afia.
Semoga hari ini merupakan hari terindah awak (^_^)
Dahi
Afia berkerut. Dia melihat tarikh dan masa kiriman pesanan ringkas itu. Jam
7.26 pagi tadi. Sudah lima jam yang lalu! Adakah dia perlu membalas pesanan
ringkas itu?
“Tapi
nanti dia tahulah aku bangun lambat. Jatuhlah reputasi aku. Ah, nanti-nantilah
aku balas. Sekarang kan dah petang, bukannya pagi lagi,” Afia berkata sendiri
lantas bangkit menuju ke bilik mandi.
SKRIN
telefon bimbit Motorola itu dilihat lagi ketika dia kembali menjejakkan kaki ke
pejabat selepas solat Jumaat. Masih tiada balasan daripada Afia. Dia mengeluh
hampa.
Takkan
tak bangun tidur lagi kut? Dah pukul berapa ni? Getus hati kecilnya.
Dia
benar-benar berharap agar Afia membalas pesanan ringkasnya walaupun hanya
sekadar ‘okey’ atau ‘selamat pagi’ atau ‘hmm’ daripada diam begini. Jika Afia
tidak membalas pesanan ringkas itu, manalah dia tahu sama ada Afia membaca pesanan
ringkas itu atau tidak.
Baru sahaja hatinya hendak berbunga bahagia selepas
mendapat respons positif daripada Afia semalam, pagi ini pula perasaan bahagia
itu seolah-olah layu apabila Afia tidak membalas pesanan ringkasnya semenjak
pagi tadi. Harinya terasa tidak bermakna tanpa pesanan ringkas daripada Afia.
Adakah gadis itu berasa terganggu dengan kehadiran mesej-mesejnya?
Tetapi,
dia bukannya mengirimkan pesanan ringkas kepada Afia pada setiap masa. Dia tahu
Afia juga memerlukan ruang dan masa untuk bersendirian atau bersama
kawan-kawannya. Justeru, dia hanya mengirimkan pesanan ringkas itu pada waktu
malam.
Cuma
pada pagi tadi, dia tergerak hati hendak mengirim pesanan ringkas kepada Afia.
Sebagai semangat untuk memulakan hari barunya. Sayangnya, Afia tidak membalas
pesanan ringkas itu. Ah, adakah dia sudah gila bayang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan