“LIA!”
Aulia yang baru melepasi pintu keluar bangunan tempat
kerjanya terhenti melangkah apabila mendengar namanya dipanggil. Wajahnya yang
ceria tadi berubah riak tatkala melihat pemuda itu menghampirinya.
“Dee, kau balik dululah,” Aulia berkata
kepada rakan sekerjanya, Dayana, yang juga merangkap teman baiknya.
“Tak apa ke?” Dayana berasa
ragu-ragu mahu meninggalkan Aulia bersama pemuda itu tetapi pada masa yang sama
dia perlu pulang cepat.
“Tak apa, aku boleh uruskan,” balas
Aulia seakan-akan tahu perkara yang bermain dalam fikiran sahabatnya itu.
“Kalau ada apa-apa, kau telefon aku
tau!” pesan Dayana sebelum melangkah pergi dalam terpaksa. Sempat dia
mengerling pemuda itu.
“Abang Wan buat apa kat sini?” soal
Aulia dingin. Dia malas mahu melayan Izwan yang tidak faham bahasa itu.
“Abang nak jumpa Lialah,” ujar Izwan
tanpa segan silu seraya tersenyum lebar.
Namun, senyuman itu langsung tidak
memberikan apa-apa kesan kepada Aulia. Sebaliknya, dia berasa menyampah pula.
“Ada apa abang nak jumpa Lia? Kita
dah tak ada apa-apa hubungan lagi, kan?” Aulia mengingatkan Izwan. Hidupnya
kini lebih tenteram tanpa Izwan dan keluarga mentuanya.
“Kita masih boleh sambung balik
hubungan kekeluargaan kita. Lia dah pertimbangkan cadangan abang hari tu?” soal
Izwan lembut. Sengaja mahu memancing hati Aulia.
“Lia minta maaf, bang. Lia tak boleh
terima abang,” jawab Aulia berterus-terang. Dia harap Izwan faham. Dia tidak
mahu ada kaitan dengan keluarga Izwan lagi. Dia sudah tiada hati.
Namun,
Izwan seakan-akan sengaja berbuat tidak faham. Dia tetap yakin Aulia akan
menerimanya juga suatu hari nanti.
“Okey,
tak apa. Kalau Lia perlukan masa lagi, abang faham. Lia nak balik, kan? Jom
abang hantarkan,” Izwan cuba memujuk.
“Tak
apalah, bang. Lia pun tengah tunggu kawan Lia ni,” bohong Aulia. Dia berharap
Izwan akan segera beredar dari situ. Dan kalau boleh, dia memang tidak mahu berjumpa
dengan Izwan lagi.
“Betul
ke atau Lia sengaja nak mengelak daripada abang?” tebak Izwan. Dia tidak percaya
dengan alasan Aulia.
“Betullah!”
Aulia cuba mengawal suaranya yang gemuruh seraya memandang ke arah pintu
bangunan tempat kerjanya. Dia berharap ada seseorang yang dapat
menyelamatkannya daripada Izwan.
Seolah-olah
Tuhan memperkenankan doanya, bunyi kad akses disentuh pada thumbnail pintu utama bangunan tempat kerjanya menandakan ada orang
yang mahu keluar.
“Ha,
itu pun kawan Lia.” Dengan wajah selamba, Aulia merapati Sufian yang baru sahaja
melepasi pintu utama bangunan tersebut.
“Awak,
lama betul saya tunggu awak. Kenapa lama sangat?” Aulia sengaja melunakkan
suaranya supaya Izwan percaya bahawa Sufian itu seorang yang istimewa kepadanya.
Sufian
tercengang melihat sikap manja Aulia yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Aulia
mengerlip-ngerlipkan matanya kepada Sufian beberapa kali dan berharap agar
Sufian memahami yang dia sedang berada dalam keadaan terdesak. Mujurlah dia
membelakangkan Izwan.
“O...
ha, saya ada kerja sikit tadi. Sorry
buat awak tunggu lama,” Sufian mula memainkan peranannya walaupun dia tidak
tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.
“Abang,
ini Sufian. Teman lelaki Lia,” Aulia memperkenalkan Sufian kepada Izwan.
Sufian
menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi Izwan langsung tidak menyambut
tangan Sufian. Sebaliknya, dia tayang muka sombong.
“Abang
tak percayalah. Takkan cepat sangat Lia dah dapat pengganti?” Izwan senyum
sinis. Seakan-akan tidak tertipu dengan helah Aulia.
“Terpulanglah
pada abang. Tapi, Lia nak abang tahu yang Lia dah ada Sufian sekarang. Lia
harap abang takkan kacau Lia lagi,” ujar Aulia dengan yakin. Kenalah nampak
yakin supaya Izwan percaya dengan pembohongannya.
Izwan
memandang Sufian.
Sufian
pamer wajah selamba. Berpura-pura tidak terkejut dengan pengakuan Aulia tadi.
“Okey,
tak apa. Tapi selagi Lia belum berkahwin, abang akan buat sampai Lia terima
abang!” ugut Izwan lalu beredar dari situ.
Aulia
melepaskan keluhan.
Kenapalah
Izwan masih tak faham-faham?
“TERIMA kasih, Pian! Maaflah, terpaksa gunakan awak,”
ucap Aulia lalu melangkah untuk pergi.
“Ehem!
Takkan nak blah macam tu saja?” soal
Sufian tak puas hati.
Eh!
Langkah
Aulia terhenti. Dia berpaling semula kepada Sufian.
“Sekurang-kurangnya belanjalah saya
makan,” gurau Sufian.
Mata Aulia membulat. Seakan-akan
tidak percaya dengan kata-kata Sufian.
“Amboi,
baru tolong sikit dah minta belanja makan?” Aulia sedikit bengang. Bukannya
besar mana pun pertolongan Sufian tadi.
Sufian tersengih.
“Tak
adalah. Main-main sajalah. Tapi, awak pasti ke dia dah balik? Buatnya dia
tengah perhatikan kita lagi sebab nak tengok kita betul-betul bercinta ke tak,
macam mana?” usik Sufian lagi.
Kata-kata
Sufian itu membuatkan Aulia berasa tidak senang hati. Dia melihat sekeliling
bagi memastikan Izwan benar-benar sudah pergi dari situ.
“Dia
dah pergi kut,” balas Aulia. Lebih kepada menyedapkan hati sebenarnya. Tapi, harapnya
begitulah.
“Awak
yakin?” Sufian bertanya lagi.
Aulia
memandang Sufian.
Eee...
Si Pian ni sengaja nak buat dia tak tenteram!
“Jom
saya hantar awak balik,” pelawa Sufian.
“Tak
apalah. Rumah saya dekat saja,” Aulia menolak.
Dia
tidak mahu terhutang budi lagi. Tadi baru tolong sikit Sufian sudah minta dia
belanja makan, kalau hantar balik entah apa pula yang dimintanya.
“Lebih
baik awak ikut saya. Saya rasa lelaki tu tengah perhatikan kita lagi,” kata
Sufian serius.
“Betul
ke?” Mata Aulia liar memerhati sekeliling.
“Jom!”
Sufian mengisyaratkan supaya Aulia mengikut langkahnya.
Mahu
tidak mahu, terpaksalah Aulia mengekori langkah Sufian ke tempat letak kereta. Namun,
dia menjarakkan diri daripada Sufian dan hanya mengikut di belakang.
“Jalanlah
dekat sikit. Barulah nampak macam kita ni betul-betul tengah bercinta,” giat
Sufian.
“Bercinta
saja, bukannya suami isteri!” bantah Aulia.
Sufian
tergelak senang hati sedangkan Aulia sudah cuak separuh mati. Entah sampai
bilalah Izwan akan mengganggunya.
“MASUKLAH,” pelawa Sufian apabila Aulia masih teragak-agak hendak masuk ke dalam kereta
Persona miliknya.
Ini pertama kali Aulia menumpang
kereta Sufian. Pastilah dia berasa segan. Lagipun hubungan mereka bukannya
rapat sangat pun.
“Err, saya jalan kaki sajalah,”
putus Aulia. Takut pula dia mahu menaiki kereta Sufian.
“Dah sampai sini, kan? Naik sajalah.
Saya janji saya takkan minta apa-apa balasan, okey?” janji Sufian seakan-akan
tahu perkara yang bermain dalam benak fikirannya.
Mendengarkan itu, lambat-lambat
Aulia membuka pintu di sebelah tempat duduk pemandu. Masih waswas dengan
Sufian.
“Siapa
lelaki tadi tu?” Sufian menyoal sejurus mereka berada di dalam kereta.
“Izwan,” Aulia memberitahu tanpa menerangkan
hubungan sebenarnya dengan Izwan secara lebih terperinci.
“Kenapa dia cari awak tadi?” Sufian
buat-buat bertanya. Melihatkan cara Izwan tadi pun dia sudah tahu yang Izwan
ada hati pada Aulia. Tapi, sengaja dia mahu mendengar daripada mulut Aulia
sendiri.
“Entahlah. Tak ada angin, tak ada
ribut, tiba-tiba saja dia ajak saya kahwin.” Aulia membuka cerita. Dengan
Sufian, dia tidak perlu hendak berahsia sangat memandangkan mereka sudah kenal
lama dan Sufian sendiri pun sudah mengetahui tentang latar belakang dirinya.
“Awak kenal tak dia?” soal Sufian
ingin tahu.
“Mestilah kenal, dia tu abang ipar
saya...” Aulia melepaskan keluhan.
“La, abang ipar awak?” Sufian
sedikit terkejut. Namun kemudian, dia bertanya, “Dia dah kahwin ke?”
“Dah, tapi dah bercerai.”
“Oh, dudalah ya?” Sufian mengangguk.
Namun kemudian, dia bertanya lagi, “Sejak bila dia selalu kacau awak?”
“Sejak
akhir-akhir ni tapi selalunya dia mesej saja. Tak sangka pula dia berani cari
saya dekat pejabat,” Aulia memberitahu.
Alang-alang
Sufian bertanya, biarlah dia ceritakan semua. Dia juga perlukan seseorang untuk
meluahkan perasaan. Mahu bercerita dengan Dayana, pastinya Dayana sedang sibuk
dengan anak dan suaminya ketika ini.
“Kalau dia kacau awak lagi, apa awak
nak buat? Daripada gaya dia tadi, saya rasa dia takkan biarkan awak macam tu
saja.” Sengaja Sufian menduga.
“Entahlah. Mungkin saya kena kahwin
dulu kut, baru dia berhenti kacau saya,” luah Aulia.
“Jadi
maknanya, awak dah bersedia nak kahwin semula?”
Soalan
Sufian itu membuatkan Aulia terkedu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan