Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 13

Dia memandang gadis itu. Dari tadi gadis itu hanya termenung hinggakan kehadirannya tidak disedari.

“Menungnya jauh amat. Sudah sampai ke mana?’

Gadis itu tersentak lantas menoleh ke suara itu.

“Eh, Dim! Dah lama ke kau sampai?”

“Adalah dalam satu jam,” ujar Dimas bergurau. Entah apa yang difikirkannya sampai aku datang pun dia tak sedar.

“Ah, tipu!”

Hani tahu Dimas hanya bergurau. Takkanlah satu jam dia tengok aku termenung?

“Baru aja. Kamu kenapa sih, Han? Dari tadi aku lihat kamu menung terus. Ada masalah?”

“Tak ada apalah,” bohong Hani. Perlu ke aku ceritakan perkara ni kepada Dimas?

“Mahu cerita sama aku?”

Macam serius aja. Besar sangat ke masalahnya?

Hani memandang Dimas. Mata mereka bertaut. Lama. Akhirnya Hani tunduk mengalah. Dia tewas dengan renungan Dimas.

“Dim, kenapa kau baik sangat dengan aku?“ soal Hani setelah diam sejenak. Dia sendiri tidak tahu macam mana dia boleh rapat dengan Dimas. Yang jelas, dia bebas menjadi dirinya sendiri dan menceritakan apa saja apabila bersama Dimas. Mungkin keserasian yang wujud antara dia dan Dimas membuatkannya berasa selesa.

“Kenapa kamu tanya begitu?”

“Jawab soalan aku, Dim.”

“Ya, apakah kita harus punya sebab untuk berkawan dengan seseorang?”

“Tapi aku tak faham. Kita kan baru aja kenal tapi kau baik sangat dengan aku. Tak macam kawan sekelas aku. Walaupun kita orang dah kenal satu semester tapi aku masih rasa yang dia orang belum kenal aku yang sebenarnya,” luah Hani.

“Kita kan hanya manusia biasa. Kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Lumrah hidup. Ada yang suka dengan kita, ada yang tak suka. Tapi kita tidak dapat memaksa mereka untuk menyukai kita.”

“Dim, kau belum jawab soalan aku,” Hani kurang berpuas hati dengan jawapan Dimas. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya.

“Ok, ok. Sejujurnya, aku senang sekali berkawan dengan kamu. Kamu berbeza. Kamu punya pendirian sendiri dan kamu tidak mudah terikut-ikut dengan orang lain. Di saat pelajar perempuan lain sibuk berdandan dan berhias diri, kamu tetap begini,” ujar Dimas.

Hani memang simple. Hanya memakai t-shirt dan berseluar poket di tepi. Rambutnya yang panjang itu diikat ke belakang. Tidak pernah dia lihat rambut itu dibiarkan lepas mengurai.

“Maksud kau, aku kolotlah?” tanya Hani. Bukan dia tidak pernah dengar apa yang orang kata mengenai penampilannya. Kolotlah. Tak pandai bergayalah. Tak mencerminkan pelajar Komunikasilah. Macam-macamlah!

Suka hati akulah nak pakai baju apa pun! Dia orang ke yang bayar duit baju aku? Adakah kerana penampilan aku yang tidak sevogue pelajar Komunikasi dan Media yang lain, maka aku dianggap lurus dan tidak tahu apa-apa? Siapa dia orang untuk menilai aku?

Bukan itu sahaja, malah keakraban dia dengan Dimas juga turut menjadi perbualan mereka. Ada yang mengatakan bahawa dia rapat dengan Dimas sebab nak cari glamour.
Dia orang ingat aku ni macam dia orang ke? Gila glamour! Ingat aku suka ke jual muka kat orang? Kadang-kadang manusia ni pelik tahu. Diri itu suka sangat dengki bila tengok orang lain senang. Aku tak campur urusan dia orang, kenapa dia orang sibuk nak kacau urusan peribadi aku? Aku baik dengan Dimas pun nak jadi isu besar.

“Bukan itu maksud aku. Aku suka kamu begini. Sederhana. Dan yang paling penting, aku senang banget sama kamu,” aku Dimas jujur. “Macam mana dengan jawapan tu? Bisa diterima?”

Hani mengangguk.

“Nah, sekarang giliran aku yang nanya. Ada apa sih sebenarnya? Kok soalan kamu aneh?”
Hani diam. Nak cerita ke tak?

Kelmarin setelah didesak, barulah Farra memberitahunya yang selama ini Tasya menyukai Dimas. Lantaran itu, Tasya marah kerana dia rapat dengan Dimas.

Salah ke aku baik dengan Dimas? Nak kata Tasya tu girlfriend Dimas, Dimas pun tak pernah sebut pasal Tasya. Entah-entah Tasya pun Dimas tak kenal. Jadi, patutkah aku yang dipersalahkan? Apa hak Tasya untuk menghukum aku?

Aku bukanlah orang yang suka mencari musuh. Aku rasa aku dah buat apa yang sepatutnya. Aku tebalkan muka jumpa dengan dia walaupun aku tahu aku tak buat salah apa-apa. Tasya tu aja yang terlalu emosional.

“Tasya, boleh aku cakap dengan kau sekejap?”

“Kau nak cakap apa? Aku rasa antara kita dah tak ada apa yang nak dicakapkan,” ujar Tasya kasar.

“Tasya, please… Aku rasa ada salah faham antara kita. Bagilah aku peluang untuk menerangkan perkara yang sebenar. Kita kan satu kelas. Aku tak nak kita bermasam muka lama-lama,” pujuk Hani.

“Baik, aku bagi kau masa lima minit.”

“Farra dah cerita kat aku pasal kau dengan Dimas.”

“So?”

“Aku cuma nak bagi tahu kau yang aku dengan Dimas cuma berkawan. Aku tak ada apa-apa hubungan istimewa dengan Dimas,” jelas Hani dengan harapan Tasya tidak marah lagi namun maki hamun yang diterimanya.

“Kawan? Kau ingat aku bodoh ke? Hei, Hani. Kau ingat aku ni rabun macam kau ke? Kalau dah selalu berkepit, gurau senda depan orang ramai, kawan apa namanya tu?” suara Tasya mula meninggi.

“Tasya, aku cakap betul. Kita orang tak ada apa-apa. Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya sendiri pada Dimas.”

“Kau ni memang pandai berlakonlah, Hani. Kenapa kau tak ambil khusus lakonan aja?”
Macam mana aku nak tanya Dimas sedangkan kita orang pun bukannya kenal sangat pun. Lagipun takkan tiba-tiba aku nak tanya dia pasal hubungan dia dengan Hani? Nanti dia ingat aku gila.

“Tasya, aku….”

“Sudahlah, Hani. Kau ni nampak aja baik. Tapi sebenarnya hati busuk!”

Hani tergamam mendengar tuduhan Tasya. Tidak ada gunanya dia cuba menjelaskan perkara itu lagi. Tasya sudah membuat andaiannya sendiri.

“Begitu ceritanya,” Hani mengakhiri ceritanya tanpa menyebut nama si lelaki.
Lebih baik aku tak sebut nama dia. Nanti Tasya marah aku pula kalau aku cakap kat Dimas yang dia suka kat Dimas.

“Dim, apa yang harus aku buat?”

“Menurut aku, kalau Tasya sendiri yang tidak mahu mendengar penjelasan kamu, itu salah dia sendiri.”

“Tapi aku dengan Tasya kan belajar dalam kelas yang sama. Aku tak nak perkara ni berpanjangan.”

“Iya tapi kan kamu sudah berusaha.”

“Dim, kau boleh tolong aku kan?”

“Bisa. Kamu mahu aku tolong apa?”

Aku sanggup lakukan apa aja asalkan kamu senang.

“Kalau macam tu, kau boleh kan tolong aku cakap kat Tasya. Dia mesti percaya cakap kau.”

“Lho…kenapa kamu yakin kalau Tasya akan percaya dengan aku?”

“Sebab…” Hani ragu-ragu. Apa reaksi Dimas kalau dia tahu yang Tasya suka kat dia? “Sebab…err… lelaki itu adalah kamu.”

“Hah?” Dimas terkejut. Kok nggak dibilang dari tadi? Tasya suka kat aku? Tasya itu yang mana satu ya?

“Please Dim…”

“Kamu mahu aku cakap apa dengan Tasya?”

“Kau bagi tahu ajalah perkara yang sebenar. Yang kita ni tak ada apa-apa hubungan istimewa. Kita cuma berkawan. Kawan biasa.”

“Siapa kata yang kita cuma berkawan biasa?”

Hani memandang Dimas. Kita kan memang berkawan aja. Lagipun kau tak pernah cakap pun yang kau suka ataupun sayang kat aku.

Dimas diam. Haruskah aku berterus-terang kepada Hani sekarang? Kalau aku bagi tahu perasaan aku yang sebenar, adakah dia akan menerima aku? Adakah perasaan yang lahir ini akan mengubah persahabatan aku dan Hani? Kalau aku tak ambil peluang ini, masih adakah peluang seperti ini di lain waktu?

“Maksud aku, mana mungkin persahabatan kita seperti kawan biasa. Aku sayang kamu, Han,” ucap Dimas.

Apa aku salah dengar ni? Dimas cakap dia sayangkan aku? Dimas sayangkan aku? Mengarut aja si Dimas ni. Saja nak kenakan akulah tu. Jangan tertipu, Hani!

“Dim, dalam waktu macam ni pun, kau masih nak bergurau?”

“Siapa pula yang bergurau? Aku serius ni.”

Hani kaget. Serius betul muka dia. Betul ke dia sayangkan aku?

“Sayang yang macam mana?” Hani sengaja menduga Dimas. Memang ada kalanya layanan Dmas terhadap dirinya membuatkannya berasa istimewa. Lelaki itu selalu ada tatkala dia memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan. Namun dia tidak mahu mudah terbuai oleh kata-kata manis lelaki. Justeru, dia sering menanamkan dalam dirinya bahawa dia dan Dimas hanya kawan. Tidak boleh lebih!

“Aku sayang kamu seperti aku menyayangi Erwin, Sukry, Armand dan Andin. Kamu kan teman baik aku. Aku senang sekali berkawan dengan kamu dan aku tidak mahu kehilangan teman sebaik kamu,” ujar Dimas walaupun sebenarnya dia sudah terlanjur menyayangi Hani lebih daripada seorang teman. Namun dia tidak mahu menjejaskan persahabatannya dengan Hani gara-gara perasaan cintanya kepada gadis itu. Cinta kan tak seharusnya memiliki tetapi memberi.

Yang pasti, jika Hani sedih, dia turut merasai rasa itu dan jika Hani gembira, hatinya turut berbahagia. Melihat senyuman Hani sahaja sudah cukup untuk membuatnya bahagia. Jika Hani juga merasai apa yang dirasainya saat ini pasti dia tidak akan ragu-ragu untuk meluahkan perasaannya yang sebenar.

Tetapi bagaimana kalau aku hanya bertepuk sebelah tangan? Pasti hubungan ku dengan Hani akan terjejas. Mungkin berkawan itu adalah lebih baik.

“Kamu juga sayangkan aku kan?”

“Haruslah! Kau kan kawan baik aku,” Hani mengeluh lega. Nasib baik sayang sebagai seorang sahabat. Buat saspen aku aja. “Jadi, kamu tolong aku kan? Please Dim. Katakan yang sebenarnya kepada Tasya.”

“Apa saja aku sanggup lakukan buat kamu tapi yang ini tidak, Han.”

“Kenapa? Kau cuma bagi tahu yang sebenarnya aja. Tak susah pun.”

“Aku minta maaf, Han. Rasanya tak bisa.”

“Tapi kenapa?”

“Kamu sendiri cakap yang Tasya itu suka pada aku. Jadi, kalau aku cakap kat dia yang kita ini tidak ada apa-apa, bukankah aku memberikan harapan kepada dia? Terus-terang aku cakap yang aku tidak pernah suka pada Tasya kerana aku sendiri tidak pernah kenal dia”

Hani diam.

Betul juga. Tapi macam mana aku nak baik dengan Tasya balik? Kumpulan dia orang berpecah pun sebab aku.

“Aku rasa lebih baik kamu biarkan dia tenang dulu. Mungkin sekarang Tasya lagi emosi. Aku yakin dia dapat berfikir dengan waras apabila marahnya reda.”

“Harap-harap macam tulah.”

“Sudahlah. Jangan difikirkan sangat. Minum yuk?”

“Ok, tapi kejap aja tahu. Aku janji dengan Farra nak pergi pesta buku kat PWTC pukul tiga nanti.”

“Pesta buku? Kok aku tak diajak?”

“Bukan aku tak nak ajak tapi kau kan tak suka buku. Nanti kau bosan pula kat sana.”

“Aku tak pernah bosan bila bersama kamu.”

“Kau ni kan Dim, memang pandai betul bermanis mulut.”

“Tahu dari mana mulut aku manis? Kok kamu pernah rasa?” Dimas mengusik nakal.

Hani memukul lengan Dimas. Geram!

“Adoi! Canda aja kok.”

Padan muka! Nak bergurau pun janganlah sampai masuk bab-bab lapan belas ke atas.

“Tapi kan Dim, aku peliklah. Kenapa kau tak ada girlfriend eh?”

“Kerana tidak ada siapa yang mahu sama aku,” seloroh Dimas.

Aku tak kisah pun kalau orang lain tak mahu sama aku. Yang aku kisah kalau kamu tak mahu sama aku.

Yalah tu. Macamlah aku tak tahu ramai yang tergila-gila kat kau.

“Tasya suka kat kau.”

“Yalah tapi aku tak suka dia.”

“Kau ni memilih sangat tak?”

“Ya, haruslah memilih. Seboleh-bolehnya aku mahu girlfriend aku itu juga yang menjadi isteri aku nanti. Aku tak mahu bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain dan bernikah dengan orang lain.”

“So perempuan yang macam mana yang kau suka? Yang seksi? Yang berambut panjang? Ataupun yang ayu bertudung?”

“Aku tak pernah menetapkan ciri-ciri atau syarat-syarat yang girlfriend aku itu harus begini atau begitu. Pokoknya kalau hati aku sudah suka, suka ajalah. Kerana menyukai seseorang itu tidak memerlukan sebarang sebab. Perasaan itu kan datang sendiri.”

Hani mengangguk-angguk. Bagus betul jawapan dia. Kenapa aku suka Arri dulu eh?

“Kamu tanya ni kerana kamu mahu jadi girlfriend aku ya?”

“Ah, ke situ pula! Tak nak cakap lagilah,” Hani melangkah meninggalkan Dimas. Orang saja tanya. Tak nak aku jadi girlfriend kau!

“Hani, tunggu!” Dimas mengejar langkah Hani. Adakah Hani juga suka sama aku?

Dimas menyaingi langkah Hani. Mereka melangkah beriringan ke perhentian bas di hadapan kolej. Nasib mereka baik apabila sebuah bas tiba sejurus mereka menapak di situ.

Ekoran penumpang yang ramai, mereka terpaksa berdiri. Bahkan isi bas itu terasa seakan padat. Macam ikan sardin di dalam tin. Pemandu bas ni pun dah tahu penumpang dah penuh, lagi nak disumbat!

“Masuk lagi! Boleh lagi tu!”

Nak masuk dalam mana lagi? Dah tahu penuh, lagi nak suruh orang naik. Getus Hani di dalam hati.

Isi di dalam bas itu terlalu padat sampai ke pintu. Keadaan yang terlalu sesak itu membuatkan para penumpang terpaksa menahan diri mencium berbagai-bagai bau dan aroma yang kurang menyenangkan. Tambah-tambah petang-petang begini, ramai yang baru pulang dari kelas. Jadi suasananya tidaklah senyaman dan sesegar seperti pada waktu pagi.
Baru beberapa sentimeter bas itu bergerak, tanpa dijangka, bas itu berhenti secara tiba-tiba apabila cuba mengelak daripada melanggar kereta di hadapannya. Hani terdorong ke arah Dimas.

“Kamu tak apa-apa kan?” Dimas membantu Hani menyeimbangkan dirinya.

“Tak,” Hani pantas menjarakkan dirinya daripada Dimas. Jantungnya berdegup kencang. Seakan ada rasa aneh mula bercambah di hatinya.

Tiada ulasan: