Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, Mac 21, 2014

Dia... Jejaka Pendiam - Bab 7


MEREKA sudah bersiap-siap untuk pergi ke dewan makan apabila sekali lagi telefon bimbit Eisya berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Selepas mengunci pintu bilik, Eisya mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Sambil berjalan, dia membaca mesej yang baru diterimanya.

            Keningnya berkerut tatkala melihat nama si pengirim.

“Irwan?” Eisya menyebut nama si pengirim perlahan namun masih dapat didengari oleh Fauziah.

            “Alah, bukan Danish ke?” usik Fauziah sambil tersengih.

            Eisya menghadiahkan jelingan maut kepada Fauziah. Sengaja mahu menakut-nakutkan Fauziah walaupun dia tahu jelingan mautnya itu langsung tidak berkesan kepada Fauziah.

            “Irwan ajak makan sekali. Macam pelik aje.” Eisya menyatakan kehairanannya. Tak pernah-pernah pula Irwan mengajaknya makan apatah lagi jika Syella tak ada. Entah-entah Irwan tersilap hantar SMS tak?

            “Apa yang peliknya?” tanya Fauziah.

            Eisya tidak menjawab pertanyaan Fauziah. Dia membalas kiriman SMS itu untuk bertanya sama ada Irwan tersilap menghantar SMS. Manalah tahu kut-kut Irwan nak hantar SMS kepada Syella tapi terhantar kepadanya. Malulah dia jika dibuatnya Irwan tersilap menghantar SMS.

            Dia sendiri pun tahu kedudukannya di mata Irwan. Dia ada atau tidak, Irwan mana pernah peduli. Kalau Syella tak ada saja, baru Irwan ambil peduli. Dan dialah yang menjadi PA tak bertauliah Syella untuk menjawab segala persoalan Irwan.

            Tak lama kemudian, SMS yang dihantar dibalas oleh Irwan.

            Eisya membaca SMS tersebut. Ternyata Irwan memang menghantar SMS itu kepadanya.

            “Irwan ajak makan kat kafe. Okey ke?” ujar Eisya seraya menaip SMS untuk dibalas kepada Irwan. Bertanyakan sama ada Syella ada bersamanya atau tidak.

            “Aku okey aje asalkan perut kenyang,” jawab Fauziah.

            Tanpa menunggu lama, SMS tadi mendapat jawapan. Eisya segera membaca SMS yang dibalas oleh Irwan.

            “Syella tak ada?”

            Bertambah-tambah rasa pelik dalam hatinya. Dalam benaknya mula terfikir akan sesuatu.

Sebelum ini Irwan jarang menghantar SMS kepadanya. Malah, boleh dibilang dengan jari. Itu pun setakat hal-hal penting saja dan jika dia tidak dapat menghubungi Syella. Tapi tiba-tiba saja Irwan menghantar SMS kepadanya dan mengajaknya makan? Tanpa Syella pula tu. Memang pelik bin ajaib!

Tiba-tiba dia teringat akan kejadian pagi tadi. Adakah mereka masih bergaduh gara-gara kejadian pagi tadi?

 

 

 

KETIKA mereka tiba di kafeteria, Irwan sudah pun berada di sana. Sejurus ternampak mereka, Irwan melambai. Melihatkan itu, Eisya dan Fauziah terus menghampiri Irwan.

Eisya mengambil tempat di depan Irwan manakala Fauziah pula duduk di sebelahnya. Eisya memperkenalkan Fauziah kepada Irwan. Irwan dan Fauziah saling berbalas senyuman tanda sapaan.

“Dah lama sampai ke?” tanya Eisya sambil melihat telefon bimbit di tangan Irwan. Hatinya kuat mengatakan bahawa Irwan pasti sedang menantikan mesej daripada Syella.

“Baru aje,” balas Irwan.

“Dah order makan ke belum?” tanya Eisya lagi apabila melihat hanya ada segelas teh ais di depan Irwan. Dia cuba bersikap biasa walaupun dia tidak biasa berjumpa dengan Irwan tanpa Syella. Kalau hanya dia dengan Irwan, memang dah lama dia menolak ajakan Irwan. Nasib baik Fauziah ada sekali.

“Tunggu kau oranglah,” jawab Irwan. Kemudian, dia menggamit salah seorang pelayan di situ. “Kau orang nak makan apa?”

 

 

 

SELEPAS memesan makanan dan minuman masing-masing, suasana menjadi sunyi. Ketiga-tiganya melayan perasaan sendiri.

Eisya memandang Irwan yang asyik dengan telefon bimbitnya. Dia mula bosan dengan suasana sunyi itu.

“Mesej dengan Syella ke?” Eisya sengaja menebak. Ingin memecah kesunyian sebenarnya. Dia memang tidak suka keadaan yang terlalu sunyi.

Irwan cuma tersenyum. Namun, Eisya perasan akan kehambaran pada senyuman itu. Pasti ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh Irwan dan sesuatu itu pastilah ada kaitan dengan Syella. Kalau tak, tak ada maknanya Irwan sanggup mengirim SMS kepadanya. Siap ajak makan lagi.

“Sya, aku pergi tandas kejap,” ujar Fauziah lalu bangkit ke tandas berhampiran. Seolah-olah memberi ruang kepada mereka berdua untuk berbicara.

“Jangan lama-lama tau,” pesan Eisya. Takut benar dia jika ada antara budak kelasnya yang nampak dia dan Irwan duduk berdua begitu. Nanti tak pasal-pasal dia kena gosip pula dengan Irwan. Lagi ‘mengamuk’ Syella jawabnya.

            Sebaliknya, Irwan pula memang berharap yang dia dapat berdua-duaan dengan Eisya. Kesempatan itu digunakan oleh Irwan untuk bertanya kepada Eisya tentang Syella.

“Sya, kau baik dengan Syella, kan?” umpan Irwan.

“Baiklah juga. Kenapa?” Eisya seakan-akan sudah dapat mengagak arah tuju perbualan Irwan. Seperti yang dia duga!

“Mesti kau tahu dia keluar dengan siapa, kan?”

            Eisya agak terkejut mendengar pertanyaan Irwan. Macam pelik pula apabila Irwan bertanya begitu. Biasanya Irwan lebih mengetahui segalanya tentang Syella berbanding dirinya. Walaupun dia dan Syella menghuni asrama yang sama tetapi Syella jarang bercerita tentang hal peribadinya.

“La, manalah aku tahu. Aku ingatkan dia keluar dengan kau,” balas Eisya.

            “Tak. Patutlah bila aku ajak keluar, dia tak nak. Rupanya dia keluar dengan lelaki lain,” adu Irwan. Entah mengapa dia berasa ingin mengadu kepada Eisya. Firasatnya kuat mengatakan Eisya orang yang dapat dipercayai dan seorang pendengar yang baik.

            “Mana kau tahu dia keluar dengan lelaki lain?” duga Eisya.

Tapi kalau betul Syella keluar dengan lelaki lain pun, dia tak rasa itu suatu kesalahan kerana Syella sudah menegaskan bahawa dia dengan Irwan tidak ada apa-apa hubungan istimewa selain kawan baik.

            Selama dia mengenali Syella, sememangnya Syella seorang yang ramah dengan semua orang. Mungkin disebabkan itu ada yang salah faham dengan layanan yang diberi. Mungkin Irwan salah seorang daripada mereka.

            “Aku telefon dia tadi, nak ajak makan. Dia kata dia kat luar. Lepas tu aku dengar suara orang lelaki kat sebelah dia,” terang Irwan.

            Eisya tidak tahu mahu memberi komen. Irwan kawan dia, Syella juga kawan dia. Tak tahu siapa yang harus dia menangkan. Tapi dia rela meminjamkan telinganya untuk sesiapa saja. Mungkin Irwan cuma mahu meluahkan perasaan.

“Aku tahu aku tak ada hak nak halang dia keluar dengan lelaki lain tapi aku agak kecewa bila dia macam dah berubah,” Irwan menyambung selepas diam seketika.

            Eisya tidak mengerti.

“Kenapa kau cakap macam tu pula?”

            “Sekarang ni dia dah jarang mesej aku. Bila aku mesej pun dia tak balas. Macam ada sesuatu yang dia rahsiakan daripada aku,” cerita Irwan lagi.

            “Kau cubalah tanya dia.”

            “Macam mana aku nak tanya kalau dia asyik mengelak aje? Kau rasa dia dah ada seseorang ke?”

            Eisya menjungkit bahu. Soalan Irwan dirasa sukar untuk dijawab kerana dia sendiri tidak punya jawapan. Hanya Syella yang dapat menjawabnya.

“Kau tak tanya dia?”

            Irwan mengeluh sebelum menjawab, “Aku pernah tanya dia tapi dia kata dia tak ada siapa-siapa lagi. Aku ni bukanlah teruk sangat. Kalau dia kata dia dah ada seseorang, aku pun takkan berani rapat dengan dia macam sekarang.”

            Eisya bersimpati dengan Irwan namun dia tidak dapat berbuat apa-apa. Nak menasihatkan orang, dia tak pandai kerana dia sendiri tak pernah melalui apa yang dilalui oleh Irwan. Jadi, ada baiknya jika dia diam saja. 

            “Kalau kau nak kata aku perasan atau syok sendiri, aku ada alasan untuk rasa perasan. Cuba kau tengok ni,” ujar Irwan seraya menyuakan telefon bimbitnya kepada Eisya.

            Eisya membaca sesuatu yang ditunjukkan oleh Irwan dalam telefon bimbitnya. Matanya membulat. Dia memandang Irwan seperti tidak percaya.

Tiada ulasan: