“KAU yakin ke cara ni berkesan?”
Mereka bertiga merenung Shafik sejurus Shafik menerangkan rancangannya. Mujur rancangannya kali ini kedengaran logik tetapi mereka masih tidak yakin dengan rancangannya itu.
“Nak kata 100 peratus yakin tu, taklah. Tapi yang penting, kita dah cuba, bukan?” balas Shafik. Dia tidak berani mengatakan yang cara itu berkesan kerana jika hasilnya tidak seperti yang mereka harapkan, nescaya dia yang akan dipersalahkan memandangkan itu ideanya.
“Yalah, lagipun cara yang ini lebih baik daripada letak gambar muka kita sendiri,” sokong Azrizal. Dia lebih menyukai cadangan Shafik yang kedua ini. Tambahan pula, salah satu sebab mereka mewujudkan fan page itu pun kerana sebab ini. Jadi, pastinya cara ini lebih menepati matlamat kugiran mereka.
“Tapi, macam mana kita nak buat?” tanya Iqbal. Dia masih tidak faham bagaimana cadangan Shafik itu dapat direalisasikan. Seperti ada sesuatu yang kurang. Sesuatu yang akan membantutkan rancangan mereka itu.
“La, apa susah? Bukan ke di rumah aku ni dah ada studio dan alat muzik sekali?” ujar Shamsul. Baginya, itu bukan suatu masalah. Semua peralatan dan kelengkapan ada di rumahnya. Segala-galanya serba cukup.
“Memanglah. Tapi masalahnya, kita nak main lagu apa?” Itulah persoalan yang bermain di benak Iqbal sebenarnya. Jika peralatan dan kelengkapan cukup sekalipun, tidak guna juga jika mereka tidak mempunyai lagu sendiri.
Semuanya terdiam. Masing-masing cuba memikirkan jawapan kepada soalan Iqbal itu. Mereka tidak pernah terfikir pula mengenai perkara itu. Sebelum ini pun mereka banyak memainkan lagu orang lain ketika berlatih di studio. Jadi, takkan pula mereka mahu merakamkan lagu orang lain bagi dimuat naik ke fan page mereka?
“Tak boleh, tak boleh.” Iqbal menggeleng.
“Apa yang tak boleh?” tanya Shafik.
“Mana boleh main lagu orang lain. Itu dah termasuk dalam akta hak cipta. Salah di sisi undang-undang,” jelas Iqbal. Meniru dalam peperiksaan pun sudah dianggap kesalahan serius, apatah lagi mengambil karya orang lain tanpa kebenaran.
“Betul juga tu. Nanti tak pasal-pasal kita kena kutuk. Nama kita juga yang buruk,” sahut Azrizal pula.
“Masa dengan kumpulan lama aku dulu, kita orang pernah juga cuba-cuba buat lagu sendiri...” Kata-kata Shamsul seakan-akan memberi harapan kepada mereka. Masing-masing mula bersemangat dan memasang angan-angan. Namun, belum pun sempat angan-angan mereka berkembang, kata-kata Shamsul yang seterusnya telah memusnahkan harapan mereka itu. “Tapi lagu tu dah jadi hak milik dia oranglah.”
“La, habis tu, macam mana ni?” Iqbal semakin buntu memikirkan perkara itu.
Suasana hening seketika sebelum Shafik memberikan cadangannya. “Hah, apa kata kita buat lagu sendiri?” cadang Shafik. Otaknya memang sentiasa dipenuhi dengan rancangan termasuklah rancangan yang mengarut!
“Kau pandai buat lagu ke?” Iqbal menyoal separuh menyindir.
“Tak,” balas Shafik dengan jujur.
Sekali lagi mereka mengeluh hampa.
“Err...” Azrizal teragak-agak untuk bersuara. Tidak tahu sama ada mereka mahu menerima cadangannya ataupun tidak. Tambahan pula, dia sendiri pun tidak begitu yakin dengan dirinya. Namun begitu, dia sedar inilah masanya untuk dia menunjukkan kebolehannya. Apa guna dia mencipta lagu jika tidak dikongsikan dengan pendengar? “Aku ada cuba-cuba buat lagu. Kalau kau orang...”
“Nak, nak!” pintas Shafik, Iqbal dan Shamsul serentak.
Azrizal terkedu dengan reaksi kawan-kawannya yang tidak dijangka itu.
***
Hidupku hanya sekali
Akan kubuat bererti
Jangan kau campuri
Aku telah punya rencana sendiri
Biar nanti aku tahu apa yang jadi pilihanku
Di tengah padang luas
Ku membawa hidup yang bebas
Biar aku yang tentukan
Apa kebebasan mana kebenaran
Merdeka dan menang
Terbang bagaikan helang
Semua yang akan ku hadapi
Dengan segenap hati dengan caraku
Semua yang akan ku jalani
Adalah bagian rencana Tuhan
“Boleh tahan juga lagu ni,” puji Shamsul sebaik-baik sahaja Azrizal selesai mendendangkannya dengan hanya petikan gitar.
“Aku pun suka. Temponya tak terlalu perlahan dan tak terlalu cepat,” komen Shafik pula.
“Simple and catchy, tapi tetap ada maksud tersirat.” Iqbal juga tidak mahu ketinggalan memberikan pendapat mengenai lagu ciptaan Azrizal itu.
“Betul ke? Ataupun kau orang sengaja nak ambil hati aku saja? Kritik sajalah. Aku tak kisah.” Azrizal tidak mahu kawan-kawannya menjaga hatinya. Dalam berkawan, berterus terang itu penting bagi memastikan sesebuah persahabatan itu sentiasa berlandaskan kejujuran. Dia lebih rela dikritik asalkan dia dapat memperbaiki mana-mana yang kurang.
“Mana ada. Betullah. Kita orang pun tak tahu yang kau boleh cipta lagu. Kenapa kau tak pernah beritahu kita orang pun?” balas Shafik. Dia bukan menjaga hati Azrizal tetapi itulah pendapatnya yang jujur. Lagipun, bukankah selama ini hubungan mereka tiada istilah menjaga hati? Pantang ada apa-apa yang mereka tidak puas hati, pasti akan disuarakan tanpa sebarang penapisan! Itulah antara resepi persahabatan mereka. No heart feeling.
“Aku pun baru saja cuba-cuba. Tiba-tiba saja rasa ada ilham,” terang Azrizal. “Tapi kalau ikutkan aku, aku lebih suka kalau kita lebihkan bunyi dram dan percussion. Jadi, rentaknya akan jadi lebih rancak. Apa pendapat kau orang?” tanyanya. Walaupun lagu itu adalah lagu ciptaannya tetapi sekiranya mereka mempunyai cadangan bagi meningkatkan mutu lagu itu, dia rasa tiada salahnya. Demi kebaikan kumpulan mereka juga.
Sebagai sebuah kumpulan, perbincangan itu penting bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Jika semua hendak mengikut kepala masing-masing, alamatnya hancurlah kumpulan itu.
“Aku setuju. Orang zaman sekarang lebih suka lagu yang rancak daripada lagu tangkap leleh dan melankolik. Lagipun kalau tengok pada liriknya, aku rasa lirik ni memang sesuai dengan rentak yang rancak,” ujar Shamsul, memberikan pendapatnya.
“Aku buat lagu ni pun sekali dengan lirik,” balas Azrizal. Sememangnya dia lebih menggemari rentak yang rancak dan dapat mengumpan pendengar untuk menari. Dia mahu orang yang mendengar lagunya rasa bersemangat dan bermotivasi. Bukannya berasa sayu atau sedih.
“Kalau macam tu, hebatlah! Aku pun nak tulis lagulah,” ujar Iqbal bersemangat. Dia mula menanam keazaman.
“Eleh, pandai ke?” Shafik sengaja menduga.
“Belum cuba, belum tahu.”
“Kalau setakat cuba, lebih baik tak payah.”
“Okey, nanti aku beri kau orang dengar lagu aku,” janji Iqbal.
“Jangan kau beri lagu rock dangdut macam abang hari tu sudahlah,” Shafik memberikan peringatan. Dalam banyak-banyak calon yang menghadiri uji bakat mereka hari itu, calon itulah yang paling diingatinya sampai sekarang.
“Ya tak ya, bukan? Aku pun tak terfikir. Baguslah idea kau.” Iqbal mengusik-usik dagunya sambil memikirkan sesuatu.
“Kau jangan, Ball.” Shafik mula tidak senang dengan gaya Iqbal itu. Bagaimana jika Iqbal benar-benar serius hendak mencipta lagu rock dangdut?
“Kau ni, Chap. Tak baik tau diskriminasi muzik. Dangdut pun sejenis muzik,” bidas Iqbal.
“Ya, tapi konsep tu tak sesuai dengan konsep kumpulan kita,” balas Shafik pula.
“Kita buatlah bagi sesuai.” Iqbal masih tidak mahu mengalah. Sengaja mahu memancing hujah Shafik.
“Okey. Kalau kau nak, kau buatlah. Tapi bukan dengan kumpulan ni. Kau buatlah dengan kumpulan lain.”
“Eh, apa pula?”
“Yalah. Dah kau nak sangat buat lagu rock dangdut tu.”
“Ah, aku tak kira! Sebagai ahli kumpulan ni, aku pun ada hak.”
Azrizal dan Shamsul berbalas pandangan melihat telatah kedua-dua ahli kumpulan mereka itu. Dah mula dah...
***
“Cepatlah upload,” gesa Shafik sejurus mereka berempat selesai merakamkan lagu di studio rumah Shamsul.
“Sabarlah. Aku nak uploadlah ni,” balas Shamsul sambil tangannya mengklik-klik tetikus pada skrin komputer ribanya seperti mencari-cari sesuatu.
“Habis tu, dari tadi aku tengok kau macam terkial-kial saja. Kau tahu ke tak macam mana nak upload ni?” soal Shafik.
Shamsul tersengih. “Sebenarnya aku pun tak tahu sangat macam mana nak uruskan page ni.”
“La...” Serentak Azrizal, Shafik dan Iqbal mengeluh.
“Ingatkan pandai sangat,” perli Azrizal.
“Nak kata pandai sangat tu taklah. Setakat sikit-sikit tu bolehlah,” ujar Shamsul membela diri.
“Habis tu, macam mana ni? Susah payah kita rakamkan lagu ni tadi, takkan tak jadi upload pula?” tanya Iqbal pula.
“Siapa kata tak jadi? Aku tengah usahakanlah ni,” balas Shamsul bersungguh sambil tangannya lincah mengawal tetikus. Sekejap klik di sana, sekejap pula klik di sini. Namun dia masih belum menemui cara untuk memuat naik lagu itu di page Kugiran SMART.
Azrizal, Shafik dan Iqbal saling berpandangan. Ketiga-tiganya seolah-olah mengerti apa yang bermain di benak masing-masing. Kalau beginilah gayanya, entah bilalah baru mereka dapat memuat naik lagu itu...
*Lagu dan lirik oleh Eross Candra (Jagostu)-Gostu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan