SELEPAS
hampir satu jam menunggu, akhirnya mereka dapat menarik nafas lega apabila bas
yang seterusnya tiba di perhentian bas kampus itu. Tanpa membuang masa, Afia,
Ezlyn, Noni dan Yusri mengambil tempat masing-masing di dalam bas.
Sekurang-kurangnya dapat jugalah penyaman udara bas itu menyejukkan hati mereka
yang terbakar dek kelewatan Yusri tadi.
Seperti
biasa, Ezlyn dan Noni akan duduk bersama manakala Afia pula lebih memilih untuk
duduk seorang diri daripada duduk bersama Yusri memandangkan masih banyak
tempat duduk yang kosong.
Bukanlah
dia tidak menyukai Yusri tetapi dia sedaya mungkin akan menjaga pergaulannya
dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Selain itu, dia juga tidak mahu dilihat
terlalu berkepit dengan Yusri kerana dikhuatiri mereka akan dilabel sebagai
pasangan kekasih pula nanti.
Maklumlah,
pelajar-pelajar di sini pantang melihat perempuan dan lelaki berbaik sedikit,
pasti mereka akan mengatakan lelaki dan perempuan itu bercinta. Lebih-lebih
lagi kerana ramai pelajar batch
mereka yang bercinta sesama sendiri. Justeru, Afia akan memastikan yang dirinya
tidak dijadikan bahan gosip seperti itu.
Mujur
hari itu hari bekerja. Jadi, tidak banyak pelajar yang menaiki bas pada
waktu-waktu begitu. Pada semester akhir ini pula, mereka tidak perlu menghadiri
sebarang kelas. Dalam seminggu, mereka hanya perlu berjumpa sekali sahaja
dengan penasihat projek masing-masing bagi melaporkan perkembangan projek
mereka di samping mendapatkan tunjuk ajar.
Pada
hari Khamis pula, mereka perlu berada di organisasi yang dipilih bagi mengkaji
dan mempelajari proses-proses bidang yang dipilih sama ada kewartawanan,
perhubungan awam, penyiaran, pengiklanan ataupun penerbitan. Berbeza dengan
latihan praktikal yang mana mereka tidak perlu menyumbangkan tenaga untuk organisasi
tersebut tetapi cuma memerhati dan melihat sendiri cara organisasi itu
beroperasi.
Pada
akhir semester nanti pula, mereka dikehendaki menyediakan sebuah laporan
mengenai pengalaman mereka di organisasi tersebut. Walaupun bunyinya kedengaran
mudah tetapi projek akhir itu jugalah yang mampu membuatkan mereka gagal
menamatkan pengajian memandangkan mereka perlu bergantung sepenuhnya pada
projek akhir itu. Jika mudah, tidak adalah pelajar yang mengulang subjek itu.
Bas
yang dinaiki oleh mereka meluncur melalui TTDI dan kemudian membelok ke Giant,
Seksyen 13. Mereka berempat sempat melelapkan mata sehinggalah Afia mengejutkan
mereka apabila bas itu berhenti di Seksyen 2, tempat persinggahan bagi bas-bas
menunggu waktu perjalanan seterusnya atau berhenti rehat untuk seketika.
“Ramainya orang. Kena berdirilah nampak gayanya,” rungut
Noni.
“Nasiblah. Pagi-pagi macam ni kan memang ramai orang,”
ujar Afia.
“Kita makan dululah,” cadang Yusri.
“Nak makan apanya? Kita kan dah lambat ni,” Ezlyn
membantah cadangan Yusri. Sudahlah mereka lambat kerana dia, ada hati hendak
makan pula lagi tu.
“Tapi aku laparlah. Nanti aku pengsan, siapa nak angkat
aku?” ugut Yusri.
Afia, Ezlyn dan Noni berbalas pandangan. Siapalah yang
larat hendak mengangkat badan Yusri yang agak berisi itu?
“SIAPA
yang nak beratur ni?” tanya Noni sejurus mereka menapak di restoran makanan
segera, Mc Donalds di KL Sentral.
Mereka
sepakat untuk makan di KL Sentral sahaja. Sekurang-kurangnya LRT tetap ada.
Tidak perlu menunggu lama seperti menunggu bas atau komuter.
“Hai, sendiri nak makan, sendiri beraturlah. Kau orang
ingat kau orang anak raja ke, nak kena layan?” sindir Yusri.
“Teruklah kau ni. Tak gentleman
langsung,” marah Noni. “Nasib baik pakwe aku tak macam kau tau.”
“Nasib baik pakwe kau tu bukan aku tau,” balas Yusri,
tidak mahu mengalah.
“Dahlah tu. Kita beli sendiri-sendiri ajelah,” Afia
mencelah. Dia rimas dengan perbalahan itu.
Dia
faham sangat dengan sikap Yusri. Yusri bukan jenis lelaki yang suka memberi
layanan istimewa kepada perempuan. Baginya, lelaki dan perempuan sama sahaja. Adakalanya
Yusri merungut kerana dia perlu melakukan segala-galanya hanya kerana dia
seorang sahaja lelaki dalam kumpulan mereka.
Sebetulnya,
Afia sendiri tidak kisah jika dia terpaksa beratur untuk membeli makanan sendiri.
Dia bukan seperti Noni. Mungkin Noni sudah biasa dilayan oleh teman lelakinya tetapi
Noni perlu ingat yang Yusri bukan teman lelakinya. Jadi, jangan haraplah Yusri
akan memberikan layanan istimewa kepadanya.
Adakalanya dia cemburu juga melihat Ezlyn dan Noni yang
mempunyai teman lelaki. Ada orang yang mengambil berat tentang mereka, ada
orang yang mengambil tahu sakit pening mereka, ada orang yang sanggup
mengeluarkan duit demi membeli keperluan mereka, malah mereka juga sering
menerima hadiah daripada teman lelaki masing-masing.
Ezlyn
pula, tiap-tiap bulan teman lelakinya akan memasukkan sejumlah wang ke dalam
akaun banknya. Maklumlah, teman lelaki Ezlyn sudah bekerja. Teman lelaki Ezlyn
tua dua tahun daripada mereka dan merupakan senior Ezlyn ketika di sekolah
menengah.
Teman
lelaki Noni pula muda dua tahun daripada mereka. Berbeza dengan Ezlyn, Noni
pula sering berhabis duit untuk teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan
tetap. Namun, kesanggupan teman lelakinya berhijrah dari Perlis ke Kuala Lumpur
semata-mata mahu berada dekat dengannya membuatkan Afia sedikit kagum.
Meskipun
begitu, Afia berasa bersyukur kerana dia mampu melakukan apa-apa sahaja
sendirian tanpa mengharapkan pertolongan orang lain terutamanya insan yang
bergelar teman lelaki.
Dia
tidak perlu risau jika teman lelakinya tiada di sisi untuk melayani kehendaknya
kerana dia mampu berdikari. Dia juga tidak memerlukan duit lelaki yang bukan
suaminya bagi menyara hidupnya.
“SIAPA
nak kentang goreng ni? Aku tak laratlah nak habiskan.”
Afia
menolak kentang goreng di hadapannya. Walaupun hanya memesan Happy Meals, namun
perutnya sudah tidak dapat diisi lagi.
“Kau ni Afia, selalu makan tak habis. Patutlah badan kau
tak besar-besar,” ujar Yusri.
“Kalau kau nak, kau ambil ajelah. Malu-malu pula,” celah
Noni.
“Betul ni? Aku ambil ni?” Yusri pantas mengambil kentang
goreng Afia.
“Iya,” balas Afia.
Mereka
bertiga semua sudah sedia maklum dengan sikap Yusri yang kuat makan itu.
Sememangnya setiap kali makan, Yusri tidak pernah cukup dengan hanya satu
hidangan. Tidak kiralah masakan apa-apa pun, dia pasti akan makan bertambah.
Mana tidaknya, lihat sahaja perutnya!
“Kalau macam nilah kan, Afia, aku rasa kau patut cari
pakwe yang boleh habiskan makanan kau sebab kau selalu makan tak habis.”
Kata-kata
Noni membuatkan Afia tersedak.
“Alah, susah-susah sangat, kau couple ajelah dengan Yusri ni. Kan senang!” Ezlyn mengenyitkan mata
kepada Noni.
Mereka sudah mulalah tu. Tidak habis-habis mahu memadankan
dia dengan Yusri. Ini bukan kali pertama mereka cuba memadankannya dengan
Yusri, tetapi sudah banyak kali.
Namun,
baik Afia mahupun Yusri, masing-masing hanya menganggap itu sebagai gurauan.
Walaupun kedua-duanya masih solo, tetapi itu tidak menjamin yang mereka berdua
saling tertarik. Tambahan pula, Yusri bukan lelaki idamannya. Malah, tidak
pernah terdetik pun di hatinya untuk bercinta dengan Yusri yang hanya dianggap
kawan.
Bukan
kerana rupa, apatah lagi kerana harta. Tetapi hatinya benar-benar tiada ruang
untuk Yusri. Bukankah hatinya sudah terisi?
Namun,
dia tidak pernah menceritakan tentang lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya
itu kepada Ezlyn dan Noni. Jika dicerita, pasti Ezlyn dan Noni akan
menyerangnya dengan berbagai-bagai soalan habis-habisan yang mana dia tidak
akan mampu menjawabnya.
Afia
mengeluh. Entah sampai bilalah mereka hendak berhenti mengusiknya? Mungkin
apabila dia sudah mempunyai teman lelaki. Tetapi entah bilalah pula dia akan
mempunyai teman lelaki?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan