Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 21, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 30

“Hee…mana Dim ni? Ambil barang ke buat barang!” Hani mengerling jam di tangannya. Dah hampir setengah jam Dimas pergi.

Hani mula hilang sabar lantas mengambil keputusan untuk menjenguk Dimas di kelasnya. Hani melangkah menaiki tangga mencari kelas Dimas. Keadaan di situ sunyi. Hani melihat nombor bilik yang tertera di pintunya.

Inilah biliknya. Setelah yakin itu bilik yang diberitahu oleh Dimas tadi, Hani menguak pintunya. Alangkah terkejutnya Hani melihat dua insan di dalam bilik tersebut. Sang lelaki memeluk sang perempuan sambil memujuk. Hani kaku di situ. Terasa ingin saja dia meninggalkan tempat itu. Entah kenapa kakinya seolah-olah melekat di lantai.

Sang lelaki yang menyedari akan kehadiran Hani terkejut melihat Hani. Hani cuba mengumpul kekuatan dan melangkah meninggalkan tempat itu.

“Han…” Sang lelaki meleraikan pelukan sang perempuan lalu segera mengejar Hani. “Han, dengar dulu!”

Hani terus berlalu. Panggilan lelaki itu langsung tidak diendahkannya. Hani menyorok di sebalik dinding dan menangis semahu-mahunya. Sanggup kau buat aku macam ni? Sia-sia aku curahkan semuanya pada kau. Lelaki semuanya sama saja!

Patutlah sejak akhir-akhir ini, dia berperangai aneh. Selalu dapat mesej. Bila ditanya katanya tak ada siapa-siapa. Rupa-rupanya ada perempuan lain.

Tumpuan Farra terhadap tugasannya di depan komputer terganggu ekoran pintu biliknya dihempas. Farra melihat ke arah pintu. Hani meluru masuk tanpa mempedulikan Farra. Hani melempar begnya lalu menyembam diri ke katil. Tangisannya masih bersedu. Farra terpinga-pinga melihat kelakuan Hani.

“Hani, kenapa ni? Kenapa kau menangis?”

Hani masih menangis. Deringan telefon bimbitnya tidak dihiraukan. Hatinya sakit.

“Kenapa Dim?” soal Erwin melihat Dimas dari tadi asyik menelefon namun tidak pula bercakap. Temannya itu kelihatan gusar.

“Hani.”

“Kenapa dengan Hani?”

“Gue…” Dimas memandang Erwin lalu menceritakan segala-galanya.

“Lin, kamu kenapa? Kok menangis?”

Gadis itu masih tersesak-esak. Pertanyaan lelaki itu dibiarkan tanpa jawapan.

“Lin…”

Dimas cuba memujuk. Tak semena-mena gadis itu memeluknya. Dimas kaget. Tidak tahu berbuat apa. Namun dibiarkan saja si gadis melepaskan kesedihannya. Dan tatkala dia sedang menenangkan tangisan gadis itu, Hani muncul.

“Dan dia nampak elo sama Linda?” teka Erwin.

Dimas hanya menggangguk.

“Gue enggak tahu mahu buat apa sekarang. Dah puas gue telefon Hani tapi dia enggak ngangkat,” adu Dimas.

“Elo fikir setelah apa yang berlaku dia mahu menjawab panggilan elo?”

Dimas memandang Erwin.

“Lelaki dan perempuan berpelukan sambil memujuk. Elo rasa apa yang orang lain akan fikir? Biarlah Hani bertenang dulu. Bila marahnya dah kurang baru elo bicara dengan dia,” ujar Erwin.

Mungkin betul apa yang dikatakan oleh Erwin. Aku harus biarkan dia bertenang dulu. Tapi sampai kapan? Dia pasti marah banget.

“Macam mana aku tak marah, Far? Aku nampak sendiri dia berpelukan dengan Linda,” Hani menceritakan keadaan yang sebenar kepada Farra setelah tangisannya reda sedikit.

“Sabar, Hani. Mungkin ini hanya salah faham,” ujar Farra.

“Salah faham? Aku nampak sendiri. Kalau aku tak datang tadi, mungkin sampai bila-bila pun aku takkan tahu yang dia orang tu ada hubungan,” Hani kembali menangis. Perasaannya berbaur. Marah, sakit, sedih, benci.

Farra memeluk Hani. Hani menangis di bahu Farra.


***


“Hani, telefon tu,” Farra menegur Hani yang hanya membiarkan telefon bimbitnya itu bergegar tanpa dijawab.

“Biarlah!” Hani tekun menulis tanpa menghiraukan deringan tersebut. Buku-buku di hadapannya diteliti.

Telefon tersebut masih bergegar. Farra geram melihat sikap tidak peduli Hani lalu mengambil telefon tersebut dan menjawabnya.

“Hello. Hmm… kat perpustakaan. Hmm…”

Hani dan Farra berpandangan.

“Kenapa kau beritahu dia yang kita ada kat sini?” Hani sedikit marah dengan tindakan sahabatnya itu.

“Mana tahu dia nak terangkan perkara sebenar. Dengarlah penjelasan dia dulu,” pujuk Farra.

“Tak ada maknanya!” Hani mengemas buku-bukunya.

“Kau nak pergi mana pula?”

“Aku tak nak jumpa dia,” Hani bangkit lalu menghilang. Farra hanya menggeleng melihat sikap Hani.

Di pintu keluar perpustakaan, Hani bertembung dengan Dimas. Dimas segera mendapatkan Hani.

“Han, dengar dulu penjelasan aku,” pujuk Dimas.

“Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa!” Hani tidak mengendahkan Dimas.

“Han…”

Dimas memandang Farra.

“Far, kamu mesti tolong aku. Perkara ini bukan seperti yang Hani sangkakan,” Dimas cuba mendapatkan kepercayaan Farra pula.

“Bukan aku tak nak tolong. Tapi kau tahu ajalah si Hani tu. Degil,” balas Farra.

Dimas mengeluh. Terasa sukar baginya untuk merebut keyakinan Hani pada saat ini memandangkan Hani sering mengelak daripadanya. Telefonnya tidak dijawab dan jika bertembung di tengah jalan, Hani akan segera berlalu.

Perkara ini menghantui dirinya. Sememangnya Hani gadis yang amat keras kepala. Tapi dia tahu dia tidak boleh berputus asa dalam mengembalikan semula kepercayaan Hani terhadap dirinya.


***


Hani leka di biliknya. Buku-buku bertaburan di atas katilnya. Hani sengaja menyibukkan dirinya untuk melupakan segala kenangannya bersama Dimas. Sedang dia asyik dengan kerjanya, telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. Hani mencari-cari telefon bimbitnya.

“Mana pula telefon ni?” rungut Hani sendirian. Hani mengangkat buku-buku yang bertaburan itu.

“Erwin?” Hani tertanya sendiri melihat nama yang tertera di skrin telefonnya. Namun persoalannya terjawab apabila Erwin memberitahunya bahawa dia mahu berjumpa dengannya.

Tanpa sebarang syak wasangka, Hani ke tempat yang diberitahu oleh Erwin. Perkara penting katanya. Perkara penting apa agaknya? Fikir Hani.

Hani melihat jam di tangannya. Sudah hampir lima minit berlalu namun bayang Erwin masih belum kelihatan. Hani paling tidak suka orang yang tidak menepati janji. Namun dia masih boleh bersabar. Setiap orang yang melalui kawasan tersebut diperhati. Namun hampa.

“Mana pula si Erwin ni?” Baru saja Hani hendak mengeluarkan telefon bimbitnya suatu suara menyapanya.

“Han...”

Hani kenal akan pemiliknya. Hani mula rasa tertipu. Hani segera bangkit ingin meninggalkan tempat tersebut. Mendengar suaranya saja sudah membuatkan hatinya benci apatah lagi menatap wajahnya.

“Han, nanti dulu. Dengarlah penjelasan aku dulu,” Dimas menghalang langkah Hani.

“Nak jelaskan apa lagi? Bukan ke segala-galanya sudah jelas?”

“Tapi semua ini bukan seperti yang kamu sangkakan. Aku dengan Linda tidak ada apa-apa. Kami cuma berteman,” Dimas sedaya upaya meyakinkan Hani. Dia tidak mahu hal tersebut berlarutan. “Ok. Benar hari itu aku ke kelas untuk mengambil barang. Masa aku masuk kelas, aku nampak Linda menangis. Jadi aku cuba tenangkan dia. Tapi aku tidak menyangka yang dia akan melakukan seperti itu,” terang Dimas panjang lebar. “Han, cubalah mengerti.”

“Sudahlah, Dim. Kalau kau fikir aku akan percaya cerita kau, kau silap Dim. Kau silap. Aku takkan percayakan kau lagi.”

“Han,…”

“Dim, aku tak marah kalau kau menemukan orang yang lebih baik daripada aku untuk jadi teman istimewa kau. Tapi sekurang-kurangnya kau harus berterus-terang dengan aku,” Hani mula sebak. “Aku rasa sampai setakat ini saja hubungan kita…”

“Tidak, Han!” Dimas segera memeluk Hani. “Tolong jangan melakukan ini kepada aku. Aku tidak mahu kehilangan kamu. Aku sayangkan kamu, Han. Sayang sekali.”

Buat seketika Hani berasa bahagia dalam dakapan Dimas. Namun hati kecilnya cepat tersedar. Hani sedar dia tidak boleh terlalu cepat mempercayai kata-kata Dimas. Pengalamannya yang lalu sudah cukup mengajarnya. Perlahan-lahan dia meleraikan pelukan Dimas.

“Han, maafkan aku.”

“Aku tak tahulah, Dim. Aku tak dapat terima semua ini. Aku tak sanggup. Lebih baik kita jangan jumpa buat sementara waktu,” ujar Hani walaupun sebenarnya dia masih menyayangi lelaki di hadapannya itu.

“Baiklah kalau kamu rasa ini baik untuk hubungan kita. Tapi aku masih berharap agar hubungan kita akan kembali seperti dulu.”


***


Sebuah kereta Sport merah berhenti di hadapannya. Hani menjenguk ke dalam perut kereta itu.

“Nak pergi mana?” soal pemandunya.

“Nak balik asrama.”

“Saya hantarkan?” pelawanya.

“Eh, tak apalah! Saya naik bas aja,” Hani cuba menolak pelawaan itu.

“Ala, marilah.” Si pemandu membukakan pintu. Untuk tidak menghampakan si pemandu, Hani menerima pelawaan itu.

Dimas berasa tidak senang melihat Hani menumpang kereta itu. Hatinya gusar sekiranya kasih Hani beralih arah. Tambahan pula dia tahu Shah menaruh hati kepada Hani.

Macam mana kalau Shah mengambil kesempatan ini untuk memenangi hati Hani? Ah, apa yang harus aku lakukan! Aku tak sanggup menghadapinya. Kenapa hubungan aku dengan Hani selalu saja diuji?

“Dim!” Panggilan Armand menyertakan lamunan Dimas.

“Elo kenapa?” soal Armand.

“Entah. Dari tadi diam saja,” Sukry turut merasai perubahan pada diri sahabatnya itu.

“Tak ada apa.”

“Dim, mana Hani? Sudah lama rasanya kita tidak berjumpanya,” ujar Armand.

Dimas tidak tahu alasan apa yang hendak diberikan kepada mereka. Fikirannya buntu. Lebih-lebih lagi apabila melihat Hani bersama Shah sebentar tadi.

“Dia kan sibuk dengan kuliahnya,” bohong Erwin apabila melihat keresahan di wajah Dimas.

“Ya, dia kata tak lama lagi dia mahu ujian,” Dimas mengiyakan kata-kata Erwin.
Hanya Erwin yang mengetahui akan ketegangannya dengan Hani. Oleh sebab itu, Erwinlah satu-satunya yang boleh diharapkannya pada saat itu.


***


“Kenapa kita berhenti kat sini?” Hani memandang bangunan tersebut.

“Saya rasa lapar. Kita makan dulu?” Shah sengaja mencari alasan untuk bersama Hani.

“Tapi saya tak lapar,” tegas Hani.

“Ala…temankanlah saya makan sekejap,” Shah keluar dari kereta tanpa menunggu jawapan Hani. Sekelip mata saja dia telah berada di sebelah Hani dan membukakan pintu kereta untuk gadis itu.

Hani dalam dilema. Kenapa pula aku kena makan dengan dia? Menyesal aku terima pelawaan dia tadi.

“Jomlah,” ujar Shah penuh berharap.

Mahu tak mahu, Hani terpaksa akur. Dia mengikut Shah ke dalam restoran tersebut. Shah menarik kerusi untuk Hani.

“Terima kasih,” Hani terasa janggal dilayan sebegitu. Dimas pun tak pernah buat macam ni. Hani memandang orang-orang yang berkunjung ke situ. Semuanya nampak macam orang kaya.

“Awak nak makan apa?” Shah melihat menu yang diberi oleh pelayan restoran itu.

“Awak ajalah yang makan. Saya tak lapar,” Hani turut melihat menu tersebut. Mahal gila makanan kat sini. Mana aku bawa duit lebih. Hani memandang Shah. Memang anak Tan Sri betul. Makan aja dah berpuluh-puluh ringgit sehari.

“Habis takkan saya nak makan sorang?”

Tadi dia juga yang mengadu lapar. Aku dah kata tak nak makan. Hani mengomel di dalam hati.

“Janganlah malu. Awak order aja apa yang awak nak. Saya belanja,” ujar Shah. Shah cuba menguji Hani. Sengaja dia bawa Hani ke situ. Untuk melihat reaksinya apabila dilimpahi dengan kemewahan. Adakah dia juga sama dengan gadis-gadis lain yang memandang wangnya?

Kau ingat aku terliur sangat ke dengan duit kau? Aku tak ingin satu sen pun duit kau tau!

“Tak apalah. Saya kenyang lagi,” Hani memberikan alasan. Dia tidak mahu terhutang budi dengan orang. Takut tak terbayar. Tambahan pula dia dan Shah baru saja berkenalan.

“Baiklah kalau awak tak nak makan. Tapi takkan tak nak minum?”

“Saya nak air tembikai ajalah,” jawab Hani.

Shah tertawa.

“Mana ada air tembikai kat restoran macam ni.”

“Takkan restoran besar macam ni tak ada air tembikai?”

“Tak ada. Tak apalah. Biar saya order kan,” Shah memesan dua set makanan tengah hari kepada pelayan restoran yang sedia menanti di situ.

“Banyaknya awak makan,” Hani terkejut apabila dua set makanan tengah hari tiba di meja mereka.

“Ini untuk awak. Saya belanja,” ujar Shah.

“Tapi kan saya dah cakap…”

“Saya ikhlas…” tegas Shah. Kini dia tahu Hani tidak seperti perempuan lain yang menggilai duitnya. Gadis di hadapannya ini nampak jujur.

Kenapa dia baik sangat dengan aku ni? Macam ada apa-apa aja. Baik aku berjaga-jaga. Ke betul kata Dimas hari tu? Dia cuba nak tackle aku. Tapi takkan orang biasa macam aku ni pun dia boleh terpikat? Lagipun bukannya dia tak tahu pasal hubungan aku dengan Dimas. Kau jangan perasanlah Hani. Entah-entah dia baik dengan kau sebab nak tackle kawan kau ke. Macam dalam drama kat TV tu. Tapi siapa kawan aku yang dia nak tackle? Farra?

“Hani…” Hani tersentak. “Kenapa tak makan? Awak takut saya letak apa-apa dalam makanan awak ya? Mana ada. Saya bukan orang macam tulah. Saya tak bubuh racun, estacy atau apa-apa pun kat makanan awak tu. Sumpah,” Shah mengangkat tangannya.

Ala…kalau buat pun mana ada orang nak mengaku. Tapi makanan ni nampak sedap. Orang kata rezeki jangan ditolak. Lagipun orang dah nak belanja.

Hani menjamah makanan di pinggannya.

“Macam mana? Sedap kan?” Shah gembira melihat Hani menjamah makanan itu.

“Sedap,” ujar Hani lalu menyua sesuap lagi. “Awak memang selalu makan kat sini ke?”

“Tak juga. Saya datang sini kalau ada benda yang istimewa aja,” jawab Shah.

“Jadi apa yang istimewanya hari ni? Hari jadi awak?” teka Hani.

“Taklah. Hari ni hari istimewa sebab saya dapat makan dengan awaklah,” seloroh Shah.

“Apa yang istimewanya makan dengan saya?”

“Awak tahu tak yang awak telah mencuri hati saya?” ujar Shah selamba. Memang dia seorang yang berterus-terang.

Hani terkedu. Degupan jantungnya seakan terhenti. Sudu di tangannya diletak. Seleranya terbantut. Dah mula dah. Relaks Hani. Relaks. Entah-entah dia saja nak main-main.

“Kali pertama saya tengok awak kat kafe, saya dah jatuh hati. Saya sendiri tak tahu kenapa saya jadi macam ni.”

“Tapi saya ni cuma biasa-biasa aja,” Hani cuba berlagak biasa. Dulu masa aku selekeh, kurang bergaul dengan orang, tak ada pun yang nak pandang. Dimas tu aja yang rabun. Sekarang bila aku dah pandai berdandan sikit, barulah ada orang nak perasan.

“Sebab tulah saya terpikat kat awak. Awak lain daripada yang lain.”

“Kenapa awak bagi tahu saya semua ni?”

“Saya nak awak jadi special girlfriend saya.”

“Jadi girlfriend awak? Awak kan tahu saya dah ada boyfriend. Awak pun kenal Dimas kan?”

Gila apa laki ni? Kalau Dimas tahu, apa reaksi dia? Marahkah dia? Cemburukah dia? Tapi kalau dia boleh buat dengan Linda, kenapa pula aku tak boleh? Tapi aku memang tak boleh. Cukuplah hal aku dengan Arri dulu. Itu pun Dimas masih sanggup maafkan aku.

“Selagi awak belum berkahwin, awak berhak buat pilihan kan?”

“Saya rasa saya tak perlu buat pilihan sebab saya dah ada dia.”

“Awak pasti ke dia pilihan yang tepat?”

“Apa maksud awak?”

“Bukan ke dia telah menyakiti hati awak?”

“Mana awak tahu semua ni?” Hani mula berang. Memang dia kecewa dengan Dimas namun nama itu masih kuat melekat di hatinya. Rasa ingin dibuang nama itu jauh-jauh namun sulit untuknya berbuat demikian.

“Saya tahulah. Dimas dengan Linda tu kan classmate saya. Awak tak takut ke dia akan tinggalkan awak? Kurang dua bulan aja lagi dia akan tamat belajar kat sini. Habis ni, dia mesti balik negara dia kan? Kalau mat salleh ke, adalah standard sikit. Ini Indonesia. Apa class?”

“Encik Shah, adakah awak betul-betul tahu apa maknanya cinta? Malaysia ke, Indonesia ke, semuanya tiada beza. Bukah ke cinta itu tiada sempadan? Ia tak memerlukan syarat untuk mencintai dan dicintai. Ia tak kenal siapa atau dari mana asalnya seseorang itu. Biar jauh beribu batu sekalipun, dua hati pasti bersatu jika telah ditakdirkan mereka akan menyatu. Sudahlah. Saya tak ada masa nak layan awak. Tolong jangan masuk campur urusan saya. Dan untuk pengetahuan awak, hati saya hanya untuk Dimas Kresno Putro,” Hani membelek walletnya. Di dalamnya cuma ada dua keping duit sepuluh ringgit. Hani memandang Shah. “Bila saya ada duit nanti, saya bayar balik harga makanan ni.”

“Kan saya dah kata, saya belanja.”

“Saya pasti akan bayar balik,” Hani melangkah meninggalkan Shah. Hatinya sakit apabila mengingati kata-kata Shah tadi. Indonesia, apa class? Pada dasarnya Shah mengata Dimas tapi kenapa dia yang berasa sakit? Salah ke kalau Dimas warga Indonesia? Adakah cinta menetapkan orang yang berlainan bangsa dan negara dilarang bercinta?

Tiada ulasan: