Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Julai 10, 2021

Kerana Dia... Kamu! (Bab 2)

 


“AKU rasa memang kau kena kahwin kut supaya dia tak kacau kau lagi,” Dayana memberikan cadangan apabila Aulia bercerita tentang kejadian semalam ketika mereka bersarapan bersama di pejabat pagi itu.

            “Cakap memanglah senang. Aku nak kahwin dengan siapa?” Aulia melepaskan keluhan. Macamlah soal nikah kahwin ni benda senang. Cakap saja nak kahwin, esok terus dah boleh kahwin!

            “Pian kan ada!” usik Dayana.

            “Ee, senangnya kau bercakap! Daripada dia kahwin dengan aku, baiklah dia kahwin dengan si Fareha tu. Dah sah-sah si Fareha tu syok dekat dia,” ujar Aulia. Kahwin dengan Sufian? Dia langsung tidak pernah terfikir sampai ke situ. 

            “Memanglah Fareha tu syok dekat Pian tapi Pian tak syok dekat dia pun. Dia tu saja yang lebih-lebih.” Dayana tidak bersetuju langsung jika Sufian memilih Fareha sebagai isteri. Tak sesuai!

            “Habis tu, kau ingat Si Pian tu syok dekat aku?” balas Aulia geram.

            Dayana tersengih.

            “Kalau kau nak, aku boleh tanyakan.”

            “Isy, tak payah! Kau jangan nak memandai-mandai ya. Tak ada maknanya dia nak syok dekat aku,” Aulia memberi amaran. Bukan boleh percaya sangat si Dayana ini. Buatnya betul dia tanya pada Sufian, malu dia nanti. Tidak pasal-pasal pula nanti Sufian ingat dia ada hati pada Sufian.

“Manalah tahu, kan? Tapi, aku tengok dia dengan kau macam sepadanlah. Sesuai sangat!” Dayana benar-benar memaksudkan kata-katanya. Kalau benar ada jodoh Aulia dengan Sufian, dia sokong seratus peratus!

“Banyaklah kau punya sesuai!” marah Aulia, seakan-akan kurang senang dengan gurauan Dayana. Dia tidak suka dikenen-kenenkan sebegitu. Orang itu tak ada apa-apa, takkan dia pula yang hendak lebih-lebih?

“Kau tahu Lia, aku selalu doakan supaya kau bahagia semula. Tak kisahlah dengan sesiapa pun. Kalau masih ada jodoh kau kat dunia ni, kahwinlah,” nasihat Dayana.

“Terima kasihlah Dee sebab selalu doakan aku. Aku sebenarnya dah malas nak fikir pasal kahwin ni. Serik!” luah Aulia. Jika ditakdirkan hidupnya begini sehingga tua, dia reda. Untuk berkahwin lagi? Rasanya perkara itu sudah tiada dalam kamus hidupnya. Cukuplah sekali sahaja.

“Lagipun, umur aku pun dah berapa? Lagi tiga tahun dah nak masuk 35. Dah tak larat nak beranak,” seloroh Aulia.

“Eleh, macamlah kau tu dah tua sangat! Umur 35 tu muda lagilah. Masih boleh beranak. Lainlah kalau 53 tahun,” tegas Dayana. Sedikit geram dengan pendirian Aulia.

“Siapalah yang nak dekat aku ni, Dee oi?” ujar Aulia merendah diri. Dia masih sedar diri. Dengan statusnya sekarang, susah hendak cari lelaki yang benar-benar dapat menerima dirinya.

“Habis, yang si Izwan tu dok kejar kau tu apa?” sindir Dayana.

Aulia tayang wajah tidak suka apabila nama itu disebut.

“Itu lain. Kau pun tahu aku ada sejarah buruk dengan keluarga dia. Lagipun, aku tak suka dia,” balas Aulia. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali jika dia menerima Izwan sebagai suami.  

“Kalau orang tu, kau suka?” Dayana menunjuk ke arah pintu masuk pejabat mereka.

Aulia memandang ke arah yang dikatakan. Ketika itu juga pandangannya dan Sufian berlaga. Sufian menghadiahkan senyuman kepadanya. Spontan dia membalas senyuman itu. Namun senyumannya mati tatkala terlihat Fareha menyapa Sufian mesra sebelum kedua-duanya menghilang bersama-sama. Mungkin mereka keluar untuk bersarapan bersama.

Situasi itu membuatkan Aulia sedar bahawa dia dan Sufian tidak mungkin bersama. Siapalah dia jika mahu dibandingkan dengan Fareha yang masih muda dan bujang itu? Komen Dayana yang mengatakan dia dan Sufian sepadan tadi segera diusir jauh-jauh.

 

 

 

HATI Aulia berdebar-debar tatkala melangkah keluar dari pintu bangunan tempat kerjanya. Bimbang sekiranya Izwan muncul lagi seperti semalam. Lelaki itu bukannya faham bahasa. Makin dilarang, makin dibuatnya.

            Setelah beberapa langkah dia menjauhi bangunan Tower 7 di The Horizon Bangsar South itu, rasanya dia boleh menarik nafas lega kerana tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Izwan berada di situ. Memikirkan itu, dia melangkah dengan senang hati.

“Lia!”

Kur semangat! Sudahlah datang tidak diundang, salam pun tidak diberi. Hampir gugur jantungnya apabila disapa secara mengejut begitu. Izwan memang suka membuat kejutan kepadanya.

            “Ya Allah, abang! Terkejut Lia tau! Kenapa tak beri salam?” Aulia memegang dadanya.

            “Ops! Sorry. Assalamualaikum, Lia sayang,” ucap Izwan sambil tersenyum segaris.

            Aulia tayang muka kurang senang mendengar panggilan itu meniti daripada mulut Izwan. Kenapalah Izwan tidak boleh membiarkan dia hidup dengan tenang?

            “Hari ni teman lelaki Lia tu tak hantar Lia balik ke?” Sengaja Izwan menekankan perkataan teman lelaki itu. Dia sedikit pun tidak percaya yang Sufian itu teman lelaki Aulia.

“Hari ni Lia balik sendiri,” balas Aulia masih cuba berlagak selamba walaupun dia tahu Izwan mungkin sudah dapat mengagak bahawa Sufian itu bukan teman lelakinya dalam erti kata yang sebenar.

            “Baguslah kalau macam tu. Jadi, bolehlah abang hantar Lia balik hari ni, kan?” Izwan menawarkan diri. Dia masih belum berputus asa dan akan terus cuba memenangi hati Aulia.

            “Tak apalah, bang. Susahkan abang saja,” Aulia cuba berdalih.

            “Susah apanya? Bukannya jalan kaki. Naik kereta, kan? Jomlah,” ajak Izwan.

“Lia tak naklah, bang!” Aulia menolak.

Sejak Izwan meluahkan perasaan kepadanya, dia berasa takut dengan Izwan. Takut Izwan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya. Dia tidak tahu mengapa tetapi dia sering berasa tidak selamat apabila bersama dengan Izwan.

“Alah, jomlah...” Izwan menarik tangan Aulia namun Aulia pantas meleraikan pegangan tangan Izwan.

            “Apa abang ni?” marah Aulia. Dia kurang senang dengan kelakuan Izwan. Suka-suka hati sahaja hendak pegang-pegang tangannya.

            “Okey, abang minta maaf!” ucap Izwan apabila menyedari keterlanjurannya. Dia tahu Aulia bukan wanita yang suka dipegang sesuka hati. “Kenapa susah sangat Lia nak terima pelawaan abang? Abang cuma nak hantar Lia balik saja.”

            “Abang tu yang susah sangat nak faham! Lia dah kata Lia tak nak balik dengan abang, kan?” Aulia mula hilang sabar. Perasaan hormat terhadap Izwan juga semakin menipis. Mungkin dia nampak lemah lembut tetapi hal itu tidak bermakna yang dia akan menurut segala permintaan Izwan.

“Sayang, kat sini pun awak. Puas saya cari. Kan saya suruh awak tunggu saya balik sekali?”

Suara itu membuatkan Aulia dan Izwan serentak menoleh.

            Sufian!

            Aulia lega, namun Izwan pula bengang.

            Sufian merapati Aulia.

“Sebab itulah saya tak bagi awak balik sendiri,” ujar Sufian sambil memandang Izwan.

            Walaupun Aulia berasa pelik macam mana Sufian boleh berada di situ pada waktu itu tetapi dia rasa bersyukur sangat kerana Tuhan hantarkan Sufian untuk melindunginya daripada gangguan Izwan.

            “Kau tahukan dia ni bakal isteri aku?” Sufian bersuara keras. Seakan-akan cuba memberi amaran kepada Izwan.

            So? Kau bukan suami dia lagi, kan?” Izwan senyum mengejek.

            Dengan suara yang tegas, Sufian berkata, “Kalau kau terus ganggu dia macam ni, aku rasa aku kena cepatkan majlis perkahwinan kami kut.”

            Serentak Aulia dan Izwan memandang Sufian.

Tiada ulasan: