“HA,
cerita baik apa yang kau nak kongsi dengan aku tadi? Siap belanja makan lagi ni,”
tanya Fauziah tidak sabar sejurus mereka selesai memesan makanan.
Alang-alang
Elfira nak belanja makan, Fauziah memesan Chicken
Chop yang jarang-jarang dia dapat makan tu. Elfira pula memesan Spagetti Carbonara. Memang tekak barat
mereka malam ni. Maklum sajalah sebelum ini asyik makan nasi saja. Sesekali
pekena western apa salahnya.
“Saja, tiba-tiba aku rasa nak
belanja kau makan,” jawab Elfira sambil menguntum senyuman. Entah kenapa dia
rasa nak senyum saja hari ni.
“Takkan tiba-tiba? Ni mesti ada
sesuatu yang buat kau gembira ni, kan?” Fauziah masih cuba merisik.
“Mestilah. Hari ni kan aku pergi
hantar assignment yang aku kena buat
dengan Danish tu,” cerita Elfira.
“Eh, dah siap ke assignment tu?” soal Fauziah, pelik.
“Mestilah dah. Tengok oranglah,”
ujar Elfira bangga.
“Wah! Tahniah, tahniah!” ucap
Fauziah. “Tapi kan, aku tak pernah nampak pun kau buat assignment tu dengan dia. Tup, tup je dah siap.”
Seingat Fauziah, Elfira hanya
terperap di dalam bilik menyiapkan assignment
tersebut. Tak adalah pula Elfira memberitahunya yang dia keluar buat assignment dengan Danish. Kata kerja
berpasangan, bukan?
“Ha, sebab aku bijak!” Elfira memuji
diri sendiri.
Fauziah buat muka blur.
“Aku bagi-bagi tugas dengan dialah.
Tak naklah aku duduk berdua dengan dia,” jelas Elfira.
“La, macam tu pulak?”
“Dia pun okey aje. Tak bantah.”
“Okeylah tu, jangan kau pulak kena
badi ‘repeat’ dia!” usik Fauziah.
“Isy, mulut!” Elfira pantas menegur
Fauziah.
Bab
mengulang subjek ni jangan disebut-sebut. Dia dah plan elok-elok nak habis study
tepat pada masanya. Tak nak main-main. Tak pernah dalam sejarah keluarganya ada
yang kena ulang subjek. Mahu dia kena bambu
dengan emak dan abahnya.
Fauziah
tergelak.
Elfira
sudah mencebik.
“So,
nampaknya lepas ni dah tak ada cerita pasal Danish lagilah ya.” Fauziah masih
belum mahu menamatkan cerita tentang manusia yang bernama Danish itu.
“Nope!”
balas Elfira dengan yakin.
“Alah, bosannya. Sekejap sangat. Tak
sempat nak sampai klimaks lagi. Rasa tak puas pula,” keluh Fauziah.
“Baguslah sekejap. So, aku tak payah jumpa dia lagi,” balas
Elfira.
“Kau pasti ke yang kau takkan jumpa
dia lagi?” usik Fauziah. Sengaja menduga hati Eisya.
Elfira terdiam sejenak. Memikirkan
kata-kata Fauziah.
Adakah
dia pasti yang dia tidak akan berjumpa dengan Danish lagi?
Err...
USAI
makan, mereka terus berlalu ke kaunter untuk membuat bayaran. Sememangnya
mereka berdua bukanlah jenis pelajar yang gemar melepak di kedai-kedai makan. Hanya
sekali-sekala saja apabila dah jemu dengan makanan yang dihidangkan di dewan
makan.
Ketika berpaling setelah selesai
membuat bayaran, Elfira terpandang dua wajah yang amat dikenalinya. Kedua-duanya
nampak mesra sekali. Macam pasangan bercinta pula.
Elfira menahan tangan Fauziah ketika
temannya itu ingin berlalu. Fauziah hampir terjatuh apabila tiba-tiba ditarik
begitu.
“Gee,
tu Anzalna, kan?” tanya Elfira untuk mendapatkan kepastian.
Manalah
tahu kut-kut matanya salah tengok. Matanya pun bukannya terang sangat. Takut
dia tersalah orang pula.
Fauziah memandang ke arah yang
dikatakan. Dia mengamati wajah yang dilihat.
“Yalah
tu, Anzalna. Kenapa?” soal Fauziah pula.
“Tak adalah, tadi aku ajak dia makan
sekali, dia kata tak dapat join. Nak
jumpa kawan katanya,” terang Elfira.
“Kawan dialah tu agaknya.” Fauziah
yang tidak mengenali lelaki yang bersama Anzalna itu memberi pandangan.
“Kalau kau nak tahu, lelaki yang dengan
dia tulah Irwan,” balas Elfira.
Seperti
perihal Danish, perihal Anzalna dengan Irwan pun diceritakan kepada Fauziah. Jadi,
Fauziah turut mengetahui akan perhubungan Anzalna dan Irwan.
“Ha, ya ke? Boleh tahan.” Fauziah
kembali memandang Anzalna dan Irwan yang sedang berbual-bual mesra tanpa
menyedari kehadiran mereka. “Kau nak join
dia orang ke?”
“Tak payahlah, kita balik ajelah
jom.” Elfira menarik tangan Fauziah berlalu dari situ. Dia tidak mahu Anzalna
atau Irwan menyedari yang mereka berada di situ.
Dalam hati, Elfira mula bertanya
sendiri.
Kenapa
Anzalna tidak memberitahunya kawan yang dikatakan itu adalah Irwan? Bukannya
dia tak kenal Irwan.
Kenapa
Anzalna harus menyembunyikan perkara itu?
Dia
mula berasa tidak sedap hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan