Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Januari 04, 2011

Belum Ada Jodoh 15

NOMBOR telefon itu didail sekali lagi. Namun sama seperti selalunya, tiada berjawab. Seolah-olah pemilik nombor telefon itu memang sengaja tidak mahu menjawab setiap panggilannya. Pesanan ringkasnya juga sudah tidak berbalas.

Syukri mengeluh hampa. Afia langsung tidak memberinya peluang. Teruk sangatkah dia? Atau sememangnya Afia sudah mempunyai teman lelaki? Adakah benar pemuda yang datang ke situ tidak lama dahulu adalah teman lelaki Afia?

Tetapi menurut Ezlyn dan Noni, Afia masih belum mempunyai sesiapa sebagai teman istimewa. Disebabkan itulah dia berani memulakan langkah dan nekad bertindak meminta nombor telefon Afia daripada kawan-kawan Afia. Hendak meminta daripada Afia sendiri, jangan haraplah dia akan dapat. Belum sempat dia datang dekat, Afia sudah lari terlebih dahulu.



MELIHATKAN Afia sudah tergesa-gesa berlalu selepas membayar harga makanan dan minumannya, maka terpaksalah dia menebalkan muka menegur Ezlyn dan Noni. Nasib baik mereka memberikan respons positif.

“Dah nak balik ke?” tanya Syukri sekadar berbasa-basi sejurus Ezlyn, Noni dan Yusri selesai membuat bayaran di kaunter.

“Haah, dah nak pukul 11.00 malam ni. Nanti pintu pagar dikunci pula,” jawab Ezlyn.

“Boleh tanya sikit tak?”

“Nak tanya apa?” tanya Ezlyn kembali sambil memandang ke arah Noni. Noni juga seperti tidak sabar hendak mengetahui apa yang ingin ditanya oleh Syukri itu. Lagak gayanya seperti ingin bertanyakan tentang sebuah rahsia besar yang tidak mahu diketahui oleh orang lain.

Syukri memandang Afia yang tercegat di pintu pagar belakang kolej mereka yang tidak jauh dari situ sambil memerhati ke arah mereka. Kemudian, perlahan dia berbisik, “Afia tu dah ada pakwe atau belum ya?”

Mata Ezlyn dan Noni membuntang mendengar pertanyaan itu. Serentak mereka memandang antara satu sama lain sambil mengangkat kening masing-masing. Seolah-olah tidak menyangka akan soalan yang baru keluar daripada mulut Syukri itu. Seketika kemudian, mereka berdua tersenyum mengusik. Ternyata telahan mereka selama ini tidak silap. Syukri memang sukakan Afia!

“Kenapa tak tanya dia sendiri tadi?” Ezlyn sengaja menduga.

“Nak buat macam mana, belum sempat tanya, dia dah pergi,” luah Syukri dengan nada kecewa. Dia dapat merasa yang Afia seolah-olah sengaja mengelakkan diri daripadanya.

Ezlyn memandang Noni sambil mengangkat kening. Kemudian, mereka kembali memandang Syukri. “Dia single lagilah.”

And available,” sambung Noni.

Syukri tersenyum mendengar jawapan itu. Namun sejurus teringatkan lelaki yang bersama Afia hari itu, serta-merta senyumannya mati. “Tapi siapa lelaki yang dengan dia hari tu?”

“Lelaki mana? Bila?” tanya Ezlyn.

“Ada hari tu dia orang minum kat sini,” terang Syukri.

“Afia dengan siapa, Noni?” Ezlyn bertanya kepada Noni. Mungkin Noni mengetahui tentang perkara itu.

“Entah,” jawab Noni. Sejenak kemudian, barulah dia mula teringat. “Hah! Entah-entah mamat yang kita jumpa kat KL Sentral tu tak? Yang jumpa dompet Afia tu. Kan dia pernah datang sini sebab nak ambil barang dia yang ada pada Afia.” Noni mengingatkan Ezlyn tentang lelaki itu.

Dahi Ezlyn berkerut. Dia tidak tahu-menahu langsung tentang itu. “Dia orang minum kat sini ke?”

“Adalah, yang kita tak nak temankan dia tu. Eh! Ke aku tak cerita pada kau?” Noni menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia juga sudah lupa sama ada dia pernah memberitahu Ezlyn tentang perkara itu atau tidak. Adakalanya perkara yang sama pun dia tidak sedar yang dia sudah bercerita berulang kali.

“Mana ada. Kau tak cerita pun.” Ezlyn yakin Noni tidak pernah menceritakan tentang perkara itu kepadanya. Jika Noni pernah bercerita, pasti dia mengingatinya.

“Aku lupa kut nak cerita.” Noni tersengih.

“Betul ke lelaki tu pakwe dia?” Syukri pantas mencelah. Dia tidak mahu tahu akan hal lain selain tentang Afia. Semenjak hari itu, fikirannya terganggu gara-gara memikirkan hubungan Afia dengan lelaki itu. Jika benar lelaki itu adalah teman lelaki Afia, dia berjanji dengan dirinya sendiri yang dia tidak akan mengganggu Afia lagi. Tetapi jika sebaliknya, dia nekad akan berusaha untuk merebut hati Afia dan bersaing dengan lelaki itu secara adil.

“Setakat yang kita orang tahu, Afia memang belum ada siapa-siapa lagi,” jelas Ezlyn. Jika Afia sudah mempunyai teman lelaki, pasti mereka berdua yang akan tahu terlebih dahulu. Lagipun, Afia masih seperti biasa. Tiada apa-apa perubahan yang luar biasa pada dirinya. Telefon bimbitnya pun memang tidak pernah berbunyi melainkan teman lelaki Noni yang menghubunginya untuk bercakap dengan Noni.

“Boleh beri nombor telefon dia tak?” pinta Syukri serius.

Ezlyn dan Noni kelihatan teragak-agak.



PENAT mendail, Syukri mengalihkan pandangannya ke arah pintu pagar belakang kolej itu yakni tidak jauh dari warungnya itu. Mengharapkan wajah Afia muncul di hadapan matanya. Sangkanya, dia dapat mendekati Afia dengan cara itu. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Afia semakin menjauhkan diri.

Dia tidak kisah jika Afia tiada hati kepadanya kerana dia yakin dia akan dapat memenangi hati Afia suatu hari nanti sekiranya dia tidak berputus asa dan bersungguh-sungguh. Namun belum apa-apa lagi, Afia sudah menolaknya mentah-mentah tanpa memberinya peluang.

Sukar dijelaskan bagaimana perasaan itu boleh hadir. Yang pastinya, dia sukar melarikan pandangan mata daripada wajah gadis itu setiap kali gadis itu berkunjung ke situ. Setiap kali ke situ, Afia tidak pernah datang bersendirian. Dia sentiasa ditemani oleh Ezlyn dan Noni. Yusri pula hanya sekali-sekala menyertai mereka. Dan setiap kali itulah dia suka melihat wajah Afia yang cute itu. Selama memerhatikan Afia, dia dapat mengagak yang Afia seorang yang tidak banyak cakap dan mungkin juga pemalu.

Walaupun Yusri sering menyertai mereka bertiga, tetapi dia tidaklah berasa tergugat memandangkan dia pasti Afia tidak berminat dengan Yusri melalui cara Afia melayan Yusri. Yusri juga tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia menyukai Afia. Namun berbeza dengan pemuda yang datang minum bersama Afia kelmarin. Afia kelihatan malu-malu apabila bersama pemuda itu. Dan yang menguatkan andaiannya ialah Afia dan pemuda itu hanya datang berdua tanpa ditemani kawan-kawannya seperti selalu. Jadi, pastinya pemuda itu seorang yang istimewa kepada Afia.

Sedang dia mengelamun, wajah Ezlyn dan Noni menyapa pandangan matanya. Syukri menggosok-gosok matanya. Ternyata dia tidak bermimpi. Memang Ezlyn dan Noni sedang melangkah menuju ke warung itu. Tetapi, di mana Afia? Mengapa mereka cuma berdua sahaja?


Internet Explorer cannot display the webpage

BUAT ke sekian kalinya, Afia mengeluh hampa tatkala melihat ayat yang tertera pada skrin komputer ribanya itu.

“Ee, kenapa tak ada Internet pula ni?” rungut Afia. Dari pukul 8.00 malam lagi dia sudah duduk tercongok di hadapan komputer riba untuk melayari Internet seperti selalu. Namun dari tadi, hanya ayat itu yang tertera pada skrin komputer ribanya. “Isy, bosanlah macam ni.”

Afia menutup komputer ribanya dengan geram. Sejurus kemudian, dia melangkah ke biliknya lalu berbaring di atas katil. Namun tidak lama kemudian, dia bangkit dari katil. Tiba-tiba perutnya terasa lapar pula. Ajakan Ezlyn dan Noni untuk makan malam di DML tadi sengaja ditolak. Walaupun sudah puas Ezlyn dan Noni memujuk, namun dia tetap berkeras tidak mahu. Dia tidak tahu bagaimana harus berhadapan dengan Syukri, malah semua panggilan dan pesanan ringkas Syukri langsung tidak diendahkan. Dia mahu Syukri tahu yang dia tidak berminat.

Telahan Afia seratus peratus tepat apabila Ezlyn menceritakan perihalnya dengan Syukri kepada Noni. Itulah antara sebab dia jarang-jarang menceritakan sesuatu perkara yang membabitkan perasaan. Jika salah seorang daripada mereka bertiga tahu, pastinya dua yang lain akan tahu juga.

Bagi Afia, sesuatu yang berkaitan dengan perasaan terlalu peribadi untuk diceritakan kepada semua orang walaupun mereka berdua adalah sahabat baiknya. Lagipun, dia tidak tahu selama mana persahabatan mereka akan terjalin. Siapa yang berani jamin persahabatan mereka akan terus terjalin sampai mati? Adakah persahabatan mereka akan terlerai sejurus mereka tamat pengajian seperti teman-teman sekolahnya?

Lantaran itu, Afia lebih suka memendamkan perasaannya sendiri. Cuma dia yang tahu apa yang tersirat di hatinya. Tetapi mungkin kerana sikapnya yang suka memendam perasaan itu juga yang membuatkan teman-temannya gemar memadankannya dengan mana-mana lelaki.

Dia masih ingat bagaimana Ezlyn menggunakan telefon bimbitnya dan menghubungi salah seorang kawan lelakinya dengan mengatakan yang dia hendak berkenalan. Dia terasa ingin mencekik Ezlyn pada waktu itu juga! Suka-suka hati sahaja Ezlyn menggunakan namanya. Nampak sangat macam dia terhegeh-hegeh hendak berkenalan dengan kawan Ezlyn itu. Dia tahu kawan-kawannya itu berniat baik tetapi kalau ya pun, agak-agaklah juga. Walaupun hatinya belum dimiliki, takkanlah semua lelaki yang dia jumpa dia hendak rembat?

Bukan dia terlalu memilih, tetapi dia tidak mahu terburu-buru. Mungkin belum ada jodoh agaknya. Hendak buat bagaimana, apabila ada orang yang sukakannya, dia pula tidak suka. Apabila dia sukakan seseorang, orang itu pula sudah ada yang punya. Justeru, dia tidak mahu memikirkan soal itu. Dia yakin Tuhan sudah mengaturkan jodohnya. Cepat atau lambat, dia pasrah sahaja.

“Aduh, laparnya.” Telefon bimbit di sebelah bantal dicapai. Afia mula berkira-kira. “Nak makan Maggi ke nak kirim nasi kat dia orang ya?”

Belum pun sempat Afia menaip pesanan ringkas kepada Ezlyn, telefon bimbitnya itu berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.

“Mesti Lyn yang mesej tanya aku nak kirim apa-apa ke tak ni. Sayang juga kau kat aku ya,” omel Afia sendiri sambil jari-jemarinya laju menekan-nekan butang pada telefon bimbit itu untuk membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya itu. ‘Aik? Mamat ni lagi?’


Salam, Afia. Sihat?


Afia merebahkan tubuhnya ke katil. Dia berkira-kira sama ada hendak membalas pesanan ringkas itu atau tidak. Serta-merta rasa laparnya hilang.

Tiada ulasan: