Okey, bagi sesiapa yang bertanyakan novel "Pemuja Rahsia", anda bolehlah membelinya di Dewan 4, KLCC sempena BookFest Malaysia 2010 yang berlangsung pada 4-12 September ini, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Diskaun 20% akan diberikan bagi setiap pembelian novel Astana Novella.
Editor: Fazl & Ray
Grafik & Layout: Eunis
Cover: Lim Heng Swee
PEMUJA RAHSIA adalah kisah peminat fanatik yang terlalu memuja artis kesayangannya. Krisya Norsabrina, remaja berusia 17 tahun yang sangat meminati muzik. Hampir 24 jam masanya dalam satu hari dihabiskan dengan mendengar muzik.
Krisya Norsabrina paling menggemari band Petir, sebuah band yang dianggotai oleh 4 orang pemuda. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.
Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi pemuja rahsia lagi.
Idea cerita ini tercetus pada penghujung tahun 2008. Ketika itu, saya sedang mencari-cari idea untuk membuat sebuah novel yang lari sedikit daripada kisah cinta remaja. Selama menyiapkan manuskrip ini, saya terpaksa tebalkan muka meminjam laptop dua orang teman baik iaitu Aina dan Fiza ekoran ketiadaan laptop ataupun komputer untuk menaip.
Hendak dijadikan cerita, saya yang ketika itu bekerja di Kepong terpaksa berulang-alik ke Petaling Jaya (rumah Aina) ataupun ke Shah Alam (rumah Fiza) setiap minggu demi menyiapkan manuskrip ini. Saya rasa sungguh terharu kerana mempunyai dua orang sahabat yang sangat menyokong minat saya ini. Bayangkan, tatkala saya sibuk menaip di tengah malam, ada pula yang sudi melayan dan siap buatkan air lagi. Bertuah betul badan :)
Setelah berbulan-bulan berpenat lelah memerah idea dan keringat berulang-alik dari Kepong ke PJ dan Shah Alam, alhamdulillah akhirnya manuskrip penuh "Pemuja Rahsia" berjaya juga disiapkan pada awal April 2009.
Namun, manuskrip ini tidak terus diterima memandangkan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Atas nasihat dan kritikan membina oleh editor pada waktu itu, Kak Nani (Haryani Kamilan), saya berusaha memperbaiki dan menambah perencah untuk menjadikannya lebih baik.
Namun saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembaikan manuskrip ini memandangkan dua karya saya yang lain tersangkut di tangan dua buah syarikat penerbitan. Selepas kedua-dua karya tersebut selamat diterbitkan, akhirnya sekarang saya dapat menjalankan kerja-kerja baik pulih terhadap manuskrip ini dan seterusnya melihat karya ini diterbitkan (terima kasih kepada abah dan Hai untuk laptopnya).
Tidak lupa juga kepada Kak Maria (Maria Kajiwa) atas tunjuk ajar dan bimbingannya. Harapan saya semoga pembaca berpuas hati dengan cerita ini dan mendapat sesuatu daripadanya.
2 ulasan:
tahniah sis..pas raya br cari..
Thanks, sis! :)
Catat Ulasan