Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, September 23, 2012

Cinta Gantung (Bab 5)

“SIAPA yang nak buat kad pengenalan ni?” Wanita berusia separuh abad yang bertugas di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara yang terletak di Plaza Massalam, Shah Alam itu berkerut apabila melihat tiga gadis itu beratur di hadapannya serentak.
            “Saya,” jawab Afia.
            “Habis, yang dua lagi ni?” soal pekerja wanita itu sambil mencerlung ke arah Ezlyn dan Noni yang berdiri di kiri dan di kanan Afia.
            “Dia orang cuma temankan saya,” balas Afia lagi.
Kecut perutnya apabila melihat renungan pekerja wanita itu. Macam nak makan orang.
            “Kalau tak berkenaan tu, tak payahlah beratur.” Pekerja wanita Jabatan Pendaftaran Negara itu mula menyinga.
Mendengarkan itu, Ezlyn dan Noni beredar ke tempat duduk menunggu dan membiarkan Afia menyelesaikan urusannya.
“Pertama kali hilang?” Pekerja wanita Jabatan Pendaftaran Negara itu bertanya acuh tidak acuh. Mukanya masih masam. Langsung tiada senyuman pada bibirnya.
Afia cuma mengangguk.
“Ee, hari-hari ada aje orang yang hilang kad pengenalan. Ada tu yang sampai tiga empat kali hilang. Susah sangat ke nak jaga kad yang sekeping tu?” bebel pekerja wanita itu sambil tangannya menekan-nekan papan kekunci komputer di hadapannya.
            Afia cuma diam. Dibiarkannya sahaja pekerja wanita itu meluahkan isi hatinya. Mungkin dia sudah jemu kerana terpaksa melayan pelbagai kerenah manusia yang kehilangan kad pengenalan hampir setiap hari. Fikir Afia.
            “Sila bayar denda sebanyak RM30,” ujar pekerja wanita itu selepas dia selesai menyemak rekod dan butir-butir peribadi Afia dalam komputer.
            “Hah?” Afia ternganga. RM30? Mana aku ada duit. “Kejap ya, kak.”
Afia mendapatkan Ezlyn dan Noni. Terpaksalah dia menebalkan mukanya untuk meminjam duit daripada mereka walaupun hakikatnya dia tidak memakai secalit bedak pun. Kalau bukan kerana terpaksa, dia pun tidak akan meminjam duit daripada sesiapa. Dia lebih rela menjadi pemiutang daripada menjadi penghutang.
“Siapa ada RM30? Pinjam.”
            Tanpa banyak soal, Ezlyn terus mengeluarkan dompetnya dari dalam saku seluarnya. Tiga keping wang kertas berwarna merah diambil lalu dihulurkan kepada Afia.
Afia menyambutnya dengan perasaan serba salah. Dia terasa seperti peminta sedekah. Beginikah rasanya apabila terpaksa meminta?
           

USAI urusan di Jabatan Pendaftaran Negara, mereka ke Bank Simpanan Nasional di Kompleks PKNS pula bagi membuat kad bank baru. Kali ini, Ezlyn dan Noni tidak mengikut Afia ke kaunter. Mereka duduk di kerusi yang disediakan.
Keadaan di bank itu tidaklah terlalu sesak seperti di Jabatan Pendaftaran Negara tadi. Disebabkan tidak mahu bersesak dengan orang ramailah mereka keluar pada waktu awal pagi.
            “Minta kad pengenalan, dik,” ujar pekerja bank wanita yang bertugas di kaunter itu dengan sopan sambil mengukir senyuman mesra.
Sedikit sebanyak senyuman itu dapat meredakan kegelisahan yang sedang ditanggung oleh Afia pada ketika itu.
            “Kad pengenalan? Ta… tak ada,” balas Afia.
Sedaya mungkin dia cuba mengawal perasaannya supaya tidak menangis. Entah mengapa dia menjadi begitu pilu apabila mengenangkan nasibnya yang malang itu. Sudahlah tiada wang, kad pengenalan juga tiada. Sekurang-kurangnya kad pengenalan itu dapat menjadi bukti yang dia masih rakyat negara ini. Tiba-tiba saja dia berasa seperti sehelai sepinggang.
            “Kalau tak ada kad pengenalan, tak boleh keluar duit,” terang pekerja bank wanita itu dengan nada yang tetap sopan.
            “Tapi dompet saya hilang…” Afia mula sebak. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata. Kalau kad pengenalan hilang, macam mana? Dia benar-benar perlukan duit.
            “Jadi, kad pengenalan semua hilang?” tanya pekerja bank wanita itu. Dia mula memahami kesulitan yang dihadapi oleh gadis di hadapannya itu.
            Afia mengangguk. Air matanya sudah mengalir di pipi, namun pantas disekanya. Mungkin dia berasa malu. Perkara kecil sebegini pun mahu menangis. Lemah betul!
“Tolonglah, kak. Saya tak ada duit langsung ni,” ujar Afia separuh merayu.
Takkan tidak ada pengecualian? Bukankah kad pengenalannya hilang? Lainlah jika dia yang tidak bawa.
            Pekerja bank wanita itu mengamati wajahnya. Mungkin dia sedang cuba mencari kejujuran pada wajah itu.
Tidak lama kemudian, dia berkata, “Okeylah, hulurkan tangan, akak nak ambil cap jari. Untuk adik aje tau.”
            “Terima kasih, kak.” Afia menarik nafas lega. Dia tidak sanggup menambah beban hutang dengan kawan-kawannya. Walaupun mereka adalah kawan rapatnya, namun dia tetap berasa malu untuk meminjam duit daripada mereka.
Meskipun perkara itu tampak remeh, tetapi tidak mustahil akan memberikan impak besar. Kerana duit, kawan boleh jadi lawan. Kawan baik boleh menjadi musuh ketat. Itulah yang cuba dielakkannya.
            “Dah?” soal Ezlyn tatkala Afia menghampiri mereka di kerusi menunggu.
            “Dah,” jawab Afia sedikit ceria. Bibirnya sudah dapat mengukir senyuman. Sekurang-kurangnya satu masalahnya sudah selesai. Namun dia tetap berharap yang dompetnya masih dapat dijumpai. Jika tidak, terpaksalah dia pasrah saja.
Mungkin Tuhan juga mahu dia melupakan orang yang menghadiahkan rantai kunci kepadanya itu. Jika dia masih menyimpan dompet dan rantai kunci itu, nescaya sampai bila-bila pun dia akan tetap terus dihambat dengan kenangan. Tetapi dia memang tidak mahu melupakan semua itu.
            “Jadi, ke mana lagi kita?” Ezlyn bangkit dan diikuti oleh Noni. 
            “Bank Islam,” jawab Afia.
Walaupun adakalanya dia berasa rimas kerana ke mana-mana saja, mereka selalu bergerak dalam kumpulan, namun kini dia berasa sangat bertuah kerana mempunyai kawan-kawan yang sanggup bersama-samanya ketika susah mahupun senang.
Kalau kawan-kawannya tidak ada, entah apalah yang akan terjadi kepadanya. Kepada siapa lagi yang dapat dia harapkan? Hendak mengadu kepada keluarga, jangan haraplah dia hendak mendapat simpati. Lagi kena marah, adalah kut.


SEBAIK-BAIK saja tombol pintu bilik dikuak, Afia terus merebahkan diri di atas katil selepas menyangkut tudungnya di dalam almari.
Dia mahu melepaskan lelah selepas hampir sehari suntuk dia menyelesaikan urusan kad pengenalan dan kad ATM banknya. Mujurlah semuanya sudah selesai, jadi tidak perlulah dia memikirkan tentang duit lagi. Hutang Ezlyn juga sudah dilangsaikan sejurus dia mendapat kad ATM bank barunya tadi.
            Hanya kerana sebuah dompet yang hilang, dia terpaksa pergi ke beberapa buah tempat dalam masa sehari. Ke balai polis untuk membuat laporan akan kehilangan kad pengenalannya, Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat kad pengenalan baru dan dua buah bank untuk membuat kad ATM baru. Bank Simpanan Nasional untuk simpanannya manakala Bank Islam untuk wang pinjaman pengajiannya.
Walaupun kesemua tempat itu terletak di dalam bandar Shah Alam, namun jarak antara tempat-tempat itu juga tidak kurang jauhnya. Tambahan pula, bagi orang yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam seperti mereka.
Hendak menunggu bas saja pun sudah memakan masa. Apabila sampai di destinasi, mereka perlu menunggu giliran pula. Masa banyak dihabiskan dengan menunggu. Menunggu itu juga sangat melelahkan.
Kepenatan yang dirasakannya memaksa matanya tutup. Dia ingin melelapkan mata buat seketika memandangkan pagi tadi dia terpaksa bangun awal daripada biasa semata-mata demi mengelakkan orang ramai. Namun tidak sampai satu minit, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk.
Afia membaca nama yang tertera pada skrin. Dahinya berkerut. Faiz?
            “Helo… Afia?” Suara lunak itu menerjah gegendang telinganya sejurus panggilan itu bersambung.
Sesiapa yang mendengarnya pasti akan terpesona. Sudah bertahun-tahun jugalah Afia mengagumi pemilik suara itu dalam diam.
            “Ya, Afia sini.” Afia bangkit daripada pembaringan lalu duduk di atas katil.
Sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Suara yang sering mendamaikan hatinya. Suara yang amat dirinduinya. Entah mengapa tiba-tiba si empunya suara menghubunginya setelah lama mereka tidak berhubung.
            “Afia sihat?”
            “Sihat. Faiz?”
Entah sejak bila mereka menggunakan nama masing-masing sebagai kata ganti diri. Mungkin kerana sudah lama tidak berhubung, jadi kedua-duanya menjadi kekok.
            “Faiz pun okey, cuma sibuk sikit. Ni Faiz nak beritahu Afia, tadi ada orang telefon Faiz. Dia kata dompet Afia ada pada dia. Dompet Afia hilang ke?”
            Kata-kata itu membuatkan Afia berasa sedikit hampa. Maknanya Faiz bukanlah menelefonnya semata-mata untuk bertanya khabar. Rupa-rupanya dia membawa perkhabaran lain.
Tapi kalau setakat nak beritahu pasal perkara ini, bukankah Faiz boleh menghantar mesej saja? Buat apa nak membazir kredit untuk menelefonnya? Melainkan Faiz juga rindukan dia?
Afia tersenyum sendiri apabila memikirkan kemungkinan itu. Mungkin ini hanya satu alasan Faiz untuk menghubunginya. Kalaulah andaiannya itu benar, alangkah bahagianya.
            “Haah. Eh, tapi macam mana orang tu boleh telefon Faiz pula?” Afia berasa hairan. Dalam banyak-banyak kawannya, kenapa orang itu memilih untuk menelefon Faiz?
            “Dia kata nombor telefon Faiz ada kat dalam dompet Afia,” terang Faiz.
Afia berkerut. Kemudian, baru dia teringat. Memang dia ada menyimpan kad nama yang diberikan oleh Faiz ketika mereka masih bersekolah dahulu di dalam dompetnya.
Pada waktu itu, memiliki kad nama yang berbagai-bagai corak sangat popular di sekolah mereka. Pada waktu itulah, mereka dapat merasa mempunyai kad nama seperti seorang ahli perniagaan. Justeru, masing-masing tidak mahu ketinggalan untuk membuat kad nama sendiri walaupun kad nama itu cuma ada nama, alamat dan nombor telefon.
Dia dan Faiz juga tidak ketinggalan. Pada waktu itu, mereka hanya membuatnya secara suka-suka dan kad nama itu hanya diberikan kepada kawan-kawan terdekat kerana bilangannya terhad. Apabila semua orang buat, dia pun nak buat tanpa mengetahui fungsi sebenar kad nama itu.
Namun sekarang, barulah dia nampak kegunaan kad nama itu. Itu pun mujur kerana Faiz tidak menukar nombor telefonnya.
“Eh, tapi bukan ke nombor telefon pada kad itu nombor telefon rumah?” soal Afia, pelik. Masih belum berpuas hati.
“Dia telefon rumah Faiz, jadi emak Faiz beri nombor telefon bimbit Faiz pada dia,” jelas Faiz.
Afia mengangguk walaupun dia tahu Faiz tidak dapat melihatnya.
“Faiz beri nombor telefon Afia pada dia tau. Nanti dia telefon Afia. Afia ada duit tak sekarang?” soal Faiz prihatin.
            “Ada,” jawab Afia sepatah.
Alahai, kenapalah lelaki ini terlalu baik? Macam manalah dia tidak jatuh hati…
            “Okey, kalau ada apa-apa, beritahu Faiz tau. Kalau Afia nak jumpa dia nanti, jangan pergi sorang-sorang tau. Ajak kawan teman. Kalau dekat, bolehlah Faiz temankan,” Faiz sempat berpesan.
Afia sudah memintal-mintal hujung rambutnya yang separas bahu itu. Dia berasa senang mendengar kata-kata itu. Ternyata Faiz masih mengambil berat akan dirinya.
“Yalah, tahu.”
“Hmm. Okeylah, Afia. Faiz ada kerja ni. Afia jaga diri, ya. Cuti nanti kita jumpa ya.”
            “Okey, Faiz pun.”
            Sejurus kemudian, talian dimatikan. Afia merenung telefon bimbitnya. Tiba-tiba saja kenangan lalu mengetuk kotak ingatannya. Suatu keluhan dilepaskan. Kemudian, dia kembali merebahkan diri di atas katil. Baru saja dia ingin melelapkan mata buat seketika, sekali lagi bunyi telefon bimbitnya membantutkan niatnya.
Namun, kali ini bunyi nadanya menandakan panggilan masuk itu daripada pemanggil yang tidak dikenali. Afia melihat nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Dia teragak-agak untuk menjawab.
Kebiasaannya, dia memang tidak akan menjawab panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Tetapi entah mengapa kali ini dia terasa ingin menjawab panggilan itu.
Telefon bimbit itu ditekup ke telinga selepas menekan butang jawab. Namun dia hanya mendiamkan diri dan menunggu pihak di sana yang bersuara terlebih dahulu. Jika panggilan itu entah daripada siapa-siapa, dia akan terus memutuskan talian.
            “Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Nur Afia binti Idris?” tanya si pemilik suara di hujung talian dengan sopan.
            “Ya, saya. Siapa ni?” soal Afia semula selepas menjawab salam. Memandangkan orang itu bercakap dengan nada yang sopan, jadi secara automatiknya dia turut melayan orang itu dengan sewajarnya.
            “Saya Asyraf,” pemanggil itu memperkenalkan diri.
Asyraf mana pula ni? Aku mana ada kawan nama Asyraf. Getus hati Afia. Dia membiarkan pemanggil itu meneruskan kata-katanya.
“Saya dapat nombor telefon awak ni daripada kawan awak, Faiz. Err… saya cuma nak beritahu awak yang dompet awak ada pada saya.”
Afia mula mengerti. Mungkin inilah orang yang dikatakan oleh Faiz sebentar tadi. Tiba-tiba saja hatinya menjadi senang.
“Oh, ya ke? Kat mana awak jumpa?”
            “Kat KL Sentral. Awak nak saya pos atau macam mana?” Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Asyraf itu meminta kata putus daripada Afia.
            “Awak tinggal kat mana?” soal Afia semula.
Kalau Asyraf hanya tinggal berdekatan, rasanya tidak perlulah sampai membazir duit untuk belanja pos. Lagipun, dia tidak mahu menyusahkan lelaki yang baik hati itu. Yalah, kalau lelaki itu tidak baik, tidak adalah dia bersusah payah mendapatkan nombor telefonnya dan menghubunginya semata-mata untuk memulangkan dompetnya, bukan? 
            “Saya tinggal kat Kajang,” balas Asyraf.
            “Kalau macam tu, kita jumpa kat KL Sentral ajelah. Boleh?” cadang Afia.
            “Boleh.”
“Okey, kalau macam tu, nanti saya mesej awak untuk tetapkan masa ya,” janji Afia.
“Okey.”
“Terima kasih, ya.”
Afia menjerit gembira selepas mematikan talian. Rupa-rupanya nasibnya tidaklah semalang mana. Dia terus terjun dari katil untuk memberitahu berita gembira itu kepada Ezlyn dan Noni yang menghuni bilik sebelah.


“CUBA kau orang teka…” ujar Afia seraya menguak pintu bilik Ezlyn dan Noni. Namun, dia tidak jadi meneruskan ayatnya apabila melihat Ezlyn dan Noni sedang terbongkang di atas katil masing-masing.
Afia menghampiri katil mereka berdua lalu mengejutkan mereka daripada lena. Bukannya dia tidak tahu mereka juga terpaksa bangun awal pada hari itu semata-mata untuk menemaninya tetapi dia tidak mahu peduli. Yang dia tahu, mereka berdua perlu mendengar ceritanya sekarang juga. Kalau ditangguh, nanti tahap keterujaannya akan hilang.
“Lyn, Noni, bangunlah. Bangun!” Afia menggoncang-goncang tubuh Ezlyn yang berada di tingkat atas katil dua tingkat itu, kemudian tubuh Noni pula yang menjadi mangsa goncangan tangannya.
            “Isy, apa ni, Afia?” Ezlyn terkebil-kebil.
            “Aku ada berita baik!” jawab Afia teruja.
            “Alah, nanti-nantilah…” Noni menutup telinganya dengan bantal. Tidak senang apabila tidurnya diganggu.
            “Dengarlah dulu.” Afia menarik bantal yang menutupi telinga Noni lalu dia melabuhkan punggung ke kerusi kayu yang berada di sebelah katil mereka.
Asrama yang mereka duduki dibina seakan-akan sebuah rumah. Setiap rumah mempunyai tiga buah bilik tidur, dua buah bilik mandi, sebuah dapur dan ruang tamu.
Bilik utama yang diduduki oleh Afia hanya memuatkan dua buah katil dua tingkat dan empat buah almari manakala bilik ketiga hanya memuatkan sebuah katil dua tingkat dan dua buah almari.
Hanya bilik Ezlyn dan Noni yang dilengkapi meja, kerusi dan almari selain katil. Meja Afia dan lima orang teman serumah mereka yang lain pula diletakkan di ruang tamu.
            “Apa dia?” Ezlyn duduk di atas katil. Noni pula masih cuba mengawal matanya daripada tertutup semula.
            “Ada orang telefon aku. Dia kata dia jumpa dompet aku!” ujar Afia penuh teruja.
Dia bersyukur sangat dompetnya dapat dijumpai. Tapi terasa membazir saja dia pergi buat kad pengenalan dan kad ATM baru tadi. Terasa rugilah pula. Kenapalah orang itu tidak menghubunginya lebih awal?
            “Itu aje ke yang kau nak beritahu kita orang sampai sanggup kejut kita orang?” Noni seakan-akan tidak berpuas hati. Marah kerana tidurnya terganggu atas sebab yang tidak seberapa itu.
            “Ada lagi,” Afia menambah. “Aku nak jumpa dia untuk ambil balik dompet aku.”
            “Kau biar betul? Jangan mudah percayakan orang sangat. Lagipun, kau bukannya kenal dia. Buatnya nanti dia tipu aje. Entah-entah geng dia dah tunggu kau kat sana. Konon-konon nak pulangkan dompet tapi tiba-tiba dia minta banyak lagi,” bantah Ezlyn, tidak bersetuju dengan cara Afia itu.
            “Kau ni sengaja nak takutkan aku tau.” Afia mula berasa cuak apabila mendengar kata-kata Ezlyn itu. Dia tidak pernah terfikir langsung tentang perkara itu.
            “Aku cuma nak ingatkan kau aje. Sekarang ni tak semua orang kita boleh percaya. Pakwe sendiri pun boleh rogol makwe dia orang, apatah lagi orang yang kita tak kenal,” tegas Ezlyn.
            “Alah, kau orang temankanlah aku, ya?” Afia cuba meraih simpati kedua-dua orang teman baiknya itu.
Sebenarnya dia pun bukannya berani sangat hendak pergi seorang diri. Kalau tak, tak adalah dia bercerita kepada mereka. Dia bercerita kepada mereka supaya mereka sendiri yang menawarkan diri untuk menemaninya. Kata kawan, bukan? Tapi nampak gayanya mereka seperti tidak bersetuju dengan cadangannya itu.
            “Tak payahlah. Kau beli ajelah dompet baru. Lagipun, kau kan dah buat kad pengenalan dan kad bank baru. Tak rugi pun kalau kau tak ambil balik dompet tu,” Ezlyn membantah.
            Dia pun tak adalah kisah sangat dengan dompet itu tetapi dia lebih kisahkan rantai kunci yang ada pada dompet tu. Dompet itu hanya sekadar alasan demi mengaburi mata Ezlyn dan Noni. Biar apa pun yang terjadi, dia tetap mahukan dompetnya kembali.
            “Alah, bolehlah, temankan aku jumpa dia ya?” ujar Afia separuh merayu. Dia benar-benar berharap Ezlyn dan Noni dapat menemaninya untuk berjumpa dengan Asyraf.
            “Mana kau nak? Nyawa kau atau dompet tu?” tanya Ezlyn.
            “Dua-dua!” balas Afia yakin.
            Ezlyn menggeleng. Dia sudah tidak tahu hendak cakap apa lagi. Afia memang keras kepala.

2 ulasan:

Unknown berkata...

so santai n menarik dek....cepat sambung ye dek.....

Ilmar Imia berkata...

Terima kasih :)