Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Ogos 27, 2010

Pemuja Rahsia (Bab 6)

“Sah, nilah tempatnya! Jom kita masuk!” Krisya Norsabrina sudah tidak sabar apabila mendengar bunyi muzik di dalam. Pantas langkah kakinya diatur.

“Sya!” Jasmin menarik lengan Krisya Norsabrina. “Betul ke apa yang kita buat ni?”

“Kenapa?”

“Aku rasa tak sedap hatilah. Kalau cikgu tahu kita curi-curi datang sini macam mana?” Jasmin diselubungi perasaan serba-salah.

“Sebelum dia orang tahu, kita pun dah balik sana. Dahlah, jangan fikir macam-macam. Jom cepat. Gig dah nak mula tu.”

Jasmin membuntuti Krisya Norsabrina ke dalam. Ketika mereka masuk, kumpulan Bittersour sedang menghiburkan para penonton dengan lagu ‘Kucing Belang’.

Selesai lagu itu, suasana mula gamat apabila nama Petir diumumkan sebagai band yang akan membuat persembahan selepas itu. Suasana bertambah gamat apabila empat anggota Petir yang sempoi lagi selamba mengambil tempat di atas pentas.

Jasmin berasa bingit mendengar sorakan penyokong-penyokong Petir yang seperti diserang histeria itu manakala Krisya Norsabrina pula kaku di tempatnya. Seakan tidak percaya yang sang pujaannya berada di hadapan matanya kini.

Akhirnya aku dapat tengok persembahan Petir live. Adakah aku sedang bermimpi? Oh, Nan! Krisya Norsabrina tidak berkelip memandang si vokalis. Tanpa diduga, si vokalis turut memandang ke arahnya lalu mengukir senyuman. Alahai… lututnya terasa longlai tatkala melihat senyuman manis itu.

Seketika kemudian si vokalis berpaling untuk berbincang sesuatu dengan ahli bandnya yang lain. Krisya Norsabrina terkejut apabila melihat muka si vokalis selepas dia berpaling semula ke arah penonton.

Kenapa muka Nan macam muka Cikgu Abdillah? Wajah itu tersengih kepadanya. Krisya Norsabrina kecut perut. Macam mana Cikgu Abdillah boleh ada kat sini? Kat atas pentas pula tu!

“Krisya Norsabrina! Berani awak lari dari rombongan sekolah dan datang ke sini, ya?” Suara Cikgu Abdillah kedengaran di mikrofon.

Krisya Norsabrina terpaku apabila berasakan semua mata memandang ke arahnya. Mesti dia orang fikir yang bukan-bukan pasal aku. Lari dari rombongan sekolah semata-mata nak tengok Petir. Tiba-tiba dua orang pelajar lelaki yang berpakaian seragam Kadet Remaja Sekolah menghampiri Krisya Norsabrina dan memaut lengannya. Krisya Norsabrina kenal mereka. Mereka teman sekolahnya.

“Eh, kenapa kau orang tangkap aku ni? Cikgu, saya tak buat apa-apa. Saya cuma nak tengok gig Petir aje,” Krisya Norsabrina meronta-ronta minta dilepaskan. Aku datang sini sebab nak tengok Petir aje. Tak ada niat lain.

“Sila cakap kat mahkamah nanti, ya. Bawa dia!” arah Cikgu Abdillah kepada dua orang pelajar lelaki tadi.

“Mahkamah? Mahkamah apa?” Krisya Norsabrina mula panik. Takkan lari dari rombongan sekolah pun dianggap kes jenayah sampai kena masuk mahkamah?

“Mahkamah juvana sekolah.”

“Hah?” Krisya Norsabrina tercengang. Mahkamah juvana sekolah? Tak pernah dengar pun!





Di mahkamah juvana sekolah, Krisya Norsabrina dikehendaki berdiri di dalam kandang seperti di mahkamah sambil diawasi oleh dua orang pelajar lelaki yang berseragam Kadet Remaja Sekolah tadi. Cikgu Abdillah bertindak sebagai hakim manakala empat orang ahli kumpulan Petir pula menjadi saksi. Krisya Norsabrina tunduk memandang lantai.

“Krisya Norsabrina, awak didapati bersalah kerana lari dari rombongan sekolah dan datang ke gig tanpa pengetahuan pihak sekolah. Justeru, awak akan dihantar ke pusat tahanan pelajar-pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah,” tegas Cikgu Abdillah.

“Tapi saya bukan ponteng sekolah,” bantah Krisya Norsabrina berani. Bukan ke orang yang bersalah aje yang akan takut? Aku tak salah. Aku kena berani. Krisya Norsabrina menanam azam dalam diri.

“Tapi tindakan awak serupa dengan kes ponteng sekolah! Bawa dia ke bilik tahanan.”

“Saya tak bersalah!” Krisya Norsabrina berkeras apabila dua pelajar lelaki yang berpakaian seragam Kadet Remaja Sekolah itu mengheretnya ke sebuah bilik kurungan. “Tidak!!!”

Serta-merta dia terjaga daripada tidur.

“Apa yang tidak?” Jasmin yang duduk di sebelah Krisya Norsabrina di dalam bas terkejut dengan jeritan Krisya Norsabrina.

“Kat mana ni?” tanya Krisya Norsabrina. Terkebil-kebil matanya.

“Genting Sempah,” jawab Jasmin.

“Genting Sempah?” Krisya Norsabrina memandang sekeliling. “Kita belum sampai Kuala Lumpur lagi ke?”

“Belum.”

Fuh… mimpi rupanya. Krisya Norsabrina mengeluh lega.

“Kau nak turun ke tak? Aku dah lapar ni,” ujar Jasmin. Kawan-kawan mereka yang lain sudah pun turun dari bas untuk makan.

“Jomlah,” Krisya Norsabrina mengikut Jasmin turun dari bas untuk mengisi perut. “Kau nak makan apa?”

“Makan nasilah,” cadang Jasmin.

“Boleh aje,” Krisya Norsabrina dan Jasmin melangkah ke tempat yang menjual nasi campur.

Selepas membeli makanan, mereka mengambil tempat bersama-sama dengan pelajar-pelajar Tingkatan Lima yang lain. Ketika makan, Jasmin tidak melepaskan peluang mencuri pandang ke arah Che Wan Safuan yang duduk di meja tidak jauh dari meja mereka.

Sejak mengetahui Che Wan Safuan turut mengikuti rombongan itu, senyuman tidak pernah lekang di bibir Jasmin. Dapatlah dia tengok wajah pujaannya itu setiap hari. Sekurang-kurangnya untuk tiga hari ini! Namun seketika kemudian, senyuman di bibirnya jadi hambar apabila terlihat seorang pelajar perempuan berbual mesra dengan sang pujaannya itu.

“Siapa pula pelajar perempuan tu? Makwe dia ke? Mungkin budak kelas dia kut,” Jasmin cuba menyedapkan hatinya sendiri namun kemesraan mereka mengundang rasa cemburu di hatinya. Tapi kalau betul pelajar perempuan tu makwe dia?

“Sya, kau rasa Che Wan tu dah ada makwe ke belum?” soal Jasmin sambil matanya masih tertancap pada Che Wan Safuan yang kelihatan rancak berbual-bual dengan pelajar perempuan tadi.

Tiada jawapan daripada Krisya Norsabrina. Jasmin berpaling memandang Krisya Norsabrina. Temannya itu kelihatan termenung seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Sya!”

Krisya Norsabrina tersentak.

“Kenapa? Bas dah nak jalan ke?” Krisya Norsabrina melihat ke arah bas mereka. Bas yang tertera nama sekolah mereka masih di situ. Pelajar-pelajar lain pula masih menjamu selera di tempat mereka.

“Bila masa pula aku kata bas dah nak jalan? Orang cakap lain, dia cakap lain. Kau ni kenapa? Macam tak gembira aje,” Jasmin mula risau melihat keadaan teman baiknya itu.

“Tak ada apalah. Cuma mengantuk,” bohong Krisya Norsabrina padahal hatinya sedikit gusar apabila mengenangkan mimpi tadi. Apakah itu suatu petanda? Mungkin Tuhan mahu memberinya amaran? Jadi, adakah dia orang patut membatalkan rancangan untuk ke gig itu pada hari Ahad nanti?

“Hai, dah tidur kat dalam bas tadi pun masih mengantuk?”
“Mon, aku nak pergi tandas sekejap ya.”

Belum sempat Jasmin bertanya lanjut, Krisya Norsabrina sudah pun bangkit menuju ke tandas. Tinggallah Jasmin sendirian menahan rasa cemburu melihat kemesraan sang pujaannya bersama perempuan lain.





“Kita dah sampai Kuala Lumpur!” jerit suatu suara.

Ibarat orang zaman Neolitik masuk ke zaman millennium, mereka memandang ke luar tingkap. Menghayati pemandangan sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Rasa kagum dan teruja apabila melihat bangunan KLCC yang tersengam indah walaupun hanya dari jauh.

“Kuala Lumpur… indah tak terkata…” Tiba-tiba kedengaran suatu suara menyanyikan bait lirik lagu ‘Kuala Lumpur’ daripada Hujan sejurus bas rombongan mereka memasuki kawasan ibu negara Malaysia itu.

Krisya Norsabrina turut berasa teruja namun rasa terujanya bukanlah disebabkan dapat menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sekali lagi tetapi sebaliknya kerana memikirkan pertemuannya dengan Petir dua hari saja lagi.

Dia sudah melupakan mimpinya tadi. Mudah-mudahan mimpi itu hanya mainan tidur semata-mata! Petir, nantikan kedatanganku!





“Wah, syoknya dapat tidur kat hotel!”

Pelajar-pelajar itu menerpa ke dalam bilik sebaik-baik saja pintu bilik itu dikuak. Ada yang menjenguk ke luar jendela melihat pemandangan luar, ada yang menjenguk ke bilik air dan ada yang terus merebahkan diri ke katil.

“Dari sini kita boleh nampak KLCC!”

“Bilik air ni ada pemanas airlah!”

“Tilam ni lembutlah.”

Krisya Norsabrina menggelengkan kepala melihat gelagat kawan-kawannya itu. Jakunnya dia orang ni. Macam tak pernah masuk hotel. Fikir Krisya Norsabrina. Ah, lambatnya nak tunggu hari Ahad!

Tiada ulasan: