Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Februari 18, 2010

AsyrAfia 17

“INI kut biliknya,” Afia melihat jam di tangannya. Entah sempat entah tidak. Dia dan Julia bergegas melangkah ke dalam bilik itu. Menurut sumber yang dibaca, Yap dan beberapa orang kartunis Gempakstarz lagi akan mengadakan sesi autograf bersama peminat di Bilik Kedah/Johor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ini.

“Tak ada pun,” Afia terjenguk-jenguk memerhati sekeliling bilik itu namun tidak ada tanda-tanda sebarang sesi autograf sedang berlangsung. Yang ada cuma booth-booth jualan komik underground selain produk Gempakstarz. “Entah-entah dah habis. Kaulah ni, lambat.”

“Aku pulak?” Julia tercengang.

“Yalah, mandi pun berjam-jam.”

“Ala, mana tahu kut-kut dia masih ada kat sini ke,” Julia menghala pandangannya ke segenap ruang PWTC itu.

“Kalau ya pun dia masih ada kat sini, bukannya aku tahu. Aku bukannya kenal muka dia pun,” balas Afia. Wajahnya hampa.

“La, kau tak kenal dia ke?”

“Tak.”

“Habis yang kau beria-ia nak jumpa dia kenapa?”

“Sebab aku tak kenal dialah aku nak jumpa dia. Aku nak tengok rupa dia. Adakah dia sehensem lukisannya?”

“Habis macam mana sekarang ni?”

“Kejap, aku tanya kakak tu,” Afia menghampiri seorang wanita yang memakai baju berwarna jingga putih yang tertera logo Gempakstarz, penerbit yang menerbitkan komik kartunis kegemarannya itu. “Tumpang tanya, kak. Sesi bertemu kartunis Gempak kat sini kan?”

“Haah tapi dia orang dah balik dah.”

“Dah balik?” Afia mengeluh hampa. “Tak apalah. Terima kasih.” Afia kembali mendapatkan Julia. “Dia dah balik.”

“Hah? Ya ke?”

“Kakak tu cakap macam tu.”

Tatkala itu, Adi dan Rizal muncul termengah-mengah gara-gara mengejar Afia dan Julia yang berjalan seperti lipas kudung tadi.

“Mana Yap kaunya?” tanya Adi seraya menahan sempotnya.

“Tak dapat dikesan,” ujar Julia.

“Kita balik ajelah. Bukan ada apa pun. Banyak booth buku aje,” celah Rizal.

“Dah nama pun pesta buku, takkan nak jual ikan pulak?” Afia sudah tiada mood hendak berjalan-jalan di situ. Terasa kedatangannya ke situ hanya sia-sia. Matlamatnya cuma satu. Berjumpa dengan Yap. “Jomlah balik.”

“Alang-alang dah sampai sini takkan nak balik? Jauh tau kita datang,” pujuk Julia. Dia teringin hendak melihat apa yang ada di pesta buku itu. Macam menarik aje.

“Orang ramai sangatlah. Nak jalan pun susah,” Rizal melihat ke segenap bangunan PWTC yang dibanjiri pengunjung itu. Berbagai-bagai warna kulit, warna rambut, warna anak mata, warna baju, warna tudung...

“Jomlah kita pergi tengok-tengok,” Julia menarik tangan Afia ke satu booth. Cuba mengembalikan mood Afia. Afia mengikut dengan langkah yang malas. Julia membelek-belek buku-buku di situ sambil membebel sesuatu namun tidak diambil peduli oleh Afia. Dalam benaknya cuma ada Yap.

“Yap tu hensem kan?”

“Haah, macam lukisan dia.”

Mendengarkan ‘Yap’, telinganya pantas menangkap perbualan dua gadis yang melintasi tempatnya berdiri. Segera dia berpaling. Mungkin Yap masih ada di sekitar situ. Namun, dia tidak nampak sebarang individu yang menyerupai Yap dalam gambarannya. Tanpa disedari, kakinya terus melangkah mendapatkan dua gadis tadi.

“Tumpang tanya, awak jumpa Yap kat mana?” tanyanya tanpa segan silu. Ah, lupakan malu! Yang penting, aku mesti jumpa Yap!

“Tu,” salah seorang daripada gadis itu menuding ke satu arah.

Afia memandang ke arah yang dikatakan. Terdapat sekumpulan pemuda sedang bersembang di tepi booth yang dipenuhi dengan lukisan komik.

“Okey, terima kasih,” ujar Afia lantas menghampiri kumpulan pemuda itu. Wajah-wajah pemuda itu diamati. Tak ada pun Yap. Semua Melayu aje. Dia orang tipu aku ke? Tapi buat apa dia orang nak tipu aku? Bukannya dia orang kenal aku pun. Dah nasib kut aku tak dapat jumpa Yap.

Afia berjalan sambil kepalanya ligat memikirkan tentang Yap tanpa mengendahkan keadaan sekelilingnya. Keadaan yang sesak di situ langsung tidak dihiraukannya.

“Woi!”

Afia tersentak apabila suatu tangan hinggap di bahunya. Julia!

“Aku hauslah. Jom cari tempat minum.”

“Dia orang mana?”

“Entah,” balas Julia seraya mengeluarkan telefon bimbitnya lantas mendail nombor telefon Adi dan menunggu seketika. “Dia tak jawab pun.” Julia mendail nombor telefon Rizal pula. Juga tidak berjawab. “Mana dia orang ni? Telefon tak angkat.”

“Bagi SMS ajelah,” ujar Afia. Julia menurut.

“Kita nak makan kat mana ni?” tanya Julia sebaik-baik saja dia selesai mengirim pesanan ringkas ke telefon bimbit Adi bagi melaporkan lokasi mereka berdua.

“Tu ada orang jual air.”

Mereka melangkah ke tempat yang dikatakan.

“Kau nak apa?” tanya Julia sambil menjenguk makanan dan minuman yang ada di situ.

“Ada ice-blended. Aku nak ice-blended coklatlah,” balas Afia.

“Pantang jumpa ais.”

Afia tersengih.

“Bagi ice-blended coklat satu, jus mangga satu,” ujar Julia kepada pemuda yang berpakaian putih seperti chef itu.

Lima minit kemudian, minuman mereka pun siap.

“Berapa?” soal Julia ketika mereka melangkah ke kaunter bayaran.

“RM7.”

Julia menyeluk poket seluarnya apabila seketika kemudian baru dia tersedar.

“Berapa?” ulangnya sekali lagi. Takut-takut dia tersilap dengar.

“RM7.”

“RM7?” Julia dan Afia berbalas pandang. Memikirkan perkara yang sama. Selepas menerima wang baki, mereka melangkah ke sebuah meja.

“Mahalnya!” ujar kedua-dua mereka hampir serentak.

Ice-blended kau RM5? Biar betul? Jus mangga RM2? Gila mahal! Kalau tahu tadi, baik kita lepak Mc’ Donalds kat depan tu aje,” omel Julia.

“Manalah tahu. Ingatkan sama aje harganya dengan kat luar,” balas Afia lantas mengeluarkan duit not RM5 dari dalam dompetnya dan diserahkan kepada Julia. “Nah.”

“Tak payah,” Julia menolak.

“Betul ke ni?” soal Afia walaupun sebenarnya dia tahu antara mereka memang tidak pernah berkira tentang duit.

“Kau belanja aku beli novel. Aku jumpa satu novel best tadi,” ujar Julia.

“Novel mahallah. Baik, beli komik.”

“Ala, satu aje.”

“Novel apa?”

“Ada kat booth sana tu. Jom!” Julia menarik lengan Afia ke suatu booth yang menjual berbagai-bagai jenis novel.





WAKTU sudah melewati ke pukul 10.00 malam namun dua tubuh itu masih tercongok di hadapan pintu masuk PWTC. Keadaan yang tadinya penuh sesak dengan lautan manusia kini sudah mula lengang.

“Mana dia orang ni? Tak nak balik ke?” omel Afia sambil melihat jam di tangannya sementara Julia sedang sibuk mendail di telefon bimbitnya. Bila orang ajak, tak nak pergi. Dah sampai sini, dia orang pulak yang tak nak balik.

“Sekejap lagi dia orang datang,” ujar Julia selepas bercakap dengan Adi di telefon.

“Sempat ke nak balik kolej ni?”

“Entah. Rumah abang aku dekat aje kalau kau nak tumpang.”

“Tak apalah.”

Sorry kita orang lambat.” Afia dan Julia terlopong melihat Adi dan Rizal. “Aku tahulah kau orang rindu kat kita orang tapi tak payahlah pandang kita orang sampai macam tu sekali,” ujar Adi.

“Apa yang kau orang beli banyak-banyak ni?” Mata Afia dan Julia membulat melihat beg-beg plastik beraneka logo di tangan Adi dan Rizal.

“Apa lagi? Bukulah. Takkan ikan pulak?”

“Tahulah buku tapi buku apa? Lagipun sejak bila pulak kau orang jadi ulat buku ni?” Julia melihat buku yang terkandung di dalam salah satu beg plastik di tangan Adi. Pantas Adi mengelak.

“Adalah. Sibuk aje nak tahu. Ada diskaun banyak, aku pun belilah.”

“Kau orang tak beli apa-apa ke?” tanya Rizal pula.

“Adalah satu, dua buku tapi tak adalah macam kau orang. Sampai selori. Larat ke nak bawak balik ni?”

“Hai, takkan tanya aje? Tolonglah,” celah Adi.

“Itulah, masa beli tak ingat,” Afia membantu Adi membawa separuh daripada bilangan beg plastik di tangannya itu. “Sempat ke kita nak kejar bas akhir ni?”

“Aku tak ikut balik kolejlah. Aku balik rumah abang aku,” ujar Julia.

“Aku pun nak balik rumah mak cik aku,” ujar Rizal pula.

“Kau Afia?” tanya Adi.

“Aku balik Shah Alamlah.”

“Tak payah balik Shah Alamlah. Kau duduk rumah kakak aku ajelah,” cadang Adi.

“Seganlah,” Afia mencari alasan. Dia memang tidak suka ditinggalkan dengan orang yang tidak dikenalinya. Biar macam mana lewat sekalipun, dia lebih rela balik rumah sendiri.

“Ala, mana ada sesiapa. Kakak aku dengan kawan dia aje tapi kakak aku kerja malam ni. Nanti aku telefon dia,” Adi menambah.

“Kau duduk mana pulak?”

“Aku duduk rumah abang aku.”

“Eh, kakak dengan abang kau tak duduk sekali ke?”

“Tak, kakak aku duduk kat Kelana Jaya. Abang aku pulak kat Gombak. Aku hantar kau kat rumah kakak aku, lepas tu aku baliklah rumah abang aku.”

“Susahkan kau aje.”

“Tak ada apalah.”

“Kalau kau dah kata macam tu, okeylah,” Afia terpaksa bersetuju memandangkan kesemua mereka tidak mahu balik ke kolej. Tambahan pula, dia sendiri pun takut untuk balik sendirian malam-malam begitu.

“Okey, kita jumpa esok ya.”

Mereka berempat berpisah di stesen komuter Putra yang terletak berhampiran dengan PWTC. Afia dan Adi menuju ke KL Sentral manakala Julia dan Rizal pula menuju ke Rawang.





“LA, kunci? Takkan dah pergi kerja kut? Kak!” Adi mengetuk pintu rumah bernombor A-10-3 itu bertalu-talu. Seketika kemudian, pintu itu dibuka dari dalam. Seorang wanita bertubuh langsing muncul di muka pintu.

“Akak tengah mandi tadi. Masuklah dulu,” pelawa wanita itu.

“Ni kawan aku, Afia,” Adi memperkenalkan Afia dan kakaknya. “Ni kakak aku, Asma.”

“Panggil Kak As aje,” Asma dan Afia bersalaman tanda perkenalan. “Kau pun tidur sini ke?”

Afia menjeling Adi. Adi terkedu. Faham maksud renungan Afia itu. Takut sangat.

“Taklah. Aku balik rumah Arif sekejap lagi,” terang Adi. “Kawan kau ada tak?”

“Dia belum balik lagi. Duduklah dulu, Afia. Akak nak bersiap sekejap,” ujar Asma lantas berlalu ke bilik tidurnya.

Afia mengambil tempat di meja makan sementara Adi berlalu ke dapur yang hanya dipisahkan oleh meja makan. Tidak lama kemudian, dia muncul bersama dua biji cawan berisi Nescafe.

“Milo tak adalah, Afia. Nescafe boleh tak?” Adi menghulur cawan di tangan kanannya kepada Afia. Afia menyambutnya.

“Boleh ajelah,” balas Afia walaupun sebenarnya dia kurang menggemari minuman itu. Sebagai tetamu, pastilah tidak manis sekiranya dia meminta macam-macam. Tuan rumah nak layan pun dah kira bagus.

Tiba-tiba kedengaran kunci pintu rumah itu dibuka dari luar. Seketika kemudian, sepasang wanita dan lelaki melangkah masuk. Mereka seolah-olah terkejut melihat Adi dan Afia.

“Eh, Adi, bila sampai?” soal wanita itu.

“Baru aje,” jawab Adi acuh tak acuh.

“Makwe ke?” wanita itu memandang Afia sambil tersenyum penuh makna.

“Kawanlah.”

“Kak As ada?”

“Kat dalam bilik.”

“Sayang, you duduk dulu ya,” ujar wanita itu kepada teman lelakinya lalu menghilang ke dalam biliknya.

Lelaki itu tersenyum ke arah Afia. Afia pula teragak-agak untuk membalasnya. Dia memandang Adi. Adi cuma menjeling. Pada waktu yang sama, Asma keluar dari biliknya.

“Afia, kalau nak mandi, tuala, kain batik dengan baju semua akak letak atas katil ya. Bilik air kat situ. Jangan malu-malu ya.”

“Terima kasih, kak.”

“Akak nak pergi kerja ni,” Asma berpaling kepada Adi. “Kau nak ikut sekali ke apa ni?”

“Aku ikut sekalilah. Afia, elok-elok tau,” pesan Adi sebelum dia dan kakaknya berlalu.

Sejurus Adi dan kakaknya berlalu, Afia terus masuk ke bilik kakak Adi tadi dan terus mengunci pintu. Dia memandang segenap bilik itu. Bilik itu cuma ada sebuah katil besar, sebuah almari mekap dan sebuah meja.

“Apa aku nak buat ni?” Afia mengambil tuala di atas katil. Nak mandi tapi ada tetamu pulak. Tunggu sekejap lagilah. Afia menunggu seketika. Apabila dirasakan sudah tiada orang di ruang tamu, dia membuka pintu bilik itu dan mengintai dari celah pintu. Setelah pasti tiada sesiapa, dia mencapai tuala, kain batik dan baju di atas katil lantas melangkah ke bilik air yang terletak di sebelah dapur.






DIA lengkap berpakaian ketika keluar dari bilik air. Tubuhnya terasa segar selepas mandi. Dia melangkah ke bilik tidur mengambil telefon bimbitnya kemudian berlalu ke ruang tamu lantas memasang suis televisyen. Sedang dia memilih-milih siaran yang disukai, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan khidmat ringkas yang masuk. Dia membaca pesanan khidmat ringkas itu.

Afia, dh tido ke?

Afia membalas kiriman pesanan khidmat ringkas Adi.

Blum. Aku tgh tgk tv ni.

Tidak sampai beberapa saat, Adi membalasnya semula.

Ko sorang je ke? Pastikan pintu tingkap smua kunci tau.

Mendengarkan itu, Afia bingkas bangkit lantas memeriksa semua pintu dan tingkap bagi memastikan semuanya berkunci. Setelah pasti, dia kembali mengadap rancangan di televisyen. Apabila bosan duduk, dia berbaring pula. Namun, konsentrasinya terganggu apabila telinganya menangkap bunyi pintu bilik belakang dibuka. Fikirnya teman serumah Asma namun matanya membulat apabila terlihat pemuda yang datang bersama teman serumah Asma tadi masih ada di situ. Pantas dia bangkit dari pembaringan. Sangkanya, dia cuma bersendirian di dalam rumah itu.

Kenapa lelaki tu tak balik lagi? Dan apa yang dia buat dalam bilik kawan Kak As? Afia panik. Pantas dia menutup televisyen dan masuk ke dalam bilik Asma lantas menguncinya dari dalam. Nombor telefon Adi didail. Belum pun sempat Adi berkata apa-apa sebaik-baik sahaja talian bersambung, dia terus menceritakan apa yang dilihatnya kepada Adi. Namun, Adi seolah-olah tidak terkejut pun dengan ceritanya.

“Biasalah, KL. Kau duduk diam-diam aje dalam bilik tu. Kunci pintu,” pesan Adi.

“Kenapa kau tak bagi tahu aku awal-awal?”

“Kalau aku cakap, mesti kau tak nak duduk situ kan?”

“Aku takut.”

“Kau dah kunci pintu bilik?”

“Dah.”

“Okey, insyaAllah tak ada apa-apa. Dah malam ni. Kau tidurlah. Esok kita jumpa okey?”

“Yalah.”

Talian dimatikan.

Relaks Afia. InsyaAllah tak ada apa-apa. Baik aku tidur aje. Afia merebahkan tubuhnya ke katil. Badannya berasa penat setelah satu hari suntuk berjalan di pesta buku tadi. Sangkanya dia akan segera lena namun tidak. Matanya enggan lelap. Bayangan lelaki tadi muncul di benaknya tatkala dia memejamkan mata.

Matanya menghala ke tombol pintu bilik itu. Aku dah kunci pintu ke belum ya? Dia bangkit menuju ke pintu. Memastikan pintu itu sudah dikunci. Dah kunci. Dia kembali ke katil. Matanya dipejam namun bayangan lelaki tadi tetap menghantui mindanya. Macam mana kalau lelaki tu cari aku pulak nanti? Hish, mintak dijauhkan!

Apalah nak jadi dengan orang zaman sekarang? Dosa dan pahala pun dah tak kenal. Kalau tak tahan sangat, kenapa tak kahwin aje? Entah-entah dia orang dah kahwin tak? Tapi tak mungkinlah. Kalau dah kahwin, buat apa dia duduk kat rumah ni? Hish, apa aku nak buat ni? Kalau aku biarkan, aku dikira bersubahat tapi kalau aku lapor kat kat pencegah maksiat dituduh penyibuk pulak. Peninglah!

Tiada ulasan: