Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Disember 20, 2011

Kugiran SMART (Bab 13)

Beberapa minggu kemudian...

“KAU ORANG tunggu apa lagi? Jomlah cepat. Kata lepas subuh dah nak terpacak di sana. Ni dah pukul berapa?”

Bebelan Shamsul menyentakkan lamunan Azrizal. Memanglah semalam mereka kata selepas subuh mereka sudah mahu terpacak di sana, tetapi itu cuma omong kosong sahaja. Siapalah yang hendak ke sana pagi-pagi buta begini? Entah mengapa dia tidak berasa teruja langsung dengan kemunculan hari ini. Seolah-olah hari ini tidak memberi sebarang makna kepada mereka.

Dia tidak pernah berharap hari ini akan tiba dengan secepat ini. Atau dia sahaja yang tidak menyedari masa berlalu dengan begitu pantas? Pasti remaja-remaja sebaya dengannya menanti-nantikan akan saat ini, tetapi dia pula sebaliknya. Mungkin dia belum bersedia untuk berdepan dengan kemunculan hari yang bakal mencipta sejarah dalam hidupnya ini.

“Kalau kita tak pergi, tak boleh ke?” tanya Azrizal. Rasanya tiada apa-apa yang penting untuk mereka ke sana. Pergi atau tidak, sama sahaja rasanya.

“Haah, kan? Aku pun tak rasa nak pergi,” celah Shafik.

Iqbal mengangguk berkali-kali, tanda bersetuju dengan kedua-dua temannya itu.

“Kalau kita tak pergi, macam mana kita nak tahu nasib kita?” balas Shamsul. Dia hairan melihat mereka bersikap acuh tidak acuh sedangkan hari ini adalah hari yang bakal menentukan masa depan mereka kelak.

Kata-kata Shamsul langsung tidak memberikan kesan kepada Azrizal. Bagi yang sudah berusaha untuk sampai sehingga tahap ini seperti Shamsul, pastilah mereka tidak sabar-sabar untuk mengetahui nasib mereka. Namun bagi orang seperti dia, Shafik dan Iqbal, nasib mereka sudah dapat diramal. Justeru, sama ada mereka pergi atau tidak, sama sahaja. Tiada apa-apa yang berubah.

Namun sebenarnya, dia turut merasakan debaran dalam dada. Dia sendiri tidak tahu mengapa hatinya semakin berdebar-debar. Semalaman juga dia tidak dapat tidur dengan lena apabila memikirkan nasibnya pada hari ini. Bagaimana jika dia gagal? Mungkin dia masih dapat menerimanya, tetapi bagaimana pula penerimaan ibu dan ayahnya? Apakah nasibnya selepas ini?

Semalam juga sudah berkali-kali Athira mengingatkannya supaya hadir tetapi dia tidak pasti sama ada dia perlu hadir atau tidak. Berbaloi atau tidak. Jika diikutkan hati, dia cuma mahu duduk di rumah dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang diusahakannya sekarang.

“Aku tak nak pergilah. Aku takut,” ujar Azrizal berterus terang. Dia sudah cuba menenangkan hati tetapi tidak berjaya. Degupan jantungnya juga semakin kencang.

“Aku pun tak nak pergi,” kata Iqbal pula.

“Aku pun.” Shafik juga tidak ketinggalan.

“Kau orang nak takut apa? Bukannya ada apa-apa pun. Kita pergi sekejap saja. Lepas tu, kita baliklah. Lagipun, takkan kau orang tak nak jumpa kawan-kawan kita dulu?” umpan Shamsul.

Azrizal termakan juga dengan ayat terakhir Shamsul. Kawan-kawan kita dulu? Macam mana kalau Laily datang ya? Ah, pasti gadis itu tidak akan mempedulikannya lagi! Sudah berpuluh-puluh pesanan yang dia hantar pada My Space gadis itu, tetapi langsung tidak ada balasan. Entah-entah gadis itu sudah melupakannya. Maklumlah, gadis itu sudah menjadi orang Kuala Lumpur. Manalah gadis itu hendak berkawan dengannya yang tidak ada apa-apa ini.

Tetapi dia tetap tidak percaya yang Laily adalah orang sebegitu. Laily bukan orang yang sebegitu. Dia kenal Laily dan dia percaya Laily mempunyai alasan yang tersendiri. Tetapi apa?

Mengapa gadis itu tidak membalas mesej-mesejnya? Adakah kerana gadis itu sudah ada seseorang yang istimewa, jadi dia khuatir teman lelakinya akan cemburu? Atau gadis itu terlalu sibuk membantu keluarganya? Atau gadis itu ditimpa malang dan tidak dapat menghubunginya? Apa-apa pun, dia perlu bersemuka dengan Laily untuk menuntut penjelasan.



SUASANA di pekarangan SMK Abdul Rahman Talib riuh-rendah dengan suara dan gelagat bekas pelajar Tingkatan Lima yang hadir untuk mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mereka. Setelah hampir tiga bulan tidak bersua muka, pastilah bermacam-macam cerita yang ingin dikongsi bersama. Semuanya nampak ceria dan teruja. Para ibu bapa juga tidak ketinggalan untuk turut hadir memeriahkan hari yang bersejarah dalam hidup anak mereka.

“Ma, Tya pergi sana dulu ya.” Athira meminta izin daripada kedua-dua ibu bapanya untuk menyertai kawan-kawannya yang berada di tepi dewan sejurus keluar dari kereta. Dia terjenguk-jenguk di situ seperti sedang mencari seseorang.

“Hei, Tya!”

Athira berpaling ke arah suara itu. Beberapa orang pelajar perempuan menerpa ke arahnya. Athira berasa teruja apabila dapat berjumpa semula dengan bekas kawan sekelasnya itu. Semuanya tampak lebih bergaya walaupun baru beberapa bulan mereka meninggalkan alam persekolahan. Maklum sahaja, ketika di bangku sekolah, mereka terikat dengan peraturan dan sahsiah rupa diri. Jika tudung singkat pun, akan dicatat sebagai kesalahan tidak mengikut sahsiah rupa diri memandangkan peraturan sekolah itu mewajibkan para pelajar perempuan yang beragama Islam memakai tudung yang menutupi bahagian dada.

Namun berbeza dengan waktu sekarang, tiada sesiapa yang mahu melarang mereka berfesyen atau bergaya. Hendak menggayakan tudung lilit sampai terbelitkah, hendak memakai baju berwarna-warni sampai menyilaukan pandangan matakah atau apa-apa sahaja yang disukai, semuanya terpulang kepada mereka kerana mereka sudah bebas daripada peraturan sekolah.

Namun bagi Athira, dia lebih selesa mengenakan jean dan blaus. Tidak perlu terlalu beria-ia berdandan. Jika keluar dengan Azrizal pun, dia lebih suka gaya yang sederhana, inikan pula setakat pergi ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan.

“Tya, sihat ke? Kau buat apa sekarang?” tanya salah seorang daripada mereka.

“Duduk rumah saja,” balas Athira meskipun dia terasa malu untuk mengakuinya. Mana tidaknya, tatkala kawan-kawannya berlumba-lumba menimba pengalaman bekerja, dia pula hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Pastilah dia berasa rendah diri. Nescaya mereka menganggapnya seorang gadis yang tidak mampu berdikari sedangkan dia pernah menyandang jawatan ketua kelas mereka dahulu.

“Seorang saja ke? Mana Fatin?” tanya salah seorang pelajar perempuan yang lain pula sambil melihat-lihat sekeliling. Mana tahu Fatin berada di sekitar situ kerana kebiasaannya Athira dan Fatin tidak berenggang langsung. Kawan baiklah katakan.

Wajah ceria Athira berubah keruh apabila mendengar nama itu. Jika boleh, mahu sahaja dia memadamkan nama itu daripada memorinya. Biar luput daripada ingatan dan kamus hidupnya. Buat sakit hati sahaja apabila dia mengingati kembali apa yang telah dilakukan oleh Fatin. Orang yang disangka kawan baik dan dipercayai sepenuh hati, rupa-rupanya menyimpan iri dalam diam.

Suatu ketika dahulu, mereka memang berkawan rapat. Ke mana-mana sahaja, mereka pasti berdua. Segala suka dan duka dikongsi bersama. Malah, dia sanggup membatalkan janji temunya dengan Azrizal semata-mata hendak menemani Fatin yang kononnya kesedihan selepas baru putus cinta ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat. Disebabkan hal itu juga dia bergaduh besar dengan Azrizal kerana Azrizal menganggapnya lebih mementingkan kawan daripada dirinya.

Athira masih ingat, waktu itu dia beria-ia membela Fatin sehingga hubungannya dengan Azrizal menjadi renggang. Mujur hubungan mereka masih dapat diselamatkan. Bodoh betul dirinya kerana langsung tidak mengesyaki akan rancangan jahat Fatin selama ini sehinggalah kejadian beberapa bulan lalu terbongkar. Rupa-rupanya Fatin sudah lama mahu melihat hubungannya dengan Azrizal putus dan kehadiran Shamsul digunakan sebaik-baiknya untuk menjayakan rancangannya.

Ternyata Fatin tidak ikhlas berkawan dengannya. Fatin hanya menggunakan hubungan persahabatan mereka untuk kepentingannya sendiri. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia mampu melupakan perbuatan Fatin itu atau tidak. Namun yang pastinya, dia akan lebih berhati-hati dalam memilih kawan selepas ini.

“Entah,” balas Athira pendek. Meskipun hatinya masih sakit dengan perbuatan Fatin, tetapi dia tidak mahu memburuk-burukkan Fatin. Kata orang, yang lepas biarkan lepas. Ya, tetapi bukan untuk dilupakan apatah lagi parut luka itu masih ada dan masih terasa sakitnya. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu bercakap tentang Fatin lagi.

“Mana yang lain?” Athira mengubah topik. Namun sebenarnya pertanyaan itu lebih kepada ingin mengetahui di mana Azrizal. Dari tadi, dia belum nampak bayang Azrizal. Jangan Azrizal tidak datang, sudahlah. Rasanya sudah banyak kali dia mengingatkan Azrizal semalam.

“Entah, aku pun tak nampak dia orang.”

“Belum sampai lagi kut.”

“Jomlah kita masuk dewan.”

Athira sempat melilau mencari Azrizal namun hampa. Mahu tidak mahu, dia melangkah juga mengikut kawan-kawannya ke dalam dewan.



“OI, Riz! Apa kau buat lama sangat kat dalam tu?” Shafik mengetuk pintu tandas lelaki itu bertalu-talu.

Tidak lama kemudian, Azrizal keluar dari tandas dan melangkah ke singki. Paip air dibuka. Dia membasuh mukanya berkali-kali. Dia melihat dirinya dalam cermin. Cuba menenangkan diri. Entah mengapa jantungnya tidak berhenti berdegup kencang dari tadi. Dia semakin gelisah. Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia merasakan debaran yang hebat sebegini. Hendak kata ini kali pertama dia menduduki peperiksaan, tidak pula. Tetapi inilah satu-satunya peperiksaan yang membuatkan dia berasa gementar.

“Kau okey ke tak ni?” tanya Shafik. Bimbang pula dia melihat keadaan Azrizal yang seperti sedang menunggu isteri bersalin itu.

“Aku okey,” balas Azrizal. Dia cuba menarik nafas dan menghembusnya beberapa kali. Okey, relaks, Riz. Kalau kau gagal pun, bukannya bermakna kau gagal dalam hidup. Ini cuma peperiksaan. Azrizal berbicara sendiri dalam hati. Setelah merasakan dirinya sudah tenang sedikit, dia mengajak Shafik ke dewan.



SETIBANYA di dewan, suasana riuh sudah kedengaran. Berbagai-bagai reaksi dan suara yang mengisi pendengaran. Ada yang menangis kegembiraan, ada yang berpelukan, ada yang cuba ditenangkan oleh guru dan ada yang mempamerkan reaksi kecewa. Pemandangan itu membuatkan Azrizal semakin tidak keruan. Entah bagaimana pula nasibnya?

Dia sedar dia sudah banyak membuang masa sebelum peperiksaan hari itu. Tetapi hendak menyesal sekarang pun sudah tidak berguna. Semuanya sudah lepas dan tidak mungkin mampu diputar kembali. Dia juga sudah cuba membuat yang terbaik. Mujur pada waktu itu ada Laily yang membantunya. Tiba-tiba dia teringat akan gadis itu. Matanya meliar ke sekeliling mencari wajah itu.

“Chap, kau ada nampak Laily?” tanya Azrizal sambil matanya tetap memerhatikan wajah-wajah di situ. Dia sangat berharap yang Laily akan muncul pada hari itu. Dia mahukan penjelasan daripada gadis itu.

“Kalau Laily, aku tak nampak. Tapi kalau Tya, tu ha...”

Azrizal memandang ke arah yang dikatakan oleh Shafik. Athira sedang melangkah ke arah mereka sambil tersenyum ceria. Melihatkan senyuman di bibir Athira, dia sudah dapat menjangka akan keputusan Athira. Pastilah keputusan Athira sangat cemerlang jika dibandingkan dengan dirinya. Kini baru dia sedar akan kebenaran cakap-cakap orang tentang hubungan mereka yang tidak sesuai.

“Aku pergi cari Ball dan Sham sekejap,” ujar Shafik lalu menghilang di celah pelajar-pelajar lain.

“Riz baru sampai ke?” Athira menegur Azrizal.

“Haah.”

“Riz dah tengok keputusan Riz?”

“Err... belum.”

“La, kenapa Riz tak tengok lagi? Jom Tya temankan.”

Azrizal tidak sempat berkata apa-apa apabila Athira sudah menarik lengannya ke suatu sudut. Enam buah meja diatur mengikut kelas. Azrizal dan Athira melangkah ke arah meja yang keenam. Di situ, bekas guru kelas mereka, Cik Mazleen sudah sedia menunggu kedatangan bekas-bekas pelajarnya untuk mengambil keputusan peperiksaan.

“Ha, Azrizal. Baru sampai?” tegur Cik Mazleen.

Azrizal hanya tersenyum mendengar pertanyaan bekas guru kelasnya itu. Sebenarnya dia sudah lama sampai tetapi disebabkan perasaan gementar yang keterlaluan, dia tidak berani hendak mengambil keputusan peperiksaannya. Sudah berkali-kali dia berulang alik ke tandas. Entah mengapa perutnya berasa tidak selesa.

“Nah, ni slip keputusan awak.”

Azrizal cuma memandang sekeping kertas separuh A4 yang dihulurkan oleh Cik Mazleen. Dia kaku. Tidak tahu mahu berbuat apa. Akalnya menyuruh tangannya menyambut slip keputusan itu daripada Cik Mazleen tetapi tangannya enggan menurut apa yang ada dalam benaknya.

“Azrizal...” Cik Mazleen hairan melihat gelagat Azrizal.

Perlahan-lahan Azrizal mengambil slip keputusannya daripada Cik Mazleen. Jantungnya semakin berdegup kencang.

“Macam mana, Riz? Okey tak?” tanya Athira.

Azrizal memandang Athira. Kemudian, dia menyerahkan slip keputusan di tangannya kepada Athira. “Tya tolong tengokkan untuk Riz.”

“La, kenapa pula?” Dahi Athira berkerut.

Azrizal tidak menjawab.

Melihatkan itu, Athira mengambil slip keputusan Azrizal dan melihat keputusan yang tertera pada slip itu. Senyuman terukir di bibir Athira.

“Tya dah tengok.”

“Macam mana?”

“Riz tengoklah sendiri.”

Azrizal teragak-agak.

Athira menyua slip keputusan itu kepada Azrizal. Tanda menyuruh Azrizal melihat keputusannya itu sendiri.

Perlahan-lahan Azrizal mengambil semula slip keputusannya daripada Athira. Dengan penuh debaran dan tangan yang sedikit menggeletar, matanya dihalakan kepada slip keputusan peperiksaan di tangannya itu. Matanya membulat melihat gred yang tertera pada setiap mata pelajaran...

2 ulasan:

ryha berkata...

buat lagi ya!! ska suke!!

Ilmar Imia berkata...

Akak sedang siapkan manuskrip penuh cerita ni untuk diterbitkan :)