Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 2

Kafeteria itu meriah dengan gelagat penghuninya. Sudah menjadi rutin, menjelang petang kafeteria itu akan dibanjiri pelajar-pelajar yang menuntut di kolej itu. Keadaan itu berlarutan hinggalah ke malam. Itu pun kerana peraturan di kolej itu yang menetapkan bahawa kafeteria tersebut harus ditutup selepas jam dua belas tengah malam. Kalau tidak, pasti pelajar-pelajarnya akan terus bersadai di situ hingga ke lewat pagi. Dan pasti perkara itu tidak bagus untuk prestasi pelajar-pelajarnya.

Di suatu meja, kelihatan lima orang anak muda sedang asyik menonton suatu konsert yang disiarkan di televisyen kafeteria itu.

“Penyanyi ini bagus kan?” puji salah seorang daripada mereka.

“Aku setuju dengan Erwin tapi arahnya itu agak kebarat-baratan,” komen seorang yang lain pula.

“Iya. Banyak penyanyi yang bagus cuma arahnya itu lebih kebarat-baratan. Aku suka tu siapa namanya? Siti Nurhaliza? Dia memang penyanyi yang bagus. Karekternya juga tidak kebarat-baratan. Siti Nurhaliza itu timur, East gitu. Kapan ya kita bisa jadi seperti dia? Bikin album. Kok selamanya mahu main di kafe?” ujar anak muda yang dipanggil Erwin tadi.

“Sabar dulu. Mungkin suatu hari nanti kita bakal jadi band ternama di Indonesia. Mungkin juga di Malaysia. Siapa tahu?” sahut yang lain pula.

“Iya, bayangkan kita diwawancara oleh wartawan,” celah temannya.

“Disapa peminat,” seorang lagi menambah.

“Bikin konsert. Wah, bahagia sekali!”

Mereka mula memasang angan-angan. Masing-masing membayangkan diri mereka setelah menjadi kumpulan muzik popular nanti. Macam mana keadaan mereka pada waktu itu? Dikejar lensa kamera wartawan, diwawancara oleh stesen tv dan radio serta diserbu oleh peminat.

“Justeru itu kita harus berusaha dari sekarang!” suara salah seorang daripada mereka dengan penuh bersemangat.

“Kata Sukry itu benar. Kita harus bermula dari saat ini,” sokong temannya dan disahut sorakan yang lain. “Tapi sebelum itu aku mahu makan dulu. Tak siap lagi ke makanan kita? Kok lama banget? Aku sudah lapar ni,” ujarnya sambil mendongakkan kepala melihat ke arah tukang masak kedai itu.

“Sabar Dim,” nasihat Sukry.

“Mana bisa tahan? Dari pagi tadi aku tidak makan,” ujar Dimas. “Bang, dari tadi makanan kami belum sampai. Kenapa lama sangat?” Dimas bertanya kepada seorang pekerja kafeteria yang melintasi meja mereka.

“Mintak maaf ya. Ada yang cuti emergency sebab tu hari ni kelam-kabut sikit. Tak cukup orang,” jawab pekerja itu. “Sekejap ya.”

“Ok, jangan lama-lama sangat.”

Tak lama kemudian, pesanan makanan mereka siap. Mereka berlima menikmati makanan itu seperti orang yang tidak makan selama beberapa hari sebaik-baik sahaja mendapat makanan masing-masing.

“Esok ni ke mana kita?” tanya Armand selepas beberapa suapan.

“Aku mahu cari kerja,” ujar Erwin.

“Kerja? Bukan elo udah punya kerja di kafe itu,” Dimas hairan mendengar Erwin mahu mencari kerja. Setahunya temannya itu sudah ada kerja tetap di sebuah kafe.

“Iya tapi gajinya dikit amat. Tidak setimpal dengan bebannya,” adu Erwin. Kerja di kafe itu memang tidak ada masalah. Tapi agak berat juga. Semua kerja harus dilakukan. Melayan pelanggan, menyapu, mengemas. Pulang rumah aja udah capek. Keesokan paginya harus ke kuliah. Mana bisa tahan.

“Kita kan sambilan aja. Memanglah gajinya sedikit,” ujar Dimas.

“Emangnya elo mau cari uang lebih untuk apa sih, Win?” tanya Sukry pula.

“Mahu menikah ya?” celah Andin berseloroh.

“Iya, benar. Gue mahu nikah sama Siti,” kata Erwin bangga.

“Siti mana?” Armand pura-pura tidak tahu padahal mereka berempat sudah sedia maklum yang Erwin sangat mengagumi penyanyi Siti Nurhaliza.

“Si tikus!” celah Dimas dan disambut oleh gelak tawa Sukry, Armand dan Andin.

“Bukan, gue mahu cari uang lebih. Kalian kan tahu papa gue sudah meninggal dunia. Makanya gue sebagai anak sulung bertanggungjawab menyara adik-adik gue. Mereka kan masih sekolah. Tambahan pula, gue mahu pulang Jodja segera. Gue kangen banget sama mama dan adik-adik gue,” Erwin membela diri.

“Bukan kangen sama Nafa?” Andin sengaja mengusik.

“Lho...Bukan, benar.”

“Oh, benar?”

“Tak. Benar maksudnya gue, kangen sama mama dan adik-adik gue aja.”

“Elo jangan gitu sih Win. Si Nafa itu sudah lama menunggu elo. Setia banget dia sama elo,” ujar Dimas.

“Iya, Win,” Sukry menyetujui kata-kata Dimas. “Jaman sekarang susah mahu ketemu cewek yang benar-benar sayang sama kita. Pacaran jarak jauh lagi.”

“Nafa itu kan cuma teman biasa aja,” ujar Erwin.

Nafa teman baik Erwin sejak di bangku sekolah. Memandangkan mereka berdua sering dilihat bersama ketika di sekolah, timbul gosip mengatakan bahawa mereka bercinta. Nafa seorang yang baik dan selalu mengambil berat tentang diri Erwin. Namun Erwin tidak pernah mengganggap Nafa lebih daripada seorang teman.

“Nah, tu pasti ingat sama Nafa,” Dimas masih mengusik dan disahut oleh tawaan yang lain.

“Udah ah! Kalian suka ngatain gue,” Erwin sudah tidak larat melayan usikan teman-temannya itu.

Dimas masih tertawa melihat telatah Erwin namun tawanya terhenti apabila matanya terpanah akan dua orang gadis yang baru saja mengambil tempat selang beberapa meja dari meja mereka berlima. Matanya melekat pada salah seorang daripada mereka. Wajah itu sudah tidak asing lagi pada penglihatannya.

Gadis itu sering dilihat bersendirian. Kerap kali dia lihat gadis itu di perpustakaan sambil membaca novel. Gadis itu juga tidak pernah lekang dengan pemain mp3nya. Melihatkan itu, pastinya dia bukan jenis yang suka bersosial. Fikir Dimas. Dan yang mengejutkannya, gadis yang tidak pernah dilihat melepak di kafeteria itu duduk setentang dengan mejanya kini. Entah kenapa pandangannya seakan sukar dilarikan daripada wajah itu.

Nak kata cantik macam Siti Nurhaliza? Tidak. Comel? Juga tidak. Kalau Adelia Lontoh, pelakon Indonesia itu mungkin ada sedikit iras. Wajahnya tampak biasa saja. Namun air mukanya yang tenang itu bisa membuat lenanya terganggu.

“Dim!”

Dimas tersentak.

“Lihat apa?” Erwin melihat ke arah yang dilihat oleh Dimas.

“Enggak ada apa-apa,” Dimas melarikan anak matanya daripada gadis tadi sebelum disedari oleh Erwin.

“Lihat cewek ya?” Sekarang giliran Erwin pula mengusiknya.

“Siapa Dim?”

“Mana?”

“Cantik enggak?”

Bertubi-tubi soalan diajukan oleh teman-temannya. Pantang disebut ’cewek’, pasti mengundang perhatian mereka. Maklum saja, dalam hampir empat tahun di Malaysia, hanya dia yang belum pernah bercinta. Bukan dia tidak mahu. Namun belum ada gadis di sini yang bisa membuatkan jantungnya berdegup kencang tatkala bersua. Mungkin aja jodohnya di tanah kelahirannya sendiri. Tambahan pula, tujuannya ke sini adalah untuk menimba ilmu. Bukan mencari calon isteri.

Kedua-dua orang tuanya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu. Waktu itu dia baru sahaja berusia empat belas tahun. Baru nak belajar mengenal erti hidup. Tinggallah dia terkontang-kanting bersama adik perempuannya, Hayria. Mujur ada Ibu Hetty. Ibu Hetty merupakan adik bongsu ibu mereka.

Setelah kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa mereka, Ibu Hetty membawa mereka dua beradik tinggal bersamanya. Ibu Hetty menjaga mereka seperti anaknya sendiri. Menyediakan keperluan dan menanggung perbelanjaan sekolah mereka. Bahkan Ibu Hetty sanggup menolak pinangan daripada lelaki yang datang melamarnya kerana khuatir bakal suaminya itu tidak dapat menerima mereka dua beradik. Ekoran itu, Ibu Hetty hidup membujang hingga sekarang.

Setelah tamat SMU, Dimas menyuarakan hasrat untuk mencari kerja bagi membantu Ibu Hetty. Namun hasratnya itu dibantah sekeras-kerasnya oleh Ibu Hetty. Ibu Hetty mahu Dimas melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kata Ibu Hetty, pelajaran itu penting. Dengan pelajaran kita dapat mengubah nasib kita.

Memang menjadi impian Dimas ke menara gading namun mengenangkan Ibu Hetty dan adik perempuannya, Dimas membatalkan hasratnya nan satu itu. Sebagai anak sulung dan anak lelaki tunggal, Dimas berasa bertanggungjawab menjaga Ibu Hetty dan adik perempuannya. Jika dia pergi, siapa pula yang hendak menjaga Ibu Hetty dan Hayria nanti?

Tambahan pula belajar di kolej menuntun belanja yang besar. Dimas tidak mahu membebankan wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu. Ibu Hetty telah banyak berkorban demi memastikan yang terbaik bagi mereka dua beradik. Pernah Dimas mencadangkan agar Ibu Hetty mencari lelaki yang baik dan berkahwin namun dia pula yang dileterinya.

Sudah berbuih mulut Dimas berdebat dengan Ibu Hetty. Akhirnya dia terpaksa akur dengan ketegasan Ibu Hetty. Itu pun setelah tetangganya berjanji akan menolong menengok-nengokkan Ibu Hetty dan Hayria. Dan kerana itu dia di sini sekarang. Namun perihal keluarganya itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Hanya Erwin, Sukry, Armand dan Andin teman rapatnya yang dipercayainya. Baginya perihal keluarganya biarlah menjadi rahsia hidupnya sendiri.

Tatkala itu Dimas amat berharap agar dia dapat menamatkan pelajarannya secepat yang mungkin dan kembali ke sisi Ibu Hetty dan Hayria. Sudah tidak tertahan rasanya berjauhan dengan mereka. Telefon dan e-mel pun tidak dapat mengubati rindunya kepada mereka. Justeru, dia harus belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Bukannya mencari teman wanita yang belum tentu menjadi pasangan hidupnya kelak.

“Sambil menyelam minum air!” ujar Erwin ketika dia menegur sikap Erwin yang sering bertukar-tukar teman wanita.

Yang peliknya, setiap kali pulang dari janji temu, pasti ada saja alasan yang diadu Erwin. Tak sesuailah. Terlalu manjalah. Cerewetlah. Tapi satu yang dikagumi tentang Erwin, temannya itu tidak pernah serik untuk bercinta lagi. Mudah benar dia mendapat gantinya.

Berbanding Erwin, mungkin Dimas lebih bernasib baik kerana tidak perlu bersusah payah untuk memikat si cewek. Sebaliknya si cewek yang melamarnya untuk dijadikan teman lelaki. Mungkin sikapnya yang ramah membuatkan para cewek tertarik. Namun semua cewek yang ditemui tidak menepati citarasanya. Entah cewek yang macam mana yang digilainya. Dia sendiri tidak pasti.

Bukannya tidak cantik. Malah ada antara cewek-cewek itu persis seorang model namun masih tidak dapat mencairkan perasaannya. Dan ternyata cewek biasa yang berada di hadapannya kini mampu mengugat lenanya saban malam.

“Dim, mana ceweknya?”

Dimas mula tersedar daripada lamunannya.

“Cewek mana? Enggak ada cewek ah,” Dimas masih berahsia. Masakan dia mahu membongkar isi hatinya kepada mereka? Kalau teman-temannya tahu, pasti dia menjadi bahan usikan mereka. Dimas masih sempat melihat ke arah wajah itu sebelum kembali menyertai teman-temannya yang mula rancak berbual tentang rancangan yang disiarkan di kaca televisyen tadi.

“Kenapa lama sangat?” tanya Anuar kepada Farra.

Hani memandang Farra.

Kenapa lama sangat? Hai dah berjanji ke? Tadi kata sorang. Rupanya dah merancang. Menyesal aku ikut.

Farra yang menyedari jelingan Hani berlagak selamba. Farra sedar Hani berasa tertipu.

Ala...tipu sunat ja. Kalau cakap nak lepak dengan dia orang tadi, mesti Hani tak nak ikut.

Hani memang tidak suka bergaul dengan orang lain. Bising katanya. Tambahan pula, isi perbualan mereka tidak diminati oleh Hani. Lantaran sikap Hani yang suka mengasingkan diri itulah, ramai yang tidak berani mendekatinya. Oleh itu, Farra sengaja mengajak Hani ke sini kerana mahu Hani belajar bercampur dengan orang lain terutamanya pelajar-pelajar kelas mereka. Sudah menjadi lumrah, manusia memerlukan antara satu sama lain untuk hidup. Lagipun jurusan yang mereka ambil menuntun mereka untuk banyak bergaul dan berkomunikasi dengan orang ramai.

“Sorrylah. Aku pergi jemput tuan puteri ni haa,” jelas Farra sambil menjeling Hani yang duduk di sebelahnya.

“Kau orang nak minum apa?” tanya Syafik pula. “Kalau nak minum, beli sendiri ya. Layan diri okey.”

“Cish…Ingatkan nak tolong belikan,” marah Farra.

“Kau OKU ke?” soal Shafik.

Farra menarik muka kemudian bertanya kepada Hani.

“Kau nak minum apa?”

“Milo ais ajalah,” jawab Hani.

“Makan?” tanya Farra lagi.

Hani menggeleng.

“Betul?”

“Betul,” Hani meyakinkan Farra.

“Okey, aku pergi beli air kejap,” Farra berlalu ke tempat menjual minuman.

“Tasya, itu bukan ke lelaki idaman kau?” soal Syafik sambil menunjuk ke arah satu kumpulan pelajar lelaki yang duduk di meja tidak jauh daripada meja mereka.

“Mana?” Tasya pantas menoleh. Tasya mencari-cari wajah yang dimaksudkan di celah-celah pelajar-pelajar yang ada di situ. Matanya berhenti pada suatu wajah. Terlepas rindunya.

“Kau ni apalah, Tasya. Tak ada taste langsung. Laki kurus kering macam itu pun kau minat,” ujar Anuar.

“Apa maksud kau? Sekurang-kurangnya suara dia sedap. Bukan macam kau!” Tasya sedikit marah apabila Anuar mengata lelaki pujaannya. Memanglah lelaki itu tidak hensem tapi manis tu ada. Dia mula terpikat dengan lelaki itu ketika pertama kali dia mendengar suara itu mengalunkan lagu ‘Dan’ pada sesi suai kenal antara pelajar senior dan pelajar junior lima bulan yang lalu.

“Kenapa kau tak cakap aja kat dia yang kau suka kat dia?” celah Syafik. ”Tak elok tau pendam-pendam. Nanti makan dalam.”

“Gila ke? Takkan aku yang nak mula dulu? Aku kan perempuan. Buatnya dia tak suka kat aku macam mana? Tak ke malu?” balas Tasya.

“Kalau kau tak cakap macam mana kau nak tahu? Lagipun manalah tahu kalau-kalau dia pun suka kat kau,” jelas Syafik.

“Dia ada cakap ke yang dia suka kat aku?” soal Tasya ingin tahu.

Kalaulah dia pun suka kat aku alangkah bahagianya. Tapi kalau dia suka kat orang lain? Frustlah aku.

“Ha, cerita apa ni? Ngumpat akulah tu,” Farra muncul membawa dua gelas minuman lalu melabuhkan punggung ke kerusi.

“Haah… Tengah ngumpat kau. Beli air pun lama. Kau ngorat abang tu ke?” ujar Syafik.
Aku yang hensem ni kau tak nak ngorat. Abang tukang bancuh air itu juga yang kau berkenan.

“Taklah. Abang tu yang ngorat aku,” jawab Farra. Kau jeles ke?

“Yalah tu.”

“Ramai oranglah tadi. Masing-masing bukannya reti nak beratur,” luah Farra sambil menjamah teh ‘O’ ais kegemarannya. Badannya terasa-rasa sengal akibat bertolak-tolak tadi. Keadaan seperti itu telah menjadi adat di kolej mereka. Kalau tak berebut memang tak sah! Naik bas berebut, naik lif berebut. Pendek kata, pelajar-pelajar kat situ memang pakarlah dalam bab-bab berebut ni. Tak ada disiplin langsung! Nama sahaja pelajar kolej tapi perangai mengalahkan budak tadika. Budak tadika pun tahu beratur. “Apa yang kau orang sembangkan tadi?”

“Far, apa pendapat kau kalau perempuan yang luahkan perasaan kat laki dulu?” soal Syafik.

“Tak ada hal. Zaman sekarang orang dah tak kisah siapa mula dulu,” Farra menyuarakan pendapatnya. “Kalau orang tu pun suka kat kita, bukan ke bagus? Tapi kalau dia tak suka pun, terima ajalah. Sekurang-kurangnya kita tahu jawapan dia.”

“Haa… dengar tu, Tasya,” sokong Syafik. “Sekurang-kurangnya kau tahu jawapannya. Tak adalah kau tertanya-tanya. Pada pendapat aku, tak salah kalau perempuan yang luahkan perasaan dulu. Bahkan aku hormati perempuan yang macam tu. Berani dan yakin.”
Tasya diam.

Betul juga cakap Syafik tu tapi aku tak ada kekuatan untuk buat macam tu. Macam mana kalau dia tolak? Mana aku nak letak muka? Lagipun rasanya bukan aku sorang aja yang syok kat dia. Pelajar perempuan lain pun ramai yang tergila-gilakan dia. Maklumlah pelajar popular.

“Tapi aku takutlah.”

“Kau nak takut apa? Selama aku hidup, belum pernah aku dengar kes orang makan orang,” ujar Syafik separuh seloroh.

“Cakap memang senang,” Tasya masih kurang yakin dengan cadangan teman-temannya.

Takkan aku yang nak mula dulu? Nanti orang kata perigi cari timba. Lagipun kalau dia sukakan aku mesti dah lama dia bagi tahu. Aku sendiri pun tak tahu macam mana aku boleh sukakan cowok Indon tu. Nak kata hensem, boleh tahan aja. Nak kata bergaya, cuma berbaju T aja. Mungkin sebab kesederhanaannya itulah yang membuat aku tertarik. Tambah lagi dia tu ramah, baik hati, rajin dan suka menolong.

Tapi apa kan daya dia hanya mampu memendam rasa. Tasya mengeluh. Siksanya menyukai orang dalam diam.

Tiada ulasan: