Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 24, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 33

“Hani ni memang sengaja tak nak jawab panggilan saya. Setiap kali saya telefon dia, mesti tak berjawab,” Puan Rohana mengadu kepada suaminya perihal anak bongsu mereka.

“Apa yang awak risaukan sangat? Hani tu dah besar. Tahulah dia jaga diri,” balas Encik Mustaqim.

“Abang, kalau Hani tu lelaki saya tak kisah tapi Hani tu perempuan. Macam-macam boleh terjadi. Saya tak fahamlah dengan si Hani tu. Entah apalah yang difikirkan. Kalau dia pergi rumah Suraya, tak adalah saya risaukan sangat. Ni sampai ke Jakarta dia bawa diri. Abang tahu ajalah macam mana orang-orang kat sana. Eee…kalau dia kahwin dengan si Syukri tu kan senang. Gaji pun besar. Cakap aja nak pergi mana. Bukan setakat Jakarta, London pun si Syukri tu boleh bawa dia,” ujar Puan Rohana.

Dia memang berkenan dengan budak Syukri tu. Penampilannya kemas, kerjayanya mantap, hormat orang tua, pandai ambil hati dan yang paling penting Syukri sangat mengambil berat perihal anaknya.

“Awak ni tak habis-habis nak suruh dia kahwin. Tengok sekarang apa dah jadi? Kan dah lari budak tu. Ini semua salah awak tau,” Encik Mustaqim menyalahkan sikap isterinya yang terlalu mendesak itu. Kerana tidak tahan dengan desakan itu, Hani mengikut temannya bercuti ke Jakarta.

“Eh, saya pula?”

“Yalah, kalau bukan awak yang paksa dia kahwin, dia takkan ke mana-mana. Cubalah awak ambil tahu perasaan dia sikit. Lagipun soal kahwin ni bukannya boleh dipaksa-paksa. Manalah tahu kalau-kalau si Hani tu dah ada pilihan sendiri.”

“Apa bang? Si Hani dah ada pilihan sendiri? Dia bagi tahu abang ke? Siapa budak tu? Kerja apa?”

“Hish, awak ni. Saya cuma cakap aja. Mesti dia ada sebab kenapa dia tak nak kahwin sekarang. Lagipun kariernya kan baru aja bermula. Mestilah dia nak tumpukan pada kariernya dulu.“

“Ala, buat apa nak difikirkan sangat benda-benda tu? Bila dia dah kahwin nanti, duduk dapur juga kerjanya.”

“Itulah awak. Kalau si Hani tu nak duduk dapur aja, buat apa dia belajar tinggi-tinggi dulu? Dahlah, malas saya nak cakap dengan awak. Baik saya layan TV ni.”

“Awak ni memang tak risaukan anak. Baik saya telefon Suraya,” Puan Rohana segera menghubungi telefon rumah Suraya di Shah Alam. “Su, Hani dah balik Malaysia ke belum? Dari semalam mak telefon tapi Hani tak jawab. Dia ada telefon Su?”

“Dia ada kat rumah Su ni. Baru aja balik semalam. Tengah tidur lagi. Penat sangat agaknya,” ujar Suraya agar ibunya tidak bimbang.

“Tak apalah. Mak ingat dia ada apa-apa. Nanti bila dia dah bangun, Su bagi tahu yang mak telefon ya,” pesan Puan Rohana.

“Baiklah, mak,” Suraya meletakkan gagang apabila suaminya muncul.

“Siapa pula yang telefon pagi-pagi ni?” soal Rahman.

“Mak...” balas Suraya.

“Pasal Hani lagi?” teka Rahman.

Suraya mengangguk.

“Mak tu terlalu memikirkan sangat pasal si Hani. Abang rasa mak patut biar aja si Hani tu cari teman hidup dia sendiri. Bukannya tak ada orang yang nak kat dia,” ujar Rahman.

“Memanglah tapi si Hani tu memilih orangnya.”

“Apa salahnya dia memilih? Kahwin ni bukannya untuk suka-suka.”

“Entahlah, bang. Saya pun dah tak tahu nak cakap. Hani tu degil orangnya.”

“Biarlah dia tentukan sendiri hidup dia.”

“Abang nak sarapan?”

“Kalau isteri abang yang masak, mestilah abang nak makan. Su masak apa hari ni?”

“Biasa aja. Mi goreng.”

“Sedap tu.”

“Jom,” Suraya mengiringi suaminya ke meja makan.

Rahman terliur melihat mi goreng yang terhidang di meja makan. Walaupun hanya mi goreng, dia tahu apa saja masakan Suraya pasti membuka seleranya. Suraya menyenduk mi goreng ke pinggan Rahman.

“Shahira tak bangun lagi ke, Su?” soal Rahman sebelum menyuap mi goreng ke mulut.

“Belum,” jawab Suraya.

“Hani?”

“Hani pun tak bangun lagi. Penat agaknya. Yalah, Jakarta tu bukannya dekat.”

“Pukul berapa dia balik semalam?”

“Pukul 10.”

“Mama….” Seorang anak kecil menghampiri mereka.

“Eh, anak mama dah bangun? Dah basuh muka?”

Shahira menggangguk.

“Meh duduk sini. Makan dengan mama dan papa.”

Shahira menarik kerusi di sebelah Suraya. Suraya mengisi mi goreng ke pinggan Shahira.

“Ma, mak su dah balik ke belum?” tanya Shahira.

“Dah. Mak su ada kat bilik. Tidur lagi.”

“Su, abang pergi kerja dululah. Nanti lambat pula,” Rahman melihat jam di tangannya.

“Abang nak pergi dah? Kan awal lagi?”

“Abang ada mesyuarat penting hari ni. Abang nak buat preparation sikit,” terang Rahman. Memang sejak dinaikkan pangkat, dia semakin sibuk. Kerjanya semakin bertambah.

“Shira, salam papa,” ujar Suraya. Shahira menurut.

“Papa pergi kerja dulu ya, sayang,” Rahman mencium dahi anak tunggalnya itu.

“Shira, Shira makan dulu ya. Mama nak hantar papa,” Suraya menghantar suaminya hingga ke pintu. “Baik-baik bawa kereta, bang,” Suraya mengucup tangan suaminya.

“Yalah. Abang pergi dulu.”

Suraya kembali ke meja makan setelah kereta yang dipandu oleh suaminya hilang dari pandangan matanya.

Seketika kemudian, Hani muncul dari dalam.

“Haa…Hani dah bangun? Makan?” pelawa Suraya. Hani melabuhkan punggung bertentangan dengan anak buahnya. Suraya menuangkan minuman ke dalam cawan Hani.

“Terima kasih, kak,” Hani menjamah minuman itu. “Abang Man mana, kak?”

“Dia dah pergi kerja,” balas Suraya. “Lama Hani tidur. Lena ke tidur semalam?”

“Bolehlah. Kak Su tak kerja ke hari ni?”

“Kak Su cuti hari ni,” Suraya memandang Hani. “Hani, pagi tadi mak telefon lagi. Mak tanya bila Hani nak balik sana?”

“Hani akan balik kalau mak berhenti carikan Hani jodoh,” tegas Hani.

“Apa yang kurang pada si Syukri tu? Sekolah tinggi. Kerja pun bagus. Apalagi yang Hani nak?” Tanya Suraya.

“Hani belum bersedia nak kahwinlah, Kak Su,” Hani memberi alasan.

“Hani belum bersedia ataupun Hani masih harapkan lelaki Jodja tu?” duga Suraya. Hani tersentak. “Sudahlah, Hani. Lupakan aja budak tu. Entah dia masih ingat atau tak kat Hani. Entah-entah dia dah beranak pinak pun kat sana. Hani tu bukannya muda lagi. Dah 26 tahun. Dah sesuai untuk berkahwin dan berkeluarga.”

“Kak Su ni sama aja macam mama. Bukan Hani tak nak kahwin tapi Hani tak rasa nak kahwin lagi. Mungkin belum sampai seru.”

“Ada saja jawapannya. Kak Su dah tak laratlah, Hani. Mak tu dah banyak kali telefon Kak Su kat pejabat. Tanya bila Hani nak balik. Sekarang Kak Su tak nak campur lagi dah. Hani cakaplah sendiri dengan mak,” ujar Suraya. Dia sudah malas nak jadi orang tengah lagi.

“Yalah. Nanti Hani cakap dengan mak.”

“Mak su nak kahwin ke? Maknanya Shira akan dapat ayah sulah?” celah Shahira. Hani dan Suraya saling berpandangan.

“Budak ni. Shira tahu ke kahwin tu apa?” uji Hani.

“Tahu,” jawab Shahira.

“Apa makna kahwin tu?”

“Kahwin tu macam orang lelaki dengan perempuan duduk sebelah atas kerusi tu kan?” Shahira bertanya Hani kembali.

Hani dan Suraya tergelak mendengar jawapan kanak-kanak berusia lima tahun itu. Walaupun masih kecik, Shahira petah berkata-kata.

“Mak su, mak su ada beli apa-apa hadiah untuk Shira tak dari Jakarta?”

“Tak adalah, Shira. Mak su terlupa,” Hani sengaja menduga.

“Ala…” Shahira menarik muncung kecewa.

Hani tersengih melihat kelakuan Shahira.

“Adalah.”

“Betul ke? Mak su beli apa untuk Shira?”

“Jom ikut mak su ke bilik,” Hani memimpin tangan Shahira ke biliknya.


***


“Ok, itu saja untuk hari ini. Kita jumpa lagi minggu depan pada waktu dan hari yang sama dengan cerita yang lebih panas. Bye-bye,” Hani menamatkan program siaran langsung itu.

Hani kini adalah pengacara sebuah program hiburan di Astro Ria. Sebuah program hiburan yang khusus menyajikan berita-berita hiburan tempatan.

“Cut! Ok. Hani, ni artis kita nak interview minggu depan. You buatlah study sikit,” pengarah program itu menyerahkan sedikit informasi tentang artis yang akan ditemubual pada siaran minggu hadapan.

“Ok. Thanks.”

“Hani…” seorang krew menunjuk ke suatu arah. Hani memandang ke arah yang dimaksudkan. Seorang lelaki tersenyum kepada Hani lalu menghampirinya.

“You buat apa kat sini?” tanya Hani.

“I nak ajak you makan.”

“Ok. Kejap I ambil beg.”

Hani dan lelaki itu menikmati makan malam di sebuah restoran berhampiran kerana Hani tidak mahu pergi jauh-jauh.

“Dah banyak kali I telefon you masa you kat Jakarta. Tapi you tak jawab,” lelaki itu memulakan perbualan.

“Ya ke?” Hani pura-pura bertanya padahal dia sudah tahu. Memang dia sengaja tidak mahu menjawab panggilan daripada lelaki itu. Dia benar-benar tidak mahu diganggu pada waktu itu.

“Hani, kita kan dah lama kawan. Takkan you tak faham isi hati I lagi?

“Syuk, please. I tak nak cakap pasal ni ok?” balas Hani. Sudahlah desakan ibunya supaya dia berkahwin menekan perasaannya. Ditambah lagi sikap Syukri yang tidak pernah berhenti mahukan kata putus tentang hubungan mereka berdua.

“Hani…”

“Kalau you nak cakap pasal benda ni, I balik,” Hani bangkit untuk berlalu namun dihalang oleh Syukri.

“Hani, jangan. Ok. I tak cakap. Duduk.”

Hani kembali duduk.

“Baiklah, I mengaku I terlalu mendesak you. Tapi I lakukan ini semua kerana I sayangkan you. I tak sanggup tengok you disambar lelaki lain.”

“Kan I dah cakap. I tak nak fikirkan benda ni sekarang. I nak fokus pada karier I dulu. Lagipun buat apa you nak risau? Kalau dah jodoh insyaAllah tak ke mana.”
Selepas makan, Syukri menghantar Hani ke keretanya.

“I balik dulu. Terima kasih sebab belanja I makan tadi,” ucap Hani.

“Tak ada apalah.”

“Malam!” Hani baru saja hendak menutup pintu kereta apabila Syukri menahannya.

“Hani…”

“Apa dia?”

“Selagi you belum jadi milik sesiapa, I akan tetap tunggu you,” janji Syukri.

“Syukri, jangan buang masa you sebab I,” ujar Hani. Dia tidak mahu memberi harapan kepada Syukri. Hatinya memang tidak ada ruang untuk lelaki itu.

“I akan tunggu you,” Syukri mengulangi janjinya. Dia mahu Hani tahu dia serius dan tetap akan menantinya.

“I balik dulu,” Hani segera menutup pintu keretanya. Dia tidak mahu lagi mendengar janji-janji manis Syukri. Tak guna bercakap dengan orang yang tak faham bahasa Melayu.


***


Hani memetik suis radio sebaik-baik saja dia menapak di kamar tidurnya. Dia melabuhkan punggung ke katil. Dia termenung mengingati kata-kata Syukri tadi. Selama ini dia hanya mengganggap Syukri sebagai bosnya. Mampukah dia menerima Syukri sebagai kekasih?

Selepas tamat pengajian, Farra mengajaknya menghadiri temuduga kerja sebagai pengacara televisyen di stesen televisyen itu. Pada mulanya Hani enggan. Namun memandangkan ketika itu dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan, dia akur juga setelah didesak berulang kali oleh Farra. Nasibnya baik apabila dia terpilih tetapi malang bagi Farra kerana tidak terpilih.

Namun begitu, Farra tidak jemu-jemu memberikan semangat dan peransang kepadanya sehinggalah dia mengecapi populariti pada hari ini. Siapa sangka orang yang pendiam dan pemalu sepertinya bisa menjadi pengacara TV di sebuah stesen TV yang popular. Di sebalik semua ini, Hani sedar Syukri juga berperanan besar dalam membawa namanya ke peringkat sekarang.

Atas kepercayaan Syukri, dia diberi peluang untuk mengacarakan sebuah program baru di stesen TV itu. Tanpa disangka, program itu mendapat rating yang tinggi sejak pertama kali disiarkan. Dia juga berusaha memperbaiki kelemahan dirinya. Syukri juga banyak membantunya membina keyakinan diri.

Mana mungkin dia tidak menyukai Syukri. Lelaki itu memang terlalu baik kepadanya. Walaupun Syukri bosnya namun Syukri tidak pernah bermegah dengan pangkatnya. Semua pekerjanya dilayan seperti kawan. Mungkin disebabkan itu, Hani selesa bekerja di situ. Melihatkan itu, Hani mengganggap kebaikan dan keprihatinan Syukri hanya sekadar bos dan pekerja.

Namun suatu hari, Syukri membawanya menikmati makan malam yang indah di sebuah restoran dan meluahkan perasaan cintanya. Dia akui malam itu memang saat yang paling indah dalam hidupnya. Namun semua itu tidak menjamin nama itu untuk melekat di hatinya. Entah kenapa dia berasa sulit untuk menerima lelaki itu.

Mungkin cakap Kak Su betul. Apakah aku masih mengharap pada Dimas? Sejak akhir-akhir ini, wajah Dimas sering muncul dalam mimpinya. Oh Tuhan, berilah aku petunjuk. Apakah aku harus terus menunggu ataupun membuka hatiku untuk yang lain?
Hani melepaskan keluhan. Seketika kemudian, Hani mencapai tuala mandi yang tersangkut di penyidai lalu melangkah ke bilik mandi. Seluruh badannya terasa melekit.

Tatkala Hani mandi, juruhebah radio itu mengumumkan berita kedatangan kumpulan muzik nombor satu Indonesia ke Malaysia tidak berapa lama lagi. Mereka bakal datang bagi mempromosikan album terbaru mereka di Malaysia.

“Kumpulan yang terdiri daripada lima anak muda ini iaitu Dimas, Erwin, Sukry, Armand dan Andin akan berada di Kuala Lumpur sekitar satu minggu. Jadi, kepada anda yang meminati kumpulan ini, jangan lepaskan peluang bertemu dengan mereka. Jadi, untuk mengetahui bila dan di mana mereka akan berada, terus setia bersama kami ok? Dan bagi merasakan kehangatan kedatangan mereka, kita dengarkan lagu popular mereka, Honey."

Tiada ulasan: