Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Januari 13, 2011

Belum Ada Jodoh 17

“LYN, kau perasan tak semenjak dua menjak ni Afia tu asyik main-main mesej saja? Tak kira siang atau malam, telefon bimbit dia asyik berbunyi saja,” tanya Noni sejurus pekerja warung DML itu mengambil pesanan mereka.

Berbeza dengan Afia, mereka berdua lebih suka makan di warung kerana makanan di warung lebih sedap daripada makanan di dewan makan kolej selain mempunyai banyak pilihan berbanding makanan di dewan makan kolej yang sudah ditetapkan menunya setiap hari. Mahal atau murah bukanlah masalah besar kepada mereka memandangkan kedua-duanya mempunyai teman lelaki untuk ‘diperah’ jika mereka kehabisan duit. Yang penting, mereka berpuas hati dengan keenakan makanan yang dibayar.

“Haah, aku pun perasan juga. Asyik berkepit saja dengan telefon bimbit dia. Biasanya dia letak telefon bimbit tu merata saja. Kau rasa dia dah ada sesiapa ke?” Ezlyn pula bertanya kepada Noni.

“Yalah kut. Kalau tak, takkanlah dia sibuk dengan telefon bimbit dia 24 jam kan? Tapi siapa?”

Tanpa dirancang, serentak kedua-duanya menoleh ke arah Syukri yang sedang duduk di kaunter bayaran sambil menaip pesanan ringkas pada telefon bimbit di tangannya. Kemudian, kedua-dua mereka saling berbalas pandangan. Serentak segaris senyuman terukir pada bibir masing-masing.

“Tak sangka ya, dalam diam-diam rupanya menjadi juga dia orang ni ya,” komen Ezlyn sambil tersenyum sinis.

“Tapi kalau betul dia orang tu tengah ada hubungan, kau tak rasa pelik ke? Kenapa Afia tak beritahu kita apa-apa? Lagi satu, bila kita ajak dia datang makan kat sini pun, dia tak nak. Orang kalau tengah mabuk bercinta, mestilah nak jumpa selalu, kan? Betul tak?” Noni meluahkan kemusykilannya.

“Alah, dia malulah tu. Yalah, dulu kan dia asyik cakap tak suka bila kita asyik kenen-kenenkan dia dengan Syukri, tup tup sekarang dia dengan Syukri pula,” terang Ezlyn.

“Mungkin jugalah, kan? Hai, kalau betullah Afia tu jadi dengan Syukri, memang bertuahlah Afia dapat couple dengan taukeh warung. Cakap saja nak makan apa, bila-bila masa saja si Syukri tu boleh arahkan tukang masak dia untuk masak. Yalah, Afia tu bukannya pandai masak. Nasib baiklah ada juga lelaki yang nak pada dia,” komen Noni.

Pernah sekali mereka membawa periuk nasi dan periuk elektrik secara sembunyi-sembunyi ke asrama pada bulan puasa. Kononnya untuk kemudahan mereka bagi memasak juadah bersahur dan berbuka. Kebiasaannya, dia dan Ezlyn akan bergilir memasak lauk-pauk manakala Afia ditugaskan untuk memasak nasi memandangkan Afia cuma tahu memasak nasi selain mi Maggi.

Mungkin kehidupan Afia agak senang jika dibandingkan dengan kehidupannya. Semua makan pakai sudah tersedia berbanding dia yang perlu menyediakan kesemuanya sendirian. Sebagai anak perempuan, dia dan adik-beradik perempuannya yang lain sering ditugaskan oleh ibu mereka untuk membantu di dapur. Jadi secara tidak langsung, dia juga pandai memasak.

“Alah, okeylah tu. Aku rasakan lain kali kita tak payahlah susah payah datang ke sini lagi. Suruh saja Afia telefon Syukri dan suruh dia hantar makanan naik ke bilik kita, kan senang?” Ezlyn tergelak apabila membayangkan rancangannya itu. Jika kerana Afia, pasti Syukri tidak akan menolak.

“Haah, lepas tu kita minta diskaun,” tambah Noni.

“Minta diskaun buat apa? Lebih baik kita minta makan percuma saja terus!” celah Ezlyn.

Mereka berdua tergelak lagi sambil sesekali melihat ke arah Syukri. Mereka mahu melihat sampai bila Afia mampu merahsiakan hubungannya dengan Syukri daripada pengetahuan mereka. Sampai masanya nanti, mereka pasti hubungan Afia dan Syukri akan terbongkar jua.

Tiada ulasan: