Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Khamis, Disember 11, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 22

Rumah banglo dua tingkat itu kelihatan meriah dengan kehadiran tetamu yang menyerikan majlis perkahwinan di rumah itu.

“Win, benar ke ini rumahnya Hani?”

Kok besar banget rumahnya? Anak orang kayakah dia? Kenapalah aku tidak pernah bertanya tentang pekerjaan ibu dan bapanya?

“Menurut alamat yang diberi, benar ini rumahnya,” ujar Erwin sambil membandingkan alamat yang tertera di kad jemputan yang berhias cantik di tangannya.

“Macam enggak percaya aja,” Dimas masih ragu-ragu.

“Bagus benar hidup elo. Gue enggak pernah menyangka teman gue ini pacaran sama anak orang kaya,” kata Erwin.

“Gue pacaran sama Hani bukan kerana keluarganya. Lagipun gue sendiri enggak pernah tahu kalau keluarga Hani itu sekaya ini,” Dimas seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Betul ke ni rumah Hani?

“Kalau elo enggak pasti, telefon aja ke Hani,” Erwin memberikan cadangan.

“Benar juga,” Dimas mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon bimbit Hani.

“Bang, dari tadi saya tengok dua orang Indonesia tu asyik tengok ke rumah kita aja. Jangan-jangan dia orang tu ada niat tak baik tak?” Puan Rohana berasa curiga melihat kelakuan dua orang lelaki asing itu.

Encik Mustaqim turut memerhatikan gerak geri lelaki yang diperkatakan oleh isterinya itu. Kedua-dua lelaki Indonesia itu kelihatan melihat-lihat ke rumah mereka. Seketika kemudian seorang gadis menghampiri mereka.

“Hani kenal ke dia orang tu?”

Encik Mustaqim dan Puan Rohana tertanya-tanya sendiri apabila melihat anak gadis mereka berbual mesra dengan kedua-dua lelaki Indonesia itu. Mereka saling berpandangan.

“Kau orang berdua aja ke? Mana yang lain?” soal Hani.

“Mereka lagi ada urusan,” jawab Erwin. “Wah Hani, kamu cantik sekali.”

“Terima kasih. Ini baru pengapit. Belum tengok pengantinnya lagi,” Hani tersipu mendengar pujian Erwin. “Kau orang duduk dulu ya. Aku ada kerja kat dalam.”

“Apalagi? Jom makan!” Erwin menarik tangan Dimas ke tempat makanan.

“Hani…”

“Ya, mak?” Hani menghampiri ibu dan ayahnya.

“Hani kenal ke dia orang tu?” soal Puan Rohana.

“Siapa?”

“Dua orang budak Indonesia tu,” ujar Puan Rohana.

“Owh… Dia orang tu kawan satu kolej dengan Hani. Dimas dan Erwin,” terang Hani. Takkan nak beritahu mama dan abah tentang hubungan aku dengan Dimas? Tak payahlah. Lagipun hubungan kita orang kan masih baru lagi.

“Kawan Hani?”

“Kenapa mak, bah?”

“Tak ada apa. Mak dengan abah ingat siapa tadi,” ujar Encik Mustaqim.

“Hani masuk dalam dululah, mak, bah. Tengok Kak Su,” Hani menghilang ke dalam.

“Hani pergi mana?” Suraya mendapatkan adiknya itu sebaik-baik saja Hani muncul di hadapannya.

“Hani jemput kawan Hani kat luar tadi,” Hani mengambil tempat di sebelah kakak kesayangannya itu.

“Kawan ke boyfriend?”

Hani tersipu.

“Haa…senyum senyum tu sahlah boyfriend.”

“Nanti Hani kenalkan dia dengan Kak Su ya.”

“Ok.”

“Kenapa Kak Su berpeluh ni?” soal Hani lalu mengambil sehelai tisu kemudian menekap peluh di muka Suraya. Dia tahu kakaknya itu gementar.

“Pengantin laki dah sampai!”

Hani dan Suraya saling berpandangan.

“Kak Su takutlah,” Suraya memegang tangan Hani. Hatinya berdebar-debar.

“Rilekslah, Kak Su,” Hani dapat merasakan debaran di hati Suraya. Hatinya bertambah sayu apabila melihat abang iparnya menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis kakak tunggalnya itu.

Setelah dua tahun bercinta, akhirnya Kak Su dan Abang Man sah menjadi suami isteri. Semoga perkahwinan mereka bahagia hingga ke akhir hayat. Doa Hani di dalam hati.


***


“Ada yang bisa aku bantu?”

Dia mengangkat muka melihat suara yang bertanya.

“Eh, Dim! Sorry, aku tak ada masa layan kau orang tadi.”

Dimas melabuhkan punggungnya di sebelah gadis itu. Puas dia mencari gadis itu. Rupa-rupanya di belakang. Cuci pinggan pula tu.

“Mari aku tolong,” Dimas mengambil span cuci pinggan daripada tangan Hani.

“Tak apalah,” Hani melarang Dimas. “Kau pergilah duduk di depan.”

“Tak apa,” Dimas berkeras mahu menolong. “Kamu pasti letih.”

Dari tadi dia lihat gadis itu tidak berhenti bekerja. Daripada pengapit, melayan tetamu dan sekarang mencuci pinggan.

Hani membiarkan saja Dimas mencuci pinggan-pinggan itu. Bolehlah dia berehat sekejap. Hani duduk memerhatikan Dimas.

“Bang, si Hani dengan budak Indonesia tu ada apa-apa ke? Bukan main mesra lagi saya tengok dia orang tu,” ujar Puan Rohana kepada suaminya.

“Kalau betul pun, kenapa?”

“Hish…Awak ni. Kalau betul, saya tak setuju. Awak nak ke anak kita bercinta dengan bangsa asing? Lagipun kita bukannya kenal budak tu. Entah dari mana datangnya,” ujar Puan Rohana tak puas hati.

“Kalau Hani dah suka, biarlah.”

“Saya tak setuju. Punyalah banyak lelaki kat Malaysia ni, kenapa budak Indonesia itu juga yang dia pilih?”

“Awak ni ke situ pula. Hani tu kan muda lagi. Baru nak masuk sembilan belas tahun. Bukannya dia nak kahwin esok. Biasalah budak-budak tengah meningkat remaja. Mestilah ada rasa nak bercinta.”

“Memanglah dia belum nak kahwin lagi. Tapi dalam bercinta pun banyak dugaannya. Budak-budak sekarang ni bukan macam zaman kita dulu. Budak-budak zaman sekarang kan mudah terikut dengan cara Barat. Bercium di khalayak ramai pun dia orang anggap perkara biasa. Saya takut budak laki tu beri pengaruh buruk pada Hani. Kalau Hani mengandung sebelum kahwin macam mana?”

“Takkanlah Hani nak buat macam tu?”

“Kalau budak laki tu paksa macam mana?”

“Hani tu kan dah besar. Dia tahu fikir yang mana baik dan yang mana buruk. Lagipun saya tengok budak laki tu tak adalah teruk sangat. Tak baik prejudis,” Encik Mustaqim melihat ke arah Dimas dan Hani.

Pada pandangannya, lelaki itu tak adalah teruk sangat. Dari segi luaran mungkin dia biasa saja tapi pasti ada sesuatu yang membuatkan Hani terpikat kepadanya.

“Saya tak kira. Saya tetap tak setuju Hani kawan dengan budak tu,” Puan Rohana melihat Hani dan Dimas. Dia tidak mahu anak gadisnya bercinta mahupun berkahwin dengan bangsa asing.

“Kau dah makan?” tanya Hani.

“Sudah,” jawab Dimas sambil tangannya tidak berhenti mencuci pinggan-pinggan yang kotor itu.

“Erwin mana?” Hani mencari kelibat Erwin.

“Kamu faham-faham ajalah si Erwin itu.”

“Dia ngorat awek ke?”

Dimas memandang Hani.

“Han, kenapa kamu tidak pernah menyebut tentang pekerjaan ayah dan ibu kamu?”

“Kau tak pernah tanya.”

“Tapi aku tak sangka keluarga kamu sekaya ini. Aku rasa kecil,” suara Dimas.

“Dim, kaya atau tidak keluarga aku tak ada kena mengena dengan hubungan kita kan? Lagipun yang kaya itu keluarga aku. Bukan aku.”

“Ya tapi…”

“Dim, kita cakap benda lain?”

Hani tidak mahu berbicara perihal keluarganya.

“Ok.”

“Hani?”

Hani menoleh. Dia terkejut melihat pemilik suara yang menyapa tadi. Dia? Macam mana pula dia boleh ada di sini?

“Arri?”

Mereka saling berpandangan. Masing-masing kaku. Tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Pertemuan itu seolah-olah menggamit memori silam yang pernah teruntai antara mereka berdua.

Kenapa dia muncul setelah aku hampir membuang wajah dan suaranya jauh dari dalam kotak kenangan aku? Kenapa hati aku masih berdebar-debar tatkala menatap wajahnya? Kenapa?

“Ma… Macam mana Arri… err… abang boleh ada di sini?” Hani cuba mengawal gelodak di dalam hatinya. Abang?

“Isteri abang kawan pengantin perempuan,” ujar Arri. Mungkin panggilan itu lebih sesuai. Sepatutnya dari dulu Hani memanggilnya dengan nama itu. Arri menjamah setiap inci wajah milik gadis di hadapannya itu. Dia semakin cantik dan lebih feminin berbanding Hani yang dulu. Dia juga sudah pandai berdandan.

“Pengantin perempuan tu kakak Hani,” ujar Hani. Arri juga semakin tampan. Nampak lebih dewasa.

“Suraya tu kakak Hani?”

Ya tak ya. Macam mana dia boleh tak terfikir. Yasmin Suraya dan Yasmin Hani. Bukankah nama itu hampir serupa? Betapa keciknya dunia.

Tiba-tiba Hani teringat akan Dimas.

“Oh ya. Dim, ini Arri,” Hani memperkenalkan Arri kepada Dimas. Dimas dan Arri berjabat tangan.

“Dimas,” Dimas memperkenalkan diri. Arri? Dimas memerhatikan Arri dari hujung rambut ke hujung kasut. Inilah bekas teman lelaki Hani. Boleh tahan juga.

“Mana isteri abang?” soal Hani. Dia tahu dia harus menerima kenyataan bahawa lelaki itu telah menjadi milik perempuan lain.

“Bang….” Seorang wanita yang berbadan dua memaut lengan Arri manja.

“Ini Dila, isteri abang. Tak apalah, Hani. Abang dengan Kak Dila masuk dulu. Jumpa Suraya dan Rahman,” Arri dan Dila meminta diri.

“Jadi itulah Arri?”

Hani tersentak kemudian menggangguk.

“Kacak juga,” Dimas sengaja mahu menduga reaksi Hani.

“Siapa kata dia hodoh?” Hani melabuhkan punggungnya ke kerusi semula. Perasaannya berbaur. Wajah itu seakan-akan menggamit memori silamnya.

Sangkanya itu hanya sementara. Namun bayangan wajah itu sering menghantui mimpi-mimpinya sejak akhir-akhir ini.

Kenapa aku sukar membuang jauh wajah itu dari kotak fikiran aku?

Tiada ulasan: