Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Januari 05, 2011

Belum Ada Jodoh 16

“AMBOI, orang tu! Semenjak dua menjak ni asyik main mesej saja.”

Afia sedikit tersentak apabila tiba-tiba sahaja Noni terpacul di muka pintu biliknya. Taipan jemarinya terhenti. Barangkali sudah lama gelagatnya diperhatikan. Dia akui memang semenjak akhir-akhir ini, dia jarang-jarang meluangkan masanya bersama Noni dan Ezlyn. Kononnya sebagai tanda protes kerana mereka memberikan nombor telefonnya kepada Syukri. Namun, Noni dan Ezlyn sedikit pun tidak peduli. Mereka tetap berwajah selamba seperti selalu.

“Nak makan tak?” tanya Noni.

“Kat mana?” tanya Afia pula, acuh tidak acuh. Malas hendak melayan atau mungkin sahaja marah kerana aktiviti bermesejnya diganggu.

“DML.”

“Kalau macam tu, aku tak ikutlah,” balas Afia tanpa teragak-agak.

“Betul ke? Kau tak lapar ke?” Noni sengaja menduga. Dia tahu Afia berbohong memandangkan kali terakhir mereka makan pun cuma tengah hari tadi. Takkanlah kenyang sampai malam?

“Tak,” jawab Afia sepatah sambil jemarinya kembali ligat menaip pesanan ringkas pada telefon bimbitnya. Sebenarnya perutnya sangat lapar tetapi terus kenyang apabila mendengar nama DML disebut. Entah mengapa semenjak akhir-akhir ini Ezlyn dan Noni semakin kerap bertandang ke warung itu. Rasanya dahulu mereka hanya makan sekali-sekala sahaja di warung itu memandangkan pihak kolej sudah menyediakan makanan percuma tiga kali sehari di dewan makan untuk pelajar-pelajarnya.

Mungkin makanan di dewan makanan tidak sesedap makanan di warung, tetapi rasanya makanan itu masih mampu untuk diterima oleh tekak mereka. Sudah diberi makanan percuma pun dia sudah bersyukur memandangkan dia bukanlah anak orang kaya yang mampu makan di warung setiap hari. Dia perlu berjimat cermat bagi mengelakkan dirinya kesempitan wang di kemudian hari.

Belum sempat Noni bertanya lagi, Ezlyn pula muncul di muka pintu. “La, tak siap lagi ke?”

“Dia tak nak ikut,” Noni menjawab bagi pihak Afia.

“Kenapa pula?” Ezlyn kehairanan. Tidak pernah-pernah pula Afia membuat perangai sebegini. Bukankah selama ini mereka sering bertiga walau ke mana-mana sahaja? Takkan pasal kes Syukri kut? “Alah, sudah-sudahlah tu. Takkan marah lagi kut?”

Afia menarik muka. Pantang benar dia apabila perihal itu diungkit kembali. Sudah elok-elok dia melupakan perkara itu, Ezlyn pula membangkitkan perkara itu semula. Tidak dinafikan perkara itu sedikit sebanyak membuatkan dia enggan berkunjung ke warung Syukri lagi. Dia lebih rela makan mi segera di bilik daripada terpaksa mengadap muka Syukri.

Bukan dia tidak suka, jauh lagi membenci. Tetapi entah mengapa dia berasa takut dengan Syukri. Mungkin kerana sebelum ini, belum pernah lagi ada seseorang yang cuba menguratnya secara terang-terangan begini. Malah, belum apa-apa lagi Syukri sudah berani mengucapkan perkataan sayang. Dia sendiri pun berasa pelik, bagaimana Syukri boleh menyayanginya sedangkan mereka tidak pernah kenal rapat?

“Kau nak kirim apa-apa tak?” tanya Ezlyn.

“Kuetiau bandung,” jawab Afia pantas.

“Jom, Noni,” ajak Ezlyn. Dia sudah terlalu lapar.

Sejurus mereka berdua beredar, telefon bimbit Afia berbunyi menandakan pesanan ringkasnya tadi sudah berbalas.



SEPANJANG berbalas pesanan ringkas itu, bibirnya tidak berhenti membuahkan senyuman. Bermula dari kejadian ketiadaan Internet beberapa malam yang lalu, mereka terus berbalas pesanan ringkas pada setiap malam. Entah mengapa dia sering ternanti-nantikan pesanan ringkas daripada si pengirim. Jika terlewat daripada waktu yang sepatutnya, hatinya bisa menjadi tidak keruan. Bahkan aktiviti sembang sibernya semakin berkurangan semenjak akhir-akhir ini lantaran dia sibuk melayan kiriman pesanan ringkas daripada si pengirim.

Dengan senang hati, dia membalas pesanan ringkas itu. Tidak sampai seminit, pesanan ringkasnya menerima balasan. Dia sendiri tidak pasti mengapa ringan sahaja jari-jemarinya membalas setiap pesanan ringkas yang dikirimkan tanpa mempedulikan jumlah kreditnya yang tinggal sedangkan sebelum ini dia amat berkira dengan kreditnya. Namun, kiriman pesanan ringkas yang seterusnya hampir meluruhkan tangkal jantungnya. Berkali-kali dia membaca ayat itu bagi memastikan yang matanya tidak salah melihat.


Awak, saya nak jumpa awak boleh?


‘Dia nak jumpa aku? Nak buat apa? Berkawan dalam ni saja kan dah okey?’ Bukankah sudah hampir sebulan mereka begini?


Jumpa? Nak buat apa?


Sebelum ini, Afia pernah juga berkenalan dengan seorang pemuda di telefon. Pada mulanya, dia menyangka yang pemuda itu adalah salah seorang kawannya yang sengaja ingin mempermainkannya. Namun, lain pula jadinya apabila orang itu menyatakan yang dia suka dengan gaya Afia kerana Afia tidak cepat perasan. Akhirnya, orang itu berterus terang yang dia adalah kawan teman lelaki Noni.

Sangkanya, Noni yang memberikan nombor telefonnya kepada kawan teman lelaki Noni yang bernama Jehan itu. Namun menurut Noni, dia sendiri tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Rupa-rupanya Jehan menyimpan nombor telefonnya kerana teman lelaki Noni pernah meminjam telefon bimbit Jehan untuk menghubungi Afia bagi bercakap dengan Noni lantaran teman lelaki Noni kehabisan kredit pada waktu itu.

Menurut Noni lagi, Jehan baru sahaja putus tunang dan mungkin sedang mencari seseorang untuk mengubat kesunyiannya. Afia pula yang pada ketika itu cuma berniat hendak bermain-main, layankan sahajalah. Namun, hubungan mereka berdua cuma berjalan dalam telefon. Tidak pernah sekalipun terdetik di hatinya untuk menjalin hubungan yang serius dengan Jehan.

Hubungan mereka berjalan lancar. Setiap malam, Jehan pasti mengirimkan pesanan ringkas kepadanya, bertanyakan khabar dan berkongsi cerita tentang apa-apa sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, Jehan langsung tidak menghubunginya. Sangkanya, Jehan mungkin sibuk dengan kerjanya. Namun setelah seminggu, Jehan tetap tidak menghubunginya seperti selalu. Justeru, dia memberanikan diri untuk menghubungi Jehan sedangkan selalunya Jehan yang akan menghubunginya terlebih dahulu.

Jehan membalas pesanan ringkasnya tetapi dia dapat merasakan yang layanan Jehan terlalu dingin. Selepas itu barulah dia tahu yang Jehan akan berkahwin dengan bekas tunangnya itu. Mereka sudah berbaik semula. Hendak kata dia kecewa, tidak juga kerana dia tidak pernah menaruh sebarang harapan kepada Jehan. Cuma dia terkilan kerana Jehan tidak bersikap jujur dengannya. Mengapa Noni yang memberitahunya tentang perkara itu? Mengapa bukan Jehan sendiri?

Mungkin dia hanya seorang pengisi kekosongan. Tatkala kekosongan itu sudah terisi, maka dia pun dibuang. Berita terakhir yang dia dengar daripada Noni, Jehan sudah selamat mendirikan rumah tangga dengan bekas tunangnya itu. Sebagai seorang kawan walaupun hubungan mereka hanya dalam telefon, dia mendoakan kebahagiaan Jehan memandangkan Jehan juga pernah mewarnai hidupnya.

Afia memandang telefon bimbitnya yang berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.


Saya ada benda nak bagi pada awak. Kita jumpa ek?


Afia merenung bait-bait perkataan yang terkandung dalam pesanan ringkas itu. Lama. Berbeza dengan Jehan yang dia tidak pernah bertentang mata, sekurang-kurangnya dia mengenali si pengirim yang kali ini. Namun, hatinya tetap ragu-ragu. Pada ketika itu, dia teringat kata-kata Noni tentang perihal Jehan dahulu.

“Alah, kawan saja. Tak rugi apa-apa pun.”

Ya, kawan...


Nak jumpa kat mana?


Akhirnya dia bersetuju untuk berjumpa. Lagipun, bukannya dia tidak kenal Asyraf. Bukankah mereka sudah pernah berjumpa?


Ikut awaklah. Kalau awak nak saya datang sana pun, boleh aje.


“Isy, takkan nak biar dia datang sini? Nanti kawan-kawan aku nampak, macam mana? Bukannya boleh percaya sangat kawan-kawan aku tu.” Afia berfikir sejenak sebelum membalas pesanan ringkas itu.


Kita jumpa kat KL ajelah.


Tidak lama kemudian, pesanan ringkasnya itu dibalas oleh Asyraf.


Okey, kita lepak KLCC hujung minggu ni, ya? (^_^)

1 ulasan:

aqilah berkata...

kurang senang dgn lyn dan noni.........mencabul privasi kawan baik!!!