Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 11, 2008

Rantai Rasa Cinta 1

Suasana di Dewan Sri Budiman itu penuh sesak dengan pelajar-pelajar yang ingin mendaftar bagi jurusan ijazah. Di celah kesesakan itu, seorang gadis tergesa-gesa ke tempat letak kereta. Sambil kaki melangkah, tangannya menyeluk-nyeluk begnya mencari sesuatu. Kerana terlalu tergesa-gesa, tanpa sengaja dia melanggar seorang gadis yang berjalan ke arah bertentangan.

Sorry…”

“Tak apa,” Nazili melihat gadis yang melanggarnya. Seorang gadis bertubuh sederhana dan berbaju kurung ungu. Wajah gadis itu seakan dikenalinya. “Laily?”

“Nazili?” tanya gadis itu pula. Gadis itu juga seakan mengenalinya.

“Betullah ni Laily?” Nazili teruja berjumpa dengan sahabat lamanya itu. Tidak sangka mereka akan berjumpa lagi setelah hampir 10 tahun terpisah.

“Ya, ni kitalah… Laily. Lamanya tak jumpa. Awak apa khabar?”

Mereka saling berpelukan.

“Kalau tak sihat tak adalah kita datang sini,” seloroh Nazili. “Wah, macam tak caya aja yang kat depan kita ni Laily yang kita kenal dulu. Awak dah banyak berubah. Lebih feminin!”

“Perubahan itu perlu untuk maju! Awak tu aja yang tak berubah,” balas Laily.

“Kita pun berubah apa.”

“Apa yang berubah?”

“Awak tak perasan ke kita dah bertambah tinggi?”

Laily rasa terkena. Nazili pulak cuma tertawa dapat mengenakan sahabatnya itu.

“Ala… kita main-main ajalah wak. Awak cari apa tadi sampai kita yang besar ni pun awak tak nampak?” tanya Nazili.

“Awak perli kita ya?” ucap Laily kerana dia tahu Nazili sendiri bertubuh kecil daripadanya. “Sorrylah. Kita cari slip yuran kita. Entah mana kita letak.”

“Awak ni memang pelupalah,” ujar Nazili. Nampaknya sifat pelupa temannya itu masih tidak berubah sejak di bangku sekolah rendah dulu.

“Kita rasa kita tertinggal dalam kereta agaknya. Kita pergi tengok kejap. Lepas habis daftar nanti kita pergi minum ya. Boleh kita sembang panjang,” Laily meminta Nazili menunggunya di situ sementara dia ke keretanya sebentar.


***


Seperti yang dipersetujui, Nazili dan Laily minum di kafeteria berhampiran selepas selesai urusan pendaftaran.

“Zi, dulu awak belajar kat mana?” Laily memulakan bicara.

“Dulu kita ambil diploma kat Perak.”

Course apa?

“Art and Design. Awak?”

“Kita ambil Mass Comm. Masa diploma kat Puncak Perdana.”

“Awak duduk kat kolej ke ni?”

“Tak. Kita duduk rumah sewa kat Seksyen 7,” ujar Laily.

“Awak duduk luar? Tak mahal ke?”

“Itulah. Dulu kita plan nak tinggal berempat dengan kawan kita. Tapi kawan kita yang sorang tu mintak kolej. Dapat. Dia pindahlah kolej. So sekarang kita tinggal bertiga ajalah. Ingat nak cari lagi seorang housemate. Kurang sikit beban nak bayar sewa,” tiba-tiba Laily terfikir sesuatu. “Awak minat?”

“Tengoklah dulu. Kita dah mohon asrama. Lagipun kita tengah nak jimat duit ni,” kata Nazili.

Tinggal di asrama lebih jimat. Satu semester hanya perlu bayar RM210 bagi bilik dua orang ataupun RM420 bagi bilik empat orang. Katil, almari dan meja pun sudah disediakan. Air dan elektrik pula percuma. Kalau tinggal di rumah sewa, tiap-tiap bulan kena bayar sewa, bil air dan elektrik. Kena beli tilam, bantal dan macam-macam keperluan yang lain lagi.

“Ok, tapi nanti kalau awak tukar fikiran awak bagi tahu kita tau.”

Laily amat berharap Nazili dapat berpindah ke rumah sewanya. Selain dapat mengurangkan kos sewa mereka, tak adalah susah-susah dia nak cari orang lain. Lagipun Nazili adalah sahabat lamanya. Senanglah sikit.

“Zi, awak masih tinggal kat Kuantan ke?” tanya Laily. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke bandar palma itu.

Dahulu, Laily dan Nazili bersekolah rendah di sekolah yang sama. Mereka berkawan baik dan sering berdua walau ke mana sahaja sehingga orang mengganggap mereka kembar tak seiras memandangkan Nazili agak lemah-lembut orangnya manakala Laily agak kasar persis lelaki.

Tambahan pula, rumah mereka berdekatan. Jadi, mereka kerap menghabiskan masa bersama. Namun, sejak keluarga Laily berpindah ke Johor Bahru ketika mereka dalam darjah lima, mereka terputus hubungan. Tidak sangka mereka bertemu kembali di Shah Alam ini.

“Yalah. Kat mana lagi kita nak duduk? Sejak kita lahir sampailah dah besar panjang ni, kat situlah syurga kita. Lainlah awak. Anak polis. Semua tempat awak pernah rasa,” ujar Nazili.

“Tak juga. Sabah dan Sarawak kita belum pergi lagi,” celah Laily.

“Sekurang-kurangnya awak lebih bertuah daripada kita. Kalau kita tak sambung belajar, sampai bila-bila pun kita tak keluar dari Kuantan tau.”

“Nampaknya impian awak nak keluar dari bandar Kuantan tu tercapailah.”

“Mula-mula memang kita rasa seronok dapat tengok tempat orang tapi bila dah jauh dari rumah, kita rasa rindu pulak kat rumah. Baru kita sedar, walau ke mana pun kita pergi, tempat asal kita juga yang akan kita kenang. Tak ada tempat yang seindah kampung sendiri.”

“Tahu tak apa.”

Sedang Nazili dan Laily rancak bersembang perihal kenakalan mereka di zaman kanak-kanak dulu, telefon bimbit Laily menyanyikan lagu ‘Mahakarya Cinta’ daripada Faizal Tahir menandakan ada panggilan yang masuk.

“Kejap ya, wak,” Laily tersenyum melihat nama si pemanggil lalu segera menjawabnya. “Helo… Haa…Kat kafe. Dengan kawan. Datanglah. Ok!”

Nazili tersengih melihat reaksi Laily ketika menjawab panggilan telefon itu. Manja semacam aja. Mesti boyfriend yang telefon ni.

Boyfriend ya?”

“Kejap lagi dia nak datang sini,” ujar Laily tersipu-sipu.

“Kalau macam tu kita pergi dululah.”

“Eh, tunggulah kejap! Nanti boleh kita kenalkan awak dengan dia.”

“Lain kali ajalah. Barang kita kat bilik tu banyak lagi yang tak kemas. Nanti kita call awak. Berapa nombor telefon awak?”

Mereka berdua bertukar nombor telefon.

“Ok, nanti kita call awak ya. Kita pergi dulu,” Nazili menggalas begnya.

Tanpa disedari, dia berselisih dengan teman lelaki Laily namun Nazili tidak perasan akan wajahnya kerana dia tunduk membaca SMS yang baru diterimanya.

“Hai, sayang,” teman lelaki Laily mengambil tempat di hadapan Laily.

“Hai,” balas Laily manja.

Teman lelaki Laily memandang sekeliling kemudian memandang Laily semula.

“Tadi you kata you minum dengan kawan. Mana kawannya?” soalnya.

You lambat. Dia baru aja pergi,” jawab Laily.

You tak cakap I nak datang?”

“Sebab I cakap you nak datanglah dia tak nak tunggu. Dia tu pemalu sikit orangnya.”

“Dah tak ada jodoh nak buat macam mana?” Teman lelaki Laily berlagak kecewa. Sengaja ingin mengumpan rasa cemburu Laily.

“Apa dia?” Laily pura-pura tidak jelas. Sengaja ingin melihat reaksi teman lelakinya.

“Itu tandanya I tak ada jodoh dengan kawan you sebab jodoh I dengan you,” Teman lelaki Laily cuba bermanis mulut.

Laily tersenyum manja. Dia tahu teman lelakinya itu takkan mudah berubah hati. Jika tidak, tak adalah hubungan mereka kekal sampai sekarang. Ketika menuntut di diploma lagi mereka sudah bercinta. Satu batch sudah mengetahui akan hubungan mereka berdua.

“Sayang, kawan you tu cantik tak?” seloroh teman lelaki Laily.

Laily merenung teman lelakinya tajam.

“Gatallah tu!”

Teman lelaki Laily cuma tersenyum. Dia tahu Laily cemburu kerana sayang.


***


“Zi dah ada kat kolej. Mak dan Abah tak payahlah risau,” Nazili menghubungi ibu bapanya di Kuantan bagi memaklumkan keadaan dirinya sebaik-baik sahaja kakinya menapak di bilik asramanya.

Bukan boleh dia berada jauh dari keluarga. Pasti ibu dan bapanya akan menelefonnya selalu. Masa dia belajar di Perak dulu pun macam tu jugak. Hampir tiap-tiap hari mak dan abahnya menelefon bertanyakan keadaan dirinya. Yalah waktu itu pertama kali dia berjauhan dengan keluarga jadi tidak hairanlah mak dan abah risau.

Kali ini pulak, Nazili berkeras mahu ke Shah Alam sendirian tanpa dihantar oleh kedua-dua ibu bapanya. Sengaja dia tidak mahu menyusahkan mereka. Lagipun dia sudah berusia 21 tahun. Dia mahu berdikari.

Pada mulanya, ibu bapanya mencadangkan agar dia menumpang di rumah ibu saudaranya yang terletak di Seksyen 13. Namun, Nazili tidak mahu menyusahkan ibu saudaranya itu. Tambahan pula, kawasan rumah ibu saudaranya itu tidak mempunyai pengangkutan awam. Takkanlah setiap hari dia perlu dihantar dan dijemput untuk ke kuliah?

Lebih baik dia tinggal di kolej. Tinggal di kolej akan memudahkan pergerakannya. Fakultinya juga tidak jauh dari Kolej Seroja, kolej yang dihuninya sekarang. Perpustakaan pun dekat. Mudahlah baginya untuk membuat rujukan dan mengulangkaji pelajaran. Kalau terpaksa pinjam buku pulak, tak adalah jauh dia hendak mengendong buku-buku yang tebal-tebal.

“Ok, mak. Kirim salam kat semua. Waalaikummussalam,” Nazili meletakkan telefon bimbit kesayangannya itu ke katil lantas mencapai beg bajunya. Baju-baju di dalam beg itu dikeluarkan lalu disusun di dalam almari. Nazili ditempatkan di bilik berdua. Namun, katil di sebelah katilnya itu masih kosong. Mungkin teman sebiliknya datang lambat.

Siapalah roommate aku semester ni? Entah macam manalah orangnya? Jangan aku dapat roommate yang tak tentu arah sudahlah. Tapi kalau pendiam sangat pun boring jugak. Aku ni dahlah tak berapa reti nak bersembang dengan orang yang tak kenal. Kalau dia pun pendiam alamatnya sunyi sepilah bilik aku ni nanti.

Sedang Nazili berkemas, tiba-tiba daun pintu bilik itu dikuak dari luar. Nazili memandang ke pintu. Kelihatan seorang budak perempuan yang bertubuh sederhana menjenguk ke dalam.

“Hai,” sapanya mesra lalu memperkenalkan diri, “Wawa.”

“Nazili,” Nazili membalas sapaan itu.

“Ambil course apa?” tanya Wawa.

“Art and Design,” jawab Nazili.

“Owh… Saya ambil Sains Polisi. Semester berapa?” soal Wawa sambil memasukkan barang-barangnya ke dalam almari pakaian yang disediakan.

Kebiasaannya setiap penghuni asrama akan diberikan sebuah katil, sebuah almari dan sebuah meja belajar.

“Baru semester satulah ni.”

“Lepasan diploma?”

“A’ah.”

“Asal mana?”

“Kuantan. Awak?”

“Saya tinggal dekat-dekat sini aja. PJ.”

“Dekat ke?”

“Dalam 15 minit macam tu.”

“Memang dekatlah.”

Actually saya sekejap aja ni. Nak hantar barang aja. Awak boleh ke duduk sorang-sorang ni?” Wawa berasa serba salah untuk membiarkan teman sebiliknya itu bersendirian.

“Ok aja. No problem,” balas Nazili.

“Kira dekat jugalah fakulti awak ya. Senanglah. Jalan kaki aja.”

“A’ah. Fakulti Sains Polisi kat mana pulak?” Nazili sememangnya belum biasa dengan sekol-belok di kampus induk itu. Yang dia tahu cuma perpustakaan dan fakultinya sendiri.

“Kita dekat dengan pintu pagar depan kan? Fakulti Sains Polisi dekat dengan pintu pagar belakang. Dekat dengan Kolej Melati,” terang Wawa.

“Jauh tak?”

“Kalau jalan kaki memang jauhlah. Tapi bas banyak.”

“Kenapa tak mintak Kolej Melati?”

“Dah penuh. Lambat hantar borang permohonan,” Wawa melihat barang-barangnya. Rasanya ini aja. “K lah, Nazili. Saya balik dulu ya. Isnin nanti kita jumpa lagi.”

“Okey.”

Nice to meet you,” ujar Wawa sebelum melangkah keluar dari bilik yang dikongsi bersama Nazili itu.

Nazili membalas kata-kata Wawa dengan senyuman mesra. Langkah Wawa kemudian dihantar dengan pandangan anak matanya. Dari gaya gadis itu, Nazili dapat mengagak yang bakal teman sebiliknya itu pasti seorang yang peramah.

Nazili melihat sekeliling bilik itu. So, aku nak buat apa ni? Kemas biliklah. Nazili bingkas bangun dari duduknya dan mula menjalankan aktiviti mengemas.

Tiada ulasan: