“ENGKAU ni,
dari pagi sampai malam, mak tengok asyik tengok TV saja. Kau tak nak cari kerja
ke, Jiha? Sampai bila kau nak duduk rumah macam ni? Mak dengan ayah kau hantar
kau pergi belajar tinggi-tinggi supaya kau dapat bantu kami bila dah besar ni. Bukan
untuk kau goyang kaki macam ni.”
Bebelan ibunya membuatkan fokus
Najiha pada drama yang disiarkan dalam televisyen terganggu. Perasaan untuk
menonton televisyen terus mati. Dia sudah dapat menjangka apa yang akan
dikatakan oleh ibunya itu. Bukan sekali dua ibunya itu membebelkan perkara yang
sama kepadanya. Dan dia pasti bebelan itu tidak akan terhenti di situ.
“Apa nak jadi dengan kau ni, Jiha?
Siang mengadap TV, malam pula mengadap komputer sampai pagi. Tak ada kerja lain
ke yang kau boleh buat? Cuba kau tengok kakak dan abang kau, semuanya dah ada
rumah, ada kereta. Kau tak teringin ke jadi macam mereka?”
Begitulah antara bebelan ibunya. Dia
tahu ibunya mahu dia menjadi seperti kakak dan abangnya. Anak-anak yang
membanggakan ibu bapa dengan gaji mencecah lima angka setiap bulan. Ada jawatan
besar, ada rumah besar, ada kereta besar dan segala-galanya serba besar. Tetapi
dia tidak suka kerja-kerja sebegitu.
“Jiha tak suka kerja pejabat macam
tulah, mak,” omel Najiha. Sudah banyak kali dia menjelaskan perkara itu kepada ibunya
tetapi ibunya seolah-olah tidak memahami. Apa guna gaji besar jika diri tiada
masa untuk keluarga?
“Habis tu, kau nak kerja apa lagi?
Zaman sekarang kalau kau tak kerja, kau nak makan apa? Siapa nak beri kau duit?”
bidas si ibu. Seolah-olah tidak bersetuju dengan sikap anaknya yang dianggap terlalu
memilih pekerjaan itu.
“Nanti bila Jiha dah berjaya dapat
kerja tu, Jiha beritahu mak ya,” janji Najiha.
“Kerja apa yang kau buat kalau kau
asyik duduk goyang kaki macam ni?”
Najiha melepaskan keluhan. Dia tahu
tiada guna dia menerangkan kepada ibunya. Nescaya ibunya itu tidak akan
mengerti. Namun begitu, dia berazam akan membuktikan kepada ibunya yang dia
juga boleh berjaya. Dia cuma berharap ibunya dapat memberi masa kepadanya. Dia
akan pastikan ibunya berbangga dengannya suatu hari nanti.
“ADUH!” Najiha
terjerit kesakitan apabila kakinya terpijak sebuah alat permainan sebaik-baik
sahaja dia melangkah keluar dari bilik tidurnya. Nyaris-nyaris dia terjatuh.
Najiha memandang ke arah ruang tamu.
Riuh-rendah suara kanak-kanak mengisi pendengarannya. Dia menggeleng melihat
telatah anak-anak saudaranya yang sedang bermain gusti sesama sendiri. Habis
bersepah satu rumah. Dengan kusyennya bertaburan di sana sini, sofa senget,
alat permainan bertaburan di atas lantai... macam kapal karam!
Inilah yang membuatkan dia malas
hendak duduk di rumah. Fikirannya kusut dengan gelagat anak-anak saudaranya.
Bunyi bising sebegini akan mengganggu konsentrasinya terhadap
kerja-kerjanya.
Adakalanya
dia geram dengan sikap abang dan kakaknya yang seolah-olah mahu lepas tangan.
Pagi-pagi lagi sudah hantar anak-anak ke sini, apabila waktu malam baru nak ambil
anak-anak balik.
Sudahlah tidak pernah beri duit
belanja, semua urusan anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada ibu mereka. Daripada
makan, pakai sampaikan berak kencing pun ibu mereka yang uruskan. Bukannya
mereka tidak tahu yang ibu mereka sudah tua. Sepatutnya dalam usia begini, ibu
hanya berehat. Bukannya buat kerja berat.
Namun
seperti biasa, ibu mereka tetap mahu menangkan abang dan kakaknya apabila dia
menyuarakan hal itu.
“Kenapa
tak hantar ke rumah pengasuh saja?” usul Najiha pada suatu hari apabila abang
dan kakaknya meminta tolong ibu mereka untuk menjaga anak-anak mereka ketika
mereka bekerja. Kata gaji besar, takkan nak bayar duit pengasuh pun tak mampu?
“Kakak
ipar kau tak nak orang luar jaga anak-anak dia. Sekarang kan banyak kes yang melibatkan
pengasuh?” terang abangnya, Nazim.
“Ah,
alasan!” bangkang Najiha.
“Biarlah mak jaga dia orang.
Bukannya susah pun. Kau orang dulu pun mak yang jaga sendiri,” ujar Puan Normah
apabila melihat kedua-dua adik-beradik itu mula bertikam lidah.
“Memanglah tapi tu dulu, waktu mak muda
lagi.” Najiha masih tidak berpuas hati. Bukannya senang nak jaga seorang budak,
inikan pula tiga orang.
“Kau bukan tak tahu, kakak dan abang
kau tu sibuk bekerja, cari duit. Bukan macam kau, banyak sangat masa lapang.”
Kata-kata ibunya itu benar-benar
membuatkan dia terasa hati. Dia cuma risaukan kesihatan ibunya. Sejak itu, dia membuat
keputusan tidak mahu masuk campur pasal anak-anak saudaranya. Ibunya juga
seolah-olah memahami dan tidak pernah meminta bantuannya dalam menguruskan
anak-anak saudaranya itu. Namun sebagai anak, sedikit sebanyak dia kasihan juga
melihat ibunya bersusah-payah menjaga anak-anak saudaranya yang seramai tiga
orang itu.
Najiha mendapatkan ibunya di dapur. “Mak,
Jiha nak keluar sekejap ya.”
“Kau ni asyik keluar saja. Kalau kau
cakap nak pergi kerja, sedaplah sikit telinga mak mendengarnya,” balas Puan
Normah yang sedang menyiapkan makanan tengah hari untuk cucu-cucunya.
“Okey. Mak, Jiha nak pergi kerjalah
ni,” seloroh Najiha.
“Tengok tu, asyik nak main-main
saja.”
Najiha cuma tersenyum senang. Dia
menghulur tangan lalu mengucup tangan ibunya. “Jiha pergi dulu, mak.”
“CIK NAJIHA,
ini cek pertama awak,” ujar wanita di hadapannya seraya menghulurkan sekeping
cek.
Najiha
menyambut huluran cek tersebut. Dia melihat angka yang tertera pada cek
tersebut. Matanya terbeliak. Tidak percaya.
“Be...
betul ke angka ni?” tanya Najiha sambil memandang wanita di hadapannya itu.
“Betullah,
takkan tipu pula?” Wanita itu tersenyum melihat gelagat Najiha.
“Banyaknya...”
Najiha tidak menyangka kerjaya yang baru diceburinya sejak hujung tahun lalu
itu memberikan pulangan yang lumayan. Ternyata usaha kerasnya berbaloi.
“Rezeki
awak. Lagipun, hasil kerja awak memang bagus. Ramai yang menyukainya. Berbaloilah
dengan jumlah angka tersebut. Kami harap awak masih sudi bekerjasama dengan kami
lagi pada masa akan datang,” tambah wanita yang dikenali sebagai Puan Halina
itu.
“InsyaAllah, saya pun suka kerja ni.”
Najiha tersenyum lagi. Ah, begini rupanya perasaan apabila menerima wang hasil
daripada titik peluh sendiri. Kini barulah dia mengerti.
Terselit
perasaan lega dan puas dalam hatinya kerana akhirnya dia dapat membuktikan
kepada ibunya yang dia bukan duduk goyang kaki saja di rumah tanpa melakukan
apa-apa kerja yang berfaedah. Dia punya alasan tersendiri mengapa jadual
kerjanya tidak seperti abang dan kakaknya.
Dia
melihat kembali kepingan cek di tangannya. Dia terasa mahu membelikan sesuatu
untuk ibunya dengan wang itu. Tapi apa ya?
“MAK, Jiha dah
balik!” laung Najiha sejurus menapak ke dalam rumah. Dari tadi wajahnya tidak
lekang dengan senyuman. Tidak sabar rasanya untuk berkongsi berita gembira
dengan ibunya.
Namun
panggilannya tidak bersahut. Najiha berasa hairan. Sunyi sepi saja keadaan di dalam
rumah itu. Tidak seperti ketika dia keluar tadi.
Sambil
menjinjing dua beg plastik, langkah kakinya diatur ke ruang tamu. “Mak!”
“Kenapa,
mak?” Najiha segera menghampiri ibunya apabila melihat ibunya mengerang
kesakitan sambil memegang pinggang di atas sofa. Beg plastik di tangannya
diletakkan di atas meja.
“Pinggang mak lenguh,” adu ibunya
itu.
“Itulah, mak, banyak buat kerja
berat ni. Jiha sapukan minyak ya?” Tanpa menunggu jawapan ibunya, Najiha segera
mengambil sebotol minyak gamat dari dalam almari di ruang tamu itu.
“Budak-budak mana, mak?” tanya
Najiha sambil mengurut pinggang ibunya.
“Dia orang tidur kat dalam bilik.
Penat bermain agaknya,” jawab Puan Normah.
Najiha mengangguk. Apabila anak-anak
saudaranya bising, dia berasa rimas. Namun apabila mereka tiada di depan mata,
dia berasa sunyi pula.
“Apa yang Jiha beli ni?” tanya Puan
Normah apabila terlihat dua beg plastik yang berada di atas meja.
“KFC untuk budak-budak,” balas
Najiha.
“Baguslah, budak-budak tu pun tentu
lapar. Mak tak sempat masak lagi. Sekejap lagi abang kamu nak datang ambil dia
orang, mesti dia bising kalau budak-budak tu merungut lapar,” cerita Puan
Normah.
Najiha cuma mendengar. Selama ini
dia memang tidak pernah mengambil tahu akan perihal anak-anak saudaranya. Bukannya
dia membenci mereka tetapi dek kerana sikap abang dan kakaknya, dia seakan-akan
memprotes dengan meletakkan sempadan antara dirinya dengan anak-anak saudaranya
itu.
Namun entah mengapa apabila menerima
cek daripada Puan Halina tadi, dia terasa ingin membeli sesuatu untuk anak-anak
saudaranya itu lantas dia terus ke KFC. Dan anehnya, ada suatu perasaan
bercambah dalam hatinya apabila melihat anak-anak saudaranya berselera
menikmati hidangan yang dibawa itu.
Itulah
kali pertama dia melayani anak-anak saudaranya dan dia senang melakukannya. Mungkin
betul apa yang dikata orang, kita akan berasa gembira apabila membuat orang
lain gembira.
“LETAK kat
sini ya,” arah Najiha.
“Apa benda ni, Jiha?” tanya Puan
Normah seraya memerhatikan dua orang lelaki sedang mengangkat sebuah mesin
basuh ke dapurnya itu.
“Mesin basuhlah, mak,” balas Najiha,
selamba.
“Mak tahulah mesin basuh. Siapa yang
beli?” Puan Normah seakan-akan tidak berpuas hati dengan jawapan Najiha yang
dianggap main-main itu.
“Siapa lagi? Jihalah. Takkan Abang
Nazim pula?” Najiha tersenyum penuh makna.
Dahi
Puan Normah berkerut. Dia tidak percaya dengan jawapan Najiha. Dia memerhatikan
gelagat Najiha yang sedang melayan dua orang pemuda di hadapannya. Dua orang
pemuda itu akur dengan arahan Najiha.
Tidak
lama kemudian, dua orang pemuda itu pun beredar selepas menyiapkan kerja mereka.
Melihatkan itu, Puan Normah segera mendapatkan Najiha untuk kepastian.
“Betul ke kau yang beli mesin basuh
ni, Jiha?” Puan Normah bertanya lagi.
Walaupun
dia sudah menjangka akan reaksi ibunya itu namun Najiha sedikit terkejut dengan
pertanyaan ibunya yang tiba-tiba itu. “Betullah, mak. Mak tak percaya ya?”
“Mana
kau dapat duit untuk beli mesin basuh ni, Jiha? Kau bukannya kerja.”
“Duit Jihalah, mak. Mak suka tak?
Lepas ni, mak tak payahlah susah-susah lagi nak basuh baju. Cuma tekan butang
saja.” Najiha cuba mengalihkan perhatian ibunya kepada mesin basuh yang baru
dibelinya itu. Dia tidak mahu ibunya terus menyoal berkenaan sumber rezeki yang
diperolehnya.
“Kau bukannya kerja, mana kau ada
duit?” Puan Normah masih musykil. Kata-kata Najiha tadi langsung tidak melekat
dalam kepalanya. “Jangan kata kau buat kerja yang bukan-bukan. Mak takkan benarkan
benda ni ada kat dalam rumah ni kalau kau buat kerja tak baik.”
“Isy, mak ni. Takkanlah Jiha nak
buat kerja-kerja macam tu pula? Sia-sia sajalah mak dan ayah hantar Jiha
belajar tinggi-tinggi kalau Jiha tak tahu nak bezakan kerja yang baik dengan
kerja yang tak baik,” balas Najiha.
“Habis
tu, mana kau dapat duit nak beli mesin basuh ni? Mesin basuh yang canggih macam
ni mesti mahal harganya ni,” ujar Puan Normah sambil membelek-belek mesin basuh
itu.
Najiha
melepaskan keluhan. Rasanya dia perlu juga memberitahu ibunya tentang
pekerjaannya. Jika tidak, pasti ibunya tidak akan berpuas hati. Mungkin sudah
sampai masanya dia berterus terang agar ibunya tidak memikirkan yang
bukan-bukan tentang dirinya.
Najiha
memeluk bahu ibunya. “Mak nak tahu kenapa Jiha suka tengok TV dan mengadap komputer?
Jiha tengok TV dan mengadap komputer bukannya saja-saja. Jiha tengok TV untuk
dapat idea, rehatkan otak. Malam pula Jiha menaip guna komputer. Jiha tulis
buku tau, mak.”
“Buku apa yang kau tulis?”
“Mari Jiha tunjukkan.” Najiha
menarik tangan ibunya ke bilik tidurnya.
“SEMUA ni kau
yang tulis ke, Jiha?” Puan Normah seperti tidak percaya apabila melihat
buku-buku dan beberapa keratan akhbar dan majalah yang tertera nama Jiha Johari
di bilik tidur anak perempuannya itu.
“Jiha
bukan setakat tulis buku saja, Jiha juga ada menulis untuk majalah, surat
khabar... pendek kata, Jiha buat semua kerja yang memerlukan khidmat menulis.
Sebab tu kadang-kadang Jiha tengok TV atau keluar jalan-jalan untuk cari idea,”
jelas Najiha.
“Jiha
tahu kerja Jiha tak sehebat kerja abang dan kakak tapi Jiha suka kerja ni.
Lagipun, Jiha boleh duduk di rumah dan jaga mak.”
“Mak
tak kisah Jiha kerja apa pun asalkan halal. Mak bangga dengan Jiha,” ujar Puan
Normah lalu memeluk anaknya itu.
Najiha turut membalas pelukan
ibunya. Dia lega kerana ibunya tidak memandang rendah akan pekerjaannya itu.
Setelah beberapa lama mereka
berkeadaan begitu, Puan Normah meleraikan pelukan lalu bersuara, “Eh, mak nak
pergi tengok mesin basuh yang Jiha beli tadi. Memang dah lama mak teringin nak
mesin basuh macam tu.”
Najiha tersenyum melihat gelagat
ibunya itu. “Jom!”
Najiha memimpin tangan ibunya ke dapur.
Selepas ini, dia akan belikan perabot yang lain pula untuk ibunya. Itu
janjinya.
3 ulasan:
citer nie mengandungi banyak unsur pengajaran yang berguna...peringatan untuk semua anak-anak agar tidak mempergunakan kudrat ibu yang sudah tua ..tahniah :)
telalu bnyk pengajaran yg terselit dlm kisah ne dek...tahniah dr akk dek...best..
Terima kasih, Nur Fakhariah, Kak Norihan dan semua yang membaca cerpen ini :)
Untuk pengetahuan semua, cerpen ini turut tersiar dalam majalah Mingguan Wanita isu 7-13 Disember.
Catat Ulasan