Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 27, 2012

Mak Tiri dan Si Epal Hijau 1


“AHMAD DANISH HAIKAL.”

            Nama yang asing itu meniti di bibirnya seraya pandangan matanya melilau memerhatikan setiap wajah yang berada di dalam dewan kuliah itu. Entah macam manalah orangnya.

            Ketika dia mendapat tahu bahawa tuan punya nama itu akan menjadi pasangannya untuk subjek Pengiklanan sepanjang semester itu, dia berkeras tidak mahu. Bermacam-macam alasan yang diberikan agar Puan Zabeda membenarkan dia memilih pasangannya sendiri. Namun siapalah dia untuk membantah pensyarah yang amat dikenali dengan sikap tegasnya itu.

Kata Puan Zabeda, beliau sengaja memadankan mereka dengan orang yang mereka tidak kenal atau rapat agar mereka dapat mengenali orang lain dan tidak terikat dengan kawan-kawan yang sama saja setiap semester.

Menurut Puan Zabeda lagi, beliau mahu melatih mereka bekerja dengan orang yang tidak dikenali kerana apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan nanti, mereka tidak boleh memilih dengan siapa mereka mahu bekerja.

Sebenarnya, dia tidak kisah sangat bekerja dengan sesiapa pun asalkan orang itu okey dan boleh buat kerja. Namun apa yang dia dengari tentang manusia yang bernama Ahmad Danish Haikal ini adalah sebaliknya.  

Menurut rakan-rakannya, pelajar lelaki itu kerap tidak hadir ke kelas. Atas sebab apa, tiada sesiapa pun yang tahu. Namun yang ajaibnya, dia masih dapat bertahan hingga semester empat. Pasti pelajar lelaki itu bukan calang-calang orang.

Memandangkan pelajar lelaki itu sering tidak hadir, tidak ramai yang mengenalinya. Ada atau tiada, sama saja. Jika bukan kerana tugasan, dia juga tidak terfikir untuk mencari pelajar lelaki itu. Tambahan pula, dia bukanlah orang yang suka mengambil tahu akan perihal orang.

Mujur teman baiknya, Irwan, mengenali Danish. Apabila diberitahu oleh Irwan bahawa Danish berada di situ, dia terus bergegas ke situ. Maklum saja, jika dia tidak mengambil kesempatan itu, entah bila pula dia dapat berjumpa dengan Danish sedangkan tarikh akhir untuk menghantar projek mereka semakin hampir.

Dia tidak tahu sama ada Danish mengetahui atau tidak yang mereka adalah pasangan untuk tugasan itu kerana hingga ke hari itu, Danish tidak pernah mencarinya. Jadi, nak tak nak, terpaksalah dia menebalkan muka untuk menjejaki Danish.

Kata Irwan, Danish seorang yang bertubuh kurus dan tinggi. Mudah dikenali lantaran dia gemar memakai snow cap. Ya, snow cap! Nah, itu pun dia!

Pandangan mata Eisya tertancap pada seorang pelajar lelaki yang memakai snow cap yang sedang duduk di barisan belakang sekali. Betul ke ini orangnya? Fikirnya sendiri. Namun dalam tertanya-tanya itu, kakinya melangkah juga menghampiri pelajar lelaki itu.

Dia tercegat di hadapan pelajar lelaki itu tetapi pelajar lelaki itu seolah-olah tidak menyedari kehadirannya. Dia berasa seperti tunggul pula apabila pelajar lelaki itu tekun menulis di mejanya tanpa mengangkat muka. Nampak gayanya, terpaksalah dia bersuara.

“Awak ni Danish, kan?” Mahu tidak mahu, terpaksalah Eisya memulakan langkah dahulu. Jika tidak, sampai sudahlah tugasan mereka tidak siap. Jika tugasan mereka tidak siap, dia juga yang susah. Tidak pasal-pasal, dia harus mengulang subjek pada semester depan pula nanti!

Pelajar lelaki yang dikenali sebagai Danish itu mengangkat muka. Wajahnya tenang saja.

Eisya mengamati wajah itu. Tidaklah hensem mana pun. Kulitnya juga tidak berapa cerah tapi masih dalam kategori sedap mata memandang. Rambutnya pula ditutupi dengan snow cap yang dipakainya.

Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Danish menjawab, “Ya, saya.”

“Saya Eisya, partner awak untuk subjek Pengiklanan.” Eisya memperkenalkan diri.

“Ooo...” Wajah Danish masih mempamerkan reaksi tenang.

Oooo? Itu saja? Eisya menunggu kata-kata balasan daripada Danish. Mungkin Danish ada sesuatu yang nak dicakapkan namun setelah dua minit menunggu, Danish masih tidak bersuara dan hanya memandangnya. Memang cuma ‘ooo’ saja.

“Kita kena bincang pasal assignment tu,” kata Eisya sebaik-baik saja dia teringat akan tujuan dia menemui Danish di situ.

“Okey,” jawab Danish sepatah.

Seperti tadi, hanya sepatah perkataan yang keluar daripada mulut Danish. Eisya mula nampak bibit-bibit kesukaran untuk bekerjasama dengan Danish. Sepatah ditanya, sepatah juga yang dijawab.

Aduh, entah macam manalah dia nak bekerjasama dengan Danish sepanjang semester ini!

 
 

KERUSI itu ditarik kasar. Dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi itu. Wajahnya jelas mempamerkan riak tidak puas hati. Tindakannya itu menimbulkan tanda tanya kepada dua rakannya yang sedang minum di kafe itu.

            “Hai, marah nampak. Apa cerita? Kau jumpa tak dengan budak Danish tu?” tanya Irwan.

            “Jumpa,” jawab Eisya dengan acuh tak acuh. Dia mencapai gelas Syella yang berisi limau ais lalu disedut rakus. Mudah-mudahan minuman itu dapat menyejukkan hatinya yang sedang mendidih tatkala itu.

            Syella membiarkan saja. Dia sudah malas hendak menegur sikap Eisya yang satu itu. Saat itu dia lebih teruja hendak tahu tentang pasangan tugasan Eisya. “Handsome tak Danish tu?”

            “Kalau handsome pun tak guna kalau bisu,” jawab Eisya.

            “Hah? Bisu?” Syella kehairanan. Dia memandang Irwan, Irwan hanya menjungkit bahu.

“Kenapa? Dia tak okey ke?” tanya Irwan. Setahunya, Danish tidaklah seteruk mana. Dia kenal Danish.

            “Okey apa, sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Bosan aku,” adu Eisya.

Geram benar hatinya apabila mengingati pertemuan dia dengan Danish tadi. Danish lebih senang membiarkan dia mendominasi perbualan sedangkan pemuda itu lebih banyak mendiamkan diri hingga membuatkan dia bosan.

Nama pun kerja berpasangan, jadi dia mengharapkan Danish dapat memberikan idea atau pendapat. Jika Danish hanya mengikut idea dan pendapatnya, lebih baik dia tidak perlu ada pasangan. Buat sorang-sorang lagi baik!

            “Alah, dia memang pendiam. Tapi lama-lama nanti, okeylah tu. Kau bagilah dia masa.” Irwan cuba menyedapkan hati Eisya.

            “Entahlah. Dahlah, tak payahlah cerita pasal dia,” balas Eisya. Buat menambah dosa saja. “Korang punya projek macam mana? Okey?”

            “Mestilah okey, tengoklah partner aku siapa,” ujar Irwan seraya menjeling ke arah Syella.

Syella cuma tersenyum nipis. Bimbang Eisya tersinggung.

            “Eleh, berlagak.” Eisya cuba berlagak biasa walhal sebenarnya dia berasa cemburu dengan mereka berdua.

Mereka berdua sudah saling mengenali, jadi pastilah tiada masalah untuk bekerjasama. Tambahan pula, dia sememangnya tahu yang Irwan menaruh hati pada Syella. Hanya Syella yang masih berbuat tidak tahu. Namun dia kagum kerana mereka berdua masih boleh bekerjasama dengan baik, malah bergelak ketawa seperti sekarang.

Ah, cemburunya dia melihat mereka! Tidak seperti dia dengan Danish. Kalaulah dia mendapat pasangan yang serasi, bukan ke bagus?
 


*Nota
Cerita ni saya ubahsuai daripada e-novel Cinta Yang Aku Mahu. Jadi, nama-nama wataknya adalah sama.
 

Tiada ulasan: