Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 22, 2012

Cinta Gantung (Bab 12)

“OI, Ash!”
Sergahan yang disertai dengan lambaian tangan di hadapan matanya itu membuatkan dia tersentak. Dia mendongak memandang pemilik suara itu. Kelihatan Reza, teman sepejabat yang juga merangkap teman sebelah mejanya sedang berdiri di hadapannya.
“Kenapa dengan kau ni? Dari tadi aku tengok kau asyik dok tenung telefon tu aje. Tunggu panggilan daripada seseorang ke?” usik Reza.
            “Isy, kau ni! Kalau ya pun, bagilah salam dulu. Ni, main redah aje. Nasib baik jantung aku ni kuat lagi tau!” balas Asyraf demi menutup perasaan malunya.
Pasti Reza sudah memerhatikan kelakuannya sejak dari tadi. Kalaulah Reza tahu apa yang bermain dalam benaknya, pasti dia ditertawakannya.
            “Kau tu yang tak dengar aku panggil. Yalah, asyik dok pandang telefon tu aje, mana nak sedar keadaan sekeliling. Kau nak pergi makan ke tak ni?” soal Reza yang sudah pun bersiap untuk keluar makan tengah hari.
            “Eh, dah masuk waktu makan tengah hari ke?”
Asyraf melihat jam yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Digit 1.05 tertera pada skrin itu. Maknanya sudah lima minit waktu makan tengah hari berlalu.
            “Hai, waktu makan pun lupa? Biasanya kau yang selalu gesa aku suruh cepat bila tiba waktu makan tengah hari. Pelik. Kau tak sihat, ya?” Reza menebak. Jarang benar Asyraf terlupa tentang waktu makan tengah hari.
            Sorry, aku tak sedar. Jom!” Asyraf bingkas.
Entah macam mana dia boleh terlanjak waktu makan tengah hari sedangkan waktu makan tengah harilah yang paling ditunggunya selain daripada waktu balik kerana dia kurang suka berada di pejabat itu.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia berhenti kerja dan melakukan kerja yang diminatinya. Namun apabila memikirkan tentang pendapatan setiap bulan dan perbelanjaan seharian, terpaksa juga dia melawan rasa tidak minat itu bagi melakukan kerja itu.
Bagi melawan rasa itu, setiap hari ketika hendak ke pejabat, dia menanamkan azam dalam diri bahawa kerja adalah suatu kemestian dalam hidup. Bekerja untuk mencari nafkah demi menyara kehidupan seharian. Soal minat atau tidak, perlu ditolak ke tepi.
            Jika boleh, dia juga mahu mencari pekerjaan yang lebih tinggi gajinya. Namun dalam waktu yang sama, dia juga inginkan kerja yang mempunyai waktu kerja yang tetap seperti kerjanya sekarang supaya dia mempunyai masa untuk melakukan kerja yang dia minat pada waktu terluang.
Ketika berada di kedai makan, dia melihat telefon bimbitnya sekali lagi sementara menantikan makanan yang dipesan tiba. Masih tiada sebarang pesanan ringkas yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu.
Macam mana kalau Afia tidak membalas kiriman pesanan ringkasnya kerana gadis itu memang tidak mahu berkawannya? Maklumlah dia cuma berkelulusan SPM, apatah lagi jika Afia tahu yang dia hanya seorang kerani.
Asyraf mengeluh hampa apabila mengenangkan kemungkinan itu.

 


SELEPAS menunaikan solat zohor di surau, Asyraf kembali ke mejanya. Dia melihat telefon bimbitnya yang ditinggalkan di atas meja selepas kembali dari makan tengah hari bersama Reza tadi. Masih tiada apa-apa pesanan ringkas.
Biarlah. Mungkin aku akan lupakan dia bila aku sibuk. Fikir Asyraf.
Telefon bimbit itu diletakkan di sebelah komputer lantas dia cuba menumpukan perhatian terhadap kerja-kerjanya di pejabat. Namun tidak sampai setengah jam, motivasinya kembali menurun. Fikirannya tidak tenteram.
Dia memandang telefon bimbitnya. Berharap telefon bimbit itu akan berbunyi atau sekurang-kurangnya bunyi pesanan ringkas.
Dan tidak lama kemudian, doanya dimakbulkan. Telefon bimbit itu berbunyi. Pantas tangannya mencapai telefon bimbit itu untuk menjawab.
Namun apabila dia melihat nama si pemanggil, dia jadi berang.
“Jangan main-mainlah, Reza!” marahnya kepada teman di meja sebelahnya. Rupa-rupanya temannya itu yang menelefon.
Reza cuma tergelak melihat reaksi Asyraf.
“Janganlah marah. Aku cuma kesian tengok kau dok tenung telefon tu dari pagi tadi. Masa makan tengah hari tadi pun, macam tu juga. Jadi, aku pun telefonlah.”
Asyraf merenung temannya itu tajam.
Reza membuat isyarat tangan, tanda memohon maaf.
Asyraf kemudian kembali menumpukan perhatiannya terhadap kerja. Namun ketika dia sudah dapat menumpukan perhatian terhadap kerja, telefon bimbitnya kembali berbunyi.
Tanpa memandang telefon bimbit itu, dia bersuara keras, “Dahlah, Reza. Jangan main-main.”
Tiada sahutan daripada Reza, malah telefon bimbit itu tetap berbunyi. Asyraf memandang meja Reza di sebelahnya. Tiada sesiapa di situ. Telefon bimbit Reza pula ditinggalkan di atas meja. Mungkin Reza ke surau untuk bersolat.
Memikirkan itu, Asyraf mencapai telefon bimbitnya. Nombor yang tertera pada skrin telefon bimbitnya itu membuatkan hatinya berdebar kencang.
 

 

“KENAPA tiba-tiba aje Acap ajak kami makan kat luar ni?” tanya Mak Mi ketika mereka sekeluarga selesai membuat pesanan masing-masing tatkala tiba di restoran itu.
Asyraf amat pasti yang perkara itu menimbulkan tanda tanya kepada ibu saudaranya itu memandangkan petang tadi tiba-tiba sahaja dia menelefon Mak Mi dan memberitahu yang Mak Mi tidak perlu memasak untuk makan malam, malah Asyraf menyuruh mereka sekeluarga bersiap untuk makan malam di luar.
            “Saja,” balas Asyraf sambil bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
Hanya Tuhan yang tahu perasaannya pada ketika itu. Sememangnya dia tidak dapat menahan perasaan gembiranya selepas menerima berita pada petang tadi. Akhirnya, impiannya hampir tercapai.
            “Acap dapat naik gaji ke?” tanya Pak Cik Haikal pula.
            “Taklah,” jawab Asyraf.
            “Abang Acap dapat naik pangkat?” Aqilah pula cuba menebak.
            “Pun tak.”
            “Habis tu?” Aqilah mencebik kerana tekaannya juga tidak mengena.
           Asyraf tersenyum memandang ketiga-tiga orang yang telah banyak mengisi hari-harinya sejak tujuh tahun yang lalu itu. Kasihan pula dia melihat wajah mereka yang tertanya-tanya itu lantas dia memutuskan untuk berterus terang sahaja.
Siapa lagi yang dia ada untuk berkongsi kegembiraan itu? Abang long dan abang ngahnya? Jangan haraplah mereka hendak mengambil tahu. Masing-masing lebih mengutamakan urusan kehidupan masing-masing daripada dirinya. Mungkin kerana mereka beranggapan yang dia sudah cukup dewasa untuk menguruskan kehidupan sendiri.
“Petang tadi Acap dapat panggilan telefon daripada sebuah syarikat penerbitan. Dia orang berminat nak terbitkan komik Acap,” ujar Asyraf.
Wajahnya jelas menggambarkan perasaan gembiranya. Pasti berita ini dianggap remeh bagi orang lain, tetapi tidak baginya apabila sesuatu perkara itu melibatkan masa hadapan dan impian yang tertunda.
            “Betul ke, Acap? Syukur alhamdulillah.” Mak Mi menyambut berita itu dengan gembira. Dia tahu sudah lama anak saudaranya itu menyimpan impian yang satu itu, malah dia menyaksikan sendiri kesungguhan Asyraf.
            “Bila nak keluar komiknya?” Pak Cik Haikal turut gembira dengan berita itu.
Asyraf tahu, walaupun ayah saudaranya itu tidak pernah mendorong, tetapi dia juga tahu yang ayah saudaranya itu tidak pernah menghalang cita-citanya itu. Pak Cik Haikal memberikan kebebasan sepenuhnya kepadanya untuk menentukan masa hadapannya sendiri. Asalkan pekerjaan itu tidak melanggar batas-batas agama, tiada sebab untuk ayah saudaranya itu melarang.
            “Dia orang kata kalau tak ada aral melintang, insya-Allah bulan depan ni,” jawab Asyraf dengan teruja. Panggilan telefon yang diterima pada petang tadi masih terbayang-bayang dalam fikirannya. Terasa segala penat lelah dan penantiannya selama ini berbaloi.
Sejujurnya bulan depan itu dirasakan terlalu lama, namun dia tahu dia masih perlu bersabar. Bukankah hero selalunya muncul lewat? Begitu juga dengan kualiti yang baik. Jadi, biarlah lambat asalkan produk yang dihasilkannya itu nanti memuaskan hati. 
            “Jadi, Abang Acap akan jadi terkenallah ya?” celah Aqilah sambil mulutnya mengunyah nasi putih yang dicampur dengan kuah tomyam.
            Asyraf cuma tersenyum. Soal terkenal atau tidak, itu bukan perkara utama baginya. Yang penting, dia dapat merealisasikan impiannya selama ini. Dia percaya soal rezeki.
            “Jadi, Acap akan berhenti kerja ke?”
            “Eh, taklah, Mak Mi. Acap akan terus kerja dan tinggal kat Kajang ni. Melukis komik ni sambilan aje,” terang Asyraf.
Dia bersyukur kerana doanya selama ini telah dimakbulkan oleh Tuhan. Impiannya hampir terlaksana. Alangkah bagusnya jika dia dapat berkongsi kegembiraan ini dengan seseorang yang dicintai.
Dalam pada itu, dia teringatkan Afia. Mengapa Afia masih belum membalas mesejnya? Adakah Afia benar-benar sibuk atau sememangnya Afia tidak berminat hendak berkawan dengannya?

Tiada ulasan: