Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 20, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 29

Hani melihat ke pinggan Dimas. Licin! Tak ada sebutir nasi pun yang tinggal. Kemudian melihat ke pinggannya. Nasi di pinggannya masih banyak namun perutnya sudah tidak dapat menerima makanan lagi.
“Kamu memang selalu begini ya?”

Hani memandang Dimas tidak mengerti.

“Makanannya selalu tidak habis.” Dimas menunjuk nasi di pinggan Hani.

“Tak laratlah,” ujar Hani.

“Tak baik makan tak habis.”

“Tapi aku betul-betul dah tak boleh masuklah, Dim.”

“Allah sudah memberi kita rezeki. Kita harus menghargainya. Cuba kamu fikir macam mana orang miskin yang tidak dapat makan walaupun sesuap nasi? Kamu seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati makanan yang enak setiap hari. Kalau kamu selalu makan tidak habis, Allah akan menarik balik rezeki itu. Kamu mahu?”

Begitulah teguran Dimas apabila dia tidak habis makan. Mengingati itu, Hani merenung nasi di pinggannya. Hani jadi serba salah apabila memikirkan kata-kata Dimas dulu.
Kalau sekarang pun aku makan tak habis, mesti Dimas akan berceramah macam hari itu lagi.

Hani menyuap nasi ke mulutnya. Sikit lagi Hani. Lagi tiga suap aja. Aku boleh. Tapi nasi ni banyak sangat. Kalau aku paksa, mesti muntah nanti. Hani berhenti menyuap apabila terasa hendak muntah.

“Han, kalau kamu tak larat biar aja,” ujar Dimas. Kasihan pula dia melihat Hani berusaha menghabiskan nasi di pinggannya.

“Tapi…”

“Sesekali tak apa tapi jangan selalu,” ujar Dimas. Kalau Hani tidak dapat menghabiskannya, tidak elok dia memaksa. Niatnya menegur supaya Hani menghargai rezeki yang diberikan oleh Allah.

Hani lega mendengar kata-kata Dimas lalu segera mencapai minumannya. Menolak makanan tersebut ke tekak. Kalau diteruskan suapan itu boleh muntah dia di situ.

Dimas tersengih melihat Hani. Memang setiap kali dia keluar makan dengan Hani, makanannya selalu saja tidak habis dimakan. Agaknya Hani memang jenis orang yang makan sikit. Lihat saja badannya. Kurus amat! Nak kata dia diet, tak juga kerana setiap kali mereka keluar bersama Hani yang akan mengadu lapar. Begitulah Hani. Makannya sikit tetapi kerap.

Tiba-tiba telefon bimbit Hani menyanyikan lagu Bagaikan Langit daripada kumpulan Potret.

“Siapa?” tanya Dimas.

“Entah,” balas Hani lalu menjawab panggilan itu. Lagu itu memang digunakan untuk gerangan pemanggil yang tidak ada dalam phone book telefonnya.

“Hello… siapa ni?”

“Hai, Hani. Ni Shah. Ingat lagi tak?”

“Shah?”

Dimas memandang Hani apabila mendengar nama itu disebut. Dia mula berasa tidak senang.

“Ingat. Mana Shah dapat nombor telefon Hani ni?” Hani hairan. Setahunya, dia tidak pernah memberikan nombor telefonnya kepada Shah.

Mana pula dia dapat nombor telefon aku? Dahlah telefon masa aku dengan Dimas.

“Adalah. Hm…Hani tengah buat apa?”

“Tengah makan… dengan Dimas.” Hani sengaja menyebut nama Dimas dengan harapan Shah akan mematikan talian. Namun Shah semakin rancak bertanya itu ini.

“Owh…kat mana? Can I join?”

“Kalau saya kata, tak boleh?”

Hish…mamat ni, tak tahu malu betul. Orang tak ajak, sibuk nak join. Kan aku dah kata aku dengan Dimas. Tak reti bahasa ke?

“You takut Dimas marah ya? Tak apalah. Tapi I boleh telefon you lagi kan?”

“Suka hati awaklah!” Hani mematikan talian.

“Mahu apa dia? Kok dia tahu nombor telefon kamu?” Dimas tidak dapat menahan diri daripada bertanya.

“Entah. Orang gila!” Hani melihat ke sekeliling. Mana tahu kalau-kalau Shah turut berada di situ dan memperhatikannya dan Dimas.

“Kenapa?”

“Tak ada apa.”

“Hai, Dim!” Seorang gadis melabuhkan punggung menyertai mereka.

Hani memandang gadis itu lalu mengalihkan pandangan kepada Dimas minta diperkenalkan gadis itu. Dimas mengerti pandangan itu lalu memperkenalkan gadis itu.

“Han, ini Linda. Classmate aku.”

Hani dan Linda tersenyum tanda perkenalan.

Classmate? Cantik juga. Pandai bergaya. Tapi aku macam tak berkenan aja.

Linda pula memandang Hani dengan pandangan tersendiri. Biasa saja. Mekap pun tak. Apalah yang dipandang oleh Dimas pada gadis ni?

“Dim, aku nak minta tolong kau,” Linda menyuarakan niatnya.

“Tolong apa?” soal Dimas.

“Macam ni esok aku tak pergi kelas. Aku kena balik kampung. So aku nak minta tolong kau hantar aku ke Puduraya. Boleh kan?” pinta Linda manja.

Kenapa Dimas? Macam tak ada orang lain aja nak minta tolong? Bukannya tak boleh naik bas. Hani kurang senang dengan permintaan Linda itu.

“Tolong aku ya, Dim. Aku takut tak sempat nak naik bas. Tiket aku pagi.”

“Boleh tu boleh tapi aku tak ada kenderaan,” Dimas memandang Hani. Dia tahu Hani tidak suka.

Hani mengacau-ngacau ais di dalam gelasnya. Pura-pura tidak mengambil tahu.

“Pasal kenderaan kau tak payah risau. Kawan aku ada motor tapi dia tak boleh hantar aku esok. Dia ada hal. Boleh kan Dim?” ujar Linda penuh berharap.

Dimas serba salah. Sebenarnya dia sendiri kurang berkenan dengan sikap Linda yang agak manja itu. Mungkin statusnya sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik yang membuatkan sikapnya begitu.

Macam mana ni? Tapi orang dah minta tolong. Kalau tak tolong nanti apa pula kata Linda. Pertolongan itu senang aja tapi mungkin menimbulkan rasa kurang senang Hani.

“Boleh.”

“Ok, kalau macam tu nanti aku telefon kau ya,” Linda tersenyum gembira. “Cayang kau!” Linda mencuit hidung Dimas sebelum berlalu dari situ. Dimas tersentak dengan perlakuan Linda itu.

Hani berapi mendengar ungkapan sayang Linda kepada Dimas. Mungkin itu hanya gurauan tapi sebagai teman wanita Dimas dia tetap berasa cemburu. Dia tak tahu ke aku ni siapa? Kalau ya pun nak tunjuk mesra janganlah buat depan aku.

“Han, kamu tak kisah kan?” tanya Dimas.

“Kisah apa?”

“Kalau aku hantar Linda esok?”

Mana boleh tak kisah? Sanggup perempuan tu minta Dimas hantar dia depan aku? Naik motor pula tu. Takkan tak ada orang lain?

“Ikut kaulah,” Hani pura-pura tidak kisah namun dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu.


***


“Aku marah tau, Far,” Hani meluahkan perasaannya kepada Farah.

“Ala tak ada apanya. Takkan kau tak percayakan Dimas?”

“Aku percayakan Dimas tapi aku tak percayakan Linda.”

Kalau naik kereta boleh terima lagi. Ni naik motor? Macam-macam boleh jadi kalau dah naik motor berdua. Aku sendiri pun tak pernah naik motor dengan Dimas. Marahnya!

“Kalau kamu tak suka aku suruh dia cari orang lain aja,” suara Dimas ketika Hani menelefonnya malam itu.

Memang aku tak suka. Pertama kali aku jumpa dia pun aku dapat rasa yang tak suka dengan dia. Biar ajalah dia cari orang lain. Takkan tak ada kawan lain? Alasan aja tu. Kau ni pun satu, Dimas. Baik sangat nak tolong orang.

“Tapi kau dah janji dengan dia kan?”

Bila difikir kembali memang tidak elok memungkiri janji. Mungkin hari ni kita tolong orang. Esok lusa giliran kita?

“Tenang ajalah, Han. Tak ada apa-apanya. Kamu percaya aku kan?”

Hani diam. Macam mana nak percaya? Perempuan dan lelaki berdua-dua. Pasti ada syaitan di tengahnya.

“Han..”

Tidur ke?

“Ya, aku dengar.”

“Sudahlah. Jangan fikir macam-macam. Kamu tidur dulu ya. Kita jumpa esok.”

“Ok.”

Talian dimatikan.

Hani tidak lena tidur. Macam-macam perkara negatif yang menghantui fikirannya.
Dimas dengan Linda? Tapi ada orang cakap Linda memang dah lama suka kat Dimas. Macam mana kalau dia ambil kesempatan ni untuk goda Dimas? Linda tu dahlah cantik. Seksi pula tu. Senang ja nak tawan hati lelaki. Tapi Dimas tak macam tu. Tapi mana tahu? Lelaki.

Sedang asyik dia berfikir akhirnya dia tertidur juga.


***


“Dim, terima kasih jaketnya semalam.”

Timbul tanda tanya di fikiran Hani apabila Linda memulangkan jaket itu di hadapan matanya.

Macam mana pula jaket Dimas boleh ada pada Linda? Takkan dia orang keluar bersama? Jangan fikir yang bukan-bukan Hani.

Hani cuba memadamkan syak wasangkanya. Namun masih ada suara-suara negatif yang membuatkan dia meragui kejujuran Dimas. Tambahan pula, kata-kata Farra tempoh hari menguatkan lagi nalurinya.

“Hani, aku tak tahulah aku patut bagi tahu kau ke tak,” Farra serba salah.
Perlu ke aku bagi tahu perkara tersebut kepada Hani? Tapi nanti gaduh pula. Tapi kalau tak bagi tahu hati aku pula yang tak senang.

“Bagi tahu apa? Cakap jalah,” Hani sudah bersedia untuk mendengar.

“Aku nampak Dimas naik motor dengan perempuan lain.”

“Dimas dah bagi tahu aku. Dia tolong hantar Linda pergi Pudu,” terang Hani.

“Memanglah dia bagi tahu kau. Tapi ada dia cakap si Linda tu peluk dia? Bukan main rapat lagi perempuan tu peluk dia. Macam pasangan kekasih. Kalau kau tengok mesti kau sakit hati. Tak malu betul!” getus Farra. Bukan niat nak masuk jarum tapi hatinya geram melihat perlakuan Linda semalam.

Takkan Linda tak tahu yang Dimas tu dah ada girlfriend? Kalau Dimas tak ada girlfriend pun, Linda tak patut buat macam tu. Tidak manis orang tengok.

“Dia takut jatuh kut,” Hani cuba bersikap positif walaupun sebenarnya hatinya sudah mula berapi. Lagipun Linda yang peluk dia. Bukan dia yang peluk Linda. Aku harus percaya Dimas.

“Kalau takut naik motor, tak payahlah naik. Tapi kalau ya pun tak perlulah nak peluk macam tu. Kalau boyfriend aku hee...” marah Farra meluak-luak. Walaupun Dimas bukan teman lelakinya tapi dia rasa Linda tidak patut memeluk Dimas sebegitu.

Nanti apa pula kata orang yang melihat? Mesti dia orang akan fikir Dimas dengan Linda ada apa-apa. Apa perasaan Hani kalau orang dok mengata perihal Dimas dan Linda?

“Biarlah Far. Selagi aku tak nampak dengan mata kepala aku, aku ok,” Hani cuba menyedapkan hatinya sendiri. Biarlah perkara itu terjadi di belakangnya kerana dia sendiri tidak sanggup melihat Dimas dipeluk perempuan lain.

“Ikut kaulah, Hani. Tapi aku nak nasihatkan kau. Baik-baik sikit dengan Linda tu. Aku dengar dia dah lama syok pada Dimas,” Farra mula teringat akan perbualan sekumpulan pelajar ketika dia melihat motor yang ditunggang oleh Dimas dan Linda meluncur di hadapannya.

“Itu macam Dimas aja.”

Farra segera memasang telinga tatkala mendengar nama itu disebut.

“Dengan Linda? Dia dengan Linda dah couple ke?”

“Entah tapi bukan ke Dimas dah ada awek?”

“Ala...Biasalah. Lelaki. Lagipun Linda tu kan dah lama syok kat Dimas.”

Hani memandang Dimas. Cerita Farra masih berlegar-legar dalam kotak fikirannya.
Dimas mula berasa tidak selesa dengan pandangan mata Hani. Seolah-olah dia telah melakukan kesalahan yang besar. Mudah-mudahan Hani tidak bertanya lanjut tentang perkara tersebut.

“Apa?” soal Dimas apabila Hani masih memandangnya.

“Macam mana jaket kau boleh ada dengan Linda?” Hani mula menjalankan siasatan. Mungkin perkara itu hanya perkara kecik. Tapi hatinya kurang senang jika tidak mendapat jawapannya. Tambahan pula, sejak kebelakangan ini, sikap Dimas agak pelik. Lelaki itu seolah-olah merahsiakan sesuatu daripadanya.

“Tertinggal semalam di kelas,” jawab Dimas. Dia malas hendak bercerita tentang perkara semalam. Takkan aku nak bagi tahu Hani yang aku bersama Linda sepanjang malam? Masa dia hantar Linda ke Puduraya dulu pun Hani sudah cemburu.

Dimas mengeluh di dalam hati. Dia sendiri pun tidak tahu yang Linda datang menyaksikan persembahannya di kafe malam itu. Selepas itu, Linda memintanya menghantarnya pulang.

“Dim, boleh temankan aku balik? Aku takutlah balik sorang,” pinta Linda manja.
Kerana memikirkan keselamatan Linda, Dimas bersetuju untuk menghantar Linda pulang. Takkan dia sanggup biarkan gadis itu pulang seorang diri pada waktu-waktu begini? Tengok aja pakaian Linda. Bajunya yang seksi itu boleh mengundang mata liar yang memerhati. Buatnya dia diculik ataupun dirogol. Dia juga yang rasa bersalah. Tambahan pula Linda teman sekelasnya.

Ketika Dimas menghantarnya pulang, Linda mengosok-ngosok lengannya yang tidak dibalut kain itu. Pura-pura kesejukan agar mendapat perhatian Dimas. Dimas kasihan melihat Linda. Itulah dah tahu sejuk kenapa pakai baju tak ada lengan. Dimas menanggalkan jaketnya dan menyerahkannya kepada Linda.

Linda sedikit hampa dengan kelakuan Dimas. Bukannya nak tolong pakaikan. Namun jaket itu diambil juga.

“Terima kasih, Dim.”

“Sama. Aku balik dulu ya,” Dimas meminta diri dan menghilang.

Linda tersenyum sendiri. Tiba-tiba dia teringat akan jaket Dimas yang masih di badannya. Linda tersenyum lagi sambil mencium jaket itu.

Dimas sendiri berasa pelik dengan perlakuan Linda sejak akhir-akhir ini. Perhatian Linda terhadap dirinya juga semakin bertambah. Hampir saban malam gadis itu mengirim SMS kepadanya.

Kalau tidak dilayan nanti dikatanya sombong. Habis macam mana? Kalau Hani tahu tentang perkara itu mesti dia mengamuk nanti. Fikir Dimas. Linda pun satu. Kenapa mesti nak pulangkan jaketnya di hadapan Hani? Apa motif dia?

Hani masih belum puas hati dengan jawapan Dimas. Dia yakin Dimas tidak memakai jaket itu sewaktu ke kelas. Dia sudah masak dengan perangai Dimas. Lelaki itu hanya memakai T-shirt untuk ke kelas. Ringkas dan senang katanya.

“Tapi semalam kau tak pakai jaket kan?”

“Sebab tertinggal di kelas.”

Dimas pantas mencari alasan.

Tolonglah percaya. Aku tidak mahu memanjangkan perkara ini.

Macam mana aku nak percaya kalau semuanya masih samar-samar? Kenapa Linda yang memulangkannya? Kenapa bukan orang lain? Apa di kelas itu hanya ada Linda? Linda, Linda, Linda! Kenapa nama itu selalu saja ada antara mereka sejak kebelakangan ini?

Tiada ulasan: