Hari kedua rombongan. Seperti yang dirancang dalam jadual rombongan, Krisya Norsabrina dan semua pelajar Tingkatan Lima yang mengikuti rombongan dibawa mengunjungi Petrosains yang terletak di tingkat empat, Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Petrosains adalah muzium sains kontemporari geologi dalam menyediakan media pembelajaran sains dan teknologi mutakhir buat generasi muda Malaysia serta bagi menanamkan semangat kepemimpinan teknologi perminyakan.
Selepas mendapat tiket masuk, mereka perlu menunggu kenderaan jemputan iaitu sejenis buggy car yang digerakkan oleh sistem magnetik. Kenderaan ini tidak memerlukan pemandu dan biasanya satu kenderaan dapat memuatkan maksimum enam penumpang.
Krisya Norsabrina dan Jasmin yang tidak boleh berenggang itu menaiki kenderaan yang sama bersama-sama empat pelajar perempuan lain. Sesekali terdengar mereka menjerit sebaik-baik saja kenderaan itu mula bergerak memandangkan kenderaan itu tidak selalu berjalan lurus. Adakalanya kenderaan itu naik dan adakalanya kenderaan itu turun bergantung pada posisi slide yang dilalui.
“Aku takutlah.”
“Tak jatuh ke nanti?”
“Tengok tu, cantiknya!”
Dalam keadaan takut-takut, mereka masih sempat menghayati dekorasi lorong masuknya yang memaparkan suasana hutan tropika. Berbagai-bagai tanaman raksasa, tumbuhan merambat, serta pakis hutan artifisial memenuhi seantero lorong. Bunyi-bunyian haiwan hutan yang bersahutan sepanjang perjalanan membuatkan perjalanan mereka seolah-olah hidup.
Lorong masuk pertama di Petrosains disebut sebagai dark ride yang menampilkan ‘sekilas masa’ tentang sejarah geologis bumi dan minyaknya. Selama lima minit, ingatan para pengunjung dibawa kembali ke zaman prasejarah. Di lorong gelap ini, puluhan slide periode evolusi bumi dipaparkan mengikut turutan.
Selain slide, dark ride ini juga dilengkapi bunyi-bunyi narasi yang relevan. Di bahagian ini, para pengunjung dapat mempelajari astronomi, biologi, fizik dan geologi dengan pendekatan yang sangat menarik.
Narasi dan slide bercerita tentang banyak kisah. Bermula dengan asal terbentuknya alam semesta, galaksi, evolusi bumi hingga sejarah geologi. Beberapa klip memunculkan era dinosaurus, brontosaurus dan juga evolusi tumbuh-tumbuhan.
Di akhir dark ride pula, sang narator berpesan agar manusia dari berbagai-bagai generasi memegang teguh komitmen menjaga lingkungan hidup. Menjaga lingkungan hidup merupakan salah satu cara bersyukur kepada Tuhan.
Tour dark ride berakhir di sebuah terminal. Setibanya di situ, mereka disambut oleh petugas Petrosains yang ramah dan kemudian mempersilakan mereka memasuki ruangan yang berisi berbagai-bagai alat eksperimen dalam bidang geologi.
Setiap bahagian ruangan memiliki tema pameran yang berbeza. Mereka bebas memilih bidang yang mereka suka sama ada tentang elektrik, jenis batu-batuan, gas, minyak, struktur senyawa kimia hidro karbon, speed, kereta balap, kehidupan prasejarah hingga aplikasi senyawa polimer untuk kehidupan moden.
“Sila beratur ikut kelas. Ketua kelas, cuba kira anak buah masing-masing. Cukup ke tak?” Cikgu Abdillah memberi arahan selepas mereka selesai mengelilingi seluruh Petrosains. Mereka mengambil masa hampir tiga jam bagi menghabiskan seluruh tour di situ.
“5 Sains Amanah?”
“Cukup, cikgu.”
“5 Sains Berani?”
“Cukup.”
“5 Sains Cekap?”
“Cukup.”
“5 Sains Dinamik?”
“Tak cukup seorang, cikgu,” ujar seorang pelajar lelaki yang juga ketua kelas 5 Sains Dinamik.
“Tak cukup seorang? Siapa?”
Rombongan itu sudah mula riuh. Bercakap-cakap sesama sendiri. Pelajar kelas itu cuba mengenal pasti kawan mereka yang hilang itu.
“Kenapa tu?” Krisya Norsabrina bertanya kepada Jasmin.
“Ada orang hilang.”
“Hilang? Siapa?”
Jasmin menjongket bahu.
“Dia sesat dalam Petrosains kut,” seloroh seorang pelajar.
“Ni bukan perkara main-main!” tegas Cikgu Abdillah. Mereka semua terdiam. Cikgu Abdillah memeriksa senarai nama pelajar kelas 5 Sains Dinamik bersama guru kelas itu iaitu Cikgu Noraini. Setiap nama yang dipanggil dikehendaki menyahut.
“Nurul Huda Hidayah binti Alias.”
Tiada sahutan.
“Nurul Huda Hidayah binti Alias,” nama itu diulang namun masih tiada yang menyahut.
Cikgu Abdillah dan Cikgu Noraini berbalas pandang.
“Huda hilang!”
Pelajar-pelajar itu kembali bercakap-cakap sesama sendiri.
“Tolong diam semua. Awak semua tunggu kat sini. Biar saya dan Cikgu Nazar pergi cari Huda. Jangan ada sesiapa pun yang ke mana-mana sehingga saya balik. Mari, cikgu,” Cikgu Abdillah bersama seorang lagi guru lelaki menghilang ke dalam Petrosains.
“Cikgu, kita nak pergi mana lepas ni?” tanya seorang pelajar lelaki yang berada di dalam barisan kelas 5 Sains Berani.
“Lepas ni kita pergi makan,” ujar guru wanita itu.
“Makan? Cadangan yang bagus!”
“Kau ni Azan, kalau pasal makan, laju aje. Patutlah badan kau gemuk,” seorang pelajar lelaki lain mencelah.
“Tengok perutlah,” balas Azan. Tidak seperti sesetengah pelajar gempal yang lain, Azan tidak pernah terasa hati jika ada yang memperkatakan tentang tubuhnya yang gempal itu malah dia rasa bangga kerana itu tandanya dia sihat!
“Makan apa, cikgu?” tanya seorang pelajar lelaki lain pula.
“KFC?”
“Mc’ Donalds?”
“A&W!”
“Kita makan nasi bungkus aje kalau awak semua tak diam.”
“Nasi bungkus pun sodap!”
“Alah, cikgu, tak naklah nasi bungkus,” bantah seorang pelajar perempuan.
“Yalah, cikgu. Kita makan KFClah,” suara seorang pelajar perempuan yang lain pula.
“Kalau awak semua tak diam, semua takkan dapat makan,” tegas Cikgu Noraini. Macam budak-budak sekolah rendah. Pening kepala aku. Orang tengah susah hati ni, macam-macam pula permintaan.
Mendengarkan itu, mereka terus diam. Namun kesunyian itu tidak lama apabila Azan bersuara lagi. Memang mulut murai betul!
“Cikgu, lama lagi ke kita nak tunggu? Bosanlah.”
“Cikgu, jom kita pergi membeli-belah! Tadi saya ada nampak banyak baju cantik kat kedai bawah tu,” cadang seorang pelajar perempuan. Sengaja mahu mengumpan Cikgu Noraini. Wanita mana yang tidak gemar membeli-belah?
Beli-belah?! Terbeliak mata Cikgu Noraini mendengar perkataan itu. Boleh juga kan sementara menunggu Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar. Mereka pun mesti lama lagi kat dalam sana. Isy, apa yang aku fikir ni? Aku datang sini bukan untuk membeli-belah. Aku ada tanggungjawab yang perlu digalas.
“Jangan nak mengada-ngada. Nanti dengan awak, awak sekali hilang. Kan kita nak membeli-belah kat Mid Valley esok? Kita tunggu Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar balik. Lepas tu, kita pergi makan,” Cikgu Noraini cuba bersikap tegas walaupun keinginan untuk membeli-belah di KLCC itu membuak-buak.
“Cikgu!”
“Apa lagi?” Cikgu Noraini mula hilang sabar. Lepas satu, satu!
“Saya nak pergi tandas.”
“Dah tak boleh tahan ke?”
Pelajar itu menggeleng.
“Ada sesiapa lagi yang nak pergi tandas?”
“Saya!”
Beberapa orang pelajar mengangkat tangan.
“Beratur dalam satu barisan. Cikgu Farhana, tolong bawa dia orang ke tandas,” Cikgu Noraini berkata kepada seorang guru wanita yang muda beberapa tahun daripadanya. Cikgu Farhana akur.
“Jom, Sya,” Jasmin mengajak Krisya Norsabrina.
“Malaslah,” Krisya Norsabrina menolak.
“Jomlah,” Jasmin berbisik ke telinga Krisya Norsabrina. “Sambil-sambil tu, kita boleh tengok bangunan KLCC.”
Mata Krisya Norsabrina terbeliak. Ya tak ya juga. Sekelip mata fikirannya berubah.
“Jom!”
“Tumpang tanya, cik. Ada tak seorang pelajar perempuan sekolah menengah yang pakai baju sekolah kat dalam ni?” Cikgu Abdillah bertanya kepada seorang petugas di Petrosains.
“Rombongan sekolah dari Kuantan tu, ya?”
“Ya, saya.”
“Sebentar ya, encik. Saya tanya petugas kat dalam.”
“Baik, terima kasih,” Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar menunggu dengan sabar. Minta-mintalah Huda ada kat dalam. Lebih baik dia hilang kat dalam Petrosains daripada dia hilang kat luar. Lagi susah nak cari nanti!
Sementara itu di dalam panggung wayang Petrosains, seorang petugas menjenguk keadaan di dalam. Setelah pasti tiada sesiapa pun di situ, dia menutup suis lampu memandangkan waktu itu adalah waktu rehat. Ketika dia hendak menutup pintu, ekor matanya seakan-akan terlihat suatu benda putih bergerak-gerak di kerusi hadapan. Perlahan-lahan dia menoleh. Dalam keadaan gelap, dia ternampak suatu bayang putih bergerak.
“Mak, han… hantu!” Dia segera membuka langkah seribu tanpa sedar jeritannya itu membuatkan ‘bayang putih’ itu terjaga daripada tidur.
“Kat mana aku ni? Kenapa gelap aje ni? Dalam kubur ke ni? Takkan aku dah mati? Mak!”
“Kenapa ni?” Petugas di luar mendapatkan rakannya yang panik itu.
“Ada hantu kat dalam bilik tu,” ujarnya cemas.
“Mengarutlah. Hantu apa siang-siang buta macam ni?”
“Be… betul. Ada ben… benda pu… putih…” Tergagap-gagap petugas itu menerangkan tentang bayang putih yang dilihatnya di dalam bilik itu sebentar tadi.
“Benda putih apa? Kau salah tengok tak?”
“Tak. Betul.”
“Ada-ada ajelah kau ni. Penakut betul,” petugas yang bertugas di luar tadi melangkah ke bilik yang dikatakan ada hantu itu sementara petugas yang ketakutan tadi mengekornya dari belakang. Masih panik.
Tiba di hadapan pintu bilik itu, perlahan-lahan petugas yang berdiri di hadapan memulas tombol pintu bilik itu. Degupan jantung mereka seakan terhenti tatkala daun pintu itu dikuak.
“Tak ada apa-apa pun.”
Petugas yang ketakutan tadi mengeluh lega.
“Tapi tadi ada.”
“Ah, mengarutlah kau ni!”
“Abang…” Tiba-tiba ‘bayang putih’ itu terjojol di muka pintu.
“Mak!” Spontan petugas yang berdiri di hadapan tadi memeluk rakannya.
Petugas yang ketakutan tadi terkejut melihat bayang putih yang disangka hantu tadi. Rupa-rupanya bayang putih yang dilihatnya tadi adalah seorang pelajar sekolah menengah yang berpakaian sekolah berwarna putih.
“Hoi, bukan hantulah.”
“Bukan?” Petugas itu melihat lembaga di hadapannya itu sekilas. Setelah pasti lembaga itu bukan hantu, dia segera melepaskan pelukannya dan berlagak selamba bagi menutupi rasa malunya sebentar tadi. “Cis, ni kau kata hantu?”
Wajah pelajar perempuan itu direnung.
“Adik ni salah seorang pelajar rombongan sekolah dari Kuantan tadi ke?” soal petugas itu apabila melihat lencana sekolah pada tudung pelajar perempuan itu. Mungkin budak ini pelajar yang dilaporkan hilang oleh guru mereka yang berada di luar.
“Ya, saya.”
“Adik buat apa kat dalam tu?”
”Saya tertidur masa tengah tengok wayang tadi. Bila saya terjaga, saya tengok tempat tu dah gelap,” pelajar perempuan itu hampir menangis. Mana dia orang semua? Takkan dia orang dah tinggalkan aku? Habislah kalau betul aku kena tinggal. Macam mana aku nak balik Kuantan sorang-sorang? Stesen bas pun aku tak tahu kat mana.
“Cikgu adik tengah cari adik. Dia orang ada kat luar. Jom ikut abang.”
Tanpa banyak soal, dia mengikut abang-abang yang baik hati itu mendapatkan gurunya di luar.
“Cikgu!” Pelajar perempuan itu menerpa ke arah Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar sebaik-baik saja terlihat gurunya itu.
“Huda!” Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar gembira melihat pelajar mereka yang hilang itu. Nasib baik. Mereka tersenyum lega.
“Saya ingatkan cikgu dah tinggalkan saya,” Huda tidak dapat menahan rasa sedihnya lalu mula menangis.
“Takkanlah cikgu nak tinggalkan awak? Kat mana encik jumpa dia?” Cikgu Abdillah bertanya kepada petugas tadi.
“Dia tertidur kat dalam panggung wayang.”
“Tidur?” Cikgu Abdillah tercengang. Dalam panggung wayang pun boleh tidur? Bukan ke dia orang yang beria-ia nak tengok wayang animasi 3D tu tadi?
“Kat dalam tu gelap tadi. Sebab tu saya tertidur,” Huda tersengih. Rasa gelap akan membuatnya mengantuk.
“Namanya pun panggung wayang, mestilah gelap. Dah, jom balik. Kesian kawan-kawan awak. Terpaksa berlapar sebab awak,” Cikgu Abdillah dan Cikgu Nazar membawa Huda ke tempat bas menunggu selepas mengucapkan terima kasih kepada petugas di situ. Mereka berasa lega kerana Huda selamat ditemui.
“Sya, jadi ke rancangan kita esok?” tanya Jasmin separuh berbisik ketika mereka dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan selepas makan.
“Eh, mestilah jadi! Kenapa? Kau ubah fikiran?” Krisya Norsabrina bertanya kembali.
“Taklah. Cuma aku risau juga bila tengok Huda hilang tadi. Misal kata benda tu jadi kat kita. Macam mana kalau kita sesat esok?” Jasmin meluahkan kebimbangannya.
“Jangan risau. Aku dah kaji cara nak pergi sana. Dari Mid Valley, kita naik komuter sampai ke KL Sentral. Dari KL Sentral, kita naik LRT ke Pasar Seni. Senang, kan? Jadi, kita takkan sesat punyalah,” ujar Krisya Norsabrina penuh yakin.
“Kalau macam tu, senanglah. Tak sabar pula aku nak tunggu esok.”
“Aku lagi tak sabar.”
Mereka tertawa kegirangan.
“Wah, wah, wah. Seronok nampak? Macam ada benda menarik aje. Aku pun nak tahu juga. Kongsilah dengan aku,” tiba-tiba wajah itu muncul di hadapan mereka.
Serta-merta wajah ceria Krisya Norsabrina bertukar kelat sejurus terlihat wajah itu. Bila masa pula dia duduk kat depan aku dan Mon ni? Menyibuk aje! Nak korek rahsia oranglah tu!
“Azan, kau ni kalau tak menyibuk hal orang tak boleh ke?” marah Jasmin.
“Bukan menyibuk tapi ambil berat,” balas Azan.
“Ambil beratlah sangat. Apa badan kau dah tak cukup berat ke? Terlebih berat adalah,” Krisya Norsabrina mencelah. Ambil kau! Jangan main-main dengan Krisya.
Jasmin tertawa. Azan pula terkedu tidak terkata lantas dia segera berpaling ke hadapan semula. Mungkin dia terasa hati dengan kata-kata Krisya Norsabrina.
Alamak! Macam mana aku boleh cakap macam tu? Krisya Norsabrina diserang rasa bersalah. Namun demi menjaga ego, dia tidak akan sesekali meminta maaf. Lebih-lebih lagi dengan Azan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan