Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 19, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 28

Gadis itu kelihatan leka melihat ke pentas menyaksikan persembahan lima anak muda bermain band tatkala lelaki itu menghampirinya.

Sejak gadis itu melangkah ke dewan tersebut, matanya tidak pernah sekalipun beralih daripada wajah lembut itu.

Sungguh dia telah jatuh hati pada gadis itu. Tetapi gadis itu sentiasa ditemani oleh lima orang lelaki. Oleh itu, dia tidak mempunyai peluang untuk mendekatinya.

Siapa dia? Hebat sangat ke dia sampai ditemani lima lelaki sekaligus? Anak orang kaya ke?

Sekarang, gadis itu bersendirian di meja itu dan dia tidak dapat menahan kemahuannya untuk menyapanya.

Aku mesti ambil peluang ni!

“Hai,” sapanya lalu mengambil tempat di sebelah gadis itu.

Gadis itu menoleh. Apa hal pula mamat ni? Tak pernah-pernah pula nak tegur aku sebelum ni. Mimpi apa entah? Orang tengok syok tengok persembahan buah hati ni.

Tumpuannya terhadap persembahan Dimas dan kawan-kawannya mati di situ.

“Saya Shah,” lelaki itu memperkenalkan diri. “Saya pernah tengok awak nyanyi di kafe hari tu,” jelasnya seakan mengerti apa yang bermain di benak gadis itu.

Hani mula teringat bahawa dia pernah menyanyi di kafe kerana menggantikan Dimas yang demam. Ah, malunya dia saat itu! Pertama kali dia menyanyi di hadapan orang ramai.

“Suara awak boleh tahan juga,” puji Shah. Bukan nak ambil hati tapi memang betul. Kalau dilatih, mesti boleh beri saingan kepada penyanyi yang sedia ada.

“Ya ke? Terima kasih,” ujar Hani. Terasa kembang pula apabila dipuji begitu.

“Awak pun belajar kat sini juga ke? Tahun berapa?”

Mamat ni hilang ingatan ataupun memang tak kuat ingatan? Takkan dia tak kenal aku? Lain sangat ke aku malam ni?

“Tahun satu. Awak kenal Dimas?”

“Dimas? Oh, dia satu kelas dengan saya. Macam mana awak kenal dengan Dimas?”

“Dia kan senior saya,” ujar Hani. Masakan dia lupa saat pertama kali Dimas menegurnya di dalam bas. Macam mana mereka tersesat hingga ke Klang. Semua kenangan itu masih segar dalam memorinya.

Takkanlah aku nak cerita semua hal peribadi aku pada dia? Aku bukannya kenal sangat dengan dia pun.

“Awak baik dengan dia ke?”

Mestilah baik. Bukan aku tak nampak macam mana dia pegang tangan Dimas masa red carpet tadi. Mesra betul!

“Actually, dia special boyfriend saya,” ujar Hani berterus-terang. Dia yakin dengan perasaannya sekarang. Di hatinya kini cuma ada satu nama. Dimas Kresno Putro. Dia telah berjanji kepada dirinya sendiri untuk membalas perasaan sayang lelaki itu dengan cintanya. Tak akan dia sakiti hati lelaki itu lagi.

Nasib baik dia mengaku Dimas tu boyfriend dia. Mesti jujur orangnya. Tapi sayang dah ada boyfriend. Habislah peluang aku. Ala…boyfriend aja. Bukannya kahwin lagi. Orang kahwin pun boleh bercerai.

Shah masih meneruskan perbualannya dengan Hani sehingga Dimas muncul. Dimas kurang senang melihat Shah bersama Hani.

Mungkin juga dia cemburu. Memang Hani kelihatan berbeza malam itu. Lebih cantik daripada hari-hari biasa. Sesuai dengan tema majlis itu, ‘Citrawarna’, Hani mengenakan gaun hitam yang sederhana tetapi menawan.
Tapi dia sedar bukan salah Hani kalau ada lelaki lain yang terpikat dengan kejelitaannya malam itu. Dia yang mengajak Hani ke majlis itu.

“Dinner pelajar tahun akhir? Tak naklah!”

“Kenapa?”

“Kau kan tahu aku tak berapa suka dengan majlis majlis macam tu? Lagipun aku tak nak memalukan kau nanti.”

“Han, aku tidak pernah malu untuk bersama kamu. Bahkan aku mahu satu kolej ini tahu bahawa kamu adalah girlfriend aku.”

“Maksud aku, aku takut malukan kau sebab aku bukannya pandai berdandan macam perempuan lain.”

“Farra kan ada.”

“Farra? Walau apa pun alasannya, jawapannya tetap tidak!”

Pada mulanya Hani menolak tatkala diajukan pelawaan itu. Walaupun dipujuk dan dirayu, gadis itu tetap berkeras dengan pendiriannya. Namun setelah beberapa kali didesak, barulah gadis itu akur. Dan demi membuktikan perasaan sayangnya, gadis itu sanggup berhias diri pada malam itu semata-mata kerana dia. Dan ternyata gadis itu memiliki kecantikannya yang tersendiri. Cuma Hani saja yang malas berdandan. Leceh katanya.

“Saya minta diri dulu,” Shah meminta diri apabila menyedari jelingan Dimas. Dia tahu Dimas tidak menyenangi kehadirannya di situ.

Pandangannya mengiringi langkah Shah.

“Dia cuba pikat kamu?”

“Siapa? Shah? Tak adalah. Saja sembang,” jawab Hani. Kita orang kan baru aja jumpa. Borak pun baru sekali. Mustahil aku terpikat dengan dia. Tak semudah itu.

“Shah tu anak Tan Sri. Anak tunggal lagi,” cerita Dimas tanpa dipinta. Sengaja dia mahu menduga gadis itu. Gadis mana yang tidak mahu berdampingan dengan lelaki berada seperti Shah? Cakap aja nak apa. Pasti dipenuhi. Siapa yang tidak mahu hidup senang?

“Tak kisahlah dia anak Tan Sri ke, anak raja ke. Aku tak berminat sebab hati aku dah diberi kepada seseorang,” Hani memandang Dimas dengan penuh kasih sayang. Dia tidak mahu Dimas meragui cintanya lagi. Biar siapa pun lelaki yang bertandang dalam hidupnya, hatinya akan tetap untuk lelaki itu. “Kau jealous ke?”

“Siapa yang tidak jealous kalau girlfriendnya dipikat lelaki lain,” ujar Dimas tanpa berselindung. Biar Hani tahu bahawa dia sangat menyayanginya. Tapi daripada cara Shah memandang Hani tadi dia tahu lelaki itu telah jatuh hati dengan Hani. Dalam banyak-banyak perempuan di kolej ni, kenapa Hani juga yang dipilih?

“Dim, aku suka tengok kau jealous sebab aku tahu kau benar-benar sayangkan aku kan?”

“Baguslah kalau kamu tahu,” Dimas menggenggam tangan Hani. “Han, jangan tinggalkan aku ya.”

“Jangan risaulah. Aku kan dah beri hati aku pada kau,” Hani menghadiahkan senyuman kepada Dimas.

Kata-kata Hani itu sedikit sebanyak melegakan hati Dimas. Senyuman mahal itulah yang telah memikat hatinya pada Hani. Dan alangkah bahagianya jika senyuman itu menjadi miliknya buat selama-lamanya. Tuhan, aku tidak mahu kehilangan dia.

“Benar kamu sayang sama aku?” Dimas cuba memadam kebimbangannya.

“Kau ni pekak ke atau tak faham Bahasa Melayu?”

Memang dulu dia bersalah kerana tidak tahu menghargai perasaan Dimas terhadapnya. Lelaki itu tidak marah. Sebaliknya dia rela menunggu hingga pintu hatinya benar-benar bersedia untuk menerima cintanya. Dan dia akan rasa lebih bersalah sekiranya melukai hati lelaki yang telah banyak berkorban untuknya itu.

“Aku suka dengar ucapan sayang kamu pada aku.”

“Kau nak aku cakap berapa kali?” tanya Hani. Baginya perkataan sayang itu tidak perlu diucap berulang kali. Nanti hilang keistimewaannya. Cukuplah hanya melalui perbuatan. Kalau mulut aja kata sayang tapi tak ditunjukkan dengan perbuatan, sayangkah namanya?

“Ok. Kalau benar kamu sayang sama aku, cium sikit,” Dimas menyua pipinya kepada Hani. Minta dicium. Hani menampar lengan Dimas.

“Mengada-ngada.”

Dimas mengosok lengannya. Pura-pura kesakitan. Shah cemburu melihat kemesraan Hani dan Dimas. Kalau hendak dibandingkan dengan Dimas, dirinya jauh lebih baik daripada lelaki Indonesia itu.

Baik dari segi rupa mahupun kekayaan. Tambahan pula, dia anak orang berpengaruh. Ke mana saja pasti ada mata yang mengekori. Banyak gadis yang menggilainya. Mungkin juga duitnya. Dan dia bebas memilih siapa saja sebagai teman wanitanya.

Namun apa yang dimilikinya bukan alasan untuk dia memancing perhatian mereka. Dia hanya seorang insan biasa. Yang ingin mencintai dan dicintai. Dia juga punya perasaan untuk bercinta. Namun tiada seorang gadis pun di kolej itu yang mampu mencuri hatinya hinggalah dia terlihat Hani di kafe tempoh hari. Dan tanpa disangka gadis itu merupakan salah seorang juniornya. Tapi kenapa dia tidak pernah nampak gadis itu di kolej?

“Sebab saya tak suka bercampur dengan orang,” ujar Hani apabila diajukan soalan itu.
Sah mamat ni hilang ingatan. Dia kan kerap jumpa aku dengan Farra. Maklumlah dulu kan aku ni selekeh, tak pandai bergaya. Aku lalu sebelah pun, kau buat don’t know aja. Kau tegur Farra aja. Aku kau buat tak nampak aja. Macam aku tak wujud. Jangan kata nak tegur, senyum pun tak.

Konon senior paling hensem dalam Mass Comm ni tapi kalau dengan perangai sombong macam tu, boleh jalanlah! Nak kawan dengan orang yang vogue aja. Macamlah diri tu hebat sangat. Kalau hebat sangat, kenapa banyak subjek yang kau repeat? Sekarang, kenapa sibuk nak tegur aku?

“Kenapa? Bukan ke orang kata berkawan biar beribu?”

“Berkawan biar beribu tapi tengoklah siapa kawannya. Apa guna kawan ramai-ramai tapi semuanya hanya merosakkan diri?”

Aku memang kawan dengan semua orang pun. Kau tu aja yang pilih bulu. Ingat aku lupa ke macam mana layanan kau kat aku dulu?

“Awak tak rasa ke awak ni terlalu prejudis?”

“Saya mengaku. Tapi itu semua untuk kebaikan saya juga. Bagi saya, seorang kawan yang sudi berkongsi susah senang dengan saya lebih baik daripada kawan-kawan yang ramai tapi hanya bersama bila masa senang saja.”

“Macam mana kalau saya nak jadi kawan awak?”

“Awak nak kawan dengan saya?”

“Kenapa? Tak boleh?”

“Saya tak kata pun tak boleh.”

“Ke awak takut boyfriend awak marah?”

“Kenapa pula dia nak marah? Dia pun banyak kawan.”

“Kalau macam tu, bolehlah saya minta nombor telefon awak?”

Dan tatkala itu, Dimas muncul.

Macam manalah gadis secantik itu boleh berkenan dengan lelaki Indonesia macam Dimas tu? Entah-entah Dimas guna-gunakan Hani tak? Warga asing ni bukannya boleh percaya sangat.


***


Malam itu Shah tidak lena tidur. Fikirannya terganggu. Wajah itu semakin menghantuinya.

“Hani...”

Betapa cantiknya gadis itu terutamanya bila dia tersenyum. Benar-benar menambat hatinya.

Angan-angan Shah terbawa hingga ke dalam mimpi. Shah bermimpi dia menyelamatkan Hani daripada tawanan Dimas. Dia dan Dimas beradu tenaga dengan kekuatan luar biasa. Akhirnya kemenangan berpihak kepadanya. Dimas berjaya ditewaskan.

Shah mendapatkan Hani selepas mengalahkan Dimas.

“Hani, will you be my girlfriend?” Shah melutut di depan Hani yang anggun bergaun hitam persis di majlis tadi.

“Yes.”

“Oh, Hani…” Shah mengucup tangan Hani. “I love you.”

“I love you too...”

Disebabkan terlalu asyik, Shah tergolek lalu terjatuh dari katilnya.

“Adoi...” Shah mengerang kesakitan.

“Weh, Shah. Kau ni apa kena? Ngigau ya?” teman sebilik Shah turut terjaga apabila terdengar bunyi benda terjatuh.

Apabila lampu dipasang, dia terlihat Shah terbaring di bawah katil.

“Apalah kau ni,” teman sebilik Shah ketawa. “Tidurlah! Macam-macam.”

Shah terpinga-pinga. Dia bangkit ke atas katil semula. Hish…kacau betul? Tapi syok betul mimpi aku tadi. Kalau betul-betul, lagi syok!

Tiada ulasan: