Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Mei 16, 2012

Mini Novella: Orang Kedua ~1~




“OPS! Sorry, sorry…” Ariana terkoco-koco mendapatkan teman-temannya yang telah lama menunggu kedatangannya di gerai itu.

“Apa ni, Ria? Janji pukul sebelas. Sekarang dah pukul berapa?” rungut temannya, Naqiah.

“Alah, sorrylah. Aku tertidur tadi,” Ariana menjelaskan sebab keterlewatannya.

“Tidur? Kita orang susah payah perah otak, kau sedap-sedap tidur?” celah Rizal tidak berpuas hati.

“Kan aku dah cakap, aku ter… Kau faham tak, ter? Bukannya aku sengaja,” Ariana masih cuba membela dirinya.

“Okey, tapi memandangkan kau lambat, kau kena belanja kita orang minum,” cadang Rizal.

“Amboi, banyak cantik! Kau ingat aku ni apa? Cap duit?” Ariana tidak suka diarah sebegitu. Lagipun dia baru saja melabuhkan punggung di situ. Penat pun belum hilang.

“Alah, setakat milo ais tiga gelas pun kau nak berkira?”

Ariana mencebik lalu bangkit dari kerusi. Hatinya berang namun bukan kerana Rizal menyuruhnya membeli minuman. Hatinya geram kerana peristiwa semalam.

Sudah beberapa hari tidurnya terganggu gara-gara panggilan yang tidak diundang itu. Entah siapalah yang punya kerja. Jauh-jauh malam membuat panggilan namun apabila diangkat serta merta talian dimatikan.

Hatinya benar-benar bingung dengan kejadian itu. Kalau dia tahu siapa yang punya angkara, nahas orang itu!

Sedang Ariana sibuk membelek makanan yang dijual, matanya melekat pada dua tubuh di hadapannya. Tiba-tiba dia berasa cemburu melihat kemesraan pasangan itu.

Tanpa diduga, si lelaki turut memandang ke arahnya. Pandangan mereka bertaut. Ariana pantas melarikan pandangan matanya. Harga minuman dibayar kemudian dia kembali menyertai teman-temannya yang sedang rancak berbual.

“Lambatlah kau ni. Kau beli air ke, bancuh air?” bising Rizal.

“Orang dah tolong beli tu, banyak pula cakapnya!”

“Aku gurau sajalah. Yang kau asyik nak marah-marah ni kenapa?” Rizal sedikit hairan dengan sikap Ariana yang dirasakan berlainan daripada biasa.

Ariana mula menyedari keterlanjurannya. Biasanya dia bukan seorang pemarah. Gurauan Rizal tidak pernah berbekas di hatinya tetapi mengapa hari itu setiap kata-kata Rizal mengundang kemarahannya?

Sorrylah, Riz. Aku sebenarnya dah beberapa hari tak cukup tidur,” Ariana menceritakan masalahnya.

“Kau ingat kat siapa pula ni?” usik Khair.

“Mana aku ada ingat siapa-siapa.”

“Habis tu?” soal Naqiah ingin tahu.

“Entah siapalah yang tak ada kerja selalu sangat telefon aku tengah-tengah malam buta,” Ariana mula membuka ceritanya.

“Ada orang nak berkenalan dengan kau agaknya,” seloroh Khair.

“Peminat kut,” Rizal turut mengusik. “Atau pun ada orang nak mengurat kau!”

“Pandailah!” Ariana menepis andaian teman-temannya.

“Ya tak ya juga. Siapalah yang berkenan dengan kau ni, kan?” tambah Rizal sengaja menyakitkan hati Ariana.

“Kau mengata aku ya, Riz? Aku tahulah aku ni tak secantik mak we kau tu,” ujar Ariana. Entah mengapa kata-kata Rizal itu membuatkan dia berkecil hati.

“Kau ni apalah, Riz. Tak baik tau kau cakap macam tu,” Naqiah memarahi Rizal.

“Aku main-main sajalah. Ria, kau terasa ke? Kalau kau terasa, aku minta maaf ya,” Rizal mula rasa bersalah. “Kau ada save nombor tu? Meh sini aku tengok. Mana tahu kut-kut aku kenal.”

Ariana mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket seluarnya dan mencari-cari nombor tersebut lalu menyerahkan telefon bimbitnya kepada Rizal.

Rizal mengambilnya dan menyemak nombor tersebut di dalam telefon bimbitnya sambil diperhatikan oleh Ariana, Naqiah, dan Khair.

“Tak adalah, Ria,” Rizal menyerahkan kembali telefon bimbit Ariana. “Orang ni guna nombor utara ni. Aku rasa orang tu dekat-dekat sini saja kut.”

“Entah-entah pelajar kolej ni juga,” teka Khair.

“Aah, Ria,” sokong Naqiah. “Ria, kau ada musuh dengan sesiapa ke?”

“Kau ni, Naq. Orang baik macam aku ni mana ada musuh,” Ariana masih sempat memuji diri. Namun dalam hatinya terdetik juga rasa tentang kata-kata Naqiah itu.

“Orang baik pun tak semestinya tak ada musuh. Manalah tahu kalau-kalau orang tu tak puas hati dengan kau ke. Kau rampas pak we dia ke,” ujar Rizal separuh seloroh. “Cuba kau fikir baik-baik, kau ada tak sakitkan hati orang lain?”

“Atau pun dia nak kat kau tapi kau tak layan,” celah Khair.

Ariana terdiam sejenak.

“Mana ada!”

“Betul juga. Mana ada orang nak kat kau.”

Ariana menjeling Rizal. Takkanlah? Isy, tak mungkin. Hal dia dengan Badrul rasanya tak ada siapa yang tahu. Lagipun mereka tidak pernah berjumpa secara berdua-duaan. Tambahan pula, takkanlah teman wanita Badrul, si Elly yang lemah lembut tu nak buat benda-benda ini semua. Alahai, peningnya kepala.

“Nah, ni bahagian tugas kau. Sebab kau lambat sangat, jadi kita orang dah bagi-bagi dulu."

Ariana menyambut huluran kertas daripada Rizal.

"Aku ada janji dengan Haryana ni. Aku pergi dulu ya,” kata Rizal lantas bangkit daripada tempat duduknya. “Pasal nombor telefon tu nanti kalau aku dapat tahu, aku beritahu kau ya.”

“Okey. Kirim salam kat Haryana ya.”

“Okey. Bye!”

“Eh, aku pun nak pergi perpustakaan. Aku nak cari bahan rujukan,” Naqiah pula meminta diri. “Nanti apa-apa hal, mesej ya.”

Selepas Naqiah berlalu, Ariana memandang Khair. “Kau tak nak pergi ke?”

“Hai, kau nak halau aku ke?”

“Tak adalah. Mana tahu kut-kut kau dah janji dengan mak we kau ke,” ujar Ariana.

Kalau kau pergi lagi bagus. Bisik hati kecil Ariana.

“Aku mana ada mak we. Siapalah yang nak kat aku ni,” ujar Khair merendah diri.

“Yalah tu. Orang lelaki ni bukannya boleh percaya sangat,” Ariana menguatkan sedikit suaranya. Sengaja biar didengari oleh pasangan di belakangnya.

“Okeylah, Bad.” Pasangan di belakang mereka tadi berpisah.

Si lelaki menghampiri Ariana dan Khair lalu menyertai mereka.

“Yo! Mana yang lain?” Badrul duduk mengadap Ariana.

“Dah pergi,” jawab Khair.

“Aku pun nak pergilah,” Ariana menggalas begnya.

“Cepatnya kau nak pergi. Aku baru saja duduk,” ujar Badrul. Sejujurnya, dia berharap Ariana akan terus berada di situ.

“Alah, Ria. Duduklah dulu. Kita borak-borak,” pinta Badrul penuh berharap.

“Aahlah, Ria. Duduklah dulu,” ujar Khair pula.

“Malaslah! Lagipun, aku nak balik sambung tidur.” Ariana menolak pelawaan mereka untuk berbual lebih lanjut. Dia malas. Tambahan pula kepalanya terasa berat gara-gara tidak cukup tidur.

Sememangnya dia teringin sekali duduk berbual dengan Badrul apatah lagi berduaan dengannya. Namun tak mungkin. Hati Badrul telah dimiliki. Jika Badrul tidak memberikan respon, tak adalah dia merana seteruk ini. Masakan tidak, si Badrul sudah bersama Elly ketika mereka berkenalan. Namun Badrul masih ingin bersamanya.

Ariana sendiri tidak pasti sama ada tindakannya menerima cinta Badrul itu patut atau tidak. Dia berasa bersalah terhadap Elly. Tidak mungkin dia tergamak melukai hati gadis yang baik dan lemah lembut itu.

Namun hatinya telah benar-benar dicuri oleh Badrul. Badrul baginya seorang lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya yang sebelum ini tidak pernah diketuk oleh mana-mana lelaki. Bukannya tak ada lelaki lain, namun hatinya hanya untuk Badrul.

Memikirkan yang Badrul sudah mempunyai teman istimewa, mereka terpaksa merahsiakan hubungan tersebut. Tiada sesiapa yang mengetahui akan hubungan mereka. Sampai bilakah perkara ini akan berlarutan?

Tiada ulasan: