Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 17, 2008

Cinta Yang Aku Mahu 21

“Gee, kau kata tadi nak beli Maggi. Kat kedai buku ni ada jual Maggi ke?” marah Eisya. Sejak bila pulak Kedai Buku Baka ni ada jual Maggi?

“Ala…bagilah aku peluang nak tengok pujaan hati aku kejap. Lagipun kalau nak pergi koperasi pun kena lalu sini jugak,” ujar Fauziah separuh berbisik sambil matanya tidak lepas menatap wajah lelaki yang sedang menjaga kaunter di kedai buku itu.

Wajah itu sentiasa mengukir senyuman. Air mukanya juga tenang sahaja. Nampak macam orang yang baik-baik dan alim. Pendek kata, sejuk mata memandang. Dek kerana itulah hati Fauziah terpaut. Jika sehari tak melihat senyuman itu pasti hatinya tidak tenteram.

“Ala…kau ni memang sengaja kan. Bukannya tak boleh ikut jalan lain,” Eisya juga mengakui yang senyuman lelaki itu memang memikat namun dia sendiri tak adalah sampai gila bayang macam Fauziah. Tambahan pula, dia bukan jenis orang yang mudah jatuh cinta.

“Kau memang kawan yang memahami, Sya.... Ni yang buat aku sayang sangat kat kau ni,” Fauziah cuba mengambil hati Eisya.

“Yalah tu.”

Fauziah tersengih namun sejujurnya dia berasa sangat beruntung mengenali Eisya. Eisya baginya seorang sahabat yang memahami dan setia. Walaupun ada kalanya Eisya tidak suka akan sesuatu perkara namun Eisya tetap tidak keberatan melakukannya demi dia. Eisya sanggup mengorbankan perasaannya semata-mata untuk sahabatnya.

“Jom,” Fauziah sudah puas hati dapat melihat senyuman yang telah memikat hatinya itu namun Eisya pula yang tidak mahu berganjak. “Sya…”

Fauziah melihat ke arah yang dilihat oleh Eisya. Di gerai yang bersebelahan dengan kedai buku itu, suatu pasangan kelihatan sedang berbual-bual mesra macam kekasih.

“Siapa tu, Sya?” tanya Fauziah.

“Fazren dengan Nabila,” balas Eisya.

“Siapa? Budak batch kau?”

“Kalau kau nak tahu, yang lelaki tu ex-boyfriend Syella dan yang perempuan tu ex-girlfriend Irwan,” Eisya rasa meluat melihat gelagat Fazren dan Nabila. Betapa mudahnya mereka mendapat ganti. Begitulah perangai bebudak sekarang. Ada ataupun tiada cinta sudah tidak penting bagi mereka.

Daripada pemerhatiannya, kebanyakan kawan-kawannya yang bercinta bukanlah ikhlas menyayangi pasangan mereka sebaliknya masing-masing hanya memanfaatkan antara satu sama lain. Misalnya dalam soal pelajaran ataupun sekadar mahu menumpang kesenangan pasangan mereka.

Ada pula yang seolah-olah tidak dapat hidup tanpa insan yang bergelar kekasih. Alasannya sunyi. Sunyilah konon! Habis masa kecik-kecik dulu, kau ada kekasih ke? Sunyi ke hidup kau? Eisya mengeluh. Fenomena yang sedang menular itu membuatkannya keliru.

Apa itu cinta? Kenapa harus ada cinta? Ada apa dengan cinta? Ketiga-tiga persoalan inilah yang sering bermain-main di benaknya. Selagi dia belum menemui jawapan untuk persoalan itu, selagi itu dia tahu yang dia belum jatuh cinta. Eisya percaya dia akan menemui jawapan kepada persoalan itu apabila dia sudah menemui lelaki yang tepat untuknya.

Dan kini walaupun dia menyukai Danish namun itu masih belum dapat mengungkai persoalan-persoalan itu apatah lagi Irwan.

“Kadang-kadang aku rasa kagum dengan budak Mass Comm ni.”

“Kenapa pulak?” Eisya memandang Fauziah. Tidak mengerti. Aku tahulah bebudak Mass Comm ni happening tapi apa yang nak dikagumkan?

“Yalah, semester ni couple dengan orang lain, semester depan couple dengan orang lain pulak. Macam manalah dia orang berdepan dengan ex masing-masing ek? Lebih-lebih lagi yang sama kelas.”

UiTM ni bukannya besar sangat pun. Pusing-pusing, jumpa muka tu jugak. Tak boleh lari ke mana.

“Lantak dia oranglah. Yang kau sibuk-sibuk kenapa? Budak batch kau tak ada yang couple sesama sendiri ke?”

“Ada tapi tak adalah banyak macam budak Mass Comm.”

“Nak buat macam mana? Hati dah berkenan kat kawan sendiri.”

“Macam kau dengan Danish?”

“Kenapa pulak aku dengan Danish?”

“Sya, sekarang kan kau dah tak ada apa-apa dengan Irwan. So, kau tak nak ke berterus-terang dengan Danish?”

“Entahlah. Aku cuma takut aku aja yang bertepuk sebelah tangan.”

“Kalau kau tak tanya dia sampai bila pun kau takkan dapat jawapan.”

“Amboi, dah pandai nasihat orang. Yang kau dengan Abang Baka tu apa cerita?”

“Aku dengan Abang Baka tu lain. Dia tak kenal aku.”

“Tapi kalau dah hari-hari kau pergi kedai dia aku rasa mestilah dia cam kau. Budak yang selalu beli kertas A4 warna…” Eisya tertawa.

Tiada ulasan: