SEPERTI biasa rumah itu sunyi tanpa penghuni ketika dia pulang. Dia juga sudah tidak kisah dengan situasi itu. Malah dia sendiri sudah malas hendak mengambil tahu perihal setiap penghuni rumah itu. Masing-masing dengan hal masing-masing. Sudahlah jarang-jarang berjumpa, berhubung apatah lagi.
“Riz, duduk sini sekejap. Ayah nak cakap sikit.”
Azrizal tidak jadi hendak melangkah ke biliknya. Memang dia perasan akan ayahnya yang sedang asyik membaca surat khabar di ruang tamu ketika dia membuka pintu tadi namun dia tidak tahu sama ada mahu menyapa ataupun berpura-pura tidak nampak.
Tanpa disangka, ayahnya yang menegur dahulu. Dia juga hampir terlupa yang dia masih mempunyai ibu dan ayah lantaran kedua-duanya terlalu sibuk dengan urusan kerja masing-masing sehingga tidak sempat hendak mengambil tahu tentang dirinya. Patutlah adiknya mahu menghabiskan cuti sekolah di rumah kakaknya.
Hampir saja wajah kedua-duanya luput dari ingatannya. Mana tidaknya, kadang-kadang dia tidak nampak langsung kelibat mereka di rumah. Awal-awal pagi sudah ke pejabat. Lewat tengah malam nanti barulah mereka pulang. Entah apa yang mereka kejarkannya pun dia tidak tahu.
Tiba-tiba saja malam ini keajaiban berlaku. Ayahnya berjaga malam semata-mata hendak menemuinya? Biasanya bukan main susah lagi nak nampak batang hidung. Kena tulis dalam diari ni!
Ayah Azrizal, Encik Ariffin melipat surat khabar yang dibacanya dan meletakkannya di atas meja seraya Azrizal mengambil tempat di sebelahnya.
“Riz pergi mana tadi?”
“Jumpa kawan,” balas Azrizal acuh tak acuh. Sejak bila pula ayah ambil berat tentang apa yang aku buat ni?
“Riz dah habis sekolah kan?”
Azrizal diam sambil menantikan kata-kata ayahnya seterusnya.
“Ayah rasa eloklah Riz cari kerja sambilan daripada Riz melepak tak tentu hala kat luar sana tu sementara tunggu keputusan SPM ni. Lepas tu bolehlah sambung belajar kat kolej,” ujar Encik Ariffin.
“Ala, yah, Riz bukannya buat benda tak elok pun. Riz cuma jamming dengan kawan-kawan,” ujar Azrizal membela diri. Takkan itu pun salah?
“Tapi benda tu tetap tak berfaedah. Kalau Riz kerja, adalah juga duitnya. Ini setakat buang masa tapi habuk pun tak ada, nak buat apa?” Encik Ariffin mula bersuara tegas. Dia tidak mahu Azrizal mencemarkan nama baik keluarganya. Ini pun nasib baik ada yang memberitahunya. Jika tidak, pasti dia tidak tahu apa aktiviti Azrizal di luar.
“Riz bukan buang masa, yah. Riz ada matlamat hidup Riz sendiri,” tegas Azrizal pula. Sungguh dia tidak pernah terfikir langsung tentang kemasukan ke universiti ataupun kolej. Dia sudah tidak berminat hendak belajar. Cukuplah sebelas tahun di alam persekolahan. Dia sudah jemu mengadap buku. Tambahan pula, dia sendiri tidak yakin yang keputusan peperiksaannya sebegitu bagus bagi melayakkannya meneruskan pengajian di universiti.
“Habis, main muzik tu bukan membuang masa?” tingkah ayahnya.
“Yah, ni minat Riz,” balas Azrizal. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia begitu berminat dengan muzik. Hidupnya sudah sebati dengan muzik. Muzik itu ibarat terapi bagi dirinya. Bila sedih, dia dengar muzik. Bila sunyi, dia dengar muzik. Bila memberontak, dia dengar muzik. Malah dia juga sedang berjinak-jinak menggubah muzik bagi meluahkan isi hatinya.
“Riz, sekali-sekala kita kena ketepikan minat kita untuk teruskan hidup. Kita bukan orang senang. Minat aje tak dapat menjamin apa-apa. Tengok ayah su Riz tu. Mula-mula memanglah best. Ada nama, ada duit. Tapi bila dah tak laku, ke mana dia? Balik kampung juga akhirnya!”
“Sekurang-kurangnya dia berpeluang mendapat apa yang dia nak.”
“Menjawab ya? Sebab itulah ayah tak suka Riz rapat sangat dengan ayah su Riz tu. Kan dah berjangkit dengan dia.”
“Ayah, hal ni tak ada kena-mengena dengan ayah su. Riz sendiri yang pilih jalan ni.”
Azrizal memang rapat dengan bapa saudaranya yang dipanggil ayah su itu malah lebih rapat daripada ayah dan ibunya. Bapa saudaranya itulah yang paling banyak menyokong dan mendorong minatnya. Tambahan pula, bapa saudaranya itu berpengalaman dalam bidang muzik.
“Walau apa pun, ayah tetap tak izinkan Riz jadi pemuzik yang tak ada masa depan tu!”
“Tapi yah...”
“Keputusan ayah muktamad! Lepas keputusan SPM keluar, ayah akan hantar Riz masuk kolej!”
“Yah, Riz dah besar. Riz ada hak untuk pilih jalan hidup Riz sendiri,” Azrizal membangkang kata-kata ayahnya. Sampai bila ayahnya hendak mengatur hidupnya? Adakah ayahnya pernah memikirkan perasaannya? Impian dan cita-citanya?
“Itu tak bermakna Riz boleh buat keputusan sendiri! Selagi mak dan ayah masih hidup, Riz tetap kena ikut cakap kami!”
Azrizal segera berlalu ke biliknya. Dia duduk di birai katil. Seperti orang tak betul, dia meracau-racau sendiri. Semua nak kena dengar cakap dia! Habis aku ni apa? Berang sungguh dia dengan sikap diktator ayahnya itu. Dia perlu melepaskan kemarahannya.
Tiba-tiba matanya terpana pada meja tulisnya. Pantas dia mencapai pen dan kertas yang ada di atas meja itu. Tangannya ligat mencoretkan sesuatu pada kertas itu.
“MA, Tya ingat Tya nak cari kerjalah sementara tunggu keputusan SPM. Boleh tak, ma?” Athira menyuarakan hasrat hatinya.
“Tak payahlah, Tya. Tya tolong mama kat rumah ni aje. Banyak lagi kerja kat rumah ni,” ujar si ibu sambil tangannya lincah melipat kain baju yang dilonggok di ruang tamu sambil menonton televisyen.
“Ala, ma, bolehlah,” rengek Athira persis anak kecil apabila keinginannya untuk bekerja dibantah. “Semua kawan Tya bekerja sementara tunggu keputusan SPM. Tya aje yang tak buat apa-apa.”
“Habis tu, kalau semua kawan Tya buat kerja tak tentu hala pun Tya nak ikut dia orang?”
Athira diam.
“Bukan mama tak nak bagi Tya kerja tapi bukan sekarang.”
“Kenapa?”
“Mama tak nak bila Tya dah merasa pegang duit sendiri, Tya dah mula hilang minat nak belajar.”
“Ala, takkannya. Tya janji Tya akan sambung belajar tapi sementara tu, mama benarkanlah Tya kerja ya ma? Tya pun nak merasa cari duit sendiri,” Athira berusaha memujuk ibunya. Sungguh dia teruja apabila mendengar cerita kawan-kawannya yang bekerja. Ada yang bekerja di kedai buku, ada yang bekerja di kedai makan dan ada juga yang bekerja sebagai kerani. Walaupun gaji yang diterima tidak sebanyak mana namun itu semua tidak penting. Apa yang penting, mereka dapat menimba pengalaman di samping memanfaatkan masa yang terluang.
“Tya, Tya faham tak apa mama cakap? Masa Tya akan tiba juga nanti,” balas si ibu.
“Kalau mama tak bagi Tya kerja, Tya nak ambil lesen kereta boleh?”
“Tya nak ambil lesen kereta nak pergi mana?”
“Saja. Kawan-kawan Tya pun...”
Belum sempat ayatnya dihabiskan, ibunya memotong, “Tengok tu, sikit-sikit kawan, sikit-sikit kawan. Cuba jangan ikut kawan. Tya ingat nak ambil lesen kereta tu murah? Setakat seratus, dua ratus? Seribu tau! Itu pun kalau lulus. Kalau fail, makan duit lagi. Dah, tak payah ambil lesen. Ayah kan ada. Minta aje ayah hantarkan.”
“Isy, tak sukalah cakap dengan mama ni. Semua benda tak boleh,” Athira menarik muncung lantas berlalu ke bilik tidurnya.
“HABIS tu, Tya tak jadilah nak cari kerja ni?” soal Azrizal sejurus Athira mengadu perihal ibunya yang tidak membenarkannya bekerja sementara menunggu keputusan SPM.
“Macam tulah nampak gayanya,” ujar Athira kecewa sambil memintal-mintal wayar telefon. “Riz pula macam mana?”
“Kalau mak Tya tak bagi Tya kerja, ayah Riz pula sebaliknya. Dia suruh Riz kerja sementara tunggu keputusan SPM. Lepas keputusan keluar nanti, dia nak hantar Riz sambung belajar kat kolej,” cerita Azrizal. Kata-kata ayahnya tadi masih tergiang-giang di telinganya. Sakit betul hatinya apabila mengenangkan perkara itu.
“Baguslah tu. Kita masuk kolej yang sama ya? Nanti bolehlah kita belajar sama-sama lagi. Riz nak ambil course apa? Tya nak ambil pengajian undang-undang,” balas Athira tanpa mengetahui apa yang terbuku di hati Azrizal.
“Tya, belajar kat sekolah pun Riz dah malas apatah lagi nak sambung belajar kat kolej? Zaman sekarang, orang yang tak masuk kolej pun boleh berjaya tau. Orang yang ada ijazah pun susah nak dapat kerja. Daripada buang duit belajar, baik cari duit,” luah Azrizal.
“Maksud Riz, Riz tak nak sambung belajar?” Athira tersentak.
“Ya,” aku Azrizal jujur.
“Habis tu, kalau Riz tak nak sambung belajar, macam mana dengan Tya nanti?”
“Maksud Tya?”
“Takkan Tya nak sambung belajar sorang-sorang aje? Riz tak nak temankan Tya ke?”
“Tya, Riz pun ada cita-cita.”
“Cita-cita apa?”
“Riz nak main muzik.”
“Main muzik? Tu bukan cita-cita tapi hobi!”
“Hobi? Tya, Riz main muzik bukan sekadar hobi. Riz nak hidup dengan muzik.”
“Riz, main muzik takkan dapat menjamin masa depan.”
“Habis, kalau belajar tinggi-tinggi pun tapi ke ceruk dapur juga akhirnya, tu dikira menjamin masa depan ke?”
“Riz!” Athira geram mendengar kata-kata Azrizal. “Malaslah Tya nak cakap dengan Riz,” Athira segera mematikan talian.
Azrizal melepaskan keluhan. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Seseorang yang telah banyak mendorong dan menyokong impiannya nan satu itu. Seseorang yang tidak pernah jemu memberikan kata-kata perangsang kepadanya. Tanpa sedar, tangannya pantas membuka laman web my space. Nama pengguna dan kata laluan dimasukkan.
Beberapa minit kemudian, laman web yang berlatar belakangkan warna hitam menghiasi pandangan matanya. Dia melihat nama pertama di top friend profilnya. Tiada perkataan online di bawahnya. Dia mengeluh hampa. Lantaran itu, hatinya terdetik untuk meninggalkan pesanan kepada pemilik tempat pertama di top friendnya itu.
Sebaik-baik menaip beberapa patah perkataan, dia menekan tetikus pada perkataan ‘hantar’. Mudah-mudahan sahabatnya itu membaca pesanannya dan segera menghubunginya.
2 ulasan:
haha,cam sy,x wat pe.amek lesen mahal
hahaha...da lme nye tggu cite ne...mesti seseorg tuh laily kn?..
Catat Ulasan