Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Disember 05, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 1

“Apa? Kahwin? Arri serius?”

Dia seolah-olah tidak percaya akan apa yang baru didengarinya sebentar tadi. Arri melamar aku?

“Arri serius. Arri dah tak tahan dengan desakan mama dan papa.”

“Jadi Arri nak kahwin semata-mata mama dan papa Arri suruh Arri kahwin?”

“Bukan macam tu,” Arri cuba menjelaskan keadaan sebenar. “Arri betul-betul sayangkan Hani. Kalau mama dan papa Arri suruh Arri kahwin sekarang pun Arri tak kisah asalkan pengantin perempuannya adalah Hani.”

“Tapi Hani belum bersedia. Hani kan baru 18 tahun. Banyak perkara lagi yang Hani nak buat. Hani nak sambung belajar di kolej,” terang Hani dengan harapan Arri akan memahami cita-citanya.

“Lepas kahwin pun Hani masih boleh sambung belajar. Arri tak larang,” Arri masih berusaha memujuk Hani agar menerima lamarannya.

“Arri tak faham. Hani tak boleh buat dua perkara dalam satu masa. Hani tak mampu. Perkahwinan tu bukan untuk sebulan dua. Hani takut kalau Hani tak mampu nak bahagikan masa antara belajar dan tanggungjawab sebagai isteri.”

“Berapa tahun lagi Arri nak tunggu? Diploma aja dah tiga tahun. Ijazah dua tahun. Master, PhD…” rungut Arri.

Kenapalah perempuan sekarang suka sangat belajar tinggi-tinggi? Nak dapat kerja yang bagus? Aku belajar sampai SPM aja pun dapat juga kerja. Walaupun tak banyak mana gajinya tapi sekurang-kurangnya dapatlah juga menampung hidup.

“Jadi Arri tak sanggup tunggu Hani?”

Hani memandang Arri. Biar bagaimana pun Arri memujuknya, dia nekad untuk menyambung pengajiannya ke kolej. Jika dahulu, golongan perempuan kurang mendapat pendedahan tentang kepentingan pelajaran. Kebanyakan daripada mereka mendapat pengajian hanya setakat peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setelah tamat SPM, mereka akan dikahwinkan oleh ibu bapa mereka dan mempunyai keluarga sendiri.

Namun situasi itu berbeza dengan situasi pada masa sekarang. Jika diperhati, tempat-tempat di universiti kini banyak dipelopori oleh kaum perempuan samada di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Hal ini jelas menunjukkan bahawa wanita pada zaman sekarang mula menyedari akan kepentingan pendidikan. Justeru, mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi. Hani mahu mengikut jejak langkah kakaknya.

“Bukan Arri tak sanggup tunggu Hani tapi Arri takut Arri tak dapat bertahan bila waktu itu tiba. Mama dan papa semakin mendesak.”

“Jadi Arri tetap akan kahwin?”

“Kalau Hani nak sambung belajar, Hani teruskanlah cita-cita Hani tu. Tapi, sampai di sini saja hubungan kita.”

Hani terpana mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya itu. Sungguh dia tidak menyangka begitu rapuh sekali cinta Arri terhadapnya. Begitu mudah Arri memutuskan hubungan yang telah terjalin sekian lama itu hanya semata-mata dia enggan berkahwin pada waktu itu.

Dalam kesedihan itu, Hani masih berharap agar Arri akan memujuknya dengan mengatakan bahawa dia terlanjur bicara dan masih menyayanginya. Namun harapannya itu hanya tinggal impian kerana Arri tidak pernah sekalipun menghubunginya semenjak peristiwa petang itu.

Setelah berminggu-minggu tidak mendengar khabar daripada Arri, akhirnya Hani terpaksa menerima ketentuan takdir bahawa Arri bukan jodohnya. Namun hatinya sedikit terkilan kerana Arri tidak memberitahunya perihal majlis perkahwinannya. Dia mengetahui tentang perkahwinan itu pun melalui salah seorang temannya. Menurut temannya itu, Arri berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya. Ternyata lelaki itu telah membuang dirinya dari hidupnya.

Apa yang lebih menyedihkan Hani, perkahwinan Arri berlangsung pada hari yang sepatutnya dia bergembira menjalani kehidupan barunya sebagai pelajar kolej. Tetapi berita perkahwinan Arri itu telah menjadikan hari bersejarahnya berubah mendung. Hani cuba melenyapkan kesedihannya dengan menyibukkan diri menghadiri kuliah dan mengulangkaji pelajaran. Namun sesekali kenangan itu mengetuk kotak ingatannya tatkala dia bersendirian.

“Hani!”

Panggilan itu menyertakkan lamunannya. Hani menoleh mencari si empunya suara. Seorang gadis berblaus biru dan berseluar jeans melangkah menghampirinya.

Ah, minah ni! Tahu aja aku kat mana.

Hani pura-pura tunduk membaca tatkala gadis itu mengambil tempat setentang dengannya.

“Kau buat apa?” soal gadis itu.

“Baca buku...” jawab Hani acuh tak acuh tanpa memandang temannya itu.

Si teman memandang Hani.

Eleh baca buku konon. Dari tadi muka surat itu juga. Ingat aku rabun macam dia agaknya.

“Baca buku ke termenung?”

Hani terdiam. Rupa-rupanya dirinya telah lama diperhatikan. Dah tahu buat apa tanya? Getus hati kecilnya. Dia tidak ada mood hendak melayan temannya tatkala itu. Novel di tangannya diselak muka surat seterusnya.

“Sampai bila kau nak macam ni, Hani?” sambung si teman setelah membisu seketika. Dia tahu Hani tidak membaca. Buku itu hanya untuk menutup perasaan sebenarnya.

Sudah hampir lima bulan dia dan Hani menjadi teman sebilik di asrama. Dalam tempoh lima bulan tersebut, dia cuba menyelami sikap Hani yang agak pendiam dan suka menyendiri itu.

Farra masih ingat. Pada hari pertama dia melihat Hani, dia juga seperti pelajar lain yang mengganggap Hani sombong. Mungkin kerana perwatakannya yang agak pendiam dan kurang bergaul itu membuatkan orang lain mengganggapnya begitu. Namun setelah tinggal sebilik dan mengenali hati budi masing-masing, dia berani jamin bahawa anggapan teman-teman mereka terhadap Hani ternyata silap.

Jika dibandingkan dengan pelajar Komunikasi dan Media yang lain, Hani kelihatan biasa saja dengan T-shirt dan seluar jeans tanpa mekap dan dandanan. Rambutnya yang panjang melepasi bahu selalu diikat satu ke belakang. Lantaran itu, Hani dikatakan kolot dan tidak pandai bergaya. Tidak layak masuk jurusan Komunikasi dan Media yang seharusnya mementingkan penampilan. Namun Hani tidak sedikit pun terasa hati dengan kata-kata itu kerana baginya ’biarlah tak bergaya, asalkan kaya.’

Di sebalik sikapnya yang sederhana itu, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bahawa keluarga Hani merupakan keluarga berada. Bapa Hani memiliki sebuah syarikat penerbitan buku di Janda Baik, Pahang manakala ibu Hani merupakan seorang pensyarah di sebuah kolej di Kuantan. Kakak Hani pula mula berjinak-jinak dengan perniagaan hiasan dalamannya. Minat Hani pula lebih menjurus ke arah penerbitan terutamanya penulisan novel. Menurut Hani, mungkin darah seninya itu diwarisi oleh arwah datuknya yang sememangnya gemar menulis.

Farra kagum dengan penampilan Hani yang sederhana walaupun dia tahu Hani mampu membeli pakaian yang berjenama. Mungkin hasil didikan kedua-dua orang tuanya, Hani lebih suka bersederhana. Namun bukan duit Hani yang dipandangnya sebaliknya sikap Hani yang baik hati dan penyayang.

Pernah Hani tidak ke kuliah kerana menjaganya yang demam. Empat hari dia terlantar di katil dan selama itu jugalah Hani menolongnya mencuci baju, menyalin nota kuliah yang dia tertinggal dan membelikan makanan. Bahkan Hani tidak pernah memintanya membayar kembali jumlah harga makanan tersebut. Sejak itu, mereka menjadi teman rapat dan dia mula mengetahui rahsia hidup Hani yang selama ini disimpan kemas daripada pengetahuan orang lain.

Pernah suatu malam, Farra terjaga daripada tidurnya apabila terdengar suara orang menangis. Dia melihat ke katil Hani. Bahu Hani kelihatan terhinjut-hinjut seperti orang sedang menangis. Dia bangkit daripada katilnya lalu merapati katil Hani.
“Hani... Kenapa ni? Kau sakit ke?”

Hani segera menyeka air matanya apabila terlihat temannya itu. Namun kesedihannya itu tidak dapat dibendung lagi. Tangisannya semakin menjadi-jadi.

“Hani, kenapa ni?” pujuk si teman lembut. “Ceritalah kat aku. Mungkin kau akan rasa lega.”

Malam itu setelah Hani membuka cerita, barulah dia mengetahui bahawa teman lelaki Hani telah berkahwin dengan perempuan lain kerana tidak sanggup menunggunya hingga tamat pengajian.

Memang dasar lelaki! Tak menyempat-nyempat.

Arri empat tahun lebih tua daripada Hani. Hani dan Arri diperkenalkan oleh seorang teman ketika mereka bermain bowling beramai-ramai di sebuah kompleks membeli-belah di Kuantan. Sedang kawan-kawan lain sibuk bersorak membuat balingan, Arri datang mendekati Hani. Mereka mula berbual-bual dan saling bertukar nombor telefon.

Hubungan Hani dan Arri tidak diketahui oleh orang tua Hani lantaran masing-masing sibuk bekerja dan tidak ada masa untuk mengambil tahu. Kakak Hani pula bersekolah asrama dan jarang-jarang berada di rumah. Sikap Arri yang prihatin dan sering mengambil berat akan perihal dirinya membuatkan Hani berasa dekat dengannya.

Kehadiran Arri dalam hidupnya membuatkan rindunya kepada belaian ibu bapanya terubat sedikit sebanyak.

Hubungan Hani dan Arri berjalan lancar hinggalah Arri melamarnya untuk berkahwin. Ekoran lamarannya ditolak, Arri mengambil keputusan memutuskan hubungan mereka..

“Hani, kau ingat lagi tak masa kita mula-mula jumpa dulu?” si teman sengaja menukar topik apabila tiada respon daripada Hani sejak tadi.

Mestilah ingat. Masa tu masing-masing macam orang asing. Kalau tegur pun setakat bertanya perihal kuliah ataupun nak pergi makan. Memandangkan kelas mereka tidak jauh, setiap hari mereka berjalan kaki bersama-sama ke kelas. Namun begitu, mereka tidak banyak berbual. Tapi kini hubungan mereka sangat akrab dan selalu bersama ke mana-mana sahaja. Hani tersenyum sendiri apabila mengenangkan perkara itu.

“Kau tahu Hani? Aku suka tengok kau senyum. Comel...” ujar Farra. “Tak ada gunanya kau menyiksa diri mengenang perkara yang menyakitkan hati. Kau kena lupakan dia dan buka cerita baru,” Farra menambah.

“Kau cakap senang, Far. Tapi yang menanggungnya aku,” luah Hani.

“Aku rasa sampai bila-bila pun kau takkan dapat lupakan dia kalau kau terus bersikap macam ni,” tegas Farra. “Aku tahu bukan senang kau nak hadapi semua ni. Tapi Hani...” Tangan Hani digenggam erat. “Aku nak kau tahu yang aku akan selalu ada untuk kau.”

Hani terharu mendengar kata-kata yang keluar daripada bibir itu. Memang sejak dari hari pertama dia di sini temannya inilah yang banyak menolongnya. Baik soal pelajaran mahupun hal peribadi. Sememangnya dia beruntung mempunyai sahabat seperti Farra.

“Hani, kenapa kau menangis? Aku salah cakap ke?” Farra mula mengelabah melihat air mata teman baiknya itu berlinangan. “Yalah, yalah. Aku janji aku takkan sebut pasal dia lagi,” Farra berlagak seolah-olah mengunci mulutnya sambil sebelah tangannya masih memegang tangan Hani.

Hani menyapu air mata di pipinya.

“Aku menangis bukan sebab dia. Aku menangis sebab aku rasa akulah orang yang paling bertuah di dunia ni sebab dapat kawan yang baik macam kau.”

Farra tersenyum bangga mendengar pengakuan Hani.

“Aku tahu kau tak boleh hidup tanpa aku,” usik Farra. “Dahlah, jangan nangis. Macam budak kecik ja. Malu orang tengok.”

Usikan Farra membuahkan senyuman di bibir Hani.

“Dah, jom kita pergi minum kat kafe,” ujar Farra setelah Hani tenang semula.

“Tak naklah. Kau ajalah yang pergi,” Hani menolak. Dia masih ingin meneruskan pembacaannya. Memang menjadi hobinya, duduk di perpustakaan menghabiskan masa membaca novel yang terdapat di situ. Namun jalan cerita novel yang dibacanya tadi mengingatkannya kepada Arri.

“Ala... Jomlah. Sanggup kau biarkan kawan kau ni minum sorang-sorang? Nanti ada orang ngorat aku macam mana?” Farra bercanda lagi. “Jomlah,” Farra merengek manja persis si anak kecil.

“Yalah, yalah,” Hani mengalah. “Tapi kau belanja.”

“Tak ada hallah,” Farra gembira mendengar jawapan Hani lalu tanpa disuruh tangannya pantas mengemas buku-buku yang berselerakan di meja itu sambil diperhatikan Hani.

“Jom,” Farra memaut lengan Hani melangkah ke kafeteria berdekatan.

Tiada ulasan: