Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Oktober 25, 2011

Cerpen : CUMA DIA

“ALAH, bolehlah, bah. Kali ini saja,” rayunya dengan wajah yang bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan hati ayahnya itu akan menjadi lembut dan menerima pilihannya kali ini.

“Abah kata tak boleh, tak boleh!” tegas si ayah.

Mendengarkan itu, dia mengalihkan pandangan ke arah ibunya yang duduk di sebelah ayahnya. Cuba meraih sokongan. Namun, ibunya hanya menggeleng. Sebagai isyarat supaya dia mengikut sahaja cakap ayahnya.

Dia menarik muncung. Tanda tidak berpuas hati dengan reaksi ibunya yang enggan menyebelahinya. Nampak gayanya terpaksalah dia berjuang bersendirian.

“Tapi bah, ini melibatkan masa depan Dhiya. Dhiya berhak memilih mana yang Dhiya nak.” Kali ini Dhiya nekad untuk memperjuangkan haknya. Apa hendak jadi pun, jadilah! Dia sudah muak mengikut telunjuk ayahnya.

Selama ini dia hanya menurut tanpa membantah walaupun hati kecilnya meronta-ronta mohon dilepaskan daripada kongkongan itu. Sejak kecil, hidupnya selalu ditentukan oleh ayahnya. Semua keputusan dibuat oleh ayahnya.

Apabila disuruh memasuki aliran sains sewaktu sekolah menengah, dia akur walaupun dia tidak mahu. Apabila disuruh memilih kursus Sains Kesihatan ketika di universiti, dia menurut walaupun minatnya bukan ke arah itu. Apabila disuruh menyambung pengajian hingga peringkat sarjana, dia mengikut sahaja walaupun sebenarnya dia sudah hendak muntah menghadap buku-buku dan menduduki peperiksaan.

Dia juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu dengan alasan ayahnya tidak mampu membiayai bayaran kelas memandu yang hampir mencecah ribuan ringgit padahal dia tahu ayahnya sengaja mahu menyekat pergerakannya.

Semua kehendak ayahnya dituruti. Walaupun hatinya sengsara tetapi dia rela asalkan ayahnya berpuas hati. Dia rela mengorbankan perasaannya agar lelaki yang paling disayanginya itu bahagia. Tetapi apabila melibatkan masa depannya seumur hidup, dia harus bersuara. Sampai bila dia harus membiarkan ayahnya mencampuri kehidupannya? Mungkin ayahnya terlupa yang anak gadisnya ini sudah berumur 25 tahun. Bukan gadis belasan tahun lagi. Justeru, dia berhak membuat keputusan sendiri.

“Sebab melibatkan masa depan Dhiyalah, abah tak mahu Dhiya tersalah pilih. Zaman sekarang, suka saja tak cukup tahu. Sekali-sekala kita kena bersikap materialistik demi menjamin kesenangan pada masa depan kita,” balas si ayah. Sebagai ayah, dia tahu apa yang terbaik untuk anaknya. Dia cuma mahu kehidupan dan masa depan anaknya itu terjamin.

“Abah tak faham. Bukan ini yang Dhiya nak,” luah Dhiya. Dia tahu ayahnya cuma mahukan yang terbaik buat dirinya tetapi adakah ayahnya benar-benar tahu apa yang terbaik untuknya? Tahukah ayahnya yang dia cukup tertekan apabila belajar aliran sains ketika di sekolah menengah dahulu? Adakah ayahnya tahu yang dia cukup sengsara mendalami ilmu yang tidak diminatinya ketika di universiti dahulu? Apakah itu yang dikatakan terbaik buat dirinya?



“KALAU kau duduk mengelamun dan termenung macam ni pun, bukannya boleh selesai masalah kau tu.” Adalia menggeleng melihat gelagat teman serumahnya itu. Sudah hendak masuk sebulan teman serumahnya begitu. Termenung sana, termenung sini. Kadang-kadang bercakap sendiri seperti orang yang tidak betul.

Sapaan Adalia itu membawa Dhiya kembali ke ruang tamu rumah sewa yang dihuninya bersama sejak melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Sudah setahun mereka menyewa di situ. Mereka juga sudah sepakat untuk terus menyewa di situ walaupun sudah bekerja.

Dhiya mengalihkan pandangan matanya ke arah Adalia. Sekelip mata sahaja Adalia sudah mengambil tempat di sebelahnya. Tangannya ligat menekan-nekan alat kawalan jauh televisyen untuk mencari siaran yang menarik.

“Aku buntu. Kepala aku ni rasa macam nak pecah bila fikirkan perkara ni,” adu Dhiya. Entah bilalah masalahnya itu akan selesai. Lama-lama dia boleh jadi gila dibuatnya! Tidak pasal-pasal dia tinggal di Hospital Bahagia pula nanti.

“Apa yang susahnya? Kau pilihlah sajalah yang mana satu yang kau berkenan. Habis cerita,” ujar Adalia sambil matanya menatap ke arah televisyen. Dia tidak faham mengapa temannya itu susah benar hendak membuat keputusan sehingga mengambil masa berminggu-minggu. Kalau suka, sambar sajalah. Kalau tak suka, tolak. Bukan susah pun.

“Kalaulah benda ni boleh semudah yang kau cakap, tak adalah aku runsing sampai macam ni. Yang jadi masalahnya sekarang hati aku ni. Hati aku ni berbelah bahagi sampai aku tak tahu nak pilih yang mana satu,” luah Dhiya. Dia sudah buntu memikirkan perkara itu. Hendak diluah mati emak. Hendak ditelan mati bapak. Sudahnya, dia sendiri yang tersepit di tengah-tengah.

“Pasal apa pula?” Perhatian Adalia kini tertumpu pada temannya itu. Sangkanya, perkara itu cuma perkara remeh. Tidak sangka pula sebegini sekali impaknya.

“Entahlah. Agaknya betullah kata orang kan. Bila kita nak, tak dapat. Bila kita tak nak, berduyun-duyun datang.”

“Biasalah. Orang tengah laku tapi laku sangat pun payah juga,” balas Adalia berseloroh. Sengaja ingin menceriakan suasana.

“Itulah. Tapi kalau mak dan ayah aku tak masuk campur, mesti aku tak ada masalah nak buat keputusan. Tapi bila perkara ni melibatkan mak dan ayah aku, tu yang buat aku rasa serba salah.” Dhiya melepaskan keluhan.

“Mak dan ayah kau cakap apa?”

“Mak aku tak kisah sangat tapi ayah aku tulah. Ayah aku suruh pilih gaji yang tinggi supaya hidup aku terjamin.”

“Ha, eloklah tu. Bukan ke kau juga yang selalu merungut pasal harga barang mahal dan tak cukup duit. Kalau macam tu, kau pilih sajalah gaji yang lebih tinggi. Kau juga yang senang nanti,” usul Adalia.

Namun Dhiya juga mempunyai alasannya tersendiri. Baginya, duit bukan segala-galanya. “Kalau setakat gaji tinggi tapi hati tak bahagia buat apa?”

“Betul juga apa yang kau cakap tu, kan?” Adalia mula memikirkan akan kebenaran kata-kata temannya itu.

“Kau rasa aku ni terlalu memilih ke?”

“Taklah. Aku dulu pun macam kau juga. Tapi tak salah kalau kau memilih pun. Ini kan soal masa depan kau.”

“Tapi kalau mak dan ayah aku tak setuju dengan pilihan aku macam mana?”

“Kau kenalah terangkan pada mak dan ayah kau sebab apa kau pilih yang itu. Mudah-mudahan mereka faham.”

“Itulah masalahnya. Aku pun dah tak tahu macam mana nak cakap dengan ayah aku tu. Aku ingatkan bila aku tanya pendapat mak dan ayah aku, masalah ni boleh selesai tapi macam lagi teruk adalah. Lagi serabut kepala otak aku ni.”

“Dhiya, ni kan hidup kau. Soal masa depan kau. Hanya kau yang berhak menentukan pilihan kau.”

“Tapi tak berdosa ke kalau aku tolak permintaan mak dan ayah aku? Tak ke itu dikira melawan cakap orang tua?” Kadang-kadang dia berasa serba salah untuk meneruskan niatnya kerana bimbang sekiranya dia dilabel sebagai anak derhaka. Dahulu dia tidak kisah apabila terpaksa mengikut kata ayahnya tetapi lama-kelamaan dia berasa tersiksa dan terkongkong.

“Bukan aku suruh kau melawan. Kau cakaplah elok-elok,” terang Adalia.

“Aku pun tak tahulah. Umur aku ni dah 25 tahun tapi hidup aku masih diatur oleh mak dan ayah aku. Kadang-kadang aku rasa tertekan bila fikirkan benda ni. Macam aku tak boleh buat keputusan sendiri.” Dhiya mengeluh apabila mengenangkan nasib dirinya.



Seperti dua buah cerpen sebelum ini, sambungan cerpen ini juga terkandung dalam...



Turut mengandungi cerpen-cerpen daripada

Rizai Reeani
Ratu Bulan
Elzara Hariri
Zuliana Abuas
Maria Kajiwa
Nash Azly
Packy Sidique
Farah Husain

Tempah segera menerusi

aurorabookstore2@gmail.com

atau

ilmia85@gmail.com

300 pembeli pertama berpeluang mendapatkan buku ini dengan harga RM15.00 sahaja (termasuk caj pos).

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

malaslah nak beli2 segala tu.. hehe