KETIKA
mereka tiba di kolej, dewan makan sudah hampir hendak tutup. Justeru, mereka
sepakat untuk makan di DML sahaja, yakni singkatan daripada Warung Di Mana
Lagi. Salah sebuah warung yang bertapak di belakang kolej mereka semenjak
kampus itu dibuka. Walaupun ada lebih daripada tiga buah warung di situ, tetapi
nama itu lebih diingati kerana namanya yang ringkas dan mudah disebut.
Seperti
yang dijangka, Syukri yang mengambil pesanan mereka walaupun sebenarnya dia
bukanlah pekerja tetapi bos yakni pemilik warung tersebut. Dia hanya menjadi
tukang ambil pesanan khas untuk Afia sahaja.
Ezlyn
dan Noni sengaja membiarkan Syukri mengambil pesanan Afia dahulu sambil mata
masing-masing menjeling ke arah Afia dengan seribu satu makna. Masing-masing
sudah membuat spekulasi sendiri.
“Karet susu dengan kuetiau bandung,” ujar Afia tanpa
mengambil masa yang lama.
Afia
lega apabila Syukri mengalihkan perhatian kepada Yusri untuk mengambil
pesanannya. Dari tadi, mata Syukri tidak lepas daripada merenungnya. Naik seram
dia dibuatnya.
Tidak lama kemudian, minuman dan makanan mereka pun tiba
di meja mereka. Namun makanan itu tidak sama seperti apa yang dipesan oleh
mereka sebentar tadi.
“Aku minta nasi goreng kampung kan tadi?” Yusri melihat
ke pinggannya. Nasi goreng itu penuh dengan sayur campur. Jika dia tidak silap,
itu nasi goreng Cina. “Ni bukan nasi goreng kampung, kan?”
“Aku pun minta nasi goreng USA tapi ni nasi goreng
pattaya,” Ezlyn pula merungut. “Kau punya betul, Noni?”
“Salah juga,” jawab Noni.
Ezlyn, Noni dan Yusri melihat ke arah Afia yang sedang
enak menjamu selera. Selepas beberapa suapan, Afia mula menyedari yang dirinya
diperhati lantas dia mengangkat muka memandang teman-temannya.
“Apa?”
“Betul ke kau pesan kuetiau bandung tadi?” tanya Ezlyn,
seperti tidak berpuas hati.
“Betullah,” jawab Afia sebelum kembali menjamah makanannya.
Entah apa motif mereka bertanyakan soalan itu. Bukankah mereka juga sudah
mendapat makanan yang dipesan tadi?
“Tengok tu, kau orang. Macam mana makanan Afia seorang aje
yang betul?” Ezlyn, Noni dan Yusri saling berbalas pandangan, tidak berpuas
hati.
“Syukri tu memanglah. Pada Afia aje dia beri perhatian.
Ni aku tak puas hati ni,” Yusri pura-pura marah.
“Bukan
ke dia ada tulis tadi?” tanya Noni.
“Entah-entah dia main tulis aje,” balas Ezlyn.
“Dah tu, kau orang nak tukar tak?” Yusri sudah berkira-kira
hendak memanggil pekerja di situ.
“Mestilah. Aku dah terbayang nasi goreng USA tadi,” ujar
Ezlyn.
“Bang!” Yusri memanggil seorang pemuda lain yang baru
sahaja mengambil pesanan di meja sebelah dan memberitahu masalah mereka. “Tadi
kita orang pesan lain tapi dapat lain.”
“Kau orang pesan apa?” tanya pemuda itu.
Yusri menyebut satu per satu makanan yang telah dipesan
tadi. Pemuda itu mencatat pesanan itu pada buku nota kecil di tangannya.
“Jadi yang ni bukanlah?”
“Bukan.”
“Maaf ya.” Pemuda itu mengangkat dua pinggan yang tidak
berkenaan itu ke dalam.
Seketika
kemudian, dia kembali sekali lagi untuk mengambil pinggan yang satu lagi.
“Yang
ni?” tanyanya kepada Afia.
“Yang ni betul,” jawab Afia.
“Jadi nasi goreng kampung, nasi goreng USA dan nasi
paprik?” Pemuda itu membaca semula pesanan mereka bagi memastikannya sekali
lagi.
Yusri mengangguk. Seketika kemudian, makanan mereka yang
betul sampai. Mereka makan tanpa sepatah bicara.
“ALHAMDULILLAH,”
ucap Yusri sesudah makan. Kemudian, dia bersendawa kuat.
Serentak
Afia, Ezlyn dan Noni memandangnya. Yusri cuma tersengih. Bukankah dia orang
yang selamba?
“Aku
rasa nak tambah lagilah,” ujar Yusri.
Afia, Ezlyn dan Noni memandang Yusri tidak percaya.
“Kau tak kenyang lagi ke?” tanya Ezlyn. “Dah sendawa kuat
macam tu pun, boleh sumbat lagi ke? Apa jenis perutlah kau ni?”
“Entah. Aku rasa nak makan lagi. Tolong pesankan,”
ujarnya kepada Noni.
“Ah, pesanlah sendiri! Nanti dia orang ingat aku kuat
makan pula,” bantah Noni.
Melihatkan itu, dia menyuruh Afia pula. “Afia, pesankan.”
“Pesan ajelah. Buat apa kau nak malu? Bukannya percuma.
Kau bayar, bukan?” balas Afia.
“Bang, saya nak pesan... Nasi apa kau makan tadi, Lyn?”
Ayatnya tergantung seketika.
“Nasi
goreng USA,” balas Ezlyn.
“Ha,
nasi goreng USA,” Yusri berkata kepada pekerja yang berada berdekatan dengan
mereka.
“Nasi
goreng USA? Satu?”
“Satu
aje. Bukan untuk saya tau. Untuk dia.” Yusri menunjuk ke arah Noni.
Pekerja
itu seakan terkejut, kemudian tersengih.
“Isy, jahat betullah kau ni!” Noni memukul lengan Yusri
sejurus pekerja itu menghilang ke dalam.
“Aduh, sakitlah!” Yusri menggosok-gosok lengannya.
“Padan muka!” marah Noni.
AFIA
terus merebahkan tubuhnya ke katil sebaik-baik sahaja kakinya menapak ke bilik.
Tubuhnya tidak larat hendak berbuat apa-apa. Matanya dipejam celikkan. Apabila
terpandang akan telefon bimbitnya, dia mula teringat akan pesanan ringkas yang
dikirim oleh Asyraf semalam. Lantas telefon bimbit itu dicapai. Pesanan ringkas
yang dikirim oleh Asyraf semalam dibaca kembali.
Sebenarnya
dia tidak tahu hendak balas apa. Fikirnya, jika dia tidak membalas mesej itu
pun, tidak mengapa. Bukankah itu ayat penyata? Lainlah jika ayat tanya.
Tetapi
adakah Asyraf mengharapkannya membalas pesanan ringkas itu? Dia berkira-kira
hendak menekan butang ‘reply’.
“Afia...
Oi, takkan tidur dah? Jom tengok CD.”
Tiba-tiba
Noni muncul di sebelahnya. Temannya itu sudah siap mandi dan memakai baju tidur
dalam masa tidak sampai 15 minit dari waktu mereka balik ke bilik tadi.
“Aku
tak laratlah,” dalih Afia. Dia sudah terlentok di atas katil. “Lyn buat apa?”
“Mandi.
Jomlah tengok CD,” ajak Noni lagi.
“Malaslah.
Aku nak tidur.”
“Tak
mandilah tu,” usik Noni.
“Alah,
esok pagi ajelah aku mandi. Jimat air.” Itulah skema jawapan Afia apabila dia
sering ditegur oleh Ezlyn dan Noni kerana dia tidak suka mandi malam.
Alasannya, tidak elok mandi malam. Tidak baik untuk kesihatan.
“Isy,
mengalahkan kerbau. Kerbau pun tahu mandi tau.”
Noni
baru sahaja hendak melangkah dari situ apabila Afia memanggilnya. Noni tercegat
sambil menantikan apa yang hendak dikatakan oleh Afia.
Nak
tanya ke tak ya? Boleh percaya ke Noni ni? Nanti mesti dia beritahu Lyn pula. Detik
hati Afia.
“Night...” ucap Afia walaupun bukan itu
yang hendak dikatakannya.
“Night,” balas Noni.
Ya,
itulah jawapannya! Hanya sepatah perkataan. Kenapalah dia tidak terfikir?
Sorry tak balas SMS
awak semalam. Sibuk sikit. Ni pun baru aje balik dari KL.
BERULANG-ULANG
kali dia membaca kiriman pesanan ringkas itu. Seakan-akan tidak percaya yang
dirinya tidak bermimpi. Akhirnya, penantiannya berakhir.
Dek
kerana terlalu kegembiraan, tanpa sedar dia menjerit dan terlompat-lompat
tatkala mendapat kiriman pesanan ringkas itu seusai pulang dari makan malam
bersama Mak Mi, Pak Cik Haikal dan Aqilah tadi.
Mak
Mi dan Pak Cik Haikal hanya berbalas pandangan sesama sendiri. Mungkin terkejut
dengan jeritan Asyraf yang secara tiba-tiba itu. Namun tidak pula mereka
bertanya.
Asyraf
bingkas melangkah ke biliknya. Dia berbaring di katil sambil membaca kiriman
pesanan ringkas itu untuk yang ke sekian kali.
Walaupun
bukan ucapan bertanya khabar atau berkenaan dengan dirinya, namun sudah cukup
membuatkan hatinya berbunga bahagia. Itu tandanya gadis itu masih sudi
berhubung dengannya. Justeru, dia nekad akan mengirimkan pesanan ringkas ucapan
selamat malam pada setiap malam kepada gadis itu bermula pada saat itu.
As
the day turns into night, keep your worries out of sight…
No
matter how tough the world may seem…
You
still deserve the sweetest dreams. Good night.
“APA
kenalah mamat ni? Salah hantar mesej ke?”
Afia
tidak jadi hendak tidur apabila menerima balasan pesanan ringkas daripada
Asyraf. Seperti malam semalam, kali ini juga lelaki itu menghantar pesanan
ringkas semata-mata hendak mengucapkan selamat malam kepadanya.
“Dia
ni tak betul ke apa? Ataupun dia tak ada kerja? Ataupun dia kesunyian dan tak
ada sesiapa yang nak layan dia main mesej? Tapi, kenapa aku pula yang
dipilihnya? Takkan dia dah syok pada aku pula? Ee, perasannya aku! Tapi, mana
ada kawan biasa yang hantar mesej ucap selamat malam macam ni. Lagipun, aku
bukannya siapa-siapa dengan dia. Nak balas ke tak ni, ya?”
Afia
berkira-kira sendiri. Jika dia membalas pesanan ringkas itu, pasti mereka akan
terus berbalas pesanan ringkas sedangkan badannya sudah letih dan sekali gus
menyebabkan kepalanya tidak mampu untuk berfikir.
Tetapi
jika dia tidak membalas pesanan ringkas itu, pasti dia tidak dapat tidur dengan
lena kerana tidak tahu apa motif Asyraf mengirim pesanan ringkas selamat malam
kepadanya. Dia tidak suka berada dalam keadaan tertanya-tanya.
Awak ni kenapa? Rajin
sangat hantar mesej selamat malam. Kalau tak ada perkara penting, tolonglah
jangan kacau saya. Saya tak suka.
Selepas menaip bait-bait ayat itu, dia terus menekan
butang ‘hantar’. Dia tidak peduli jika Asyraf terasa hati atau tersinggung
dengan kata-katanya itu. Mereka bukannya kenalan rapat. Jumpa pun baru sekali.
Jadi, rasanya tiada sebab dia perlu menjaga hati lelaki itu.
Jika Asyraf tidak mahu membalas mesejnya terus pun, dia
tidak kisah. Lagi baik. Kreditnya juga tidak terbuang dengan mesej-mesej yang
remeh-temeh. Namun tidak lama kemudian, mesejnya dibalas oleh Asyraf.
Saya mintak maaf kalau
mesej saya mengganggu awak. Saya tak ada niat lain melainkan nak berkawan
dengan awak aje. Saya nak kenal awak dengan lebih rapat. Boleh?
Afia terkedu seketika selepas membaca pesanan ringkas
balasan Asyraf.
“Sah!
Dia dah jatuh cinta dengan aku. Tapi macam mana dia boleh terpikat dengan aku
yang tak pandai bergaya apatah lagi bermekap ni? Ee, perasannya kau ni, Afia!
Bukan ke dia kata nak kawan aje?” Afia mengutuk dirinya sendiri.
Walaupun dia tidak mempunyai teman lelaki, tetapi dia pun
tidaklah terdesak sangat hendak mempunyai teman lelaki sampaikan sanggup
menerima sesiapa sahaja yang datang menghulurkan cinta kepadanya. Kalau tidak,
pasti sudah lama dia menerima Syukri.
Hendak
kata dia terlalu memilih, tidak juga. Tetapi baginya, selagi dia tidak berjumpa
dengan mana-mana lelaki yang mampu membuatkan hatinya mengalun melodi cinta,
selagi itulah dia tiada keinginan untuk bercinta.
Tiba-tiba
dia terkenangkan Faiz, teman sekelasnya di sekolah menengah. Faiz sentiasa
melayannya dengan baik, malah lelaki itu tidak pernah menghampakan setiap
permintaannya. Semua kehendaknya dipenuhi tanpa rasa terpaksa. Setiap kali dia
bersedih, lelaki itu pasti ada untuk menceriakannya dan apabila dia patah
semangat, lelaki itu selalu ada untuk menyokongnya.
Lantaran
tidak pernah mendapat layanan sebegitu daripada mana-mana lelaki, hatinya mula
tersentuh. Dia jatuh cinta kepada Faiz. Sangkanya, Faiz juga merasai perasaan
yang sama. Jika tidak, masakan Faiz melayannya sebegitu sekali?
Namun,
ternyata andaiannya itu salah. Rupa-rupanya sikap Faiz memang begitu. Semua
perempuan pun dia layan mesra. Dia jadi malu sendiri.
Selepas
melanjutkan pengajian ke universiti, mereka sudah jarang-jarang berhubung
lantaran jarak dan kesibukan. Dia di UiTM Puncak Perdana, Shah Alam manakala
Faiz pula di Sarawak. Namun begitu, Faiz tidak pernah sekalipun gagal
mengirimkan pesanan ringkas pada setiap kali hari jadinya.
Afia
tidak menyalahkan Faiz kerana dia sendiri pun jarang-jarang menghubungi lelaki
itu. Jarak dan kesibukan itu cuma alasan. Sebab utamanya adalah kerana dia
tidak mahu dituduh sebagai orang ketiga tatkala mengetahui lelaki itu sudah
menemui idaman hatinya di bumi Sarawak ketika mereka berada dalam semester
kedua.
Biarlah
dia berduka asalkan orang yang disayanginya itu bahagia. Dia pasrah andai sudah
ditakdirkan lelaki yang bernama Faiz itu bukan untuknya. Habis, siapa nama
lelaki yang ditakdirkan untuknya?
Syukri?
Mungkin tidak. Loghat Sabah Syukri yang pekat itu adakalanya membuatkan dia
tidak faham apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Jadi, macam mana mereka hendak
menjalinkan hubungan jika komunikasi pun tidak sampai?
Asyraf?
Alamak, lupa pula!
Afia
mula tersedar yang dia belum membalas pesanan ringkas terakhir Asyraf tadi.
Otaknya segera mengarang-ngarang ayat sambil jari-jemarinya laju menekan-nekan
kekunci telefon bimbit Nokia itu.
Selepas
menekan butang ‘hantar’, dia menanti seketika. Satu minit. Dua minit. Tiga
minit. Tiga puluh minit. Masih tiada jawapan daripada Asyraf.
“Hai,
mana pulak dia ni? Takkan dah tidur kut?”
Afia
melihat jam yang tertera pada telefon bimbitnya.
“Baru
pukul 10.00 malam. Tak pun, merajuk? Isy, gedik betul nak merajuk-rajuk! Ah,
biarlah! Bukannya aku rugi apa-apa pun.”
Afia
tidak mahu terlalu berharap lantas dia memejamkan mata, bersedia untuk berlayar
ke alam mimpi. Namun ketika mimpinya baru hendak berlabuh dek rasa mengantuk
yang menguasai diri, suatu pesanan ringkas menjengah telefon bimbitnya. Dia
membacanya sekilas sebelum matanya benar-benar tertutup.
Sorry, Afia. Saya mandi
dan solat tadi. Terima kasih sebab sudi berkawan dengan saya
(^_^)
ASYRAF
membalas pesanan ringkas terakhir itu sambil tersenyum bahagia. Nampak gayanya,
kali ini sudah lebih daripada satu pesanan ringkas. Ada harapan ni!
Bagi
Asyraf, dia tidak kisah jika Afia tidak pandai bergaya seperti gadis-gadis yang
lain. Asalkan pakaiannya sopan dan menutup aurat, itu pun sudah mencukupi
syarat. Dia juga tidak kisah jika Afia tidak tahu bersolek asalkan wajahnya itu
asli dan semula jadi, bukan atas bantuan kosmetik atau suntikan surgeri.
Walaupun perwatakan Afia adakalanya nampak sedikit kasar
tetapi dia tahu Afia bukanlah tomboi. Dia masih mengamalkan cara hidup gadis
timur. Buktinya, Afia masih ada perasaan malu ketika bersamanya. Ketika mereka
berbual-bual, dia perasan Afia tidak berani bertentang mata dengannya. Setiap
kali dia memandang Afia, pasti gadis itu akan melarikan pandangannya ke arah
lain.
Tanpa
sedar, bibirnya mengukir senyuman apabila mengingati pertemuan mereka di gerai
UiTM Puncak Perdana itu. Alangkah indahnya jika pertemuan sebegitu dapat
berulang selalu.
Selepas beberapa ketika menanti balasan pesanan ringkas
Afia, Asyraf mengagak yang Afia mungkin sudah tidur. Mengenangkan itu, dia juga
bersiap-siap untuk tidur. Matanya dipejamkan bersama senyuman yang terukir di
bibirnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan