Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Mac 08, 2012

Kugiran SMART (Bab 18)

TIUPAN angin yang sepoi-sepoi di Teluk Chempedak itu terasa mendamaikan sesiapa sahaja yang singgah ke pantai itu. Waktu petang begitu memang ramai yang mengambil kesempatan itu untuk bersantai bersama keluarga termasuklah pasangan kekasih seperti mereka. Namun, dia mengajak Azrizal ke situ bukan untuk bersantai tetapi untuk menuntut penjelasan.

Athira merenung Azrizal yang dari tadi asyik memerhatikan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi pantai dengan girangnya. Dia masih berkira-kira sama ada dia perlu bertanyakan perkara itu kepada Azrizal atau tidak.

Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia merasakan Azrizal banyak berahsia dengannya. Hubungan mereka juga terasa hambar. Tidak mesra seperti dahulu. Apabila dia mengajak Azrizal keluar, pasti ada-ada sahaja alasan yang diberi. Sibuklah, ada hallah, itulah, inilah. Dia sudah cuba memahami dan mempercayai Azrizal tetapi adakalanya dia merasakan yang Azrizal tidak bersikap jujur dengannya.

Sengaja dia mahu menunggu Azrizal membuka mulut tetapi sampai sekarang Azrizal masih mendiamkan diri. Adakah dia sudah tidak diperlukan? Kalau benar Azrizal sudah tiada apa-apa perasaan terhadapnya, maka dia juga tidak mahu memaksa Azrizal menerimanya. Buat apa mereka bersama jika kedua-duanya merana? Terpaksa berlakon dan berpura-pura seolah-olah hubungan mereka baik-baik sahaja padahal kedua-duanya sedang memendam perasaan.

Sangkanya, berdiam diri akan dapat mengubati kedinginan hubungan mereka. Namun ternyata sikap berdiam diri mereka bukanlah jalan yang terbaik kerana lama-kelamaan hubungan mereka semakin dingin. Justeru, dia membuat keputusan untuk menamatkan semua ini. Biar apa pun keputusan yang dibuat, dia reda.

“Riz, Tya ada perkara nak tanya Riz ni.” Athira masih teragak-agak untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya. Bimbang perkara tersebut akan menjadi punca pertengkaran mereka. Tetapi dia juga tidak sanggup membiarkan hubungan mereka terus dingin sebegitu.

“Apa dia?” tanya Azrizal. Pandangan matanya kini melekat pada wajah Athira.

“Riz ada rahsiakan apa-apa daripada Tya ke?” tanya Athira dalam senafas. Lega rasanya apabila dia dapat meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya.

Azrizal tidak mengerti. “Kenapa Tya tanya macam tu? Apa yang Riz rahsiakan?”

“Pasal Sham,” jawab Athira. Dia cuba membaca reaksi Azrizal. Adakah Azrizal akan menafikan tentang perkara itu?

“Sham? Kenapa dengan Sham?” Azrizal bertanya kembali.

Athira merasakan yang Azrizal sengaja berpura-pura tidak faham. Ah, lebih baik dia bercakap terus terang sahaja. “Sejak bila Riz baik dengan Sham? Siap buat kumpulan muzik bersama lagi. Riz dah lupa ke apa yang dia pernah buat dulu?”

Azrizal diam. Dia sudah menduga waktu begini akan tiba juga. Mungkin sudah sampai masanya dia berterus terang. Tidak lama kemudian, dia bersuara, “Betul, kita orang buat kumpulan muzik bersama. Waktu tu kita orang tengah cari vokalis dan Shamsul muncul. Kita orang rasa suara dia bagus, jadi kita orang terima dia.”

“Kenapa Riz tak beritahu Tya? Tya ni siapa pada Riz?” Athira amat terasa hati apabila Azrizal merahsiakan perkara itu daripada pengetahuannya. Sanggup Azrizal berbaik-baik dengan orang yang pernah membuatkan hubungan mereka putus dahulu? Tidakkah Azrizal ingat apa yang Shamsul dan Fatin telah lakukan kepada mereka?

“Tya dengar dulu penjelasan Riz,” pujuk Azrizal.

“Tya dengarlah ni.” Athira masih cuba bersabar walaupun hatinya benar-benar terguris dengan perbuatan Azrizal.

“Memang pada mulanya, Riz tak nak terima dia tapi Chap dan Ball berkeras nak terima dia juga. Mungkin betul cakap dia orang, perkara yang dah lepas biarkan berlalu. Lagipun, dia pun dah pernah minta maaf dengan Riz. Riz harap Tya faham.”

“Tya cuma tak faham kenapa Riz tak beritahu Tya dari awal?” Athira kesal dengan sikap Azrizal. Kalau Azrizal memberitahu kepadanya dengan lebih awal, mungkin hatinya takkan terluka sedalam ini.

“Riz minta maaf...” Hanya itu yang dapat diucapkan oleh Azrizal.

“Baik, Tya boleh maafkan Riz tapi dengan satu syarat...” Athira sengaja tidak menghabiskan ayatnya. Selepas diam seketika, dia menyambung, “Tya akan maafkan Riz kalau Riz temankan Tya sambung belajar di Australia.”

Azrizal terpinga-pinga. Tidak mengerti akan maksud kata-kata Athira.

Melihatkan itu, Athira segera menjelaskan, “Tya dapat tawaran belajar di Australia!” ujar Athira girang. Sebenarnya sudah lama dia mahu berkongsi berita gembira itu dengan Azrizal tetapi tidak berkesempatan memandangkan Azrizal selalu sahaja sibuk.

Ternyata berita itu mengejutkan Azrizal. Namun seketika kemudian, dia tersenyum tawar. “Tahniah,” ucapnya.

Athira tidak berpuas hati dengan kata-kata Azrizal. Bukan jawapan itu yang dia mahukan daripada Azrizal. “Jadi, macam mana?”

“Macam mana apa?” balas Azrizal.

“Riz ikut Tya pergi sana ya?” Athira memberitahu hasrat hatinya yang sebenar.

Azrizal menggeleng. Dia tidak pernah terfikir mahu melanjutkan pelajaran apatah lagi menuntut di luar negara. “Tya janganlah bergurau. Bukan ke dulu Riz dah pernah beritahu Tya yang Riz tak nak sambung belajar.”

“Tya tak bergurau. Tya serius,” tegas Athira. Dia tidak main-main. Dia benar-benar mahu Azrizal pergi bersamanya.

“Riz minta maaf, Riz tak dapat penuhi permintaan Tya ni,” ujar Azrizal.

“Habis tu, Riz sanggup berjauhan dengan Tya?” Athira sengaja menduga Azrizal.

“Alah, zaman sekarang kan dah ada teknologi. Telefon, Internet... Bila-bila masa saja kita boleh berhubung, kan?” Azrizal cuba meyakinkan Athira meskipun dia sendiri tidak yakin akan kata-katanya. Lihat sahaja hubungannya dengan Laily. Sehingga kini Laily masih tidak menghubunginya.

“Tapi Tya tak suka macam tu. Tya lebih suka kita berjumpa secara berdepan macam ni daripada berbual dalam skrin komputer.” Athira tetap dengan pendiriannya. Sememangnya dia tidak begitu gemar mengadap skrin komputer apatah lagi Internet. Baginya juga, perasaan ketika berbual dalam skrin komputer dengan berbual secara berdepan itu tidak sama. Dia lebih suka berbual secara berdepan kerana dapat melihat orang itu. “Tya tak kira. Kalau Riz tak nak pergi, Tya pun takkan pergi,” ugut Athira.

Azrizal terkedu. “Takkan sampai macam tu pula?”

“Tya tak kira!” Athira berkeras.

Azrizal kehilangan kata-kata.




“APA Tya cakap ni? Kenapa pula tiba-tiba Tya tak nak pergi?”

Ternyata ayahnya benar-benar marah apabila dia memberitahu yang dia tidak jadi mahu ke Australia. Pasti ayahnya itu tidak menyangka yang dia akan berubah fikiran selepas pelbagai persiapan telah dibuat sedangkan dahulu dia sendiri yang beria-ia mahu melanjutkan pelajaran ke Australia.

“Tya ubah fikiran,” Athira memberi alasan. Walaupun dia berasa kecut perut melihat wajah garang ayahnya, namun dia tahu lambat-laun nanti ibu dan ayahnya pasti akan tahu juga.

“Tya jangan nak tipu mama dan papa. Cakap betul-betul!” bentak Encik Ahmad.

Athira diam. Tidak berani berterus terang. Pasti ayahnya akan mengamuk dengan lebih teruk jika dia memberitahu sebab yang sebenar. Dia memandang ayahnya. Kemudian, ibunya. Dia tunduk.

“Tya... Tya cuma rasa tak nak pergi. Tu saja,” bohong Athira.

“Sebab Azrizal, kan?” tebak Encik Ahmad.

Athira tersentak. Dia tidak pernah menduga yang ayahnya mengetahui hubungannya dengan Azrizal. Selama ini ayahnya tidak begitu mengambil tahu akan aktivitinya di sekolah, apatah lagi tentang kawan-kawannya.

Encik Ahmad menyambung apabila melihat wajah Athira yang tergamam dengan telahannya sebentar tadi, “Tya jangan ingat papa tak tahu apa yang Tya buat dan dengan siapa Tya berkawan. Papa cuma tak nak terlalu mengongkong Tya sebab papa percaya Tya mampu membezakan mana yang baik dan mana yang tidak. Tapi terus terang, papa kecewa kalau Tya buat keputusan macam ni hanya disebabkan budak lelaki tu.”

“Betul ke, Tya?” Puan Hanisah yang tadinya cuma mendiamkan diri bertanya. Dia juga kenal akan Azrizal.

Athira terkedu.

“Riz tak beri Tya pergi?” Puan Hanisah kelihatan tidak senang hati jika perkara itu benar.

Pantas Athira menggeleng. Dia tidak mahu ibu bapanya menyangka Azrizal yang mempengaruhinya sedangkan dia sendiri yang membuat keputusan itu. “Tak, ma, pa. Tya sendiri yang tak nak pergi.”

“Papa dan mama tak halang Tya berkawan dengan budak lelaki tu tapi kalau budak lelaki tu yang Tya nak jadikan teman hidup, papa takkan benarkan Tya pilih dia. Tya sanggup gadaikan masa depan Tya demi budak lelaki yang tak ada masa depan tu?” bentak Encik Ahmad lagi.

Athira tidak berani hendak menjawab kata-kata ayahnya. Dia hanya membatukan diri. Membiarkan dirinya dileteri.




AZRIZAL yang baru pulang ke rumahnya terkejut apabila melihat ada sebuah kereta yang tidak dikenali berhenti di hadapan rumahnya.

“Siapa pula yang datang malam-malam ni?” omel Azrizal sendirian. Dia memberhentikan motosikalnya di hadapan pagar rumah dan cuba mengecam pemandu yang berada di dalam kereta itu. Keadaan yang gelap membuatkan dia sukar melihat wajah pemandu itu dengan jelas. Namun yang pasti, pemandu itu kelihatan hampir sebaya dengan ayahnya. Tidak mungkin kawannya. Mungkin kawan ayah atau ibunya.

Pemandu itu keluar dari kereta dan menghampirinya. “Azrizal, bukan?” soalnya.

“Ya, saya,” Azrizal menjawab. Kemudian, dia bertanya, “Err... pak cik ni kawan ayah saya ke? Rasanya ayah saya tak ada di rumah sekarang.”

Tetapi pelik juga jika kawan ayah dan ibunya datang pada waktu-waktu begini. Takkan tidak boleh tunggu hari siang? Mungkin juga ada hal kecemasan atau perkara penting yang hendak disampaikannya. Fikir Azrizal.

‘Tak, bukan. Pak cik cari Azrizal,” terang pemandu itu.

Azrizal terpinga-pinga. Nampaknya andaiannya tadi silap. Orang itu bukan mencari ayahnya mahupun ibunya tetapi dia. Entah-entah ada perkara buruk yang menimpa kedua-dua ibu bapanya? Tetapi raut wajah orang itu tidak menunjukkan tanda-tanda panik pun.

“Err... pak cik ni...”

“Pak cik ayah Athira.” Lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya itu memperkenalkan diri.

Azrizal terkedu. Rasanya dia sudah dapat mengagak tujuan kedatangan tetamu itu.

Tiada ulasan: