Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 14, 2011

Kugiran SMART (Bab 12)

SHAMSUL memandang Shafik. Shafik memandang Iqbal. Iqbal memandang Azrizal. Sudahnya, Azrizal pula memandang mereka bertiga.

Melihatkan wajah ketiga-tiga rakannya itu, Azrizal sudah dapat mengagak apa yang bermain dalam benak mereka bertiga. Meskipun soalannya tadi tidak berjawab, dia sudah tahu jawapannya melalui air muka mereka bertiga. Bukannya kali pertama Shafik memberi idea yang gempak tetapi sayangnya hanya sekadar idea. Hendak merealisasikan idea itu tidak pula difikirnya dari awal.

“Kau kata kau dah biasa tengok YouTube,” Azrizal berkata kepada Shamsul. Sejurus dia datang tadi, beria-ia mereka menceritakan tentang idea baru mereka untuk memuat naik lagu mereka dalam YouTube. Namun apabila dia bertanya sama ada mereka tahu atau tidak cara untuk memuat naik ke YouTube, ketiga-tiganya terdiam.

“Tengok tu, memanglah dah biasa tapi kalau nak upload video tu aku belum pernah buat lagi,” balas Shamsul.

“Tak apalah. Balik nanti, aku cuba explore. Aku singgah sekejap saja ni. Penatlah. Aku balik dulu ya.” Azrizal meminta diri untuk pulang ke rumah. Sebenarnya dia boleh sahaja terus pulang ke rumah selepas keluar dengan Athira tadi tetapi dia tidak sedap hati pula jika tidak berjumpa dengan mereka. Sudahlah dia terpaksa memungkiri janji dengan mereka semata-mata ingin memenuhi kehendak Athira.

Walaupun jasadnya bersama Athira, tetapi ingatannya asyik teringat akan rakan-rakannya itu. Apakah yang sedang mereka lakukan? Adakah mereka marah? Yang pastinya, kerap kali juga dia dimarahi oleh Athira kerana dia sering berkhayal. Entah mengapa dia merasakan yang Athira sekarang terlalu sensitif dan kuat merajuk.

Ketika Athira memutuskan hubungan mereka dahulu, dia berasa seluruh semangatnya rapuh. Terasa seperti dunia ini suram dan kelam. Sudah dua tahun dia bersama Athira, tentulah dia sudah terbiasa dengan adanya Athira di sisinya. Walaupun bukan 24 jam mereka bersama, tetapi sekurang-kurangnya hanya Athira yang mengambil berat perihal dirinya. Layanan Athira sudah cukup membuatkan dia berasa disayangi. Justeru, dia tidak dapat menerima hakikat apabila terpaksa melalui hari-harinya tanpa gadis itu.

Lantaran itu, dia membawa diri ke kampung ibunya di Johor Bahru dan tinggal bersama ayah saudaranya buat beberapa hari. Konon-kononnya untuk menenangkan hati dan mengubat kekecewaan. Tanpa disangka, Shafik dan Iqbal mencarinya sampai ke kampung semata-mata untuk memujuknya balik ke Kuantan. Waktu itu baru dia sedar, rupa-rupanya masih ada orang yang sayang kepadanya.

Sejurus pulang ke rumah pula, dia menerima e-mel daripada Laily yang memberikan kata-kata semangat untuk dia terus tabah menghadapi hidup. Daripada kata-kata Laily itu, pastinya Laily sudah tahu apa yang terjadi walaupun bukan daripada mulutnya sendiri, bahkan tidak mustahil satu kelasnya juga tahu tentang keretakan hubungannya dengan Athira. Terasa malu pula apabila dirinya menjadi begitu hanya kerana putus cinta. Namun kerana putus cintalah, hubungannya dengan Laily menjadi lebih rapat.

Apabila Athira mencadangkan agar mereka bermula semula, dia tidak menafikan yang dia berasa gembira. Namun perasaan itu cuma seketika. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia berasa seperti itu. Yang pastinya, perasaannya terhadap Athira semakin berkurangan. Dia tidak gembira apabila bersama Athira. Mungkinkah kerana Laily?





JAM sudah hampir pukul 2.00 pagi. Namun dia masih tekun mengadap komputer di biliknya. Usai pulang dari rumah Shamsul tadi, dia terus mandi dan menghidupkan komputer. Tiba-tiba sahaja badannya tidak terasa penat. Mungkin kerana dia berasa bersalah kerana tidak bersama kawan-kawannya hari ini, justeru dia mengambil keputusan untuk mengkaji YouTube seperti yang disarankan oleh Shafik, Iqbal dan Shamsul tadi.

Meskipun YouTube itu menggunakan bahasa Inggeris, namun dia masih dapat memahaminya. Setakat perkataan Browse, Upload, Create Account, Sign In, tentulah dia faham. Bahasa Inggerisnya tidaklah teruk sangat walaupun dia tidak pernah mendapat A untuk mata pelajaran itu.

Selepas memilih Create Account, mengisi maklumat-maklumat yang perlu dan berjaya mewujudkan satu akaun yang menggunakan nama yang dipilihnya, dia masih tidak tahu mahu berbuat apa. Lantaran itu, dia menaip beberapa patah perkataan pada ruang kotak search dan menonton video-video yang dirasakan menarik.

Rupa-rupanya ramai orang dari seluruh dunia yang merakamkan aksi mereka sendiri dan dimuat naik ke laman web itu. Ada berbagai-bagai aksi dan gelagat yang dapat dilihatnya. Ada iklan, ada filem, ada drama, ada dokumentari, ada anime, ada tutorial dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, daripada hiburan hingga ilmiah, semuanya ada.

Namun dia cuma mencari video yang dapat dibuat rujukan untuk rancangan yang diusulkan oleh kawan-kawannya tadi. Justeru, dia hanya menonton video yang ada orang menyanyi dengan gaya mereka sendiri. Ada yang bagus, ada yang okey, ada yang entah apa-apa dan ada yang hanya untuk suka-suka. Di bawah video itu juga, penonton boleh beri komen, like, dislike dan share video tersebut.

Antara video yang menarik perhatiannya adalah video seorang gadis yang sedang menyanyi sambil bermain gitar. Walaupun suara gadis itu biasa-biasa sahaja, tetapi gayanya bersahaja dan selamba. Malah, gadis itu seolah-olah menghayati setiap bait lirik yang dinyanyikan dengan membuat mimik muka berdasarkan apa yang dinyanyikannya. Jika lirik itu kata dia marah, maka dia akan buat mimik muka marah. Jika lirik itu kata dia sedang menangis, maka dia akan buat mimik muka menangis.

Azrizal cuba membayangkan jika Shamsul buat gaya sebegitu. Tidak sampai satu minit, dia menggeleng menghalau bayangan itu daripada benaknya. “Buruklah pula. Budak perempuan ni lainlah. Muka dia comel,” omel Azrizal sendirian.

Satu lagi yang dia perasan, kebanyakan orang yang menyanyi di YouTube itu menyanyikan lagu artis yang sedia ada. Ada yang tidak terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal dan menyanyi mengikut gaya mereka sendiri. Tetapi ada juga yang berani mengubah lirik lagu tersebut dengan lirik mereka sendiri secara lucu dan menyindir yakni parodi. Anehnya, lagu-lagu parodi begini lebih cepat menarik perhatian penonton berdasarkan komen yang tertera di bawah video itu.

Namun begitu, ada juga yang tidak suka kerana menganggap perbuatan sebegitu merosakkan karya orang lain. Tetapi jika dibandingkan bilangan orang yang suka dengan bilangan orang yang tidak suka, rasanya bilangan yang suka lebih banyak. Jadi, buat apa hendak difikirkan tentang bilangan orang yang tidak suka, bukan?

Azrizal termenung seketika. Tiba-tiba sahaja dia mendapat suatu idea!

Tiada ulasan: