Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 08, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 16

“Hani, maafkan aku,” rayu Dimas. “Aku tidak ada niat mahu buat begitu pada kamu. Mungkin kerana perasaan sayang aku pada kamu membuatkan aku gagal mengawal diri. Aku sayangkan kamu, Han. Berilah aku peluang,” Dimas memohon kemaafan Hani atas keterlanjurannya semalam. Dia tahu perbuatannya salah. Namun dia gagal mengawal perasaannya malam itu.

“Dim, kita kan baru aja berkawan. Aku rasa masih terlalu awal untuk kita bercakap soal ini. Kau pasti ke aku perempuan yang tepat untuk kau?” Hani masih marah apabila mengingati peristiwa semalam. Mujur dia cepat tersedar. Jika tidak, entah apa lagi yang akan berlaku.

“Aku pasti dengan hati aku. Kamulah yang aku mahu. Hanya kamu.”

Kamulah wanita yang selalu membuat tidur malamku lena dibuai mimpi yang indah. Kamulah wanita yang mampu membuat hatiku berdebar-debar saat kita bersama. Kamulah wanita yang selalu mengisi hari-hariku dengan cahaya kebahagiaan. Perlukah aku mengucapkan semua yang terindah tentang diri kamu?

“Tak mungkin kita bersama, Dim,” bantah Hani.

“Tapi kenapa, Han?”

“Sebab aku tak ada apa-apa perasaan pada kau.”

Betul ke aku tak ada apa-apa perasaan pada dia? Tapi kenapa aku selalu rasa nak jumpa dia? Bersamanya buat aku rasa bahagia. Ah, mungkin rasa itu hanya sementara! Hani cuba menidakkan perasaannya terhadap Dimas.

“Kamu bohong.”

Dia tahu Hani berbohong. Dia dapat melihat sinar cinta dalam mata gadis itu tatkala mereka bertentang mata semalam.

“Ikut suka kaulah nak percaya ke tak.”

“Aku tak mahu menjanjikan apa-apa. Aku mahu kamu rasakan sendiri betapa gilanya cintaku pada kamu.”

Hani semakin bingung. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melukai hati Dimas tetapi pada waktu yang sama dia tidak mahu menyiksa diri bersama dengan lelaki yang dia sendiri tidak pasti perasaannya.

Memang Dimas seorang lelaki yang baik, suka menolong, pandai buat lawak, pandai mengambil hati, pandai bernyanyi pula tu. Namun masih ada sesuatu yang tidak ada pada Dimas. Hatinya tidak ada pada lelaki itu. Mungkin juga Dimas bukan lelaki idamannya. Tambahan pula Hani tidak berapa yakin dengan hubungan itu.

Mungkin perasaan Dimas pada aku hanya pada masa sekarang. Macam mana bila aku dan Dimas sudah tamat pengajian nanti? Sudah semestinya Dimas akan pulang ke Yogyakarta dan aku? Aku akan terus menetap di Malaysiaku ini. Hani mengeluh mengenangkan perkara itu.

Bunyi ringtone Indah Kuingat Dirimu daripada Yovie dan Nuno itu menyentakkan lamunan Hani dan mengembalikannya ke alam nyata. Hani mencapai telefon bimbitnya. Nama ‘DIMAS’ tertera di skrin telefon itu. Hani serba salah.

Nak jawab ke tak? Tak jawab nanti dia ingat aku dah tak nak kawan dengan dia. Kalau jawab nanti dia ingat aku suka pada dia pula. Hish macam mana ni?

Dimas tidak berputus asa. Didailnya nombor telefon Hani buat kali kedua. Masih tidak berjawab. Begitu juga kali ketiga dan seterusnya. Akhirnya Dimas mengalah. Dimas mengerti yang Hani mungkin tidak mahu mendengar suaranya ketika itu.

Salah ke tindakan aku ni? Mungkin aku terlalu berterus terang. Tapi aku benar-benar menyayanginya. Kenapalah susah benar dia mahu mempercayai aku? Adakah aku tidak cukup ikhlas?

Dimas merenung telefon bimbit di tangannya. Kenapa dengan kau ni Dimas? Orang dah tak sudi. Buat apa kau nak terhegeh-hegeh lagi? Apa dia ingat aku ni gila sangat dengan dia? Siapa dia sampai aku kena merayu-rayu? Banyak cantik muka dia! Dia ingat dia siapa? Tapi memang pun aku gilakan dia. Dia beri aku rasa yang berbeza. Hanya dia yang bisa membuat hidup aku tak tentu hala. Dengar suara dia saja dah cukup membahagiakan. Hanya dia yang benar-benar memahami aku. Tidak! Aku takkan mengalah begitu saja. Bukan senang nak jumpa orang yang kita suka. Aku mesti tawan hatinya.
Dimas berazam untuk terus memikat Hani hingga Hani menerimanya.


***


“Hani!”

Hani berpaling mencari tuan punya suara. Hani tersentak melihat wajah itu di hadapannya.

Kenapalah kau tak berputus asa saja? Buang masa aja kau buat macam ni.

“Dim…” Hani cuba berlagak biasa di hadapan lelaki itu.

“Aku ada tiket konsert di Hard Rock Cafe. Mahu pergi sama aku?”

Tolonglah jawab ya. Please Hani. Jangan siksa hati aku lagi. Dahlah telefon aku pun kamu tak nak jawab. Mesej juga tak dibalas. Sekarang sudah jumpa mahu lari pula.

“Aku tak senanglah sekarang,” ujar Hani berbohong.

“Kalau esok macam mana?”

“Esok pun aku busy. Banyak assignment yang nak kena hantar minggu ni.”

“Lusa?” soal Dimas masih tidak berputus asa.

Hish mamat ni. Memang tak faham bahasa betul. Dah dekat empat tahun tinggal kat Malaysia pun masih tak faham-faham.

“Lusa? Aku tak pastilah Dim. Tapi yang pasti minggu ni memang aku busy sesangat,” Hani memberi alasan. Bagilah aku ruang untuk bernafas.

“Ya, udah. Lain kali aja.”

“Sorry ya, Dim. Aku pergi dulu.”

Dalam hati Hani mengeluh lega. Mujur Dimas tidak memaksanya. Kadang-kadang dia pun tertanya sendiri.

Betul ke tindakan aku ni? Dah puas aku cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu tapi kenapa dia masih tak nak mengalah? Selama ni aku cuma anggap dia sebagai seorang kawan aja. Macam mana aku nak anggap dia lebih daripada tu? Pening kepala aku!
Setelah cinta pertamanya putus di tengah jalan, Hani serik untuk menjalin kasih dengan mana-mana lelaki lagi. Pengalaman mengajarnya agar jangan mudah jatuh cinta terutamanya pada lelaki yang baru saja dikenali. Jatuh cinta memang senang tapi nak mengekalkannya memerlukan komitmen daripada kedua-dua belah pihak.

Lagipun cinta bukanlah segala-galanya dalam hidupnya kini. Malah dia lebih senang bersendiri. Bebas tanpa dikongkong oleh sesiapa dan nak buat apa pun tak perlu serabutkan kepala otak memikirkan perasaan teman lelaki.

Dalam banyak-banyak kawan lelaki yang dia ada, Arri juga yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Namun saat bunga cinta itu semakin mekar, ia mati akibat disirami racun yang berbisa. Yang tidak akan tumbuh kembali.

Hani mengeluh tanpa sedar. Sedangkan Arri yang dikenalinya hampir dua tahun itu pun sanggup mengkhianatinya apatah lagi Dimas yang belum pun sampai setahun dikenali. Entah-entah dia dah ada teman wanita di Yogyakarta sana.


***


“Hai, rajinnya kau hari ni?” tegur Farra apabila melihat Hani sibuk mengemas bilik tersebut tatkala dia pulang dari tandas.

“Saja. Bilik ni pun dah lama tak bersapu,” ujar Hani sambil tangannya pantas menyusun buku-buku yang berteraburan di atas mejanya. Entah kenapa tiba-tiba hatinya diserang mood rajin. Mungkin juga dia sengaja menyibukkan diri.

“Hani, kau tak keluar ke hari ni?” tanya Farra.

“Pergi mana?”

“Hai, biasanya kan kau jarang-jarang ada kat bilik hujung-hujung minggu macam ni? Yalah, orang dah ada kawan baru. Manalah nak ingat kita lagi?” usik Farra.

Hani mengerti maksud Farra namun dia berpura-pura tidak mendengar. Tangannya rancak mengemas meja belajarnya. Tanpa sengaja Hani tertolak barang di atas meja. Sebuah buku terjatuh ke lantai. Matanya melekat pada buku itu. Tiba-tiba dia teringatkan Dimas.

“Ada buku yang dicari?”

“Ni,” Hani menunjuk beg plastik di tangannya. “Jom.”

“Kamu beli buku apa?” tanya Dimas setelah mereka keluar dari kedai buku itu.

“Adalah.”

“Lho…kok beli buku juga mahu berahsia?”

Hani cuma tersengih.

“Haa…jangan-jangan kamu beli buku…” Dimas sengaja menggantung ayatnya.

“Apa?”

“Kamu beli buku #%@?” Dimas berbisik ke telinga Hani.

“Hish!” Hani memukul lengan Dimas.

“Adoi!”

Hani mengambil buku itu. Buku itu adalah kamus Malaysia-Indonesia. Kamus itulah yang dibelinya ketika dia keluar dengan Dimas pada hari itu. Sengaja dia tidak mahu memberitahu Dimas. Mungkin dia malu.

Entah kenapa sejak dia mengenali Dimas, persepsi negatifnya terhadap orang Indonesia mula berubah. Dia mula menerima bahasa dan budaya mereka. Tanpa sedar, dia mula mempelajari bahasa dan budaya mereka.

Mungkin juga kerana dia geram apabila mendengar perbualan Dimas, Erwin, Sukry, Armand dan Andin yang ada kala tidak difahaminya. Lantas dia mengambil keputusan untuk membeli kamus itu. Apa salahnya belajar bahasa asing kan?

“Kau ni kenapa Hani? Kau gaduh dengan Dimas ya?” Farra berasa pelik melihat sikap Hani sejak kebelakangan itu.

“Mana ada,” Hani mengambil kamus itu dan diletakkan bersama buku-buku yang lain.

“Betul ke? Semenjak dua menjak ni aku tengok kau dah jarang-jarang jumpa dia,” Farra masih cuba mengorek rahsia Hani.

Farra sendiri perasan akan perubahan sikap Hani. Kalau dulu, telefon bimbit Hani tidak pernah lekang daripada tangan. Hampir setiap saat telefon itu akan bernyanyi menandakan ada SMS yang masuk. Mengalahkan orang bercinta. Sampaikan dia naik rimas.
Tapi sekarang telefon bimbit itu selalu ditutup. Jika ada SMS yang masuk, Hani hanya membaca tanpa membalasnya. Sangkanya Hani tidak ada kredit. Namun bila ditawarkan telefon bimbitnya, Hani menolak. Tidak penting katanya dan tidak perlu dibalas. Kalau ada orang telefon pun, Hani hanya melihat nama si pemanggil tapi tidak pula dijawabnya.

Hairan. Mesti ada apa-apa ni!

“Aku kata tak ada, tak adalah,” tegas Hani.

Masakan dia mahu menceritakan perihal dirinya dengan Dimas kepada Farra? Perihal apa yang Dimas lakukan kepada dirinya pada malam itu. Nanti apa pula tanggapan Farra? Perkara itu terlalu peribadi. Tambahan pula, perkara tersebut melibatkan hati dan perasaan.

“Kalau macam tu, kau temankan aku beli barang nanti.”

“Tengoklah,“ ujar Hani acuh tak acuh sambil tangannya laju menyusun buku-buku di meja belajarnya.


***


“Far, kita nak pergi mana ni?”

Aku kenal tempat ni. Ni macam nak pergi kafe tempat Dimas dan yang lain-lain main band aja. Malam ni kan malam minggu.

Hani memandang Farra.

“Takkan kau tak kenal tempat ni?” Farra sengaja mahu menduga Hani. “Aku rasa nak tengok dia orang performlah malam ni.”

“Buat apa? Malaslah. Nanti mesti balik malam,” Hani cuba mematahkan hasrat Farra.
Setelah apa yang berlaku antara dia dan Dimas, dia tidak tahu macam mana hendak berhadapan dengan lelaki itu. Yang pasti, dia tidak mahu berjumpa dengan Dimas dalam waktu terdekat itu.

“Habis, selama ni?”

Peliklah minah ni. Macamlah tak pernah balik malam sebelum ni. Bahkan selalunya Dimas yang menghantar Hani pulang jika waktu terlalu lewat. Minah ni macam nak mengelak sesuatu aja. Sahlah ada apa-apa ni!

“Jomlah,” Farra menarik tangan Hani ke dalam.

“Tak naklah, Far,” Hani menarik tangan Farra ke arah yang bertentangan. Aku tak nak jumpa dia! Tanpa sedar, tangan itu direntap kasar. “Far!”

Farra terkejut melihat reaksi Hani.

“Kalau kau tak nak masuk, baik kau bagi tahu aku apa sebenarnya yang dah berlaku antara kau dengan Dimas.”

“Mana ada apa-apa,” Hani masih enggan berterus-terang.

“Baik, kalau kau tak nak bagi tahu, biar aku sendiri yang tanya Dimas,” Farra melangkah untuk masuk ke kafe tersebut.

Bahaya! Kalau Dimas cerita semua macam mana? Tapi takkan dia berani nak cerita semua? Tapi tak boleh percaya juga. Buatnya dia cerita semua pada Farra? Aku juga yang malu.

“Far!” Hani menarik lengan Farra. “Yalah. Aku cerita.”

Farra tersenyum puas. Tahu pun takut.


***


“Dim, elo kenapa? Akhir-akhir ini gue lihat elo selalu menung aja. Elo punya masalah?” soal Erwin ketika mereka berlima mengadakan sesi soundcheck di kafe petang itu.

Beberapa hari ini, temannya itu sering kelihatan muram dan tidak seceria dulu. Dia juga agak pendiam akhir-akhir ini. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Nak kata putus cinta, pacar pun tidak ada.

“Kelmarin Ria telefon. Katanya Ibu Hetty sakit,” ujar Dimas.

Suara tangisan di hujung talian itu benar-benar merusuk ke jiwanya. Kalau diikutkan hati, mahu aja dia terbang ke sana dan memeluk gadis itu.

“Mama sakit,” ujarnya. Tangisannya semakin kuat.

“Mama sakit apa?”

“Enggak tahu. Mama pengsan tadi. Kakak pulang ya lihat mama?”

“Ria, kakak kan masih punya kuliah. Enggak bisa pulang sekarang.”

“Tapi kak, aku takut.”

“Ya, udah. Nanti aku fikirkan. Kamu tenang aja ya?”

Dimas serba salah apabila mengingati perbualan telefonnya dengan Hayria dua hari lepas. Adiknya itu benar-benar berharap agar dia bisa pulang menjenguk Ibu Hetty. Bukan dia tidak mahu pulang namun tanggungjawabnya di sini masih belum selesai.
“Kalian fikir gue harus pulang atau nggak?”

“Susah nih. Minggu depan kan kita lagi ujian,” ujar Erwin.

“Ya, tapi Ibu Hetty juga penting buat gue.”

“Gimana kalau elo pulang lepas ujian?” cadang Erwin.

“Tapi gue bimbang kalau gue enggak bisa menjawab soalan ujian kerana memikirkan perihal Ibu Hetty. Tambahan pula gue enggak mahu menunggu terlalu lama.”

Mama dan papa telah pergi. Bagaimana kalau Ibu Hetty juga... Ah! Aku tidak patut memikirkannya. Namun bagaimana kalau perkara itu terjadi? Aku akan menyesal seumur hidup kerana tidak pulang menjenguk Ibu Hetty.

“Gue harus pulang, Win.”

“Bagaimana dengan ujian?”

“Gue nggak mahu memikirkan hal lain. Yang pasti gue harus pulang,” Dimas nekad membuat keputusan. Ujian itu sudah tiada ertinya jika perihal Ibu Hetty mengasak di mindanya.

“Yakin elo?”

“Jika gue enggak pulang menjenguk Ibu Hetty, gue pasti menyesal nanti.”

“Kapan elo mahu berangkat?”

“Secepat yang mungkin.”

“Gue ngerti perasaan elo. Sabar Dim. Kita doain aja pada Allah SWT. Mudah-mudahan Ibu Hetty enggak apa-apa,” ujar Erwin seraya memegang pundak teman baiknya itu.

“Makasih, Win.”


***


Sepuluh minit sudah berlalu. Namun kedua-dua tubuh itu masih membatu. Hani memandang Farra yang masih menagih jawapan daripada mulutnya. Macam mana nak mula ni?

“Ceritalah cepat,” gesa Farra.

Hani menarik nafas lalu menceritakan segala-galanya kepada Farra kecuali adegan ciuman itu.

“Apa? Dia luahkan perasaan kat kau?”

Bagai nak tersembur minuman yang baru diteguknya tadi. Berita itu benar-benar membuatnya terkejut.

“Kalau ya pun, tak payahlah menjerit. Kau nak satu kompleks ni tahu ke?”

“Sorry. Tapi Hani, apa masalahnya? Dimas tu baik apa, jujur, suka menolong orang, pandai ambil hati...”

“Itu aku tahu tapi hati aku tak ada kat dia.”

“Habis selama ni kau main SMS dengan dia? Lepak dengan dia? Takkan kau tak rasa apa-apa? Ataupun kau masih tak dapat lupakan Arri?”

“Aku tak tahulah, Far. Aku memang suka kat dia tapi kalau masuk bab sayang, aku tak dapat nak pastikan. Lagipun aku tak berapa yakinlah dengan dia.”

“Sebab?”

“Yalah, kau kan tahu dia bukan orang sini. Datang sini sebab nak study. Bila dah habis study nanti, mesti dia balik negara dia kan? Kalau dia balik negara dia, aku ni macam mana? Aku tak nak cinta kontrak.”

“Betul juga cakap kau tu. Dia sekarang dah tahun akhir kan? Tapi Hani, ada juga orang yang bercinta kat kolej dengan universiti sampai ke jinjang pelamin. Dia orang pun asal tempat lain-lain juga. Orang KL dengan orang Johor. Orang Pahang dengan orang Kedah.”

“Tapi dia orang still dalam satu negara. Tak sama dengan kes aku dengan Dimas.”
Sedangkan orang KL yang bercinta dengan orang Johor pun susah nak contact selalu, inikan pula Malaysia dengan Indonesia. Satu SMS aja dah lima puluh sen. Kalau sepuluh SMS dah lima ringgit. Sekali top up aja dah habis. Kalau hari-hari nak top up pokailah jawabnya. Duit berhabis untuk telefon aja. Lagipun macam mana dengan Tasya? Mesti dia lagi marah dengan aku. Takkan aku sanggup membina kebahagiaan atas kehancuran orang lain? Kawan sendiri pula tu.

“Tapi aku rasa tak salah kau cuba. Manalah tahu dia jodoh kau.”

“Kau ingat apa nak cuba cuba?”

Cakap memang senang. Macam mana kalau aku terpikat dengan orang lain walaupun aku bercinta dengan dia? Tak sanggup aku nak ambil risiko.

“Macam mana dengan Tasya?”

“Ala...lama-lama nanti oklah tu. Cinta kan tak boleh dipaksa.”

Tiada ulasan: